Browsing Category

Gaya Hidup

Wanita dimuliakan dalam Islam
Gaya Hidup,

Siapa Yang Wajib Jaga Ibu? Ini Penjelasannya

SEORANG ibu mampu menjaga 10 orang anak, tetapi seorang anak belum tentu mampu menjaga seorang ibu.

Demikianlah ungkapan yang sering kali kita dengar daripada orang di sekeliling. Ya, memang sukar untuk menafikan pernyataan tersebut pada masa ini.

Apatah lagi apabila si anak sudah mempunyai keluarga dan kehidupan masing-masing. Tambahan pula, kebanyakan daripada kita berkerjaya tidak kiralah sama ada lelaki ataupun wanita demi kelangsungan hidup.

Namun demikian, kita tidak boleh menidakkan fakta bahawa masih ada insan yang sanggup berhenti kerja demi menjaga ibu bapanya yang sudah tua.

Masya-ALLAH, begitu mulianya hati individu yang berbuat demikian. Ini kerana menjaga kedua-dua orang tua yang sudah lanjut usia memerlukan kesabaran dan penelitian yang tinggi. Apalagi jika mereka sakit.

Sebagaimana ibu bapa menjaga dan mendidik kita sejak lahir, seperti itulah kita perlu menyantuni mereka. Meskipun semua itu dilakukan tanpa sebarang keluh-kesah, namun perlakuan tersebut masih tidak dapat menandingi jasa orang tua kepada si anak.

Timbul persoalan siapakah sebenarnya orang yang paling layak menjaga ibu saat tiada lagi ayah di sisi selepas menemui Penciptanya?

Menjawab pertanyaan itu, pendakwah Ahmad Dusuki Abd Rani menjelaskan, jika begitulah situasinya, maka menjadi tanggungjawab anak lelaki sulung untuk menjaga ibunya.

AHMAD DUSUKI

“Selepas itu, barulah anak-anak perempuannya. Begitupun, jika ibu tadi tidak mempunyai anak lelaki dan hanya ada anak perempuan sahaja, maka dalam hal ini, anak perempuan sulung bertanggungjawab untuk menjaga ibunya.

“Jika tidak, ibu tadi boleh dijaga oleh bapa saudara atau individu seumpamanya yang mana mereka tidak batal sembahyang dengannya,” katanya sebagaimana dipetik menerusi video TikTok yang dikongsikan di laman sosial Facebook miliknya baru-baru ini.

Baca juga Anak Derhaka Tak Layak Cium Bau Syurga! Ini Yang Perlu Diketahui

Meskipun demikian, Ahmad Dusuki menyarankan supaya kita merebut peluang yang ada untuk menjaga insan istimewa yang melahirkan kita ke dunia ini.

“Janganlah kita saling tolak-menolak (untuk menjaga ibu yang sudah dimamah usia) bagaikan bola.

“Bukan begitu caranya, sebaliknya ambillah manfaat daripada keberkatan orang tua kita yang masih hidup. Sesungguhnya, begitu banyak pahalanya.

“Seperkara lagi, jangan pula kita biarkan pahala ini mendatangkan dosa,” pesannya.

Jaga ibu

LAZIMKAN diri untuk menziarahi ibu bapa dengan kerap dan menyantuni mereka.

Mengertilah bahawa kewajipan menjaga dan menyantuni kedua ibu bapa merupakan tanggungjawab anak-anak sebagaimana disebutkan dalam al-Quran.

ALLAH SWT berfirman yang bermaksud: “Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-NYA semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan ‘ha’, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).” (Surah al-Isra’, ayat 23)

Sementara itu, memetik artikel Irsyad al-Hadith siri ke-356: Tanggungjawab Anak Terhadap Ibu Bapa yang disiarkan di laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, orang yang sempat berbakti dan bersama kedua ibu bapanya merupakan individu yang sangat bertuah serta beruntung.

“Ini kerana Nabi Muhammad SAW pernah menyatakan bahawa orang yang hina ialah orang yang sempat bersama ibu bapanya, tetapi kesempatan yang ada itu tidak membolehkannya untuk dimasukkan ke dalam syurga,” kata artikel tersebut.

Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda: “Kehinaan, kehinaan, kehinaan”. Baginda ditanya: “Siapa (yang engkau maksudkan) wahai Rasulullah?” Baginda menjawab: “Siapa sahaja yang mempunyai orang tuanya ketika sudah lanjut usia, salah satu atau keduanya, namun tidak (menjadikannya sebab) masuk syurga.” (Hadis Riwayat Muslim)

Justeru, buat mereka yang masih lagi mempunyai ibu atau bapa, berbaktilah kepada orang tua masing-masing selagi masih hidup. Bantulah mereka mengikut kemampuan setakat yang terdaya.

Jaga ibu

BERBAKTI dan taatlah ibu bapa kita selagi mereka masih ada di dunia ini.

Andai insan yang melahir dan membesarkan kita sudah tiada lagi di dunia, sentiasalah mendoakan mereka. Ingatlah, tiada tabir yang menghalang doa anak yang soleh kepada ibu dan bapa meskipun mereka sudah tiada lagi di dunia ini.

Foto: Freepik & 123rf

birthday-4674665_960_720
Gaya Hidup, Gaya Hidup,

Sambut Hari Lahir, Ini Perspektif Islam

SETAHUN sekali akan hadir satu hari yang membuatkan setiap orang tersenyum. Mungkin gembira kerana diraikan atau diberikan ucapan penghargaan. Namun secara eksklusifnya setiap manusia akan ada sebuah tarikh untuk diingati yang diberi nama peringatan hari lahir.

Sebagai Muslim, bagaimana cara sewajarnya kita meraikan hari lahir. Atau lebih tepat lagi, bolehkah ia diraikan dan apakah hukumnya menyambut hari lahir?

Pendakwah terkenal, Ustaz Azhar Idrus, seperti yang dipetik menerusi rakaman kuliah di laman YouTubenya berkata, hukum menyambut hari lahir adalah harus. Ia bukan sunat, tidak wajib dan bukanlah haram.

Keraian hari lahir akan lebih bermakna bila disambut dengan menepati jalur kehendak agama dan semestinya bersama insan-insan tersayang.

 

“Menyambut hari lahir, sama ada untuk anak, ibu, isteri atau untuk diri sendiri, hukumnya adalah harus. Perkara-perkara yang tidak ada dalil mengharamkannya, maka  kita tidak boleh kata ia haram. Ia hanyalah harus dan bukannya haram.”

Pandangan Azhar bertepatan dengan kaedah yang dipakai oleh para fuqaha’ seperti Imam as-Suyuti iaitu, asal bagi sesuatu perkara adalah ‘harus’ dan inilah yang dipegang oleh mazhab Syafie.

“Apabila berkait dengan hukum syarak, menyambut hari lahir boleh menjadi sunat, wajib, makruh dan ia boleh bertukar menjadi haram. Biasa kita melihat orang menyambut hari lahir dengan tradisi memotong kek. Maka apakah pula hukum memotong kek?” tanya beliau.

Huraian beliau sangat jelas iaitu memakan kek tidak haram, jadi perbuatan memotong kek semestinya tidak diharamkan.

“Makan kek bukan dikaitkan dengan orang bukan Islam, malah ia adalah perkara universal. Bukan dikaitkan dengan agama.

“Adapun yang dilarang oleh ulama adalah menyalakan lilin dan kemudian ditiup. Kalau umat Islam pernah terjebak melakukan perkara itu, mohonlah istighfar dan keampunan kepada ALLAH SWT.

“Perbuatan meniup lilin bukannya amalan universal. Sebaliknya ia berdasarkan kepercayaan agama Majusi. Mereka menyalakan api di atas makanan sebagai tanda memohon keberkatan. Jadi umat Islam haram melakukannya.

“Kemudian memotong kek dan disertai lagu-lagu. Jadi untuk mengislamkan upacara itu, kita tukar kepada zikir, selawat dan lagu yang lebih Islamik. Seterusnya disusuli bacaan doa memohon keberkatan kehidupan dan kesihatan yang terbaik kepada orang yang diraikan. Apa yang halal akan terus jadi halal dan tidak akan jadi haram.

“Islam ini bukan (berbentuk) agama (yang) melarang, (sebaliknya) ia adalah agama yang mengatur kehidupan, jangan melebihi had dan jangan melampau. Ada panduan dan aturan untuk setiap perkara,” tegas beliau lagi.

 

Asal Kisah Lilin Di Atas Kek Hari Lahir

Menyorot pula budaya meniup lilin, asal sejarahnya bermula dengan amalan orang-orang Yunani (Greek) kuno meletakkan lilin di atas kek sebagai satu tanda simbolik memperingati dewa-dewa bulan Yunani iaitu Artemis. Mereka membuat kek berbentuk bulat sebagai simbol kepada bulan. Lilin-lilin di letakkan sebagai gambaran kepada cahaya bulan.

Lilin pada kek menjadi tradisi tersohor di Jerman suatu masa dulu. Dikatakan bahawa, mereka meletakkan lilin besar di tengah-tengah kek sebagai simbol “the light of life” (penerang kehidupan).

Sebahagian mubaligh percaya asap dari lilin akan membawa pergi bersama hajat dan doa mereka kepada dewa-dewa yang tinggal di langit. Ada juga yang percaya bahawa meniup lilin dengan sekali nafas akan membawa tuah kepada empunya diri dan asap lilin mampu menghalau semangat jahat.

Kita mungkin menyangkal sekeras-kerasnya dengan mengatakan bahawa kita tiada niat langsung untuk meniru mana-mana perlakuan yang menyerupai kaum atau agama lain. Mungkin kita sekadar ingin memeriahkan suasana, tetapi berhati-hati kerana kita mungkin tersasar.

Seharusnya setiap Muslim mengikut garis panduan yang telah ditetapkan agar tidak melampaui batasan.

Justeru, kesederhanaan dalam segenap perkara adalah amat dituntut, termasuk dalam bab menyambut hari lahir yang dilihat oleh sesetengah masyarakat sebagai perkara kecil dan sering diambil mudah.

Amalan pendinding sihir
Gaya Hidup,

4 Amalan Pendinding Sihir Yang Ampuh Boleh Kita Lazimkan

KITA sudah melangkah masuk ke tahun baharu 2022. Alhamdulillah, ALLAH SWT memanjangkan usia kita sehingga ke detik ini untuk menikmati kurniaan-NYA.

Meskipun berlaku perubahan zaman seiring dengan teknologi terkini, namun ia tidak menjamin bahawa amalan syirik dan khurafat seperti sihir sudah dinyahkan jauh-jauh daripada kamus hidup manusia.

Buktinya, sebuah portal berita tempatan mendedahkan, kira-kira 44,000 pesakit berkaitan kerohanian termasuk akibat disihir mendapatkan rawatan di Pusat Rawatan Darussyifa’.

Angka itu, kata Ketua Lajnah Penyelidikan dan Pembangunan Darussyifa’ Malaysia, Datuk Abdul Rashid Mat Amin adalah berdasarkan tinjauan di 45 daripada 90 pusat rawatan dikendalikan mereka di seluruh negara pada tahun 2019.

Bayangkan rekod itu hanya melibatkan pusat rawatan tersebut sahaja, bukan statistik rasmi secara menyeluruh tentang amalan sihir.

Jelaslah perbuatan yang sepatutnya dilarang keras dalam agama Islam itu masih ada lagi diamalkan oleh segelintir masyarakat.

Amalan pendinding sihir

UMAT Islam diwajibkan menjauhi diri daripada amalan khurafat dan syirik.

Sedangkan, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (Jawatankuasa Muzakarah MKI) pada tahun 1993 telah memutuskan bahawa perbuatan sihir adalah dosa besar dan boleh membawa kepada syirik dan hukum mempelajarinya adalah haram.

Baca juga Elakkan Amalan Khurafat Ketika Wabak

Bagi mengelakkan diri daripada diserang perbuatan yang menyanggahi agama itu, pendakwah Mohamad Wadi Annuar Ayub berkongsikan empat pendinding sihir menerusi laman sosial Facebook miliknya baru-baru ini.

WADI ANNUAR

Berikut amalan yang boleh diaplikasikan sebagai langkah berjaga-jaga daripada gangguan sihir:

1. Mentauhidkan ALLAH SWT dan mengikhlaskan ibadah yang dilakukan semata-mata kerana-NYA serta menjauhi perkara-perkara syirik.

2. Melaksanakan semua suruhan yang dipertanggungjawabkan oleh ALLAH SWT kepada manusia.

Di samping itu, seseorang itu juga wajib meninggalkan segala larangan dan tegahannya. Andai terlanjur melakukan dosa, hendaklah segera bertaubat dan tidak mengulanginya lagi.

3. Memperbanyakkan bacaan al-Quran dengan menjadikannya sebagai zikir dan wirid yang dibaca setiap hari.

Dianjurkan membaca surah al-Baqarah setiap hari di rumah.

Ketahuilah, al-Quran juga boleh berfungsi sebagai pendinding serangan sihir sebagaimana yang ditegaskan oleh Rasulullah SAW.

Amalan pendinding sihir

LAZIMKAN diri membaca kalamullah dan berdoa untuk memohon perlindungan daripada ALLAH SWT daripada segala kejahatan manusia, jin dan syaitan.

Baca juga Hantu Dan Jin Tak Boleh Bunuh Manusia Kecuali…

Baginda bersabda: “Bacalah al-Quran kerana ia pasti datang pada hari kiamat sebagai pemberi syafaat kepada pada pembacanya. Bacalah zahraawain, Surah al-Baqarah dan Ali Imran, kerana kedua-duanya pasti datang pada hari kiamat seolah-olah dua kelompok awan atau naungan atau dua kelompok burung yang melebarkan sayap sayap mereka bagi melindungi pembaca-pembacanya. Bacalah surah al-Baqarah, kerana mengambilnya pasti mendapat keberkatan dan meninggalkannya hanya membawa kerugian, dan tukang-tukang sihir tidak akan dapat mengalahkannya.” (Hadis Riwayat Muslim)

4. Melindungi dan memagari diri dengan memperbanyakkan membaca doa, ta’awwuz dan dan zikir-zikir yang ma’thur (daripada al-Quran dan hadis).

Antaranya membaca La ilaha illallahu wahdahu la syarikalah, lahul mulku wa lahul hamdu wa huwa ‘ala kulli syaiin qadir yang bermaksud Tiada Tuhan melainkan ALLAH sahaja, tiada sekutu baginya, baginya kerajaan dan baginya juga segala pujian dan DIA MAHA BERKUASA di atas segalanya. (Hadis Riwayat al-Bukhari & Muslim)

Marilah sama-sama kita melazimkannya dalam kehidupan seharian. Mudah-mudahan kita semua dilindungi oleh-NYA.

Foto: Freepik, Pexels & Unsplash

Didik anak cara Rasulullah SAW
Gaya Hidup,

5 Pendekatan Didik Anak Cara Rasulullah SAW Bagi Membentuk Mereka Menjadi Pemimpin Terbaik Pada Masa Depan  

Oleh DR AZRI BHARI

DALAM Islam, kanak-kanak merupakan amanah dan tanggungjawab yang perlu dilindungi dan dididik untuk menjadi manusia yang beriman dan dapat mengambil alih peranan khalifah atau pemimpin dalam memakmurkan bumi ALLAH SWT.

Dalam Hadis Riwayat al-Bukhari, Nabi Muhammad SAW bersabda: “Setiap anak yang dilahirkan itu dalam keadaan fitrah (suci bersih), maka kedua ibu bapa yang mencorakkan menjadi Yahudi atau Nasrani atau Majusi.“ 

Berdasarkan hadis berkenaan, tanggungjawab memastikan fitrah kanak-kanak dalam keadaan baik adalah terletak di tangan ibu bapa, penjaga atau pemimpin.

Untuk merealisasikannya, pendidikan dalam konteks Islam sangat penting untuk membentuk sahsiah, peribadi dan personaliti (ta‘dib) manusia selari dengan ajaran yang diasaskan oleh baginda.

Menurut Abdullah Nasih ‘Ulwan dalam kitabnya Tarbiyah al-Awlad menjelaskan, terdapat pelbagai cara dan kaedah dalam membimbing si kecil untuk mewarisi dan menjadi pemimpin pada masa akan datang.

1. Pendidikan melalui contoh dan teladan.

Pendidikan dalam konteks ini merupakan metodologi paling berkesan kepada kanak-kanak kerana mereka dapat melihat contoh ikutan dan praktikal yang baik.

Jadi, ibu bapa merupakan cerminan dan insan terpenting yang mempengaruhi pembentukan peribadi dan sahsiah anak-anak.

Sekiranya mereka ingin melihat si kecil bersifat jujur, amanah, penyayang dan menjauhi perkara salah, maka tonjolkan teladan yang elok dengan melakukan kebaikan, menjauhi kejahatan, berakhlak mulia, mengikut kebenaran dan meninggalkan kebatilan.

Didik anak cara Rasulullah SAW

SEBAGAI ibu bapa, jangan abaikan tanggungjawab kita terhadap amanah yang telah diberikan dan beri pendidikan sempurna kepada anak-anak supaya mereka dapat hidup dengan cara yang dianjurkan Islam.

2. Pendidikan melalui rutin dan kebiasaan. 

Sesungguhnya, kanak-kanak dilahirkan dengan sifat fitrah. Kebiasaan dalam persekitaran akan mempengaruhi sama ada mereka akan terus kekal dengan fitrah atau sebaliknya.

Firman ALLAH SWT yang bermaksud: “Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada agama ALLAH; (tetaplah atas) fitrah ALLAH yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada perubahan pada fitrah ALLAH. (Itulah) agama yang lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.“ (Surah al-Rum, ayat 30)

Ayat tersebut menjelaskan bahawa manusia dilahirkan dalam keadaan yang suci bersih, dilengkapi dengan sifat dan tabiat semula jadi yang baik serta akhlak yang mulia. Jika si anak tidak dilazimkan dengan perilaku seumpama itu, maka ia akan hilang secara sendirinya.

Baca juga Rasulullah Didik Keluarga Sebagaimana Dikehendaki ALLAH. Ini Beberapa Kaedah Yang Digunakan

3. Pendidikan melalui nasihat dan bimbingan. 

Nasihat berhikmah yang diberikan oleh ibu bapa atau penjaga mampu membuka minda kanak-kanak terhadap hakikat sesuatu perkara.

Lantaran itu, kebanyakan ayat al-Quran dan hadis-hadis Nabi Muhammad SAW dipenuhi dengan ajaran, petunjuk, panduan dan bimbingan. Sabda baginda SAW yang bermaksud: “Agama itu adalah nasihat. Kami semua (para sahabat) bertanya: Untuk siapa?

Jawab Rasulullah: “Kerana ALLAH, kitab-NYA, Rasul-NYA dan sekalian pemuka-pemuka Muslimin dan orangorang awamnya.“ (Hadis Riwayat Muslim)

4. Pendidikan melalui pengawasan dan pemerhatian. 

Pendidikan dalam konteks ini bermaksud menjejaki, menemani, memerhati dan mengawasi kanak-kanak dalam membentuk akidah, akhlak, psikologi dan sosial.

Kaedah sebegitu dapat dilaksanakan dengan cara sering bertanya tentang keadaan kanak-kanak dalam aspek jasmani mahupun pencapaian akademik.

Didik anak cara Rasulullah SAW

SENTIASA pantau anak-anak dalam membentuk akidah, akhlak, keperibadian, psikologi dan sosial mereka.

Dalam Surah al-Tahrim, ayat 6, ALLAH SWT berfirman: “Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan kaum keluarga kamu dari api neraka, yang kayu bakarnya terdiri daripada manusia dan batu, di dalamnya terdapat malaikatmalaikat yang keras dan kasar, mereka tidak menderhakai Tuhan mengenai apa yang diperintahkan kepada mereka, serta mereka melaksanakan apa yang diperintahkan kepada mereka.“ 

Berdasarkan ayat mulia itu, ibu bapa seharusnya sentiasa memerhati dan mengawasi tingkah laku dan amalan anak-anak.

5. Pendidikan melalui denda dan hukuman. 

Ia merupakan salah satu cara yang diajar dalam proses mendidik. Setiap hukuman yang ditetapkan adalah untuk keadilan dan kebaikan setiap manusia.

Baca juga Merotan Bukan Untuk Menghukum, Sebaliknya Ia Pendekatan Akhir Didik Anak-anak Kita

Hukuman atau denda boleh dianggap sebagai penawar untuk memulihkan permasalahan yang berlaku dalam kalangan masyarakat.

Dalam konteks pendidikan anak, ibu bapa sewajarnya melayan anak dengan lembut dan penuh kasih sayang. Sekiranya anak melakukan kesilapan, ibu bapa tidak boleh terus menghukum tanpa mengambil kira tabiat dan kebiasaan anak.

Setelah melihat kepada jenis kesilapan mereka, barulah ‘diajar’. Ingat, hukuman perlulah berperingkat iaitu daripada yang ringan kepada yang berat.

Demikianlah kaedah-kaedah pendidikan yang boleh diterapkan untuk kanak-kanak dalam membentuk dan membangunkan aspek jasmani, emosi rohani dan intelek agar seimbang dan cemerlang.

Dalam melahirkan insan cilik yang cemerlang, isu-isu negatif berkaitan dengan mereka perlu ditangani segera.

Bukan sahaja bermula daripada keluarga, malah agensi yang berkaitan termasuk kerajaan perlu disinergikan bagi memastikan kanak-kanak yang sedang membesar kini bakal menjadi khalifah atau pemimpin yang tawaduk, amanah dan seterusnya diredai oleh MAHA PENCIPTA.

***Dr Azri Bhari ialah Pensyarah Kanan, Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi MARA, Shah Alam, Selangor

Foto: 123rf & Bernama

 

thumb2-2022-new-year-golden-2022-background-happy-new-year-2022-golden-leather-texture-2022-concepts
Gaya Hidup,

 Bina Azam Baru Yang Praktikal. Baca 10 Tip ini .

2021 hampir pergi. Lusa tahun baru 2022 akan tiba. Dengan pelbagai isu dan peristiwa yang berlaku sepanjang tahun ini, daripada pandemik Covid-19 yang masih belum berakhir, pertukaran tampuk pemerintahan negara, perintah kawalan pergerakan (PKP) yang silih berganti hinggalah dugaan banjir yang melanda hampir separuh negara, kita merasakan bahawa tahun 2021 begitu pantas berlalu.

Namun seperti biasa, tradisi yang tidak ditinggalkan oleh semua orang apabila menjelang tahun baru ialah menetapkan azam-azam yang ingin dilaksanakan menjelang  tahun baru.

Memetik huraian siri 160, Bayan linnas di laman sesawang Mufti Wilayah Persekutuan : “Dalam menapak ke tahun hadapan, semestinya kita mempunyai hasrat dan harapan untuk bertambah baik dalam meniti kehidupan, warna-warni, suka-duka dan pelbagai peristiwa yang berlaku sepanjang tahun, itulah putaran hidup yang terpaksa kita lalui, sebagaimana firman ALLAH di dalam Surah Ali Imran: ayat 140: yang bermaksud:

“Dan demikian itulah keadaan hari-hari (dunia ini dengan peristiwa-peristiwa kemenangan atau kekalahan), kami gilirkan dia antara sesama manusia, (supaya menjadi pengajaran)”.

Mari kita renung sejenak kisah Amirul Mukminin Saidina Umar al-Khattab R.A sebagai iktibar untuk membina cita-cita ke arah yang lebih baik di dalam melayari kehidupan. Suatu ketika, Saidina Umar bin al-Khattab R.A berkata kepada sahabat-sahabatnya:

“Tunjukkan cita-cita kamu.” Salah seorang menjawab, “Aku bercita-cita rumah ini dipenuhi dengan emas, agar aku dapat infakkan di jalan Allah dan bersedekah!”

Sahabat yang lain pula berkata: “Aku bercita-cita rumah ini dipenuhi zamrud dan batu permata agar aku dapat infakkan di jalan Allah dan bersedekah!”

Kemudian Umar R.A berkata lagi: “Tunjukkan cita-cita kamu.” Mereka menjawab: “Kami tidak tahu wahai Amir al-Mukminin.”

Lalu Umar R.A berkata: “Aku bercita-cita agar rumahku dipenuhi pemuda-pemuda seperti Abu Ubaidah Ibn al-Jarrah, Mu’adz bin Jabal, Salim Maula Abi Huzaifah dan Huzaifah ibn al-Yaman.”

(Riwayat al-Hakim dalam al-Mustadrak (5005) dan Abu Nu’aim dalam Hilyah al-Auliya’ (318)

Pengajaran daripada perbualan ini amat banyak. Antaranya:

  • Sahabat bercita-cita untuk mendapat kejayaan dalam hidup yang disambung dengan kejayaan akhirat. Seolah-olah dunia sebagai ladang akhirat untuk menghasilkan pahala dan syurga di hari akhirat kelak.
  • Menunjukkan betapa jauhnya ufuk minda dan pemikiran Saidina Umar dalam meraih modal insan bagi manusia kerana ia menjadi pengubah dunia mengikut neraca syariah. Justeru, cita-cita Saidina Umar jauh lebih besar berbanding dengan yang lain.
  • Nama-nama yang disebut oleh Saidina Umar seperti Abu Ubaidah Ibn al-Jarrah, Mu’adz bin Jabal, Salim Maula Abi Huzaifah dan Huzaifah ibn al-Yaman adalah tokoh yang amat istimewa dengan kelebihan yang tersendiri, menegak dan mengukuhkan agama Islam dan sebaran dakwah Islamiyyah begitu meluas. Mereka juga adalah antara yang cerdik, bijak, berhikmah dan mempunyai kesabaran yang amat tinggi untuk menjulang Syariat Islam.

 

“Dan demikian itulah keadaan hari-hari (dunia ini dengan peristiwa-peristiwa kemenangan atau kekalahan), kami gilirkan dia antara sesama manusia, (supaya menjadi pengajaran)”. (Surah Ali Imran : 140)

Mengambil inspirasi daripada kisah Saidina Umar ini, seandainya anda belum menetapkan lagi azam, jangan risau kerana masih ada masa untuk berfikir. Azam tersebut tidak perlu besar. Sekecil-kecil azam pun masih baik kerana yang penting ialah kita berusaha menjadi insan lebih baik dari sebelumnya. Sinar Islam Plus ingin berkongsi beberapa azam yang anda boleh sesuaikan dengan situasi semasa:

  1. Belajar dan Asah Kemahiran Baharu

Ambil masa untuk belajar kemahiran baru. Contohnya belajar  menulis, memasak, menjahit, coding, grafik, suntingan video, bertukang atau berkebun. Selain mendapat ilmu, mungkin hobi baru itu boleh menjana pendapatan sampingan. Banyak kursus dalam talian yang boleh didapati secara percuma atau dengan harga yang murah.

  1. Memperbaharui Pelan Perbelanjaan

Mungkin pelan perbelanjaan kita sebelum ini tersasar atau sudah banyak berubah. Memang normal perbelanjaan berubah setiap tahun kerana beberapa faktor. Contohnya anda baru mendirikan keluarga, beli rumah, beli kereta, dapat anak dan sebagainya. Jadi eloklah semak kembali perbelanjaan bulanan untuk tahun 2022.

  1. Berazam untuk bayar zakat.

Ini sepatutnya menjadi satu aktiviti wajib setiap kali masuknya tahun baru. Zakat bukan sekadar zakat fitrah yang dibayar setiap kali tibanya Ramadan. Tetapi meliputi zakat pendapatan, zakat harta, zakat perniagaan dan sebagainya.

Membayar zakat akan mencuci harta seorang Muslim dan dengan sendirinya akan memulangkan ‘hak’ kepada golongan yang memerlukan. Anda akan merasa lebih ‘segar’ dan mendapati hidup lebih bermakna setelah selesai melunaskan zakat.

  1. Perbaiki Kualiti Kesihatan

Muslim yang sihat ialah muslim yang hebat. Untuk memperbaiki kualiti kesihatan tidaklah susah sangat. Walaupun seeloknya wajar disertakan rutin senaman seperti berjoging dalam jadual mingguan, anda masih boleh lakukan beberapa perkara mudah ini untuk menjadi lebih sihat:

  • Dapatkan tidur yang cukup
  • Kurangkan stress
  • Kurangkan makanan berminyak dan gula
  • Minum air masak secukupnya
  • Banyakkan berpuasa
  • Banyakkan berjalan kaki atau menaiki tangga
  • Sertai aktiviti setempat seperti gotong-royong atau kerja amal
Doa ketika musibah

JADIKAN aktiviti amal sebagai rutin tahun 2022

 

  1. Ubah Gaya Pemikiran Atau Mentaliti

Gaya pemikiran lebih sukar untuk diubah kerana ia adalah sesuatu yang dipengaruhi oleh cara kita dibesarkan dan juga persekitaran. Namun, ia bukanlah alasan untuk mengelak dari sentiasa ‘mengemaskini’ gaya pemikiran. Perubahan mentaliti mesti berlaku dahulu sebelum perubahan sikap dan karakter. Di antara mentaliti yang boleh dicontohi:

  • Berhenti mengharap ihsan pihak lain untuk menaikkan tahap kualiti kehidupan.
  • Kebersihan sesuatu kawasan adalah tanggungjawab semua orang, bukan hanya tukang bersih.
  • Meneliti pandangan dan pendapat orang lain, bukan memikirkan hanya kita sahaja yang betul.
  • Memeriksa sumber sesuatu perkara atau berita sebelum menyebarkannya.
  • Berfikir sebelum bercakap, dan lebih baik diam dan belajar dahulu sekiranya kita tiada ilmu mengenainya.
  • Jika sesuatu masalah itu boleh diselesaikan, maka selesaikannya. Jika mustahil, maka ia adalah di luar kawalan kita dan kita tidak perlu bimbang atau stres.
  • Sentiasa menimba ilmu pengetahuan walaupun sudah meninggalkan sekolah dan universiti.
  • Buang ‘victim mentality’ dan berhenti merungut! Kalau tidak suka sesuatu, ambil tindakan untuk ubah keadaan.
  1. Luangkan Lebih Banyak Masa Dengan Keluarga

Masa yang diluangkan bersama keluarga adalah terlalu penting kerana ia adalah faktor yang menguatkan hubungan kekeluargaan. Keluarga adalah tulang belakang yang membantu kita mengatasi masalah, berkongsi suka dan duka, tempat memberi dan menerima kasih sayang.

  1. Rancang Percutian

Memandangkan banyak lagi negara luar yang masih menutup pintu gara-gara Covid-19, apa kata anda rancang percutian di dalam negara. Negeri-negeri di Malaysia juga banyak tarikan yang unik, terutamanya pulau-pulau indah seperti Pulau Perhentian, Tioman, Redang, Sipadan dan banyak lagi. Selain harga yang berbaloi berbanding percutian luar negara, anda juga dapat menyumbang kepada industri pelancongan Malaysia.

  1. Banyakkan Membaca

Membaca adalah salah satu aktiviti yang menyeronokkan, mudah, murah, dan bermanfaat. Carilah masa lapang untuk membaca buku, tak kiralah untuk hiburan atau menimba ilmu. Banyak jenis genre yang kita boleh pilih dalam fiksyen dan bukan fiksyen. Kalau inginkan info yang lebih tentang buku-buku terbaik sebagai bahan bacaan, singgah sahaja ke Karangkraf Mall di Seksyen 15, Shah Alam,

Tip: Selangkan satu genre dengan genre yang lain supaya anda terus berminat untuk membaca.

  1. Buang Tabiat Buruk

Manusia memang tak pernah sempurna. Tetapi, ini bukanlah alasan untuk tidak memperbaiki diri. Di antara tabiat buruk yang boleh dibuang ialah:

  • Tidak menepati masa
  • Merokok
  • Pengotor
  • Melengahkan kerja
  • Malas
  • Mencarut
  • Mengumpat
  • Solat pada akhir waktu

Nafkah mertua

  1. Perbanyakkan Derma dan Ibadah

Sebagai tanda kesyukuran diatas limpahan rezeki yang Allah kurniakan, maka perbanyakkanlah derma dan sentiasa memperbaiki amal ibadah. Sedekah tidak mengurangkan harta, sebaliknya menambah harta dan menjauhkan kefakiran, kekurangan dan kesempitan. Bahkan Allah akan menggantikan dengan yang lebih baik.

Firman ALLAH di dalam Surah Saba’, ayat 39 yang bermaksud: “Katakanlah wahai Muhammad sesungguhnya Tuhan-Ku memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya antara hamba-Nya dan Ia juga yang menyempitkan baginya, dan apa saja yang kamu dermakan maka Allah akan menggantikannya dan Dia sebaik-baik pemberi rezeki”

 

Selamat Tahun Baru 2022 kepada semua pembaca Sinar Islam Plus.

Berdoa
Gaya Hidup,

Usah Segan Berdoa Minta Suatu Perkara Pada ALLAH

ADAKALANYA bibir begitu mudah menuturkan kata-kata berbentuk doa dalam perkara yang dianggap sebagai remeh-temeh.

“YA ALLAH, teringinnya hendak makan durian. Berilah aku nikmatinya.”

“Kurniakan aku kemampuan hendak beli kereta besar, ya ALLAH. Sesungguhnya ENGKAU MAHA BERKUASA atas segalanya”

Demikianlah monolog kita dalam hati yang kadangkala terbit tanpa disengajakan. Benar, kadangkala kita seolah-olah menyimpan harapan dan impian tanpa sedar berdoa tentangnya.

Kadangkala kita benar-benar memaksudkannya dan meminta semuanya kepada ALLAH.

Pendakwah Muhammad Fahmi Rusli menjelaskan, jangan sesekali kita berasa segan untuk berdoa dan meminta urusan dunia yang spesifik kepada ALLAH SWT tidak kiralah pada waktu-waktu dan tempat mustajab berdoa.

MUHAMMAD FAHMI

“Ia termasuklah hendak minta supaya dapat beli rumah atau mampu memakai Mercedes Benz, Countryman, BMW dan seumpamanya. Berdoa pada ALLAH SWT,” katanya sebagaimana dipetik menerusi ciapannya di Twitter miliknya baru-baru ini.

Menyambung hujah, ujar beliau, menjadi amalan para ulama silam berdoa sehinggakan hendak memakan buah anggur pun, mereka tetap berbuat demikian.

Katanya, Imam al-Laits bin Sa’d menceritakan, beliau pernah melihat seorang lelaki sedang duduk berdoa.

Al-Laits menyatakan bahawa lelaki tersebut mengatakan: “Wahai Tuhan, wahai Tuhan, sehingga terputus nafasnya (tercungap-cungap). Kemudian dia berkata: “Ya Hayyu, Ya Qayyum” (wahai Tuhan YANG MAHA HIDUP, wahai Tuhan YANG MAHA MENGURUS TADBIR), sehingga terputus nafasnya. Kemudian dia berkata: “Ya ALLAH, ya ALLAH”, sehingga terputus nafasnya. Kemudian dia berkata: “Wahai Tuhan YANG MAHA PEMURAH, wahai Tuhan YANG MAHA PENYAYANG”, sehingga terputus nafasnya. Kemudian dia berkata lagi: “Wahai Tuhan YANG MAHA PENYAYANG dari kalangan yang penyayang”, sehingga terputus nafasnya.

Setelah selesai menyebut semua itu, lelaki tersebut kemudia berkata: “Ya ALLAH, sesungguhnya aku teringin sangat kepada buah anggur, berilah kepadaku untuk aku memakannya. Sesungguhnya dua helai pakaianku juga telah lusuh, berilah pakaian kepadaku.”

Baca juga Amalkan 2 Doa Ini Ketika Musibah, Lebih-Lebih Lagi Mereka Yang Terkesan Dengan Banjir 

Dipendekkan cerita, Al-Laits kemudian berkata: “Aku terus melihat sebuah bekas yang penuh berisi anggur dan dua helai pakaian yang diletakkan di situ.”

Berdoa

DOA merupakan senjata bagi orang Mukmin.

Ujar Muhammad Fahmi, kisah itu sebenarnya agak panjang. Namun, fokus utamanya adalah tawassul lelaki berkenaan dengan nama-nama dan sifat ALLAH SWT tersebut terbukti mustajab.

“Walaupun permintaannya nampak pada perkara biasa sahaja, namun para ulama terdahulu sentiasa melazimi ibadah berdoa.

“Lelaki yang dimaksudkan itu sebenarnya ialan Ja’far al-Sadiq iaitu salah seorang ulama keturunan Nabi Muhammad SAW daripada jalur al-Husain bin Ali RA,” katanya.

Justeru, beliau menasihatkan agar kita tidak memandang enteng dengan peranan doa.

Paling tidak pun, sekurang-kurangnya luangkan sedikit masa kita selepas solat untuk berdoa.

Foto: Freepik, Unsplash & Pexels

Poligami
Gaya Hidup,

Suami Isteri Ibarat ‘Pakaian’, Jaga Aib Pasangan Masing-Masing

MEDIA sosial begitu ‘berkuasa’ pada era milenial kini. Masakan tidak, medium itu mampu menularkan informasi mahupun pelbagai jenis cerita hanya dalam masa yang singkat.

Apatah lagi jika ia melibatkan kisah sensasi atau menyayat hati sehingga menjadi topik hangat perbualan ramai.

Demikianlah penangan media sosial yang begitu berpengaruh dalam kehidupan kita pada hari ini.

Meskipun demikian, jika penggunaannya disalahgunakan, platform tersebut boleh mendatangkan dampak yang buruk bukan sahaja kepada diri sendiri, tetapi juga orang lain.

Apalagi andai kisah yang didedahkan itu berkaitan dengan pasangan dan perihal rumah tangga, seolah-olah membuka aib.

Dalam hal itu, Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia, Prof Madya Dr Ahmad Sanusi Azmi menegur tentang perbuatan mendedahkan keaiban pasangan.

DR AHMAD SANUSI

Beliau mengakui, perselisihan dalam rumah tangga pasti akan berlaku. Begitupun, ia bukanlah bermaksud kita dibolehkan berlaku tidak baik terhadap pasangan masing-masing.

“Sebaliknya, setiap pasangan hendaklah menjaga hubungan baik sesama mereka. Ingatlah bahawa Rasulullah SAW mencela pasangan yang mendedahkan keaiban pasangannya.

“Namun, seandainya pasangan telah melakukan kesalahan, dosa dan maksiat, sekiranya ia boleh diselesaikan dengan baik, selesaikan dengan cara yang sedemikian.

“Jikalau tiada solusi yang baik, maka mahkamah adalah tempat penyelesaian terbaik,” katanya sebagaimana dipetik menerusi hantaran di laman sosial Facebook miliknya baru-baru ini.

Dalam pada itu, pendakwah tersebut mengingatkan bahawa pendedahan berkaitan pasangan di media sosial bukanlah jalannya.

Ketahuilah bahawa ALLAH SWT memberikan perumpamaan dalam al-Quran bahawa pasangan suami isteri itu ibarat pakaian yang saling menutup keaiban dan melindungi sesama mereka, selain memelihara daripada disakiti, terangnya.

Menerusi kalam-NYA itu, ALLAH SWT berfirman: “Isteri-isteri kamu itu adalah seumpama pakaian bagi kamu dan kamu pula sebagai pakaian bagi mereka.” (Surah al-Baqarah, ayat 187)

Dr Ahmad Sanusi kemudian menukilkan pandangan al-Raghib al-Asfahani yang menyatakan, perumpamaan bahawa suami isteri itu seperti pakaian adalah kerana mereka seharusnya saling menutup keaiban dan saling memelihara air muka masing-masing.

Baca juga 5 Tip Cara Bergurau Senda Tanpa Undang Kemarahan Pasangan

Kata al-Raghib al-Asfahani lagi: “Dijadikan pakaian itu sebagai satu perumpamaan di dalam al-Quran bagi seorang suami adalah kerana suami akan menjadi pelindung buat dirinya dan isterinya daripada terdedahnya keburukan mereka berdua.”

Melihat ungkapan itu, jelas ahli akademik tersebut, ia adalah sebuah pengajaran penting pada era dunia hari ini yang mana ada pasangan yang saling mendedahkan aib sesama mereka.

Aib suami isteri

JANGANLAH membuka aib pasangan kerana Rasulullah SAW mencela mereka yang berbuat demikian.

Malah dalam sebuah hadis, katanya, Rasulullah SAW mencela lelaki yang mendedahkan rahsia sulit pasangan mereka.

“Dalam sebuah insiden yang lain, seorang wanita pernah datang dan mendedahkan kepada baginda SAW bahawa dia telah berzina. Rasulullah kemudian meminta wanita tersebut pulang dan memikirkan kembali pendedahan tersebut. Ini kerana ALLAH masih membuka ruang taubat untuk kembali kepada-NYA.

“Namun, seandainya kesalahan tersebut telah sabit, maka selesaikanlah dengan pihak berautoriti seperti mana yang digariskan dalam syariat Islam.

“Janganlah dijadikan budaya bahawa setiap kesalahan atau kesilapan suami atau isteri itu dipamerkan dalam media sosial,” nasihat beliau.

Justeru, berhati-hatilah dengan penggunaan media sosial masing-masing agar tidak menimbulkan fitnah kepada diri sendiri dan orang lain.

Foto: 123rf

Terkentut
Gaya Hidup,

Al-Quran Bukan Hiasan, Sebaliknya Perlu Dibaca Dan Diamalkan

AL-QURAN sememangnya dikenali sebagai kitab hidayah kerana ia memberi panduan kepada manusia untuk melayari kehidupan di atas muka bumi ini.

Pendakwah Mohd Hassan Adli Yahaya atau lebih dikenali sebagai Imam Muda Hassan menjelaskan, walaupun secara fizikalnya kitabullah itu berbentuk mashaf, tetapi kalam ALLAH itu tetap wajib dimuliakan.

IMAM MUDA HASSAN

“Sebenarnya, apa yang dimaksudkan dengan al-Quran itu adalah isi kandungannya. Itulah kitab hidayah yang menjadi mukjizat agung Nabi Muhammad SAW.

“Sebab itulah kita sebagai umat Islam bukan sahaja perlu membacanya, tetapi juga memahami makna yang terkandung di dalam kalam ALLAH itu. Ingatlah kitab suci ini bukanlah hiasan, sekalipun ia boleh dibingkaikan dan digantung di dinding rumah atau di kedai.

“Ingatlah, apabila kita menggantung ayat suci al-Quran, ia bukanlah menjadi (perhiasan) semata-mata. Sebaliknya, ayat tersebut hendaklah kita lihat, baca dan mendalami maknanya,” katanya ketika dihubungi Sinar Islam Plus baru-baru ini.

Baca juga Para Malaikat Akan Mengerumuni Mereka Yang Bertadarus Al-Quran, Berikut Hikmah-Hikmah Lain

Imam Muda Hassan turut memberi peringatan kepada seluruh umat Islam agar tidak menyalahgunakan ayat-ayat al-Quran bagi tujuan tertentu.

Umpamanya, menyandar atau menyangkutkan ayat 1,000 dinar di premis perniagaan kerana percaya ia boleh melariskan perusahaan masing-masing.

“Perbuatan itu pada hakikatnya menjebakkan pelakunya kepada perkara yang mensyirikkan ALLAH SWT. Tindakan tersebut juga seolah-olah memperlihatkan mereka menyembah ayat-ayat itu pula,” tegasnya.

Sebelum menoktahkan bicaranya, beliau menitipkan pesan agar setiap umat Islam berpegang teguh kepada warisan berharga peninggalan Rasulullah SAW iaitu al-Quran dan hadis.

Al-Quran

BERPEGANG teguhkan kepada al-Quran dan hadis.

Dalam sebuah Hadis Riwayat Imam Malik, baginda SAW bersabda: “Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara dan kamu tidak akan sesat selagi mana kamu berpegang dengannya iaitu kitab ALLAH (al-Quran) dan sunah nabi-NYA (sunah Nabi Muhammad SAW).”

“Tambahan pula, kita hidup pada akhir zaman yang penuh dengan ujian, fitnah dan sebagainya. Andai kita berpegang kepada kalam ALLAH dan hadis baginda, nabi sendiri memberi jaminan bahawa kita akan terselamat daripada kesesatan,” katanya.

Foto: Bernama & Pexels

Sedekah pakaian lama
Gaya Hidup,

Dilema Sedekah Barangan Dan Pakaian Lama, Bimbang Amalan Itu Tidak Diterima. Ini Penjelasannya

SETIAP kali mengemas kediaman masing-masing, pasti ada sahaja barang yang akan disisihkan. Masakan tidak, barangan tersebut kadangkala tidak digunakan.

Disebabkan itu, adakalanya kita memikirkan lebih baik jika ia dibuang daripada disimpan terlalu lama tanpa tujuan.

Namun begitu, terdapat segelintir orang pula lebih gemar mengambil pendekatan dengan menyedekahkah barangan tadi. Lebih-lebih lagi jika ia masih lagi baru dan belum pernah digunakan seperti peralatan elektrik dan pakaian.

Meskipun demikian, apabila melibatkan barangan yang usang dan pakaian lama, kita jadi serba salah untuk menyumbang kepada orang lain. Bukan apa, bimbang ia tidak diterima oleh-NYA memandangkan kondisinya yang sudah lama.

Mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menjelaskan, secara umumnya, sedekah merangkumi dua jenis iaitu sedekah fardu atau dipanggil zakat dan sedekah sunat.

DR ZULKIFLI

Bahkan, katanya, ALLAH SWT menggambarkan betapa besarnya pahala bersedekah sehingga 700 kali ganda kebaikan kepada pelakunya.

Ia sebagaimana yang disebutkan menerusi kalam ALLAH SWT: “Perumpamaan mereka yang membelanjakan harta-harta mereka di jalan ALLAH adalah seperti satu biji benih yang menumbuhkan tujuh batang tangkai yang mana pada setiap satu tangkai itu mempunyai 100 biji benih. Dan ALLAH melipatgandakan (pahala) kepada sesiapa yang DIA kehendaki dan ALLAH itu MAHA LUAS lagi MAHA MENGETAHUI.” (Surah al-Baqarah, ayat 261)

Baca juga Ini Kelebihan Sedekah Secara Sembunyi Yang Ramai Mungkin Tidak Sedar

Melihat ungkapan itu, ujar Dr Zulkifli menjelaskan, ayat tersebut meliputi sebarang bentuk sedekah waima dalam bentuk harta benda, makanan, minuman, pakaian dan seumpamanya.

“Selain itu, sebarang bentuk sedekah yang diberikan kerana ALLAH SWT tidak mendatangkan kerugian kepada pelakunya, sebaliknya akan meraih ganjaran balas yang menguntungkan,” katanya sebagaimana dipetik menerusi artikel Soal Jawab Agama #144 Sedekah Barangan Lama di laman web maktabahalbakri.com.

Begitupun, jelas mantan Mufti Wilayah Persekutuan itu, terdapat dalil yang jelas berkenaan keutamaan menyedekahkan pakaian berdasarkan kepada satu riwayat daripada Abu Umamah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang memakai pakaian yang baharu hendaklah dia mengucapkan: “Segala puji bagi ALLAH yang telah memakaikan aku sesuatu yang aku dapat menutup auratku dengannya dan aku memperindahkan diri dengannya di dalam kehidupanku”. Kemudian dia pergi kepada pakaian yang telah ditanggalkannya itu (pakaian lama), lalu dia menyedekahkannya, maka dia berada di bawah lindungan ALLAH, pemeliharaan-NYA, dan ditutup (keaibannya) semasa hidup dan selepas meninggal dunia.” (Hadis Riwayat at-Tirmidzi, Ibn Majah dan Ahmad)

Sedekah pakaian lama

BAGI mereka yang mahu menyedekahkan pakaian, carilah pakaian yang baik dan sesuai.

Sebarang bentuk sedekah yang diberikan kerana ALLAH SWT, tidak mendatangkan kerugian kepada pelakunya, sebaliknya akan meraih ganjaran balas yang menguntungkan. – Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri

Justeru, jelas agamawan itu, walaupun barangan atau pakaian tersebut sudah lama, andai ia masih elok dan memberikan manfaat kepada penerimanya, pasti sedekahnya akan diterima selagi mana dirinya ikhlas berbuat demikian.

Baca juga Sedekah Benteng Diri Daripada Api Neraka

“Ketahuilah bahawa pahala bagi mereka yang menyedekahkan pakaian atau barangan lama amat besar sehingga mendatangkan kebaikan sehinggalah selepas kematian sepertimana yang disebutkan dalam hadis tadi.

“Bagi tujuan sedekah pakaian, disarankan supaya mencari pakaian yang baik dan sesuai untuk disedekahkan. Selain itu, carilah penerima yang benar-benar memerlukan pakaian tersebut,” syornya.

Foto: Freepik, Pexels & Unsplash

'Dekat' dengan ALLAH
Gaya Hidup, Pilihan Editor,

Amalkan 2 Doa Ini Ketika Musibah, Lebih-Lebih Lagi Mereka Yang Terkesan Dengan Banjir

BENCANA banjir yang melanda beberapa kawasan di dalam negara terutama di sekitar Lembah Klang disifatkan luar jangka. Tiada siapa menduga begitu besar ujian tersebut.

Menurut Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air (Kasa), hujan lebat yang berterusan selama dua hari sejak Jumaat lalu dikatakan menyamai jumlah taburan purata hujan di Lembah Klang untuk tempoh sebulan dan ia umpama fenomena yang berlaku setiap 100 tahun sekali.

Hujan lebat  telah mengakibatkan banjir kilat namun ramai yang tidak bersedia menghadapi musibah berkenaan. Malah, ada yang terperangkap waima di kediaman mahupun kenderaan masing-masing.

Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Tidak dapat digambarkan bagaimana perasaan mangsa banjir mahupun mereka yang ‘tersangkut’ di kawasan yang dinaiki air.

Walaupun ada beberapa kawasan banjir yang telah surut, namun hambatan emosi yang dihadapi begitu sukar untuk ditepis. Lebih-lebih lagi mereka yang trauma dengan insiden berkenaan yang membawa kerosakan bukan sahaja kepada harta benda, malah mungkin kehilangan insan tersayang.

 

Doa ketika musibah

BERSABARLAH apabila ditimpa musibah kerana ALLAH SWT menjanjikan ganjaran atas kesabaran kita menerima ujiannya.

Kepada mereka yang terkesan dengan musibah tersebut, Pegawai Hal Ehwal Islam, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Muhammad Fahmi Rusli menitipkan pesan supaya memperuntukkan masa untuk memanjat doa kepada YANG MAHA ESA.

Terdapat dua doa yang dianjurkan untuk dibaca iaitu:

  1. Innilillahi wa inna ilaihi raji’un (Sesungguhnya kami milik ALLAH dan sesungguhnya kepada-NYA kami kembali).

  2. Allahumma ajirni fi musibati wa akhlifli khoiron minha (Ya ALLAH, berilah ganjaran pahala kepadaku terhadap musibah yang menimpaku ini, dan gantikanlah buatku suatu yang lebih baik daripadanya).

Ujar beliau, mereka yang mengamalkan doa tersebut bakal dikurniakan ganjaran pahala atas musibah yang dihadapi sebagaimana yang disebutkan dalam hadis.

Rasulullah SAW bersabda: “Tidak ada seorang hamba yang ditimpa musibah, lalu dia membaca doa di atas, melainkan ALLAH akan mengganjarkan pahala atas musibahnya itu serta menggantikan buat dirinya sesuatu yang lebih baik.” (Hadis Riwayat Muslim)

Baca juga Biasakan Diri Baca Doa Sebelum Keluar Rumah, Ini Sebabnya

Dalam pada itu, pendakwah tersebut mengingatkan bahawa semua musibah yang berlaku pada hakikatnya mengajak kita untuk sentiasa kembali kepada ALLAH.

Doa ketika musibah

“Disebabkan itulah orang yang diuji dengan musibah dituntut untuk memasakkan hati dengan ucapan istirja’ iaitu Innalillahi wa inna ilaihi raji’un,” katanya.

Beliau turut menegur sikap segelintir masyarakat yang mengaitkan musibah dengan maksiat yang berlaku di sesebuah tempat.

“Mengertilah bahawa mengajak manusia kembali kepada ALLAH lebih utama berbanding mendakwa musibah yang berlaku adalah kesan maksiat banyak di sesebuah negeri kerana sumpah mubahalah (kutukan) individu, solat masih berjarak dan ucapan-ucapan seumpamanya,” pesannya.

Foto: Mohd Halim Abdul Wahid & Freepik