Tegur secara berhikmah, inilah lima cara sebenar beri nasihat dalam Islam…
ISLAM sentiasa menitikberatkan adab terutama ketika menegur atau menasihati orang lain.
Minggu lalu, rata-rata warga maya hangat berbahas mengenai tindakan seorang penyanyi ‘senior’ yang dikatakan agak kurang beradab dan tidak profesional ketika ditemubual media secara langsung.
Rentetan isu yang tular itu, sememangnya tidak salah memberi teguran untuk membetulkan sesuatu, namun ada adab dan caranya sepertimana yang digariskan oleh Islam sendiri.
Mengulas lebih lanjut mengenai perkara ini, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Damai Sejahtera Malaysia (YDSM), Amran Zakaria berkongsi, dalam memberi nasihat, seorang Muslim mesti memilih kaedah yang sesuai dan tepat mengikut suasana, keadaan serta keperibadian seseorang.
Ujarnya, nasihat yang diberi mestilah bertujuan memperbaiki kesilapan yang dilakukan kerana Islam melarang perbuatan bermulut manis tetapi mengumpat serta mengutuk.
Rasulullah SAW bersabda: “Bukanlah seseorang Mukmin itu yang menjadi pencaci, pelaknat, bukan yang suka berkata kotor atau yang lidahnya suka menyebut kata-kata yang hina.” (Riwayat Bazzar dan Hakim)
“Dalam apa juga keadaan, pemberi nasihat mestilah banyak bersabar terutama ketika orang yang dinasihati tidak bersedia menerima nasihatnya. Usah mudah berputus asa kerana sifat Mukmin itu sentiasa melakukan sesuatu yang baik secara berterusan.
“Menghormati orang lain sama seperti kita menghormati diri sendiri, maka hendaklah menghiasi peribadi sebaiknya. Keperibadian kita akan diukur melalui kasar atau lembutnya pengucapan kerana tutur kata lemah lembut itu lebih berkesan daripada bahasa kasar dan tidak sopan.
“Agama sentiasa mengingatkan untuk berjaga-jaga dan berhati-hati dengan setiap lafaz ucapan supaya tidak mencederakan hati serta perasaan orang lain. Sebab itu ia wajar dilakukan dengan penuh tertib. Amalan pengucapan yang baik tersenarai dalam ciri akhlak yang terpuji,” katanya.
Baca Juga Cuaca panas melampau buru nyawa manusia, dinginkan suasana dengan membaca doa ini
Selain itu, dalam Islam terdapat lima langkah bagaimana hendak menegur kesalahan orang lain iaitu:
1. Berilah nasihat dan teguran dengan bahasa dan suara yang lembut, janganlah sesekali kita menasihati dan menegur dengan suara yang tinggi dan menggunakan bahasa yang angkuh dan seumpamanya kerana kita menasihati dan menegur bukan untuk mendedahkan aib orang.
2. Elakkanlah daripada menasihati dan menegur kesilapan atau kesalahan di depan orang ramai. Nasihati dan tegurlah ketika dia sedang bersendirian atau ketika berada di tempat yang tertutup.
Berilah nasihat dan teguran dengan adab dan cermat bukannya dengan cara yang boleh menimbulkan perasaan malu kepada orang yang ditegur.
3. Berilah nasihat dan teguran dengan menggunakan perkataan-perkataan yang baik dan bermanfaat agar tidak menyinggung perasaan orang yang ditegur.
Berhati-hati dalam memilih perkataan yang sesuai agar orang itu tidak merasa terhina dan rendah diri. Berilah nasihat dengan akal fikiran dan hati bukannya dengan emosi.
4. Orang yang menasihati dan menegur hendaklah meminta maaf selepas membuat teguran kerana tujuan meminta maaf itu adalah untuk memujuk perasaan orang yang ditegur supaya jangan terasa hati di atas nasihat dan teguran yang diberikan.
Apabila kita ingin menasihati dan menegur seseorang, nasihati dan tegurlah sebagaimana kita inginkan diri kita ditegur atau dinasihati dan tegurlah sebagaimana kita inginkan anak dan ahli keluarga kita ditegur.
5. Sentiasa bersangka baik terhadap orang yang kita nasihati dan tegur kerana mungkin mereka tidak mengetahui apa yang mereka lakukan itu adalah satu kesalahan