Browsing Category

Gaya Hidup

Kemurungan
Gaya Hidup,

Ubati Kemurungan Dengan Pendekatan Anjuran Agama

DALAM Surah al-Mulk, ayat 2, ALLAH SWT berfirman yang bermaksud: “DIALAH yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya dan DIA MAHA BERKUASA (membalas amal kamu) LAGI MAHA PENGAMPUN, (bagi orang yang bertaubat).”

Ayat mulia itu antara lain menjelaskan, manusia pasti akan berhadapan dengan pelbagai ujian, waima mereka tergolong dalam kalangan orang yang alim sekalipun.

Hambatan yang diterima hadir dalam pelbagai bentuk. Antaranya kesusahan hidup, kemelaratan dengan penyakit, hati yang sentiasa tidak tenang termasuk kemurungan yang tidak menemui titik noktah.

Menyentuh soal kemurungan, ia merupakan satu gangguan perasaan yang menyebabkan seseorang itu berasa sedih berpanjangan, keletihan dan ketiadaan tenaga, cepat marah serta hilang minat dalam melakukan aktiviti harian.

Berdasarkan statistik Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan yang dijalankan pada tahun 2019 menunjukkan hampir setengah juta penduduk di negara ini mengalami kemurungan.

Angka itu menggambarkan betapa bahayanya ‘penyakit’ murung. Andai tidak ditangani segera, nescaya berupaya mengheret sesiapapun melakukan perkara di luar jangka.

Antara yang paling digeruni adalah sanggup menamatkan riwayat sendiri walaupun perbuatan keji itu dilarang oleh syariat. Untuk merawatnya, tidak hanya melalui konsultasi perubatan moden kerana Islam sendiri telah memberi panduan yang lebih teratur, kamil, tertib dan sempurna dalam mengubati isu kesihatan itu.

Untuk penjelasan lanjut, Sinar Islam Plus menemubual tiga pendakwah untuk berdiskusi tentang hal kemurungan dari segi perspektif agama.

Baca juga Kaedah Terbaik Urus Tekanan Yang Dianjur Oleh Islam

Pertahan diri

Pendakwah Mohamad Hadi Ahmad Talhah ketika dihubungi menjelaskan, perasaan murung sememangnya fitrah bagi setiap insan yang diciptakan oleh Sang Khalik.

MOHAMAD HADI

Ujar beliau, segala macam emosi yang membelenggu diri manusia seperti kenikmatan, kesyukuran, kegembiraan, kepiluan, kekeliruan mahupun perasaan masygul, semuanya merupakan ujian daripada-NYA.

“Ya, adakalanya keimanan seseorang akan diuji dengan semua perasaan itu. Tidak terkecuali juga kepada para anbia dan golongan yang beriman.

“Lihat sahaja bagaimana Nabi Yaakob AS pernah merasa sangat dukacita sehingga kemurungan apabila anaknya, Nabi Yusuf AS terpisah dengannya bertahun-tahun lamanya. Ia berlaku ketika peristiwa Nabi Yusuf dibuang oleh saudara-saudaranyanya di dalam perigi tua gara-gara cemburu.

“Meskipun demikian, kita perlu ingat bahawa keimanan itu merupakan salah satu kekuatan yang menjadi benteng ketika kita apabila dirundung kegelisahan atau kesuraman,” katanya.

Begitupun, agamawan tersebut memberi amaran supaya kita tidak terlalu tunduk dengan emosi negatif itu. Jika tidak, syaitan begitu mudah mendampingi golongan yang berada dalam kondisi yang tidak stabil.

“Benar, syaitan akan mudah untuk mendekati seseorang yang sedang bergelut dengan masalah, dirundung kesedihan atau ketika sedang dihambat kemurungan.

“Pendek kata, andai makhluk berkenaan hadir pada saat itu, ia akan membuatkan seseorang bertambah suram, sedih dan sebagainya. Justeru, berhati-hatilah dengan menangani kemuraman dengan sebaiknya,” jelasnya.

Doa dan zikir

Menyambung hujah, Mohamad Hadi berkongsi alternatif paling ampuh untuk merawat kemurungan atau dalam istilah lain, kemuraman dan kesuraman sebagaimana yang dianjurkan dalam Islam.

Kemurungan

BANYAKKAN berdoa kepada ALLAH SWT dan meminta supaya dinyahkan segera segala perasaan tertekan dan dukacita yang dialami.

Tidak lain tidak bukan adalah dengan memanjatkan doa kepada YANG MAHA ESA. Pada masa sama, mohonlah kepada ALLAH agar dinyahkan segera segala perasaan tertekan, hiba atau emosi yang ‘seangkatan’ dengannya.

Bukan itu sahaja, kelompok tersebut juga disarankan untuk berzikir mengingati ALLAH YANG MAHA ESA dalam apa jua cara, sama ada melalui lisan mahupun hati.

Baca juga Usah Terjebak Dengan Perkara Yang Mengundang Kebinasaan, Ikuti Panduan Islam Tangani Tekanan

Ia bertepatan dengan firman-NYA dalam Surah ar-Ra’d, ayat 28: “(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah. Ketahuilah dengan zikrullah itu, tenang dan tenteramlah hati manusia.”

Agamawan itu menambah, Nabi Muhammad SAW sendiri tidak pernah putus dan lelah mengalunkan zikrullah tanpa mengira waktu.

“Buktinya, sebab itu kita ada zikir pagi dan petang serta zikir malam sebelum tidur yang sering kali menjadi rutin baginda sentiasa. Sehubungan itu, ayuhlah sama-sama kita amalkan dan hayati semuanya agar ia dapat menghadirkan ketenangan kepada diri.

“Barangkali juga masalah kemurungan yang dialami ada campur aduk dengan gangguan syaitan. Untuk mengesahkannya, maka lebih baik jika ia dirujuk kepada pengamal perubatan Islam untuk dirawat, jika betul terdapat unsur gangguan sehingga menyebabkan seseorang itu murung dan berduka,” sarannya.

Teguran

Sementara itu, pendakwah Ahmad Faiz Hafizuddin Rosli atau lebih dikenali sebagai Pencetus Ummah (PU) Faiz menjelaskan, masalah kemurungan mempunyai perkaitan rapat dengan kerohanian.

PU FAIZ

“Sesetengah daripada kita menyebut kemurungan sebagai salah satu daripada masalah jiwa. Justeru, Islam datang dengan merawat jiwa manusia dengan cara kerohanian. Caranya yang tunggal pastinya mengembalikan hubungan dengan ALLAH yang merupakan pencipta langit dan bumi ini,” ujarnya yang turut mengesyorkan agar penderita kemurungan sentiasa mengalunkan zikrullah, berdoa dan berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW.

Seperkara yang menarik perhatian Sinar Islam Plus adalah teguran berguna daripada PU Faiz.

Ungkap pendakwah berkenaan, sikap segelintir pihak yang terus mendirikan solat tatkala diri dikuasai dengan rasa galau atau kemurungan, perlu dijauhi.

Bukan apa, perkara yang selalu terjadi adalah getaran emosi yang masih ‘bertapak’ dalam jiwa itu akan terbawa-bawa ketika menghadap YANG MAHA ESA.

Meskipun itulah kaedah yang terbaik untuk mengatasi perasaan itu, beliau mengingatkan agar biarlah semua amalan mulia yang dilakukan (seperti solat) didasari dengan ilmu sebenar-benarnya.

“Bayangkan seseorang yang tidak tahu rukun qauli, syarat sah dan lain-lain berkaitan solat, tetapi tetap mendirikannya tanpa ilmu, bagaimana mungkin dia akan beroleh ‘buah’ hasil daripada amalannya tadi?

“Begitu jugalah halnya jika seseorang itu mengalami kemurungan dan kemudian bertanyakan kepada agamawan atau orang lain tentang cara mengubati ‘penyakitnya’ itu. Setelah mengetahui solat antara solusinya, lantas dia melaksanakannya dalam keadaan terbawa-bawa masalahnya ketika menghadap ALLAH.

“Sedangkan, ALLAH SWT sudah berfirman dalam al-Quran supaya mendirikan solat untuk mengingati-NYA, bukan merenungi masalah yang dihadapi. Seandainya kita melakukan setiap perkara tanpa ilmu dalam dada dan tidak mempelajarinya, maka tidak bermanfaat sedikit pun kepada jiwanya. Ini kerana dia hanya mengerjakan sesuatu itu tanpa mengikut kehendak dan perintah ALLAH SWT,” terangnya panjang lebar.

Kemurungan

AMALKAN doa dan zikir yang dianjurkan dalam Islam untuk menangani masalah kemuraman yang dihadapi.

Maka, jalan paling bagus yang boleh dilakukan adalah mengosongkan fikiran sebelum menunaikan ibadah solat.

“Apabila kita sudah mempersiapkan diri untuk menunaikan Rukun Islam kedua itu, lupakanlah segala perkara dan kekusutan yang membelenggu diri. Ingatlah, semua urusan kita sudah ditetapkan dan ia tetap berlaku sebagaimana aturan-NYA,” ungkapnya.

Pesanan seterusnya pendakwah berkenaan cukup signifikan. Tegas beliau, bersahabatlah dengan orang soleh dan baik serta berusaha sedaya upaya untuk mendekatkan diri dengan ALLAH SWT.

“Jikalau emosi kita dalam keadaan tidak stabil, jangan biarkan diri duduk bersendirian dan mengelamun. Mengapa? Ia bagi memastikan kita tidak terus menerus berada dalam keadaan murung tanpa kesudahan,” nasihat beliau.

Kemurungan


USAH terbawa-bawa masalah ketika sedang menunaikan solat. Sebaliknya, gunakan sebaiknya ruang yang ada untuk kita mengingati ALLAH SWT.

ANEKDOT

3 AMALAN jauhi kemurungan
  1. Bacalah doa Allahumma inni a’uzubika minal hammi wal hazan, wa a’uzubika minal ‘ajzi wal kasal, wa a’uzubika minal jubni wal bukhli, wa a’uzubika min ghalabatid daini wa qahrir rijal.

Ertinya: Ya ALLAH, aku berlindung dengan-Mu daripada kegelisahan dan kesedihan, dan aku berlindung dengan-MU daripada sifat lemah dan malas, dan aku berlindung dengan-MU daripada sifat penakut dan bakhil, dan aku berlindung dengan-MU daripada bebanan hutang dan penindasan manusia.

Doa itu adalah daripada hadis masyhur Riwayat Abu Daud. Ketahuilah bahawa sesiapa yang mengamalkan doa tersebut pada waktu pagi dan petang, nescaya ALLAH akan menghilangkan perasaan gundah-gulana, runsing dan DIA juga membantu melepaskan si pembacanya daripada bebanan hutang.

  1. Amalkan zikir daripada Surah at-taubah, ayat 129.

Zikir itu berbunyi: Hasbiallahu lailaha illa huwa ‘alaihi tawakkaltu, wa huwa rabbul ‘arsyil ‘azim (Cukuplah ALLAH sebagai pelindung bagiku, tiada Tuhan yang berhak disembah selain DIA, hanya kepada-NYA aku bertawakal dan berserah diri, dan DIA Tuhan yang memiliki Arasy yang paling agung).

Dalam sebuah Hadis Riwayat Abu Daud, Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa yang mengucapkan zikir tersebut (ayat 129, Surah at-Taubah) di waktu Subuh dan petang hari sebanyak tujuh kali, maka ALLAH akan memberi kecukupan bagi kepentingan dunia dan akhiratnya.”

  1. Banyakkan zikir La haula wala quwwata illa billah.

Maksudnya: Tidak ada daya dan upaya kecuali dengan kekuatan ALLAH YANG MAHA TINGGI lagi MAHA AGUNG.

Sumber Pendakwah Mohamad Hadi Ahmad Talhah

Foto: 123rf, Pexels & Unsplash

Berdoa dalam tandas
Gaya Hidup,

Berdoa Di Dalam Tandas, Ini Hukumnya

ADAKALANYA gara-gara terlalu tergesa-gesa hendak qada hajat, kita terlupa untuk membaca doa sebelum masuk tandas.

Setelah menjejakkan kaki ke dalamnya, barulah tiba-tiba teringat untuk berbuat demikian. Namun, ketika itu, kita sudah pun berada di dalam tandas.

Bolehkah kita membaca doa di dalam tandas? Sedangkan berdoa itu merupakan ungkapan yang mulia, manakala tandas dikenali sebagai ‘rumah jin dan syaitan’.

Ketika menjawab pertanyaan warganet tentang perkara itu, pendakwah Ahmad Dusuki Abd Rani menasihatkan supaya kita sudah siap membaca doa sebelum kaki melangkah masuk ke dalam tempat membuang air berkenaan.

AHMAD DUSUKI

Ini kerana, katanya, umat Islam dilarang sama sekali membaca doa di dalam tandas.

“Apa tidaknya, andai kita melafazkan doa di dalamnya, maka ia memperlihatkan seolah-olah kita sedang menghina kalimah-kalimah baik yang diucapkan, apatah lagi jika melibatkan kalimah ALLAH.

“Ingatlah, tandas bukan tempat untuk kita berdoa. Sebaliknya ia tempat untuk kita membersihkan tubuh badan, mengambil wuduk, mandi janabah dan seumpamanya,” tegasnya sebagaimana dipetik menerusi video TikTok yang dikongsikan di laman sosial Facebook miliknya baru-baru ini.

Baca juga Ustaz Azhar Idrus Perjelas Hukum Membawa Tulisan Ayat Al-Quran Ke Dalam Tandas

Sekalipun seseorang itu sedang mandi, ujar Ahmad Dusuki, umat Islam diajar supaya menjaga keperibadian masing-masing di dalam tandas. Apatah lagi dalam perihal bermunajat dan berdoa yang mana ada adab perlu dipenuhi.

“Bukan apa, tandas merupakan tempat syaitan. Justeru, pastikan diri kita selamat daripada kejahatan syaitan,” nasihatnya.

Menyentuh tentang sebutan kalimah ALLAH di dalam tandas, pendakwah Mustafar Mohd Suki menjelaskan, hukum melafazkannya atau membaca bismillah menjadi perselisihan para ulama.

Berdoa dalam tandas

TANDAS bukan tempat untuk berdoa, apatah lagi menyebut kalimah ALLAH dan ungkapan yang mulia.

“Ada yang membenarkannya seperti Imam an-Nakhaie, Ibnu Sirin dan Malik.

“Sementara itu, Imam ‘Atha dan al-Sya’bi memakruhkannya kerana Nabi Muhammad SAW tidak menjawab ketika sahabat RA memberi salam sepertimana yang diriwayatkan dalam hadis sahih Muslim.

“Namun begitu, sebahagian ulama lebih cenderung mengatakan basmalah hanya dibaca di dalam hati tanpa dilafazkan ketika mengambil wuduk di dalam tandas,” ungkapnya.

Foto: Freepik & Pexels

Nilai kemanusiaan
Gaya Hidup,

2 Amalan Menjadi Manusia Terbaik

SETIAP insan secara fitrahnya begitu menyukai kebaikan biarpun empunya diri tidaklah sebaik mana.

Benar, berbuat kebajikan sememangnya tidaklah sesukar mana. Namun, ia memerlukan mujahadah yang tinggi dan memiliki sifat konsisten tidak berbelah bagi.

Pendakwah Mohamad Wadi Annuar Ayub atau lebih dikenali sebagai Ustaz Wadi Annuar menjelaskan, Islam sangat menggalakkan umatnya mengamalkan sifat-sifat mahmudah seperti tolong-menolong, bantu-membantu dan saling menghormati dalam semua keadaan.

WADI ANNUAR

Ketahuilah bahawa sebaik-baik manusia ialah mereka yang memberi makan kepada orang lain dan mengucapkan salam kepada individu dikenali ataupun tidak, ungkapnya.

Ia sebagaimana disebutkan dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Amru RA. Katanya, ada seseorang yang bertanya kepada Nabi Muhammad SAW: “Islam manakah yang paling baik?” Baginda SAW menjawab: “Kamu memberi makan, mengucapkan salam kepada orang yang kamu kenal dan yang tidak kamu kenal.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

“Bayangkan dengan memberi makan kepada orang lain seperti tetamu, jiran tetangga atau orang yang memerlukan seperti mereka yang terkesan akibat Covid-19 dikategorikan sebagai Muslim yang baik.

“Tidak kiralah individu yang dijamu itu dikenali ataupun tidak, amalan tersebut sebenarnya boleh mengeratkan hubungan dan menunjukkan sifat kemurahan.

Baca juga Kebaikan Kecil Yang ‘Berbuah Manis’, Berikut Penjelasannya 

“Bahkan, orang yang memberi atau bersedekah makanan mahupun dalam bentuk wang ringgit, nescaya ALLAH SWT akan menambah rezekinya sepertimana yang disebutkan dalam hadis masyhur Riwayat Muslim,” katanya dalam hantaran di laman sosial Facebook miliknya baru-baru ini.

Satu lagi amalan yang cukup signifikan dan tidak wajar ditinggalkan adalah mengucapkan salam, kata Ustaz Wadi Annuar.
Dengan melazimkan perilaku mulia berkenaan, ia dapat menyebarkan salam (kedamaian) sama ada kepada orang yang dikenali mahupun tidak.

Jadi manusia terbaik

BIASAKAN diri mengucapkan salam tatkala bertemu dengan saudara seagama.

“Malah, sifat sedemikian dapat melahirkan anggota masyarakat yang rahmah (penuh rahmat dan kasih sayang) serta bahagia,” jelasnya.

Dalam hal itu, agamawan tersebut turut memberi peringatan buat umat Islam agar tidak sesekali meremehkan amalan berkenaan.

Ini kerana, jelas beliau, Muslim yang tidak mahu mengucapkan salam setiap kali bertemu dengan saudara seagamanya dianggap sebagai seorang yang bakhil!

Ternyata fakta itu bukanlah omongan kosong semata-mata. Sebaliknya ia dinyatakan secara jelas dalam satu riwayat.

Rasulullah SAW bersabda: “Selemah-lemah manusia adalah orang yang lemah (malas) berdoa kepada ALLAH, dan sebakhil-bakhil manusia adalah orang yang bakhil mengucapkan salam.” (Hadis Riwayat at-Tabarani dalam Mu’jamul Ausath)

Maka, jalan yang paling baik adalah membiasakan diri melakukan kedua-dua amalan yang dianjurkan tersebut, ungkap beliau mengakhiri perkongsian ilmunya.

Foto: Freepik

Dedah aib sendiri
Gaya Hidup,

Usah Ghairah Dedah Aib Sendiri Dan ‘Berkempen’ Maksiat

SEJAK akhir-akhir ini, terdapat segelintir orang seperti tidak kisah menzahirkan perbuatan dosa yang dilakukan.

Malah, ada yang begitu berbangga dengan tindakannya itu sehinggakan tanpa segan silu mendedahkannya menerusi platform media sosial masing-masing.

Senario itu benar-benar satu keabnormalan yang berlaku pada hari ini. Hakikatnya, menyembunyikan kesalahan sebenarnya adalah fitrah manusia kerana kita dikurniakan perasaan malu.

Andai perbuatan buruk itu dilakukan sendirian tanpa membabitkan orang lain, tidak mengapalah kerana dosanya akan dimasukkan ke dalam ‘tabung’ dosa sendiri.

Namun, jikalau sampai mempromosikan maksiat, itu sudah cerita lain pula. Tindakan itu seolah-olah mengajak atau menggalakkan orang lain melakukan perbuatan maksiat pula.

Pendakwah Habib Ali Zaenal Abidin Al Hamid memberi peringatan tegas agar umat Islam tidak mengajak orang lain berbuat kemungkaran.

HABIB ALI ZAENAL ABIDIN

Ini kerana, katanya, mereka yang melakukan sedemikian akan mendapat ‘saham’ dosa individu yang mengikutinya melaksanakan perbuatan yang dilarang oleh agama Islam.

Baca juga Suami Isteri Ibarat ‘Pakaian’, Jaga Aib Pasangan Masing-Masing

“Ini termasuklah jika individu terbabit menyebarkan fesyen untuk hal-hal yang mungkar, mempromosikan khamr (arak) dan seumpamanya.

“Ya, memang yang melakukannya (kemungkaran) memang berdosa, tapi perbuatan dosa si pengikut tadi dikenakan kepada orang yang mempromosikannya,” katanya sebagaimana dipetik menerusi video yang dikongsikan di Instagram miliknya baru-baru ini.

Sekalipun seseorang itu tergelincir melakukan dosa dan maksiat, Habib Ali memberi nasihat supaya golongan tersebut tidak mendedahkan sewenang-wenangnya dalam laman sosial seperti Facebook dan seumpamanya.

“Maka terpeliharalah kehormatannya kecuali mereka yang mendedahkannya sendiri.

“Pada hari ini, kita lihat ada orang tanpa rasa bersalah buat kempen lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), kempen kebebasan perkahwinan lelaki dengan lelaki, lelaki berpakaian perempuan dan sebagainya.

“Ingatlah kempen-kempen seperti itu mengundang bahaya yang lebih besar daripada dosa yang dilakukan secara bersendirian,” ungkapnya.

Dedah aib sendiri

JAUHI perbuatan maksiat yang boleh menjebakkan diri ke lembah kebinasaan.

Sememangnya Islam mengajar umatnya agar tidak mendedahkan aib diri kepada orang lain.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Setiap umatku dimaafkan (dosanya) kecuali mereka-mereka yang menunjuk-nunjuknya dan sesungguhnya di antara menunjuk-nunjukkan (dosa) adalah seorang hamba yang melakukan suatu perbuatan di waktu malam. Sementara ALLAH telah menutupinya kemudian di waktu pagi dia berkata: “Wahai fulan semalam aku telah melakukan ini dan itu, padahal pada malam harinya (dosanya) telah ditutupi oleh Rabbnya. Ia pun bermalam dalam keadaan (dosanya) telah ditutupi oleh Rabbnya dan di pagi harinya ia menyingkap apa yang telah ditutupi oleh ALLAH.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Sesungguhnya, seorang manusia itu dilihat sempurna pada mata orang lain adalah disebabkan ALLAH SWT menutup aibnya.

Justeru, usah sekali-kali kita berbangga dengan maksiat yang dilakukan, apatah lagi mendedahkannya secara terbuka.

Foto: Pexels

Untitled design - 2022-01-21T163415.879
Gaya Hidup,

10 Panduan Hadapi Virus Omicron Menurut Ulama Al-Azhar Mesir 

LEBIH dua tahun ‘hidup’ bersama Covid-19 telah membuatkan kita tegal dengan kehidupan normal baharu sebagaimana yang diimplementasikan kini.

Semuanya demi mempersiapkan diri untuk bergelut dengan ‘musuh’ iaitu wabak yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar.

Apatah lagi, semakin banyak varian baharu muncul sejak akhir-akhir ini. Antaranya Omicron yang dikesan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai varian membimbangkan.

Omicron kali pertama dilaporkan di Botswana dan Afrika Selatan pada 24 November tahun lalu dan kini merebak ke pelbagai negara termasuk di benua Asia, Afrika, Eropah dan Australia.

Justeru, suka atau tidak, kita perlu mengikuti saranan dan protokol kesihatan yang ketat sebagaimana digariskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

Baru-baru ini, Pusat Fatwa Global Al-Azhar, Mesir (Al-Azhar) ada mengeluarkan 10 panduan untuk menghadapi pandemik Covid-19 berdasarkan hadis Rasulullah SAW.

Panduan itu seiring dengan peningkatan kes varian Omicron di seluruh dunia.

Berikut merupakan panduan yang dikeluarkan oleh Al-Azhar sebagaimana dipetik daripada portal Republika yang mengambil sumber asal daripada portal berita berpengaruh di Mesir, Timur Tengah dan Afrika Utara, Masrawy:

1. Menghindari kontak langsung dengan orang yang menunjukkan gejala influenza.

 

Jauhi diri bertemu golongan itu buat sementara waktu terutama di tempat-tempat awam seperti sekolah, pasar, kampus dan lain-lain.

Ia sebagaimana yang disebutkan dalam hadis Nabi Muhammad SAW yang mana baginda bersabda: “Janganlah yang sakit dicampurkan dengan yang sihat.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

2. Berada di rumah sahaja kecuali jika ada keperluan di luar atau hajat yang darurat.

Panduan hadapi virus Omicron menurut ulama

Ketahuilah, Islam memberikan khabar gembira bagi mereka yang tinggal di rumahnya dengan sabar dan reda dengan qada ALLAH SWT saat berlakunya wabak.

Pahala seorang syahid bakal menanti, sekalipun bukan meninggal dunia disebabkan penyakit berkenaan.

Rasulullah SAW bersabda: “Tidaklah orang yang pada saat musim wabak taun melanda dan dia berdiam diri di rumah dengan sabar dan berharap pahala kepada ALLAH, meyakini bahawa dia tidak akan terkena bencana kecuali sesuai dengan apa yang telah tertulis untuknya di lauhul mahfuz, maka dia akan mendapatkan pahala seperti orang yang syahid.” (Hadis Riwayat al-Bukhari & Ahmad)

Baca juga Pahala Duduk Rumah

3. Mematuhi arahan kesihatan dan pencegahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa.

Langkah itu penting demi melindungi nyawa daripada bahaya dan kemusnahan.

Rasulullah SAW pernah memberi peringatan tentang hal itu. Baginda bersabda: “Tidak patut seorang mukmin iitu menghinakan dirinya. Para sahabat bertanya: “Bagaimana dia menghinakan dirinya?” Rasulullah SAW menjawab: “Meletakkan dirinya dalam ujian yang tidak mampu dia hadapi.” (Hadis Riwayat at-Tirmizi)

4. Kerap mencuci tangan.

Panduan hadapi virus Omicron menurut ulama

Bukan itu sahaja, pastikan kita menjaga kebersihan termasuklah dari segi peralatan dan kelengkapan yang digunakan.

Sabda baginda SAW: “Kebersihan itu separuh daripada iman.” (Hadis Riwayat Muslim)

5. Menutup mulut atau hidung setiap kali bersin atau batuk dengan tisu dan seumpamanya.

Perlakuan itu dapat dilihat ketika mana Nabi Muhammad SAW menutup mukanya dengan tangan atau pakaiannya dan merendahkan suaranya.

Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa: “Sesungguhnya Nabi Muhammad SAW apabila bersin, baginda menutup wajahnya dengan tangan atau kain sambil merendahkan suaranya.” (Hadis Riwayat at-Tirmizi)

Panduan hadapi virus Omicron menurut ulama

6. Jangan meludah di tempat laluan orang dan tempat duduk.

Meludah sembarangan di tempat awam boleh menjadi satu dosa kerana ia akan memudaratkan orang lain dan menyebarkan penyakit.

Sabda Rasulullah SAW: “Meludah di dalam masjid adalah satu kesalahan dan kafarahnya adalah dengan menahannya.” (Muttafaq alaih)

7. Jaga kebersihan dan jangan membiarkan peralatan makanan dan minuman terbuka selepas digunakan.

Dalam hal itu, Nabi Muhammad SAW bersabda: “Tutuplah tempat air kalian, tutup pintu dan matikan lampu kalian kerana binatang-binatang berbahaya bila datang dapat menarik sumbu lampu sehingga menyebabkan kebakaran yang membunuh penghuni rumah.” (Sahih al-Bukhari)

Panduan hadapi virus Omicron menurut ulama

Baca juga Islam Tuntut Umat Hidup Dalam Suasana Bersih

8. Tidak meniup makanan atau minuman.

Baginda SAW bersabda: “Jika salah seorang di antara kamu minum, maka janganlah bernafas di tempat air minuman tersebut.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

9. Hindarkan diri daripada minum dari bekas minuman yang ingin dikongsi dengan orang lain.

Dalam sebuah Hadis Riwayat al-Bukhari, Nabi Muhammad SAW melarang minum terus dari cerek atau teko.

10. Orang yang bekerja secara langsung contohnya penjual makanan mesti memberi penelitian pada tahap kebersihan.

Ini kerana kesihatan manusia adalah amanah yang dipertanggungjawabkan oleh ALLAH SWT.

Baginda SAW bersabda: “Tidak (sempurna) iman seseorang yang tidak amanah.” (Hadis Riwayat Ahmad)

Panduan hadapi virus Omicron menurut ulama

Rupa-rupanya semua protokol kebersihan dan kesihatan yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia sememangnya diajar dalam agama Islam sendiri.

Justeru, ayuh sama-sama kita memelihara diri, keluarga dan insan sekeliling daripada ditimpa wabak berbahaya yang boleh mengancam nyawa.

Foto: Pexels & Freepik

Makanan tidak baik
Gaya Hidup,

Makanan Tidak Baik Jadi Punca Hati Gelap

MENJADI kewajiban setiap umat Islam untuk mencari makanan yang halal lagi baik kerana ALLAH SWT tidak menciptakan sesuatu itu dengan sia-sia, kata pendakwah Wan Akashah Wan Abdul Hamid.

Firman ALLAH SWT: “Wahai sekalian manusia, makanlah kamu dari (hasil) yang terdapat di atas muka bumi (makanan) yang halal lagi baik.” (Surah al-Baqarah, ayat 168)

Ujar Wan Akashah, betapa signifikannya makanan dan minuman halalan toyyiban itu kepada kehidupan kita kerana ia membentuk karakter dan keperibadian seseorang.

Beliau berhujah dengan mengambil contoh kisah yang berlaku ke atas Nabi Adam AS. Baginda digoda oleh syaitan supaya memakan buah khuldi yang dilarang oleh ALLAH SWT sehingga diusir dari syurga dan turun ke bumi.

“Melihat contoh itu, jelaslah antara punca manusia mudah terpengaruh (bisikan syaitan) hasil daripada makanan dan minuman tidak halal. Iblis menggoda Nabi Adam AS dengan makanan.

Baca juga Kenali Makanan Super Yang Disebut Dalam Al-Quran Dan Hadis

“Sedarlah bahawa makanan dan minuman yang tidak halal sebenarnya akan membentuk peribadi yang tidak baik. Begitulah sebaliknya jika makanan yang halal lagi baik akan membentuk peribadi yang baik,” katanya ketika dihubungi Sinar Islam Plus baru-baru ini.

WAN AKASHAH

Ketahuilah bahawa makanan yang tidak baik akan melahirkan generasi yang sebegitu dan sukar untuk dibentuk, ungkapnya.

“Malah, hati mereka menjadi gelap, ilmu yang diajar akan keluar dan masuk. Kesilapan umat Islam pada hari ini melihat bahawa makanan yang haram hanyalah khinzir, anjing dan haiwan yang tidak disembelih. Sedangkan ia hanyalah pada zat makanan itu sendiri.

“Hakikatnya segelintir dalam kalangan kita terlupa bahawa sumber pendapatan atau membeli makanan daripada perkara yang diharamkan juga adalah haram. Ia dilarang sama sekali seperti memakan haiwan yang disebutkan tadi. Umpamanya terlibat dengan rasuah, merompak dan sebagainya,” katanya.

Baca juga Bukan Sahaja Makanan Dan Minuman, Pendapatan Haram Juga Tidak Boleh Digunakan Untuk Keperluan Rutin Dan Tuntutan Wajib

Wan Akashah kemudian menceritakan kisah yang berlaku pada zaman Rasulullah SAW. Ketika sedang berceramah di dalam masjid, tiba-tiba ternampak seorang kanak-kanak yang berperangai pelik.

“Lalu ditanyakan anak siapakah itu? Baginda juga menyatakan anak tersebut bersikap sedemikian makan dari sumber yang tidak baik.

“Apabila sahabat yang juga bapa kepada anak tadi mendengarnya, beliau pulang ke rumahnya dan mencari sumber yang dikatakan tidak baik. Akhirnya barulah diketahui puncanya. Anak itu rupa-rupanya telah memakan buah dari pokok ditanam jirannya tanpa meminta izin.

“Walaupun buah pada pohon tersebut masuk dalam kawasan kediamannya, ia masih dikira syubhah (diragui). Justeru, berhati-hatilah dengan soal halal dan haram kerana kedua-duanya jelas diperincikan dalam nas,” jelasnya.

Foto: Pexels

 

Raih bahagia
Gaya Hidup,

2 Sikap Ini Penghalang Kita Meraih Bahagia

MELIHAT orang lain mampu bergelak tawa dan diulit rasa bahagia meskipun sedang diuji dalam kehidupannya, ia benar-benar membibitkan rasa kagum dalam diri kita.

Ya, tidak semua orang mampu tersenyum andai ditakdirkan berada dalam situasi sedemikian. Benarlah, ALLAH SWT memberikan ujian sesuai dengan kemampuan hamba-hamba-NYA. Malah, DIA turut datangkan kekuatan kepada individu berkenaan untuk merentasnya dengan baik.

Ada segelintir orang pula kadangkala sudah melakukan pelbagai perkara untuk menggapai hidup yang aman dan gembira. Namun, entah mengapa ada sahaja rasa serba tidak kena dan kurang enak bertamu dalam dirinya. Seolah-olah sukar benar mereka untuk meraih kebahagiaan walaupun cuba sedaya yang mampu.

Pendakwah Elyas Ismail berkongsikan dua tanda kita tidak bahagia yang sering kali dihadapi oleh kebanyakan daripada masyarakat tanpa mereka sedari.

ELYAS

Pertama, terlalu risaukan perkara yang belum diperoleh dalam kehidupannya, ungkapnya.

“Apa sahaja benda yang diusahakan selama ini termasuklah belum naik pangkat, perniagaan belum berjaya dan seumpamanya, kita terlampau rusuh dengan semua itu.

“Malah, ada yang terlampau bimbang sehinggakan terlalu memikirkannya dan terus runsing. Mengertilah, kita tidak akan bahagia kalau begitulah caranya,” katanya sebagaimana dipetik menerusi video TikTok yang dikongsikan di laman sosial Facebook miliknya baru-baru ini.

Sementara itu, agamawan itu menambah, satu lagi tanda seseorang itu tidak bahagia adalah apabila kita tidak menghargai dan bersyukur dengan apa yang diperoleh.

“Barangkali kita mendapat isteri atau suami yang baik, anak-anak yang bagus, rumah, harta dan kenderaan yang memudahkan urusan serta dikelilingi rakan-rakan yang memahami, namun langsung semua itu tidak dihargai atau disyukuri.

“Apa yang dirisaukan adalah benda yang tidak lagi diperoleh dan belum ada di depan mata,” katanya.

Justeru, beliau menasihatkan supaya kita senantiasa bersabar dan bersyukur dalam setiap perkara.

Martabat sabar dan syukur

Menjelaskan tentang sifat sabar, pendakwah Mohd Hassan Adli Yahya atau lebih dikenali sebagai Imam Muda Hassan menjelaskan, terdapat pelbagai jenis sabar.

IMAM MUDA HASSAN

Ketahuilah, sifat mahmudah itu bukan sahaja dituntut ketika menghadapi ujian, tetapi juga tatkala mengawal kemarahan dan berdepan dengan situasi yang boleh menyebabkan kita melampiaskan amarah.

Pendek kata, tambah beliau, sifat itu perlu ada pada setiap tempat. Ia termasuklah ketika kita menunaikan ibadah seperti solat.

“Apabila kita solat dengan sifat sabar, ibadah yang ditunaikan pun dalam keadaan tenang dan tidak kelam-kabut. Begitu juga sewaktu berdoa dan apabila berhadapan dengan (berita) kematian,” terangnya.

Baca juga Hidup Kena Banyak Sabar, ALLAH SWT Akan Balas Dengan ‘Ladang’ Pahala Tanpa Batas

Betapa pentingnya sifat sabar itu apabila ia diulangi sebanyak 90 kali dalam al-Quran! Demikian fakta yang dilontarkan oleh pendakwah Mohamed Hanafi Abd Malek.

USTAZ HANAFI

Mohamed Hanafi yang mesra dipanggil Ustaz Hanafi menjelaskan, perilaku mulia itu sebenarnya menjadi benteng supaya kita tidak membinasakan diri dengan dosa dan maksiat serta tidak bergaduh sesama manusia dengan penuh amarah dan dikuasai oleh baran.

“Benar, memang ALLAH memerintahkan kita supaya bersifat sabar. Kemanisannya akan dirasai apabila kita berada dekat dengan ALLAH yang MAHA PENYAYANG. Cuba kita renungkan kisah Bilal bin Rabah RA. Biarpun beliau diseksa dengan seksaan yang amat berat, namun semua itu dapat dilaluinya dengan tenang.

“Percayalah kita akan disayangi ALLAH dan disenangi oleh manusia kerana hidup sentiasa dalam keadaan tenang,” katanya.

Berkongsi perspektif tentang sifat syukur, memetik artikel bertajuk Besarnya nikmat nilai syukur yang disiarkan dalam Sinar Harian pada bulan Julai 2020, Dekan Pusat Pengajian Pembangunan Insan dan Teknokomunikasi, Universiti Malaysia Perlis, Profesor Madya Dr Huzili Hussin menyatakan, martabat syukur begitu tinggi.

Baca juga ALLAH ‘Jumpa’ Kita Apabila Lakukan Perkara Ini

Ia sehinggakan Nabi Sulaiman berdoa kepada ALLAH SWT: “Wahai Tuhanku, ilhamkan aku supaya tetap bersyukur akan nikmat-Mu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku.” (Surah An-Naml, ayat 19)

Raih bahagia

ZAHIRKAN kesyukuran atas segala nikmat yang diperoleh daripada ALLAH SWT. 

Ini kerana ALLAH SWT berfirman: “Dan KAMI akan memberikan balasan pahala kepada orang-orang bersyukur.” (Surah Ali-Imran, ayat 145)

Namun begitu, “…dan sedikit sekali daripada hamba-hamba-KU yang bersyukur.” (Surah Saba’, ayat 13)

Justeru, pasakkan dua sifat mulia yang tersebut dalam diri sebagaimana yang disarankan oleh agama Islam. Ini kerana kemanisannya akan dirasai jika kita benar-benar menghayatinya.

Foto: 123rf & Pexels

Porno
Gaya Hidup,

Taubat Cetus Kesihatan Jiwa dan Minda

JIKA diteliti, terlalu banyak nas yang memerihalkan anjuran supaya kita menjaga kesihatan waima fizikal, jasmani mahupun rohani.

Antaranya ALLAH SWT berfirman dalam Surah al-Maidah, ayat 45 yang bermaksud: “Dan KAMI telah tetapkan ke atas mereka di dalam kitab Taurat itu bahawa jiwa dibalas dengan jiwa, dan mata dibalas dengan mata, dan hidung dibalas dengan hidung, dan telinga dibalas dengan telinga, dan gigi dibalas dengan gigi, dan luka-luka hendaklah dibalas (seimbang). Tetapi sesiapa yang melepaskan hak membalasnya, maka menjadilah ia penebus dosa baginya; dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan ALLAH, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.”

Berdasarkan ungkapan tersebut, ALLAH SWT telah menjelaskan tentang larangan membunuh nyawa, menyakiti dan mencederakan anggota tubuh manusia.

Dalil tersebut juga jelas menegaskan tegahan membiarkan kesihatan dimudaratkan akibat daripada tindakan zalim.

Mengertilah, kesihatan adalah satu nikmat yang begitu mahal nilainya. Disebabkan itulah kita diajar supaya mencegah daripada mengubati.

Bahkan, dalam sebuah hadis masyhur, Rasulullah SAW bersabda: “Mukmin yang kuat lebih baik dan lebih disukai oleh ALLAH berbanding Mukmin yang lemah.” (Hadis Riwayat Muslim)

Kesihatan jiwa

SELAIN menjaga kesihatan, umat Islam disuruh untuk bertaubat kerana setiap daripada kita merupakan pendosa.

Menurut pelitabrunei.gov.bn, kekuatan yang dimaksudkan dalam riwayat berkenaan merangkumi segala aspek kehidupan termasuk tubuh badan.

Secara tidak langsung, dalam hadis itu, Rasulullah SAW menggalakkan umatnya supaya menjaga kesihatan dan akhlak.

Dalam satu riwayat yang lain, baginda SAW bersabda: “Dua nikmat yang kebanyakan manusia tidak menyedarinya iaitu kesihatan dan masa lapang.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Bukan sekadar menjaga kesihatan, umat Islam juga disuruh bertaubat. Ini kerana masih ada sekelumit dosa dalam diri manusia sekalipun orang melabelkan kita sebagai insan yang baik.

Apa tidaknya, setiap insan tidak boleh lari daripada melakukan kesilapan walaupun sekecil-kecil zarah. Justeru, betapa pentingnya untuk kita bertaubat kepada ALLAH SWT.

Barangkali ramai yang tidak sedar bahawa bertaubat sebenarnya mempunyai perkaitan rapat dengan kesihatan tubuh badan seseorang.

Memetik portal Republika, seandainya seseorang itu sudah bertaubat, hakikatnya perbuatan itu menghasilkan nilai positif kepada kesihatan tubuh badannya.

Demikian fakta yang dilontarkan oleh Pengerusi Majlis Kesihatan Islam Indonesia (MURKISI) Banten, Dr Yahmin Setiawan.

Beliau berhujah bahawa Islam merupakan agama yang sangat menitikberatkan soal kesihatan.

Kesihatan jiwa

NIKMAT sihat yang dikurniakan oleh ALLAH SWT perlu dimanfaatkan dengan memperbanyakkan ibadah.

“Maka, seandainya seseorang itu membersihkan jiwa dan rohaninya dengan bertaubat, individu berkenaan lebih sihat dari segi psikologi dan batinnya.

“Lihat, bertaubat boleh memberi kesan kepada kesihatan psikologi dan rohani seseorang,” jelasnya sebagaimana dipetik merusi portal berpengaruh di Indonesia itu baru-baru ini.

Rohani yang tulus bertaubat kepada ALLAH akan menghasilkan psikologi dan emosi yang sihat.

Mengambil contoh kejadian yang berlaku pada zaman Rasulullah SAW, Dr Yahmin menjelaskan, bukan sedikit sahabat nabi yang bermuhasabah diri pada malam hari untuk merenung kembali apa yang sudah dilakukan dan kemudian bertaubat.

“Jelaslah bahawa dengan taubat tadi, ia dapat membersihkan jiwa seseorang daripada sikap yang mengganggu psikologinya sehingga boleh menjejaskan tubuh badannya,” katanya.

Ia selari dengan firman ALLAH SWT: “…Sesungguhnya, ALLAH menyukai orang yang bertaubat dan menyukai orang yang menyucikan diri.” (Surah al-Baqarah, ayat 222)

Berdasarkan ayat tersebut, jelas beliau, ALLAH SWT begitu menyukai hamba-hamba-NYA yang bersih.

“Membersihkan diri itu sebenarnya termasuklah dari segi pakaian, badan dan persekitaran.

“Malah, tubuh sihat dengan mengelak penyakit dan sentiasa hidup bersih,” titipnya.

Foto: Freepik, Pexels & Unsplash

Nilai kemanusiaan
Gaya Hidup,

Bangkit Semangat Dan Tingkatkan Kualiti Iman Dengan 5 Tip Ini

DETIK masa begitu pantas berlalu. Pejam celik, pejam celik, kita sudah pun memasuki hari ke-13 dalam tahun baru 2022.

Kepada mereka yang sudah menanam azam baharu, bagaimanakah implementasinya dalam kehidupan seharian?

Biarlah kemahuan itu bukan sekadar bersifat duniawi semata-mata. Sebaliknya, ia harus diseimbangkan dengan keperluan ukhrawi, selain melakukan perubahan positif pada diri dari hari ke hari.

Pendakwah Asma’ Harun ada berkongsikan lima tip untuk kita membangkitkan semangat diri dalam menjalani tahun 2022 dengan lebih optimis dan menambah keimanan.

Berikut perincian ‘petua’ yang diberikan oleh beliau sebagaimana dipetik menerusi hantaran di laman sosial Facebook miliknya baru-baru ini:

i. Sempurnakan wuduk sebelum solat.

Bangkit semangat

Ramai dalam kalangan kita yang mengambil wuduk sekadar untuk memenuhi syarat sah solat, bukan? Jawapannya ada pada diri sendiri. Tepuk dada, tanyalah hati.

Ketahuilah bahawa begitu besarnya manfaat berwuduk. Selain membersihkan anggota badan, ia juga menyucikan dosa. Bayangkan, setiap kali air mengalir pada anggota wuduk, ia akan mengeluarkan sekali dosa-dosa dari tubuh kita.

Bahkan, pada hari akhirat kelak, ia menjadi anggota yang bercahaya. Di samping itu, mengambil air sembahyang dengan sempurna juga sebenarnya membantu kita untuk mendapatkan solat yang khusyuk.

Daripada Abu Hurairah RA bahawa beliau mendengar Nbai Muhammad SAW bersabda: “Sesungguhnya umatku akan dipanggil pada hari kiamat dengan dahi, tangan dan kaki yang berseri-seri disebabkan daripada kesan-kesan wuduk. Barang siapa yang mampu daripada kalangan kamu untuk melebihkan dahinya maka lakukanlah ia.” (Hadis Riwayat al-Bukhari & Muslim)

ii. Khusyuk dalam solat.

Bangkit semangat

Solat ibarat kita menjaga hubungan dan ‘komunikasi’ dengan ALLAH SWT. Apabila solat dijaga, insya-ALLAH kualiti iman juga bertambah. Percayalah mereka yang khusyuk dalam solat ialah orang yang tenang dalam menjalani kehidupannya.

Sementara itu, orang yang berjaya menawan hatinya untuk khusyuk, tidak mustahil dirinya mampu untuk merentas ujian hidup dengan tenang dan sabar.

ALLAH SWT berfirman dalam Surah al-Mu’minun, ayat 1-2 yang bermaksud: “Sesungguhnya beruntunglah orang-orang yang beriman. (Iaitu) orang-orang yang khusyuk dalam sembahyangnya.”

Baca juga Sukar Khusyuk Ketika Solat, Boleh Cuba Kaedah Yang Disarankan Ini 

iii. Sedekah.

Bangkit semangat

Barangkali ramai yang tidak sedar bahawa ibadah itulah yang paling diimpikan untuk dilakukan semula oleh orang yang sudah meninggal dunia. Justeru, selagi hayat dikandung badan, usahlah bertanggung untuk melakukan amalan yang satu ini.

Perbuatan sedekah sering kali ditangguhkan oleh kita yang masih hidup, tetapi amalan itu mempunyai nilai yang begitu besar buat individu yang sudah dijemput menghadapi ILAHI.

ALLAH SWT berfirman: “Dan infakkanlah sebahagian daripada apa yang telah KAMI berikan kepadamu sebelum kematian datang kepada salah seorang di antara kamu; lalu dia berkata (menyesali), “Ya Tuhanku, sekiranya ENGKAU berkenan menunda (kematian) ku sedikit waktu lagi, maka aku dapat bersedekah dan aku akan termasuk orang-orang yang soleh.” (Surah al-Munafiqun, ayat 10)

Baca juga Ustaz Abdullah Khairi berkongsi Kisah Teladan Tentang Kebaikan Bersedekah

iv. Banyakkan beristighfar.

Bangkit semangat

Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Demi ALLAH, sesungguhnya aku beristighfar kepada ALLAH dan memohon ampun kepada-NYA setiap hari lebih daripada 70 kali.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Lihat, Rasulullah SAW yang maksum (tiada dosa) pun memohon ampun daripada ALLAH SWT setiap hari tanpa gagal, apatah lagi kita pendosa yang sentiasa terjebak dengan maksiat.

Justeru, basahkan lidah kita dengan beristighfar kerana amalan itu dikategorikan sebagai ‘raja zikir’. ia bukan sahaja menghapuskan dosa, tetapi perilaku mulia itu juga membantu kita untuk keluar daripada segala permasalahan hidup.

v. Memilih sahabat dan persekitaran yang baik.

Agama seseorang itu bergantung kepada dengan siapa dia berkawan. Jika bersahabat dengan orang soleh, maka kita akan terpengaruh untuk melakukan amal soleh. Andai berkawan dengan pelaku maksiat, maka kita juga akan terdorong untuk mengikuti mereka.

Daripada Abu Musa RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Perumpamaan teman yang baik dan teman yang buruk adalah seperti seorang penjual minyak wangi dan seorang tukang besi. Adapun, penjual minyak wangi akan memberi kamu (minyak wangi tersebut), atau kamu membeli daripadanya, atau kamu mendapat bau yang harum daripadanya. Sedangkan tukang besi pula, akan membakar bajumu dan juga kamu mendapatkan bau yang busuk.” (Hadis Riwayat al-Bukhari & Muslim)

Ayuh sama-sama kita amalkan semua tip tersebut dalam kehidupan seharian. Semoga ia mampu membangkitkan semangat hidup kita menjadi insan yang lebih baik.

Foto: Freepik, Pexels & Unsplash

Hina Rasulullah
Gaya Hidup,

Kebaikan Kecil Yang ‘Berbuah Manis’, Berikut Penjelasannya

APABILA melihat orang lain mendermakan sejumlah wang yang besar, terasa diri begitu kerdil kerana tidak dapat mengeluarkan duit atau kebaikan sebanyak itu.

Begitu juga tatkala melihat individu lain menyantuni ibu bapa dan ahli keluarganya dengan memberikan wang saku, membelanja makan, hadiah serta seumpamanya.

Sebenarnya, apa sahaja perbuatan yang dilakukan untuk menyenangkan hati, memudahkan urusan dan sebarang perkara yang mendatangkan manfaat kepada orang lain merupakan perilaku yang mulia.

Mudah kata, kebaikan tidak semestinya hanya dengan wang ringgit. Boleh jadi ia datang dalam bentuk yang lain selagi ia memberi faedah kepada sesiapa pun.

Pendakwah Muhammad Fahmi Rusli menerusi ciapan di akaun Twitter miliknya menyarankan masyarakat agar melakukan kebaikan walaupun hanya sekecil-kecil perkara.

MUHAMMAD FAHMI

“Jangan pula kita melakukan keburukan walaupun dengan hanya sekecil-kecil perkara,” katanya.

Ia bertepatan dengan firman ALLAH SWT menerusi kalam-NYA yang bermaksud: “Maka barang siapa mengerjakan kebaikan seberat zarah, nescaya dia akan melihat (balasan)nya. Dan barang siapa mengerjakan kejahatan seberat zarah, nescaya dia akan melihat (balasan)nya.” (Surah al-Zalzalah, ayat 7-8)

Baca juga Jangan Remehkan Atau Kecam Usaha Kebajikan Orang Lain

Muhammad Fahmi yang juga Pegawai Hal Ehwal Islam Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan menjelaskan, orang yang masuk syurga bukanlah mereka yang tiada dosa.

“Sebaliknya, mereka ialah golongan yang mana setelah ditimbang pahala dan dosanya, pahalanya lebih berat. Maka masuklah dia ke dalam syurga.

“Begitu juga halnya dengan orang yang masuk ke dalam neraka. Bukannya mereka tiada pahala, tetapi setelah dihitung, dosanya lebih berat. Akhirnya dia dihumban ke neraka,” ungkapnya.

Ketahuilah bahawa terdapat tiga peringkat kebaikan sebagaimana menurut al-Syinqithi menerusi karyanya, Adhwa al-Bayan yang dilaporkan dalam web uin-antasari.ac.id.

Berikut merupakan perinciannya:

i. Tahap terendah (al-hadd al-adna).

Berbuat baik atau melaksanakan tanggungjawab hanya sekadar melepaskan kewajiban seperti membayar zakat.

Selain itu, bersedekah sunat juga termasuk dalam pengertian itu. Sebagai contoh bersedekah dengan sebiji kurma.

Kebaikan kecil

BERBUAT baiklah kepada sesiapa sahaja dan di mana-mana sahaja.

ii. Tahap pertengahan (al-hadd al-awsath).

Bermaksud berbuat kebaikan atau melaksanakan kewajipan dengan kadar yang mencukupi. Dengan kata lain, ia sekadar boleh menggugurkan kewajipan dan berkongsi dengan kepentingan sendiri.

Ia sebagaimana yang digambarkan oleh anjuran dalam al-Quran iaitu berkelakukan sederhana (tidak berlebih-lebihan) termasuk dalam perihal amal.

iii. Tahap yang tinggi (al-hadd al-aqsa).

Peringkat tertinggi itu adalah melibatkan perbuatan berbuat baik atau melaksanakan kewajipan kepada orang lain walaupun diri sendiri memerlukannya.

Lihat bagaimana sifat yang ditonjolkan oleh kaum Ansar demi kemaslahatan orang Muhajirin ketika mereka berhijrah ke Madinah.

Sesungguhnya, kebaikan yang ditunjangi keikhlasan dan ketulusan hati membuahkan hasil hasil yang begitu manis sepertimana yang digambarkan oleh ALLAH SWT menerusi ayat 7 dan 8, Surah al-Zalzalah.

Malah, keimanan seseorang itu juga dinilai berdasarkan ilmu dan amal yang dilakukannya, lapor portal terkemuka di Indonesia, Republika.

Kebaikan kecil

ALLAH SWT menjanjikan balasan yang baik kepada mereka yang melakukan sedemikian.

Dalam hadis Rasulullah SAW, ada menyatakan bahawa iman mempunyai lebih 70 cabang. Cabang iman yang paling tinggi adalah ucapan Lailaha illallah, manakala yang terendah pula adalah menghilangkan gangguan walaupun duri dari jalan.

Maka disebabkan itulah kita tidak boleh memandang remeh suatu kebaikan walaupun nampak kecil oleh kebanyakan manusia.

“Boleh jadi ALLAH SWT akan membalas amalan yang dilakukan dengan ikhlas dengan pahala yang berkali ganda.

“Ia sepertimana kisah anjing kehausan berkeliaran di sekitar perigi untuk mendapatkan air. Bayangkan haiwan ini dalam keadaan menyedihkan dan hampir mati.

Baca juga Tak Boleh Sakiti Haiwan, Sekalipun Ia Haram Dimakan Atau Disentuh

“Namun begitu, seorang wanita dari Bani Israel kasihan melihatnya. Lalu, dia menanggalkan kasutnya untuk mengambil air dari perigi tersebut dan memberikannya kepada anjing tadi,” katanya dipetik daripada portal berkenaan.

Asbab amal soleh yang dilakukan, maka ALLAH SWT mengampunkan segala dosa yang dilakukan. Meskipun anjing ialah haiwan bernajis bagi umat Islam, tetapi membantunya yang sedang nazak merupakan suatu kebajikan.

Kisah tersebut memberi gambaran bahawa setiap umat Islam hendaklah melakukan kebaikan kepada sesiapa sahaja tanpa mengira latar belakang.

Kebaikan kecil

AMALAN kebaikan tidak semestinya dengan hanya bersedekah, tetapi banyak konteks lain lagi antaranya dengan membuang duri di jalanan dan mengukirkan senyuman kepada orang lain.

Dalam hal itu, terdapat sebuah hadis masyhur yang mana Rasulullah SAW bersabda: “Jangan sekali-kali kamu meremehkan sedikit kebaikan atau kamu mengosongkan bekas airmu untuk mengisinya dengan orang yang sedang mencari air, atau kamu bertemu saudaramu dengan wajah yang ceria.” (Hadis Riwayat Muslim)

Renungkanlah hadis itu sedalamnya supaya ia melorongkan kita untuk melakukan perbuatan baik pada bila-bila masa dan di mana sahaja tidak kiralah dalam hal yang besar mahupun sekecil-kecil pahala.

Foto: Pexels