Browsing Category

Muamalah

Beli emas ansuran
Muamalah,

Bukan Semua Emas Boleh Dibeli Secara Ansuran, Ini Kaedah Ditetapkan Oleh Syariat

no comment

Oleh DR SHAMSIAH MOHAMAD

EMAS merupakan sejenis galian yang mempunyai nilai tinggi. Pada zaman Rasulullah SAW, wang emas yang disebut sebagai dinar telah digunakan sebagai alat pertukaran.

Selepas krisis kejatuhan mata wang Asia pada tahun 1988, ramai pihak mula memberi fokus kepada emas sama ada dalam bentuk pemilikan dinar emas atau pelaburan emas.

Dalam Islam, emas merupakan salah satu barang ribawi. Sebarang urus niaga yang melibatkan barang ribawi mesti mengikut tatacara khas yang telah ditetapkan oleh syarak. Kaedah urus niaga yang melibatkan barang ribawi itu amat berbeza dengan barang bukan ribawi.

Dalam sebuah hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Ubadah bin al-Samit, baginda SAW telah menjelaskan tatacara tersebut: “Emas dengan emas (ditukar atau diniagakan), perak dengan perak, gandum dengan gandum, barli dengan barli, tamar dengan tamar, garam dengan garam, mestilah sama timbangan dan sukatan dan sekiranya berlainan jenis, maka berjual belilah kamu sebagaimana yang kamu sukai selagi ia dilakukan secara tunai. (Riwayat Muslim)

Beli emas ansuran

DILARANG membuat pembelian jongkong emas atau emas bukan perhiasan secara ansuran kerana haram hukumnya berbuat demikian.

Daripada hadis itu, dapat dirumuskan seperti berikut:

1. Ada dua kategori barang ribawi. Pertama, mata wang yang melibatkan emas dan perak dan kedua, kategori makanan iaitu gandum, barli, tamar dan garam.

2. Pertukaran sesama jenis dalam kategori yang sama seperti emas dengan emas atau gandum dengan gandum tertakluk kepada dua syarat:

a. Serahan kedua-dua barang pertukaran hendaklah dilakukan serta-merta dalam majlis akad.

b. Kadar kedua-duanya mesti sama (berdasarkan ukuran atau timbangan).

3. Pertukaran berlainan jenis daripada kategori yang sama seperti emas dengan perak atau gandum dengan barli, tertakluk kepada satu syarat sahaja iaitu serahan segera kedua-dua barang pertukaran dalam majlis akad.

4. Sekiranya pertukaran tersebut melibatkan barang ribawi daripada kategori yang berbeza seperti emas dengan gandum, maka urus niaga boleh dilakukan secara bebas sama dalam bentuk bayaran tangguh atau berbeza kadar.

Baca juga Jiwa Orang Yang Cuai, Liat Bayar Hutang Akan Tergantung Selagi Dia Tidak Melunaskan Hutangnya

Berdasarkan pandangan Mazhab Hanafi, Maliki, Syafie dan Hambali, mata wang kertas juga adalah barang ribawi. Maka, adakah emas boleh dijual beli secara ansuran?

Bagi menjawab persoalan itu, kita perlu melihat kepada dua bentuk emas iaitu emas perhiasan seperti gelang dan rantai emas serta bukan emas perhiasan seperti jongkong emas atau syiling emas.

Sekiranya emas itu bukan emas perhiasan, tiada perbezaan pandangan dalam kalangan para fuqaha bahawa jual beli secara ansuran adalah diharamkan kerana kedua-duanya adalah barang ribawi.

Namun begitu, sekiranya ia melibatkan emas perhiasan iaitu yang merujuk kepada emas yang sudah ditempa dan melibatkan aktiviti pertukangan terhadapnya (al-sina’ah), maka ada dua pandangan berhubung sifat ribawi padanya.

Beli emas ansuran

EMAS perhiasan seperti gelang dan rantai boleh dibeli secara ansuran kerana ada aktiviti pertukangan ke atas barangan tersebut yang menyebabkan sifat emas daripadanya hilang.

Pandangan pertama: Jual beli emas perhiasan secara ansuran adalah haram. Ini kerana kesan pertukangan yang dilakukan terhadap emas tersebut tidak menghilangkan sifat emas daripadanya. Oleh itu, ia tidak menggugurkan sifat ribawi yang ada padanya. Ini adalah pandangan kebanyakan fuqaha termasuk empat mazhab yang muktabar.

Pandangan kedua: Jual beli emas perhiasan secara ansuran adalah diharuskan. Ini kerana dengan adanya aktiviti pertukangan ke atas emas tersebut telah menyebabkan sifat asalnya hilang dan bertukar kepada kategori barangan perniagaan (‘urud tijarah). Pandangan itu dipelopori oleh Ibn Taimiyyah dan Ibn Qayyim.

Malah, Imam al-Nawawi yang merupakan antara fuqaha muta’akhirin (terkemudian) Mazhab Syafie mengharuskan jual beli perhiasan emas dan perak secara ansuran atas dasar kelonggaran kerana keperluan masyarakat terhadapnya.

Sebagai rumusan, jika kita membeli jongkong emas atau syiling emas, maka memang diharamkan bayaran dibuat secara ansuran. Sebaliknya, jika kita membeli emas perhiasan seperti gelang dan rantai, ia boleh dibeli secara ansuran mengikut pandangan kedua. Wallahualam.

***Dr Shamsiah Mohamad berpengalaman sebagai Penyelidik Isu-Isu Kewangan Islam dan Syariah

Foto: Freepik

Rezeki
Muamalah,

Hibah Tak Boleh Dibuat Secara Paksaan, Ambil Iktibar Daripada Kisah Ini

no comment

SEKITAR 30 tahun lalu, Fazlina Rahmat (bukan nama sebenar), 54, dihadiahkan separuh daripada sebidang tanah oleh ibu saudaranya, Mahani Rahman (bukan nama sebenar) secara sukarela.

Lantaran itu, Mahani bersama dengan anak saudara dan ibu bapa Fazlina pergi ke pejabat tanah bagi mengisi borang 14A dan menurunkan cap jari bagi proses pindah milik berkenaan.

Selepas semua dokumen ditandatangani, Fazlina kembali pulang ke ibu kota dan menyerahkan borang berkenaan kepada ibu bapanya untuk proses pindah milik.

Selepas 25 tahun, Mariani meninggal dunia. Fazlina kemudian berpindah ke kampung halamannya selepas lima tahun ibu saudaranya meninggal. Namun, wanita itu mendapati, tanah pemberian arwah Mahani sudah dipagar oleh anak lelakinya, Roslan Bahar (bukan nama sebenar).

Lelaki itu mendakwa tanah itu sepenuhnya miliknya. Beliau telah membuat permohonan menukar milik tanah berkenaan tiga tahun selepas pemergian ibunya. Tindakan itu diambil apabila tiada sesiapa pun yang menuntut tanah tersebut.

Hibah

SELAIN perjanjian hibah, dokumen-dokumen lain seperti borang pindah milik tanah atau geran tanah juga boleh menjadi asas dalam menguatkan keterangan di mahkamah syariah.

Akibat tidak berpuas hati, Fazlina menyuruh anaknya membuat semakan di pejabat tanah. Malangnya, namanya didapati tidak tercatat pada geran tanah berkenaan.

Wanita itu kemudiannya membuat tuntutan di mahkamah syariah berhubung pensabitan hibah sebanyak separuh bahagian tanah berkenaan. Fazlina turut mengepilkan borang 14A yang ada cop jari Mahani dan dirinya.

Pada masa sama, beliau mengakui turut membayar cukai tanah sepanjang tempoh berkenaan. Namun, pada tahun-tahun tertentu bayaran itu dibuat kepada Roslan. Malangnya, Fazlina gagal mengemukakan bukti berkaitan.

Baca juga Memartabat Industri Halal Negara

Walaupun borang 14A itu lengkap dan boleh didaftarkan, tetapi penolong pegawai tadbir bahagian urusan pendaftaran di pejabat tanah selaku saksi pakar menyatakan, proses pindah milik belum lengkap untuk didaftarkan kerana cukai setem tidak dimatikan mengikut penilaian hartanah.

Sepanjang perbicaraan tersebut, Roslan langsung tidak membangkitkan soal pemberian hibah. Sebaliknya beliau mengaitkannya sebagai tanah cagaran.

Arwah ibunya pernah memberitahu, beliau memberikan sebahagian tanah itu sebagai cagaran untuk meminjam wang sebanyak RM6,000 bagi menunaikan haji.

Wang itu dipinjam oleh ibunya daripada Fazlina selepas dirinya tidak mampu memenuhi hasrat ibunya hampir 30 tahun lalu.

Hibah

Malah, selepas pulang daripada haji pada tahun yang sama Mariani membuat pinjaman wang itu, ibunya banyak kali mengingatkannya agar melunaskan hutang beliau kepada Fazlina.

Pada tahun berikutnya, Roslan cuba membayar RM6,000 kepada Fazlina. Malangnya, wanita itu menyuruhnya agar menyimpan atau menggunakan sahaja wang berkenaan. Hampir tiga kali cubaan untuk membayar wang itu dibuat, tetapi Fazlina enggan menerimanya.

Sepanjang tempoh itu juga, Roslan mengakui telah menyelesaikan semua cukai tanah sendiri tanpa bantuan sesiapa. Buktinya, beliau turut mengepilkan resit pembayaran cukai tanah selama tujuh tahun selepas ibunya meninggal dunia.

Melihat kepada keterangan, bukti dan saksi yang dikemukakan, mahkamah syariah mengisytiharkan permohonan untuk Fazlina mensabitkan hibah ke atas separuh bahagian daripada tanah berkenaan ditolak. Pada masa sama, hakim memerintahkan supaya Roslan membayar sebanyak RM6,000 kepada Fazlina.

Mahkamah juga memutuskan bahawa tanah itu adalah hak milik mutlak Roslan. Fazlina pula terpaksa akur dengan keputusan mahkamah yang tidak berpihak kepadanya.

Fahami proses pemberian hibah mengikut syarak

SEBUT sahaja tentang hibah, perkara pertama yang perlu dikenal pasti adalah rukun hibah. Ia mestilah terdiri daripada pemberi dan penerima hibah, barang yang dihibahkan serta sighah iaitu lafaz ijab oleh pemberi dan lafaz kabul oleh penerima.

Presiden Persatuan Peguam Syarie Terengganu, Fazru Anuar Yusof berkata, sighah merupakan salah satu elemen yang kebiasaannya dibahaskan oleh para fuqaha bagi menentukan sesuatu hibah itu sah atau sebaliknya. Ia juga sering menjadi pertikaian dalam sesuatu tuntutan pengesahan hibah di mahkamah syariah.

FAZRU ANUAR

Dari segi istilah syarak, jelas beliau, hibah merupakan satu akad pemberian milik terhadap harta yang dilakukan oleh seseorang secara sukarela kepada seseorang yang lain ketika tempoh hidupnya tanpa sebarang balasan (‘Iwad).

“Salah satu daripada ciri-ciri hibah yang dapat kita rumuskan adalah ia mesti dan hanya boleh dibuat secara sukarela serta tanpa paksaan.

“Perkara ini bertepatan dengan rukun dan salah satu syarat bagi pemberi hibah iaitu pemberi hibah (al-Wahib) boleh menghibahkan hartanya tanpa had kadar serta kepada sesiapa sahaja yang disukainya termasuk kepada orang bukan Islam, asalkan maksudnya tidak melanggar hukum syarak,” katanya kepada Sinar Islam Plus baru-baru ini.

Walaupun hibah pada konsepnya dianggap sah sekiranya ia memenuhi rukun dan syarat ditetapkan, pengamal undang-undang itu menjelaskan, ia masih boleh dicabar oleh ahli-ahli waris penerima harta pusaka di mahkamah syariah. Ia bagi memberi keadilan kepada pihak-pihak berkenaan.

Hibah


ANTARA ciri-ciri hibah adalah ia mesti dan hanya boleh dibuat secara sukarela serta tanpa paksaan.

“Mahkamah syariah akan melihat keterangan dan pembuktian dalam mengesahkan sesuatu hibah itu. Bagi mengelakkan berlakunya pertikaian dalam kes hibah ini, pemberi hibah perlu memastikan terdapat dokumen yang boleh menyokong pemberian hibahnya itu.

“Dalam amalan pada masa kini, sudah banyak agensi dan firma guaman bertauliah yang boleh menyediakan perjanjian hibah. Perjanjian ini juga perlulah perjanjian yang boleh dikuatkuasakan menurut undang-undang.

“Selain perjanjian hibah, dokumen-dokumen lain seperti borang pindah milik tanah atau geran tanah juga boleh menjadi asas dalam menguatkan keterangan di mahkamah syariah. Oleh itu, ia adalah tanggungjawab pemberi hibah dan penerima hibah untuk sama-sama memastikan dokumen-dokumen yang diperlukan telah lengkap dan sempurna,” nasihatnya.

Foto: Freepik

Hutang
Muamalah,

Jiwa Orang Yang Cuai, Liat Bayar Hutang Akan Tergantung Selagi Dia Tidak Melunaskan Hutangnya

no comment

Oleh DR SHAMSIAH MOHAMAD

BERHUTANG pada asalnya memang diharuskan dalam agama Islam. Keharusan itu dapat difahami daripada firman ALLAH SWT: “Wahai orang beriman, apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang-piutang yang diberi tempoh hingga suatu masa tertentu maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayarannya) itu.” (Surah al-Baqarah, ayat 282)

Sejarah juga telah membuktikan bahawa Rasulullah SAW sendiri pernah berhutang dan menjadikan baju besinya sebagai cagaran kepada hutang berkenaan.

Saidatina Aishah RA meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad SAW berhutang dengan seorang Yahudi untuk membeli makanan dan mencagarkan baju besi baginda sebagai jaminan hutang itu. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Dalam Islam, akad pinjaman wang (qard) termasuk dalam kategori aqd al-rifq (akad belas ihsan).

Ini kerana matlamat atau maksud asasi daripada akad itu adalah untuk membantu pihak penghutang (peminjam) pada saat dia memerlukan pertolongan dalam bentuk memberi hutang.

Baca juga Amalan riba merosakkan iman, akidah. Jauhi sifat tercela itu

Atas asas itulah ALLAH SWT melarang keras pensyaratan atau penetapan bayaran balik hutang melebihi jumlah asal pinjaman. Lebihan tersebut diistilahkan sebagai riba.

Bukan itu sahaja, selari dengan sifat akad pinjaman itu sebagai aqd al-rifq, Islam amat menggalakkan pemiutang agar memberi kemudahan dan kelonggaran dalam bab pembayaran balik hutang kepada penghutang yang mu’sir iaitu penghutang yang berada dalam kesempitan dan ketidakmampuan untuk membayar balik hutangnya pada tarikh yang ditetapkan.

Hutang

APABILA berhutang, lunaskanlah ia mengikut tempoh yang ditetapkan.

Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa menghilangkan suatu kesusahan Muslim daripada kesusahan dunia, nescaya ALLAH akan menghilangkan daripadanya kesusahan akhirat. Dan sesiapa yang memberi kemudahan kepada orang yang mu’sir (kesulitan membayar hutang), nescaya ALLAH akan memudahkannya di dunia dan di akhirat. Dan ALLAH selalu menolong hamba-NYA selama hamba berkenaan menolong saudaranya.” (Riwayat Muslim)

Walaupun akad pinjaman wang atau berhutang itu pada asalnya adalah harus, tetapi ia boleh bertukar menjadi haram dan berdosa sekiranya tujuan asal penghutang adalah untuk mengambil hak orang lain secara batil.

Pengambilan hak orang lain secara batil itu boleh berlaku dalam bab pinjaman wang apabila penghutang memang dari awal lagi tiada niat untuk membayar balik hutang kepada pemiutang atau sengaja melewat-lewatkan bayaran balik hutang sehingga akhirnya tiada bayaran dilakukan.

Hukum haram dan berdosa membuat pinjaman wang/berhutang tersebut boleh difahami daripada sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Rasulullah SAW.  Sabda baginda SAW: “Diampunkan semua dosa bagi orang mati terkorban syahid, kecuali jika dia mempunyai hutang (kepada manusia).” (Riwayat Muslim)

Begitu juga dalam sebuah hadis lain: “Jiwa seorang Mukmin tergantung kerana hutangnya hingga hutangnya dilangsaikan.” (Riwayat al-Tirmizi, Ibn Majah dan al-Baihaqi)

Melihat semua hadis berkenaan, dalam bab berhutang, pihak penghutang juga sewajarnya ‘mengaplikasikan’ sifat belas kasihan terhadap pemiutang selari dengan sifat akad pinjaman itu sebagai akad belas kasihan.

Sifat belas daripada pemiutang yang sanggup menolong penghutang dengan memberi pinjaman wang pada saat dia memerlukan bantuan sepatutnya dibalas balik dengan dengan sifat yang sama juga.

Ia diterjemahkan dalam bentuk kesediaan membayar balik hutang kepada pemiutang dan berusaha bersungguh-sungguh untuk melangsaikannya secepat mungkin.

Hutang

JIKA berkemampuan, usahlah kita sengaja melewat-lewatkan bayaran hutang yang pernah dibuat sebelum ini.

Oleh itu, orang yang cuai dan sengaja tidak mahu membayar hutang memang wajar mendapat penghinaan di dunia dan akhirat. Masakan tidak, dirinya telah melakukan perbuatan yang haram dan berdosa.

Malah, hukuman itu selari dengan hilangnya sifat belas kasihan daripada hatinya sehingga sanggup mengambil harta orang lain secara batil.

***Dr Shamsiah Mohamad berpengalaman sebagai Penyelidik Isu-Isu Kewangan Islam dan Syariah

Foto: Freepik

Rezeki
Muamalah,

Kaedah Yang Betul Urus Harta Haram

no comment

SETIAP orang pasti pernah melalui pelbagai kenangan hidup yang manis dan pahit. Semua itu akan dikenang sampai bila-bila kerana pengalamanlah yang mematangkan kita dalam merentas kehidupan.

Dalam kalangan kita, pasti ramai yang pernah melalui ‘sisi gelap’ masing-masing. Maklum sahajalah, kita hanyalah manusia biasa yang tidak lari daripada melakukan kesilapan dan dosa.

Namun, berkat hidayah kurniaan-NYA, ada segelintir orang yang kini sudah pun berubah menjadi insan yang lebih baik.

Jika ia melibatkan dosa silam dengan ALLAH, bertaubat adalah jalan yang terbaik. Pada masa sama, mohonlah keampunan-NYA dengan bersungguh-sungguh.

Begitu juga seandainya kita ada berbuat dosa kepada insan lain. Mohon maaflah kepada individu berkenaan, barulah ALLAH akan mengampunkan kita.

Namun, bagaimana pula ia jika melibatkan harta yang haram atau tidak jelas jika kita pernah menyimpannya ketika zaman jahiliah dulu?

Baca juga Amalan riba merosakkan iman, akidah. Jauhi sifat tercela itu

Apakah yang perlu dilakukan bagi ‘mencuci’ harta berkenaan? Adakah harta itu perlu dibuang begitu sahaja? Bagaimanakah cara pengurusan harta haram yang betul mengikut kaedah Islam.

Menjawab persoalan itu, Pengurus Syariah Unit Pusat Pungutan Zakat, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Ahmad Husni Abd Rahman menjelaskan, para ulama ada memberi nasihat tentang menguruskan harta yang haram.

AHMAD HUSNI

Umpamanya, Al-Imam al-Ghazali menjelaskan, ada pelbagai cara untuk berbuat demikian, ungkapnya.

“Salah satu cara yang dianjurkan adalah harta berkenaan hendaklah digunakan untuk perkara manfaat yang bersifat umum iaitu bukan bersifat peribadi atau kemudahan untuk keluarganya.

“Seperkara lagi, ia bukanlah digunakan untuk makanan. Sebaliknya, tujuannya hanyalah untuk memberi kebaikan kepada masyarakat.

Misalnya, membuat jalan untuk kegunaan orang ramai, tandas masjid atau untuk kebaikan kepada pihak sekolah dan lain-lain,” katanya.

Ahmad Husni menambah, antara cara paling mudah adalah dengan memberikan kepada mana-mana fakir miskin.

Harta haram

SEANDAINYA kita ingin menguruskan harta haram itu sendiri, lakukanlah ia berlandaskan syariat Islam.

“Contohnya, jika seseorang itu memiliki harta haram berjumlah RM50,000, bahagikan semuanya kepada fakir miskin.

“Selain itu, boleh juga diserahkan harta tadi kepada baitulmal Muslimin. Pihak baitulmal akan menguruskannya mengikut panduan syarak,” ujarnya.

Foto: Freepik

Amalan riba
Muamalah,

Amalan riba merosakkan iman, akidah. Jauhi sifat tercela itu

no comment

Oleh DR SHAMSIAH MOHAMAD

BARANGKALI ramai dalam kalangan kita yang tidak tahu dan tidak faham pun apa itu riba? Apabila masyarakat tidak mengenali riba dan tidak ambil pusing tentangnya, tidak mustahil kita mudah terjerumus ke dalam urus niaga yang melibatkan proses yang tidak dibenarkan oleh agama itu.

Sebenarnya untuk memberikan satu takrif riba dalam bentuk yang lengkap dan komprehensif adalah sukar. Ini kerana riba terbahagi kepada banyak jenis dan masing-masing membawa pengertian yang tersendiri.

Namun, saya kongsikan antara contoh transaksi yang mengandungi unsur riba seperti berikut:

i. Riba dalam jual beli bukan barang ribawi boleh berlaku apabila  bayaran tambahan disyaratkan di luar daripada akad jual beli.  Contohnya, A menjual buku kepada B dengan harga RM200 secara bayaran tangguh. Pada tarikh bayaran yang telah ditetapkan, B tidak mampu membuat bayaran dan memohon lanjutan tempoh bayaran. A setuju dan menetapkan bayaran tambahan sebanyak RM50. RM50 tersebut adalah riba.

Amalan riba

ELAKKAN urusan jual beli atau pinjaman yang berunsurkan riba.

ii. Riba dalam jual beli barang ribawi (seperti emas, perak, kurma, gandum dan barli) boleh berlaku apabila melibatkan serahan tidak dibuat secara lani seperti A menjual jongkong emas kepada B secara bayaran tunai, tetapi serahan emas kepada B tidak dibuat pada tarikh kontrak dibuat.

iii. Riba dalam jual beli barang ribawi boleh berlaku apabila melibatkan bayaran bertangguh seperti A menjual jongkong emas kepada B dengan bayaran secara ansuran.

iv. Riba dalam jual beli barang ribawi juga boleh berlaku apabila pertukaran melibatkan jenis yang sama, tetapi tidak sama kadar seperti menukarkan sekeping not bernilai RM100 dengan 11 keping not bernilai RM10. Lebihan RM10 adalah riba.

Baca juga Wakaf antara cara ‘ubati’ impak ekonomi

v. Riba dalam bab pinjaman wang boleh berlaku apabila kedua-dua pihak bersetuju semasa kontrak dilakukan bahawa penghutang akan membayar lebih daripada wang pokok seperti A memberi pinjaman wang kepada B sebanyak RM200 dan mensyaratkan B membayar balik dengan RM250. RM50 adalah riba.

vi. Riba dalam bab pinjaman wang boleh juga berlaku apabila bayaran tambahan dikenakan jika penghutang gagal membayar pada tarikh yang ditetapkan seperti A meminjam wang sebanyak RM500 daripada B dan tiada bayaran tambahan disyaratkan semasa kontrak dilakukan. Namun, A gagal membuat bayaran pada tarikh yang ditetapkan dan memohon lanjutan tempoh bayaran. B setuju dan mengenakan bayaran tambahan sebanyak RM50. RM50 itu adalah riba.

Amalan riba

JANGAN sesekali menjebakkan diri dan keluarga dalam urus niaga yang mempunyai unsur riba.

Kesemua contoh di atas sudah merangkumi jenis-jenis riba sebagaimana yang dibincangkan dalam kitab-kitab fiqah. Begitu juga, kita dikira terlibat dengan riba apabila melabur dalam mana-mana pelaburan yang ada kaitan dengan riba seperti memiliki saham dalam syarikat yang menjalankan aktiviti perbankan konvensional.

Dalam Surah al-Baqarah, ayat 275, ALLAH SWT telah menjelaskan bahawa riba diharamkan. Sementara dalam hadis Rasulullah SAW, ada dinyatakan dosa amalan riba adalah tergolong dalam tujuh dosa besar. Daripada Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Jauhilah kamu daripada tujuh dosa besar ini (perkara yang membinasakan).” Para sahabat bertanya: “Apakah ia wahai Rasulullah SAW?” Rasulullah SAW bersabda: “Syirik kepada ALLAH SWT, sihir, membunuh jiwa yang telah diharamkan oleh ALLAH SWT melainkan dengan kebenaran, memakan riba, memakan harta anak yatim, melarikan diri daripada peperangan dan menuduh wanita yang beriman dengan berzina”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Ketahuilah, dosa amalan riba itu bukan hanya ditanggung oleh pemberi dan pemakan riba sahaja, tetapi termasuk semua pihak yang bersekongkol dalam kegiatan itu. Ia seperti pihak yang menjadi saksi kepada transaksi yang ada unsur riba dan pihak yang menyediakan dokumen berkaitan transaksi yang ada unsur riba misalnya peguam.

Ia sebagaimana yang dijelaskan dalam sebuah hadis daripada Jabir RA bahawa: Rasulullah SAW melaknat orang yang makan riba, orang yang memberi makan dengan riba, penulisnya dan dua saksi. Sabda baginda: “Mereka itu semuanya sama pada hukum mengambil riba” (Riwayat Muslim)

Oleh itu, selamatkanlah diri kita dan keluarga daripada riba sebelum terlambat.

***Dr Shamsiah Mohamad berpengalaman sebagai Penyelidik Isu-Isu Kewangan Islam dan Syariah

Foto: Freepik

jason-leung-SAYzxuS1O3M-unsplash
Muamalah,

Ini beza antara pertukaran mata wang dengan perdagangan pertukaran mata wang. Hati-hatilah, jangan terjebak dengan jual beli bertentangan syarak

Oleh DR SHAMSIAH MOHAMAD

DALAM Islam secara umumnya, jual beli adalah dibenarkan. Ia jelas sebagaimana dinyatakan ALLAH SWT menerusi firman-NYA: “Yang demikian ialah disebabkan mereka mengatakan: Bahawa sesungguhnya berniaga itu sama sahaja seperti riba. Padahal ALLAH telah menghalalkan berjual beli (berniaga) dan mengharamkan riba.“ (Surah al-Baqarah, ayat 275)

Antara bentuk jual beli yang dibenarkan adalah jual beli mata wang atau disebut sebagai bay‘ al-sarf.

Pada zaman Rasulullah SAW dan para sahabat, mata wang yang diguna pakai adalah dinar dan dirham. Tiada perselisihan pandangan tentang kedua-dua mata wang itu sebagai barang ribawi.

Namun begitu, berhubung dengan mata wang kertas, Mazhab Hanafi, Maliki, Syafie dan Hambali sepakat memutuskan bahawa ia juga termasuk dalam kategori barang ribawi.

Pertukaran mata wang

WANG kertas termasuk dalam kategori barang ribawi.

Oleh itu pertukaran/jual beli mata wang kertas juga tertakluk kepada syarat-syarat bay‘ al-sarf. Syarat-syarat tersebut adalah:

1. Pertukaran kedua-dua jenis mata wang hendaklah berlaku secara spot/lani. Penangguhan serahan akan menyebabkan berlakunya riba al-nasi‘ah.

2. Jika pertukaran itu melibatkan mata wang yang sama jenis seperti Ringgit Malaysia dengan Ringgit Malaysia, maka kadarnya hendaklah sama. Contohnya, A ada sekeping mata wang Malaysia yang bernilai RM50. Dia berhajat untuk menukarkan not bernilai RM50 tersebut dengan wang kertas yang lebih kecil nilainya seperti RM10 daripada B. Oleh itu dalam pertukaran itu, kepingan RM10 yang mesti diserah oleh B kepada A hendaklah sebanyak lima keping kerana itulah jumlah yang menyamai sekeping mata wang tadi yang bernilai RM50. Jika A meminta B menukarkan 6 keping RM10 dengan sekeping not RM50, maka di situ telah berlaku riba al-Fadhl kerana B membayar lebih iaitu sebanyak RM10.

Baca juga Jual beli tanpa tahu harga, ramai yang pandang remeh tentang perkara ini, sedangkan…

Bagaimanapun, jika pertukaran mata wang itu melibatkan jenis mata wang berbeza, hanya syarat pertama sahaja yang mesti dipenuhi. Pada hari ini, ia disebut sebagai pertukaran mata wang asing seperti pertukaran Dolar Amerika Syarikat dengan Ringgit Malaysia.

Perkhidmatan pertukaran mata wang asing itu ada di mana-mana bank dan pusat tukaran wang berdaftar di Malaysia. Transaksi itu sah dan patuh syariah jika syarat-syarat bay‘ al-sarf dipenuhi.

Perkhidmatan itu sangat berbeza dengan forex trading yang dilakukan dalam talian. Forex trading adalah satu bentuk perdagangan pertukaran mata wang bagi tujuan mengaut keuntungan hasil turun naiknya mata wang tersebut. Dengan bahasa mudah, ia adalah satu bentuk ‘pelaburan‘ dalam pasaran mata wang.

Dalam forex trading, ada unsur leverage sedangkan perkara itu tidak berlaku dalam pertukaran mata wang di bank dan juga pusat tukaran wang berdaftar. Ini kerana pedagang dengan modal yang rendah boleh menempah pesanan yang lebih besar daripada modalnya.

Contohnya, dengan modal RM10,000, dia boleh membuat tempahan pesanan yang bernilai RM100,000 misalnya. Secara mudah, laverage itu adalah satu bentuk pinjaman wang. Pedagang meminjam sebanyak RM90,000 daripada broker bagi membolehkannya membuat tempahan pesanan yang lebih besar nilainya daripada modal yang dia ada.

Pertukaran mata wang

PERDAGANGAN forex dihukumkan haram kerana terdapat unsur yang bertentangan dengan syarak.

Forex trading juga melibatkan jual beli mata wang asing. Dengan adanya laverage itu, maka wujud gabungan kontrak jual beli dengan kontrak pinjaman (qard).

Itulah salah satu isu syariah sehingga dihukumkan haram. Penggabungan jual beli dengan qard menyalahi hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan daripada Amr ibnu Syu‘aib bahawa: “Tidak halal pinjaman dengan jual beli.“ (Riwayat al-Nasa‘i)

Selain laverage, ada lagi isu-isu syariah lain, tetapi pada ruang yang terhad ini, saya hanya mampu sebut satu sahaja.

Rumusannya, suatu yang asalnya halal boleh menjadi haram jika ada unsur yang bertentangan dengan syarak.

***Dr Shamsiah Mohamad berpengalaman sebagai Penyelidik Isu-Isu Kewangan dan Syariah.

Foto: Freepik & Unsplash

hologram-serba-dinamik-beyond-paradigm-summit-2019
Muamalah,

Imej hologram ganti kemunculan fizikal

no comment

Bayangkan alam sekolah di mana guru yang mengajar adalah dalam bentuk hologram : imej tiga dimensi dipancar cahaya laser.

Atau perbincangan berhubung penyelenggaraan di fasilti pelantar minyak laut dalam dilakukan secara remote atau jarak jauh di keselesaan pejabat di bandaraya, juga melalui teknologi hologram.

Melalui anak syarikatnya, Serba Dinamik IT Solutions Sdn Bhd (SDIT), kumpulan berpusat di Shah Alam itu, memacu penyelidikan dan pembangunan teknologi.

Serba Dinamik IT Solutions Sdn Bhd (SDIT), kumpulan berpusat di Shah Alam, memacu penyelidikan dan pembangunan teknologi.

Sejak penubuhannya pada 2005, SDIT mencatat pelbagai pencapaian seperti kerjasama sepakat bersama Microsoft, pelancaran Beyond Paradigm Summit 2019 yang menyaksikan kehadiran Sophia The Robot yang mampu berdebat dan melukis wajah manusia, serta memenangi berbagai anugerah inovasi industri.

Serba Dinamik juga telah berjaya membangunkan teknologi upaya menjangkaui batasan semasa seperti sistem penyelenggaraan, SMART Maintenance yang membolehkan proses tersebut dilaksanakan dengan lebih cekap dan menghasilkan keputusan tepat.

Keunggulan sistem ini telah diyakini industri apabila ia memenagi anugerah Frost & Sullivan Best Practices Award 2020 dan APICTA Operational Excellence IT 2019.

Walaupun, sudah jelas transformasi digital boleh meningkatkan kebolehsaingan, masih tidak banyak syarikat tempatan yang cuba mendekatinya.

Antara punca menolak pendigitalan ialah menganggapnya bukan keutamaan, kekurangan modal dan kepakaran, berpendapat proses digital akan ditentang pelanggan, keupayaan melindungi privasi data dan tahap keselamatan siber yang diragui.

Namun pandemik Covid-19 yang sedang melanda dunia telah memaksa syarikat memikirkan semula pandangan mereka terhadap pendigitalan.

Rata-rata bimbang kegagalan mencari proses kerja baru ketika dan pasca pandemik, akan membantutkan pertumbuhan syarikat masing-masing dalam persekitaran yang kian kompetitif.

 

Serba Dinamik, walaupun tidak terlepas daripada kesan pandemik, hanya melihat impak minimal kepada operasinya berikutan persiapan awal yang dilakukan.

Salah satu kunci kepada tahap kesiagaan tinggi ini ialah penekanan terhadap inovasi yang dilakukan sejak awal penubuhan syarikat oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Abdul Karim.

Anak tempatan dari Bintulu, Sarawak ini bersedia berkongsi pengalaman dengan usahawan lain berhubung pahit maung pendigitalan dan wawasan beliau terhadap persekitaran hidup dan pernigaan dalam dunia pasca pandemik.

Kisah Datuk Karim dan Serba Dinamik boleh dibaca selanjutnya dalam knowledgebuymoney.com

pexels-cytonn-photography-955395
Muamalah,

Boleh bermuamalat dengan bukan Islam. Ini konsepnya yang perlu kita tahu…

Oleh DR SHAMSIAH MOHAMAD

DALAM kitab suci al-Quran, ALLAH SWT berfirman: “Wahai manusia! sesungguhnya, KAMI telah menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan, kemudian KAMI menjadikan kamu berbangsabangsa dan bersuku-suku agar kamu saling kenal mengenali. Sesungguhnya yang paling mulia di antara kamu di sisi ALLAH ialah orang yang paling bertakwa. ALLAH MAHA MENGETAHUI lagi MAHA TELITI.“ (Surah al-Hujurat, ayat 13)

Ayat itu menjelaskan kepada kita bahawa kewujudan pelbagai kaum dan bangsa adalah suatu yang memang dimaksudkan oleh ALLAH SWT. Tujuannya adalah untuk kita saling mengenali dan berinteraksi antara satu sama lain.

Dalam menjalani kehidupan seharian, memang kita tidak boleh lari daripada bermuamalat dengan golongan bukan Islam. Melihat kepada realiti itu, Islam tidak pernah mengharamkan umatnya daripada berurus niaga dengan bukan Muslim.

Sebenarnya, ada beberapa peristiwa yang mengharuskan hukum bermuamalat dengan golongan berkenaan. Antaranya, peristiwa Rasulullah SAW menggadaikan baju besinya kepada seorang Yahudi kerana baginda membeli makanan daripadanya secara hutang.

Sudah pasti Rasulullah SAW tidak akan lakukan perkara tersebut jika baginda tidak yakin dengan halalnya makanan yang dijual oleh orang Yahudi berkenaan.

Daripada peristiwa tersebut, dapat difahami bahawa tiada halangan dari segi syarak untuk kita berurus niaga dengan orang bukan Islam. Ia selagi mana urusan tersebut tidak bertentangan dengan syarak.

Ketahuilah, status bukan Muslim itu bukanlah asas kepada pengharaman sesuatu urusan. Dalam perbincangan fuqaha, ketika menggariskan syarat-syarat pihak yang berkontrak, mereka tidak meletakkan syarat ‘mestilah seorang Muslim‘ melainkan dalam kes tertentu seperti bab menjual al-Quran yang mana disyaratkan mestilah dijual kepada orang Islam.

Baca juga Bila orang bukan Islam beri salam, apa harus kita jawab…

Bermuamalat dengan bukan Islam


BERMUAMALATLAH dengan sesiapa sahaja termasuk orang bukan Islam dalam sebarang urusan yang bebas daripada unsur-unsur yang dilarang dalam Islam seperti riba, gharar dan penipuan.

Itu pun masih ada ruang perbahasan lanjut melihat kepada situasi dan realiti sebenar yang saya tidak bermaksud untuk panjangkan perbincangan mengenainya dalam tulisan kali ini.

Apakah asas sebenar kepada pengharaman suatu urusan? Saya pernah menyebut dalam tulisan saya sebelum ini tentang kaedah umum yang digariskan oleh al-Quran dan hadis dalam bab muamalat maliyyah.

Rumusannya, urus niaga seseorang itu hanya akan dihukumkan haram sekiranya ia tidak mengikut kaedah yang telah ditetapkan iaitu mesti berasaskan kepada suka sama suka (taradhi) dan bebas daripada unsur-unsur yang dilarang dalam Islam seperti riba, gharar dan penipuan.

Selain itu, umat Islam juga dilarang daripada melibatkan diri dalam urus niaga yang bersifat membantu bukan Islam untuk mengganggu gugat orang-orang Islam. Contoh klasik yang disebut dalam perbincangan fuqaha adalah menjual senjata kepada golongan bukan Islam yang memusuhi Islam.

Walaupun ia sekadar urusan jual beli sahaja, tetapi tetap memberi sumbangan tidak langsung kepada golongan itu untuk memerangi Islam.

Pada masa sama, umat Islam dilarang daripada terlibat dalam sebarang muamalah yang boleh membantu bertambahnya maksiat yang dilarang dalam Islam. Umpamanya, menjual buah anggur kepada pembuat arak. Ia bertujuan menjauhi kita daripada terlibat sama secara tidak langsung dalam menyumbang kepada aktiviti pembuatan arak.

Bermuamalat dengan bukan Islam

HARUS bermuamalat dengan golongan bukan Islam kecuali dalam hal yang boleh memberi mudarat kepada agama suci ini atau perkara yang dilarang oleh syarak.

Oleh itu, kita sebagai umat Islam harus jelas dan faham. Meskipun secara umumnya Islam mengharuskan kita bermuamalat dengan orang bukan Islam, tetapi pada masa sama, kita hendaklah memastikan bahawa urus niaga tersebut bebas daripada perkaraperkara yang dilarang oleh agama suci ini.

Antara perkara yang sangat perlu kita teliti adalah sejauh mana muamalat dengan orang bukan Islam itu tidak membawa mudarat kepada agama Islam itu sendiri untuk jangka masa panjang atau dalam bentuk sumbangan secara langsung. Wallahua’lam.

***Dr Shamsiah Mohamad berpengalaman sebagai Penyelidik Isu-Isu Kewangan Islam dan Syariah

Foto: Freepik & Pexels

pexels-andrea-piacquadio-1050244
Berita Semasa, Muamalah,

Trend kotak misteri, kotak teka-teki ketika membuat pembelian online, ini pandangan Islam mengenai pendekatan terbaharu penjual itu…

APABILA Perintah Kawalan Pergerakan sekali dikuat kuasakan, ramai orang memilih untuk melakukan pembelian online sepertimana yang berlaku ketika undang-undang itu dilaksanakan tahun lalu.

Masakan tidak, proses pembelian bertambah mudah. Tidak perlu untuk keluar rumah bagi mengelakkan terdedah dengan risiko virus Covid-19 yang semakin mengganas.

Apatah lagi, kebanyakan barang-barang keperluan juga boleh dibeli secara online menerusi pelbagai platform yang ada pada masa kini.

Sebelum membuat pembelian, setidak-tidaknya kita sudah fikirkan apa yang mahu dibeli. Barang tersebut juga terpapar dengan jelas menerusi imej, spesifikasi dan sebagainya menerusi platform online yang mahu dibeli.

Namun begitu, sejak akhir-akhir ini, semacam menjadi trend apabila ada barangan yang tidak diketahui apa di dalamnya turut dijual secara online. Barang itu dinamakan sebagai mystery box, kotak teka-teki dan lain-lain.

Dalam perihal jual beli seperti itu, adakah umat Islam dibenarkan terlibat sama ada untuk membeli atau menjualnya? Ini kerana pembeli tidak tahu secara jelas dan pasti apakah barangan yang akan dierimanya.

Apakah pandangan Islam tentang perkara ini?

Sebelum itu, kita perlu memahami gambaran tentang mystery box. Sememangnya kita tidak mengetahui produk atau barangan yang dijual secara spesifik.

Memetik artikel Al-Kafi #1757: Hukum Jual Beli ‘Mystery Box’ yang disiarkan menerusi laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, lazimnya, jual beli sebegitu menggunakan modus operandi yang mana pelanggan akan membeli suatu barang yang diberi nama kotak misteri.

Mystery box dan kotak misteri

Nama tersebut katanya, diberikan kerana pembeli berpotensi untuk memenangi suatu produk lumayan seperti telefon pintar yang mempunyai spesifikasi tinggi, alat solek berjenama dan pelbagai lagi dengan nilai bayaran yang rendah.

“Pada masa sama, sekiranya pelanggan tidak bernasib baik untuk mendapat barang lumayan tersebut, mereka akan diberikan barang lain sebagai ganti yang mempunyai nilai lebih rendah daripada barangan yang diimpikan.

“Bahkan, berkemungkinan mendapat barangan yang sangat rendah nilainya jika dibandingkan dengan duit yang dilaburkan,” katanya sebagaimana dipetik menerusi artikel berkenaan.

Bagi menentukan suatu jual beli atau perniagaan itu diterima oleh syarak, ada beberapa rukun dan syarat asas yang perlu dipatuhi.

Rukun-rukun berkenaan termasuklah pihak yang melakukan akad (penjual dan pembeli), ijab dan kabul serta barang jualan dan harganya.

Baca juga Jual beli tanpa tahu harga, ramai yang pandang remeh tentang perkara ini, sedangkan…

Melihat kepada perkara itu, urusan jual beli melibatkan mystery box tidak memenuhi rukun dalam barang jualan. Ini kerana para ulama menggariskan, setiap jual beli mestilah diketahui barang jualannya antara peniaga dan pembeli.

Ia bukanlah bermaksud kita perlu tahu setiap inci barang tersebut. Paling tidak pun, sekurang-kurangnya kita kena tahu maklumat asas tentang produk berkenaan seperti jenis barang, sifat, bentuknya dan lain-lain.

Ketahuilah, jual beli barang yang tidak spesifik sebenarnya mengandungi unsur gharar (tidak jelas) yang diharamkan dalam Islam.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA: “Sesungguhnya Rasulullah SAW melarang jual beli al-hashah (melempar batu) dan jual beli gharar (ketidakjelasan).” (Riwayat Muslim)

Mystery box dan kotak misteriTambahan pula, atikel berkenaan menyebut, jual beli itu mempunyai unsur perjudian kerana bergantung kepada nasib semata-mata.

“Konsep yang diketengahkan menafikan hak pembeli dalam memilih barangan yang dikehendaki dan disukainya setimpal dengan harga yang telah dibayar.

“Justeru, situasi ini adalah melanggar prinsip-prinsip jual-beli yang sepatutnya ada seperti khiyar (pilihan),” katanya.

Berdasarkan hujah di atas, dapat disimpulkan bahawa jual beli mystery box sebagaimana yang digambarkan itu adalah tidak sah dan terbatal.

Pembeli perlu menyerahkan semula barangan berkenaan kepada penjual. Sementara penjual hendaklah memulangkan semula wang yang diterima.

Andai ada kesulitan dalam pemulangan barangan tadi seperti ia telah digunakan dan sebagainya, umat Islam disarankan supaya membuat akad jual beli yang baharu dengan syarat pembeli meredai pembelian barang tersebut.

Begitu juga dengan penjual iaitu mereka meredai dengan nilai bayaran yang diterima.

Beringatlah sebelum membeli suatu barangan apalagi yang mempunyai unsur keraguan. Jangan mudah terpedaya dengan ganjaran yang lumayan.

Kelak kita akan menerima implikasinya kerana terjebak dengan perkara yang ditegah oleh syarak.

Sumber: Al-Kafi #1757: Hukum Jual Beli ‘Mystery Box’, laman web rasmi pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Foto: Canva & Pexels

Muamalah,

Jual beli tanpa tahu harga, ramai yang pandang remeh tentang perkara ini, sedangkan…

JUAL beli tanpa tahu harga, ramai yang pandang remeh tentang perkara ini, sedangkan…

Jarang sekali kita mahu membeli suatu barangan yang tidak diketahui harganya. Apatah lagi, jika ia merupakan kedai yang baru pertama kali kita jejaki.

Lazimnya, kedai menjual barang keperluan seperti pasar raya, pasar mini atau kedai runcit memang sudah siap-siap mempamerkan tanda harga. Mudah untuk kita membandingkan harga dan membuat pilihan barangan.

Namun, ada sesetengah perniagaan yang tidak berbuat demikian hinggakan ada masalah lain pula timbul terutama ketika ingin membuat pembayaran.

Bayangkan pelanggan akan makan terlebih dahulu tanpa mengetahui harga makanan tadi, tempah makanan dengan pihak katering tanpa tahu harga dan hanya dimaklumkan selepas habis kenduri. Ia sama juga kalau naik kereta sewa tanpa tahu harga dan seumpamanya.

Ketika ingin membuat bayaran, ada yang terkejut dengan caj yang dikenakan. Sudah jadi cerita lain pula.

Ketahuilah bahawa akad jual beli tanpa mengetahui harga, hukumnya adalah tidak sah, tegas pendakwah Ustaz Salman Maskuri atau lebih dikenali sebagai Pencetus Ummah (PU) Salman.

Jelas beliau, ia sebagaimana yang ditegaskan oleh keempat-empat mazhab muktabar dalam Islam.

Baca juga Ketahui 4 perkara yang patut dielakkan ketika berniaga menurut Islam

Beliau turut mengemukakan pandangan yang dinukilkan oleh para ulama dalam mazhab berkenaan tentang perkara ini:

1. Mazhab Syafie

Imam Syirazi berkata: “Haram jual beli kecuali dengan diketahui kadarnya, sekiranya jual dengan harga yg tidak diketahui hukumnya adalah jual beli tidak sah.” (al-Muhazzab 44/3 dar al-Qalam)

2. Mazhab Maliki

Imam ad-Dusuqi berkata: “Mestilah harga dan barang jelas bagi penjual dan pembeli, jika tidak, tidak sah.” (Hasyiah ad-Dusuqi)

3. Mazhab Hanafi

Ibnu Abidin dalam Hasyiahnya berkata: “Dan ulama mensyaratkan sah jual beli dengan diketahui kadar barang dan harga.”

Jual beli

PASTIKAN kita mengetahui harga barang terlebih dahulu sebelum terlibat urusan jual beli berkenaan.

Jelas PU Salman, semua pandangan berkenaan menggunakan dalil daripada Hadis Sahih Muslim yang mana Rasulullah SAW melarang jual beli yang gharar.

Gharar adalah apa yang tidak diketahui oleh pembeli (tentang) apa yang dibeli dan tidak diketahui penjual apa yang dijual. Ia termasuk juga harga jualan.

“Mudah kata, apa sahaja yang kita beli, jual, sewa dan tempah hendaklah sudah jelas harganya. Mungkin kita tidak tahu harga total, paling tidak pun kita tahu harga secara kasar seperti tahu harga makanan melalui menu yang ada harga, tahu berapa setiap kilometer bagi yang naik teksi dan lain-lain.

“Sekiranya berlaku juga jual beli ini walaupun dengan orang yang kita kenal atau secara reda meredai, ia tetap tidak sah dan dapat duit serta barang yang haram,” katanya.

Baca juga Hukum jual beli emas secara online dan serah dalam akaun pembeli

Na’uzubillah, sampai begitu sekali rupanya hukumnya jika kita terjebak dengan jual beli gara-gara tidak tahu harga tadi.

Justeru, sebagai pelanggan, kita kena ambil tahu tentang harga sebelum membeli atau membuat tempahan.

Begitu juga dengan peniaga atau penyedia perkhidmatan, sebaiknya pamerkanlah tanda harga. Setidak-tidaknya, beritahulah kepada bakal pelanggan terlebih dahulu sebelum mereka mendapatkan khidmat daripada kita.

Jual beli tanpa tahu harga, ramai yang pandang remeh tentang perkara ini, sedangkan…

Sumber: Facebook PU Salman

Foto: 123rf & Unsplash