SETIAP kejayaan yang diperoleh oleh seseorang pasti disulami dengan usaha tidak bertepi. Seperti kata pepatah Arab yang masyhur ‘man jadda wajada’, sesiapa yang berusaha pasti dia akan berjaya.
Apabila melibatkan kemajuan seseorang berniaga, pernahkah kita terfikir bahawa kejayaan yang ALLAH hadirkan itu benar-benar bersumberkan daripada keberkatan atau sebaliknya?
Bukan apa, dunia yang kini hanya di hujung jari ini menyaksikan ramai golongan usahawan menggunakan pelbagai kaedah atau platform tertentu semata-mata untuk menjadikan jualannya laris.
Benar, usaha tidak akan pernah mengkhianati hasilnya. Akan tetapi, biarlah semua perolehan itu jelas diketahui sumbernya. Lebih-lebih lagi kita sebagai umat Islam yang mementingkan kehalalan yang fardu ke atas penganutnya agar setiap hasil yang diraih itu bersumberkan daripada pahala dan bukannya dosa.
Ketahui dan semaklah kembali setiap nikmat yang kita peroleh sama ada ia datang daripada keberkatan ataupun dengan dosa.
Terdapat tiga jenis kejayaan yang digapai dengan dosa sebagaimana dikongsikan oleh pendakwah dan penceramah terkemuka di televisyen, Ustaz Elyas Ismail.
Ia termasuklah mengaibkan dan memalukan diri sehingga bisnesnya tular dan menjadi laku dengan menghina dirinya sendiri, terangnya.
“Selain itu, ada juga yang menghina orang lain sehingga produk dia menjadi laku. Satu lagi ialah dia menipu orang ramai dan menyakinkan mereka dengan penuh kepalsuan dan penipuan.
“Ketahuilah, ketiga-tiga perkara itu jelas menggambarkan apa yang diperoleh itu hanya mendatangkan dosa dan bukannya keberkatan kerana kunci kepada sesuatu kejayaan adalah datangnya daripada usaha yang berkat,” tegas beliau.
Jemput rezeki dengan cara yang ALLAH reda
Hendak mencari rezeki sebetulnya tidaklah sesukar mana. Ini kerana semuanya sudah ada di depan mata dan kita hanya perlu menjemputnya dengan cara yang ALLAH reda kerana itulah kunci utama yang menentukan keberkatan rezeki yang diperoleh.
Demikian perkongsian Mutawif Rarecation, Shauqi Hasan.
Jelas beliau, cara itulah yang menentukan sama ada usaha kita menjadi ibadah atau tidak.
Masakan tidak, perniagaan merupakan satu ibadah. Bermula daripada kejujuran, sikap bertanggungjawab, tidak mengambil kesempatan, memberikan informasi yang betul tentang servis atau produk, semua itu adalah bentuk-bentuk usaha dalam berbisnes, terangnya.
“Kalau usaha yang dilakukan ini semua berlandaskan niat kerana ALLAH, maka ALLAH akan kirimkan barakahnya dalam bentuk kemudahan mendapat idea dan inspirasi sehingga bisnes semakin berkat, bermanfaat dan bernilai ibadah.
Baca juga Zakat perniagaan tetap kena bayar walaupun bisnes rugi. Ini penjelasannya…
“Seseorang yang memiliki keyakinan bahawa hanya ALLAH yang berkuasa memberi rezeki, dia akan menjalankan bisnesnya (pemasaran) dalam cara yang berbeza dengan orang yang sekadar berniaga biasa. Ini kerana bagi orang yang mencintai akhirat, baginya bisnes adalah ibadah.
“Sedangkan bagi pencinta dunia, dia menganggap rezeki datang daripada makhluk (manusia). Kerana itulah dia sanggup melakukan apa sahaja demi untuk melakukan produk atau servisnya. Jemputlah rezeki dengan cara yang ALLAH reda kerana itu semua bakal menjadi darah daging dan keturunan,” titipnya.
Seperkara lagi yang perlu diberi perhatian, Shauqi mengingatkan agar kita jelas dan tahu tujuan hidup.
Andai semua itu dihayati dengan baik, katanya, maka tidak akan ada istilah tawar hati dengan urusan dunia apabila sudah kenal akhirat.
“Bila kita faham bahawa urusan dunia boleh menjadi ibadah, maka itulah yang membuatkan kita semakin mahu berusaha, hanya perlu pastikan usaha itu berlandaskan niat yang betul.
“Jika cara kita betul dan niat lurus kerana ALLAH, maka kita akan berjumpa dengan rezeki yang menjadi hak kita dalam keadaan barakah. Hati akan menjadi tenang, keperluan akan dicukupkan, dan setiap kerjaya akan bernilai ibadah di sisi ALLAH SWT,” ungkapnya.
Sebaliknya, Shauqi menjelaskan, jika dari awal lagi niat berniaga sudah tersasar dan ikhtiar dilakukan pula tidak sesuai dengan kehendak ALLAH, hati mereka akan diselubungi dengan pelbagai rasa kurang enak.
“Misalnya rasa gelisah, panik memikirkan duit yang tidak mencukupi dan sentiasa rasa apa yang dah dimiliki masih sikit sehinggakan timbul rasa hendak bersaing dengan rezeki orang lain pula.
Baca juga Perlukah isteri taat kepada suami yang tidak solat? Berikut perinciannya
“Bila sudah sampai ke tahap itu, bemakna semakin jauh keyakinan kita terhadap jaminan ALLAH SWT bahawa setiap orang sudah ada rezekinya masing-masing,” ungkapnya.
Jika mahu berdampingan dengan Rasulullah SAW dan para anbia, jadilah peniaga yang jujur, boleh dipercayai dan amanah.