3 jenis cantik yang mempesona – Ustazah Norhafizah Musa
CANTIK itu subjektif. Apabila berbicara sahaja mengenai kecantikan pasti ia merupakan lumrah setiap insan yang inginkannya sama ada dari dalaman mahupun luaran.
Dalam erti kata lain, cantik yang sentiasa menjadi definisi masyarakat hari ini adalah apabila seseorang mempunyai rupa paras menawan, tubuh badan yang tegap serta baik budi pekerti.
Namun, apakah erti cantik yang sebenar berdasarkan al-Quran dan hadis? Dalam kedua nas tersebut ada beberapa keadaan yang menggambarkan kecantikan yang sebenarnya berdasarkan perkataan “JAMIL”.
Pendakwah terkenal, Ustazah Norhafizah Musa berkongsi, ada tiga jenis cantik yang mempesona.
1. “SOBRUN JAMIL”
Yang pertama ialah ‘SOBRUN JAMIL‘ yang bermaksud sabar yang baik, sabar yang indah, sabar mempersona dan sabar sehingga adapun sabar yang tidak ada keluhan padanya. Itulah sobrun jamil, tidak mengeluh.
Kalau mengeluh pun hanyalah sedikit sangat semata mata mengadu, merintih, merayu, menyerahkan kembali urusan kepada ALLAH.
Firman ALLAH di dalam Surah Al-Ankabut ayat ke 58 dan 59, ertinya; (ayat 58) “Dan orang-orang yang beriman serta beramal soleh, KAMI akan tempatkan mereka dalam mahligai-mahligai di syurga yang mengalir di bawahnya beberapa batang sungai, mereka kekal didalamnya. Demikianlah balasan yang sebaik-baiknya bagi orang-orang yang beramal soleh. (59) (iaitu) mereka yang sabar dan mereka yang berserah diri bulat-bulat kepada Tuhannya”.
BACA JUGA Beribadah sambil rawat sanubari di Surau Batu Sungai, Sintok
2. “SAFHUN JAMIL”
Kedua ialah ‘SAFHUN JAMIL’ Iaitu memaafkan. Memaafkan ini benda baik tetapi ada juga jenis maaf bersifat melukakan hati orang lain. Bagaimana tu?
Maksudnya kita kata, kita memaafkan tapi masih mengungkit-ungkit lagi tentang kesalahan mereka. Kita sepatutnya memaafkan dan dalam masa yang sama tidak menyakitkan hati orang lain.
ALLAH SWT berfirman “(Iaitu) orang-orang yang menafkahkan (hartanya), baik di waktu lapang maupun sempit, dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan (kesalahan) orang. ALLAH menyukai orang-orang yang berbuat kebajikan.” (Surah Ali ‘Imran ayat 134)
BACA JUGA Hebatnya sabar, 90 kali ALLAH sebut dalam kalam-NYA
3. “KHOIRUN JAMIL”
Ketiga adalah ‘KHOIRUN JAMIL’. Iaitu buat kebaikan tetapi tidak rasa mengeluh mahupun terpaksa. Rasa seronok apabila melakukan kebaikan. Itulah yang digambarkan dengan kebaikan dalam Islam.
Menjadi tuntutan kepada umat Islam untuk berbuat baik. Bahkan, kita diingatkan untuk sentiasa berlumba-lumba dalam membuat kebaikan. ALLAH SWT berfirman: “Oleh itu berlumba-lumbalah kamu membuat kebaikan (beriman dan beramal soleh). Kepada ALLAH jualah tempat kembali kamu semuanya, maka Ia akan memberitahu kamu apa yang kamu berselisihan padanya.” (Surah al-Maidah, ayat 48)
Dalam sebuah hadis Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya ALLAH mewajibkan berbuat baik kepada segala sesuatu” (Riwayat Tirmizi).