Struktur ikan buntal yang unik bukti kekuasaan ciptaan al-Khaliq…
SEJAK semalam, tular struktur tulang ikan buntal yang pertama kali dilihat oleh warganet. Ia satu lagi bukti keajaiban ciptaan-NYA yang sukar digambar dek akal manusia.
Gambar tulang ikan buntal tersebut telah dikongsi oleh Profesor Ekologi Molekul dan Ketua Pusat Penyelidikan Penyelesaian Berasaskan Alam, Derby, Prof Michael Sweet.
Apabila membayangkan fizikalnya, fikiran kebanyakan manusia lebih terarah kepada keadaan ikan yang mengembung bagaikan bola dan tidak bertulang. Masakan tidak, tulang itu sifatnya keras. Mana mungkin ia boleh mengembang sedemikian rupa?
Kepada mereka yang menyangka sedemikian, segera nyahkan jauh-jauh. Ternyata tanggapan itu tidak benar sama sekali.
Menerusi fakta yang dikongsikan di laman sosial Facebook Ajar (halaman pendidikan), rupanya tulang ikan buntal disusun sangat bermatematika seperti origami.
Jelasnya, ia dapat mengembang dan menguncup kerana susunan jaringan ruang. Jurutera manusia yang hebat-hebat pun belum dapat datangkan ciptaan seperti ini.
“Semakin kita mengkaji alam, semakin kita kagum dengan kebijaksanaan Penciptan-NYA. Melihat penciptaan ikan buntal ini, kita boleh kaitkan dengan sifat ALLAH ‘al-Khaliq’.
“’Al-Khaliq’ merupakan sifat bagi ALLAH SWT yang bermaksud, mengadakan sesuatu, ataupun menciptakan sesuatu. Contohnya, penciptaan ikan buntal ini menggambarkan kehebatan Al-Khaliq. Kehebatan ALLAH dalam menciptakan sesuatu,” katanya.
Selain al-Khaliq, Ajar menjelaskan, kita juga boleh mempelajari sifar al-Musawwir milik ALLAH SWT menerusi penciptaan-NYA yang satu itu.
Jelasnya, Musawwir berasal daripada perkataan ‘suwar’ yang bermaksud gambar atau imej.
“Al-Musawwir bermaksud ALLAH SWT MAHA MENCIPTA makhluk dengan pelbagai rupa dan identiti yang tersendiri tanpa berpandukan sebarang contoh sebelumnya.
Baca Juga 15 rahsia keajaiban Kaabah yang perlu diketahui
“Antara ayat quran mengenai al-Khaliq dan al-Musawwir ialah, “DIALAH ALLAH, Yang Menciptakan sekalian makhluk; Yang Mengadakan (dari tiada kepada ada); Yang Membentuk rupa (makhluk-makhluk-NYA menurut yang dikehendaki-NYA); bagi-NYALAH nama-nama yang sebaik-baiknya dan semulia-mulianya; bertasbih kepada-NYA segala yang ada di langit dan di bumi; dan DIALAH yang tiada banding-NYA, lagi MAHA BIJAKSANA.” (Surah Al-Hasyr ayat 24).
“Sebenarnya, belajar tentang alam pun boleh mendekatkan diri kita kepada ALLAH jika kita sentiasa kaitan alam sekeliling kita dengan kebesaran dan kehebatan ALLAH,” kongsi laman berkenaan.
Kejadian alam tanda kekuasaan ALLAH SWT
Ketahuilah, ejadian alam merupakan ketetapan ALLAH SWT sejak azali. Ia merupakan anugerah-NYA kepada semua makhluk yang hidup di bumi ini.
Seperti dikongsi Pensyarah Tamadun Islam, Universiti Teknologi MARA Perlis, Ustaz Abd Aziz Harjin, salah satu tanda kekuasaan ALLAH SWT adalah kejadian bumi dan segala isi kandungannya. Semua yang dijadikan oleh ALLAH adalah untuk manusia mengambil manfaat bagi menyempurnakan kehidupan mereka di bumi.
Jelasnya, antara hikmah-hikmah kejadian bumi termasuklah sebagai tempat kediaman manusia, membuktikan kekuasaan ALLAH, sebagai tempat ujian kepada manusia terhadap amalan yang dilakukan, dan supaya manusia insaf bahawa kehidupan di bumi ini adalah sementara untuk menunggu ke alam yang kekal abadi (alam akhirat).
“Ia dapat dijelaskan dalam al-Quran Surah al-Hadid, ayat 4 yang bermaksud “Dialah yang menciptakan langit dan bumi dalam masa enam hari”.
“ALLAH SWT menjadikan bentuk muka bumi yang berbeza-beza antara satu tempat dengan tempat yang lain. Perbezaan ini mempengaruhi beberapa aktiviti kehidupan manusia dalam beberapa aspek.
“DIA juga menjadikan bukit-bukau, gunung-ganang, sungai, laut, tumbuh-tumbuhan, dan lain-lain untuk menjadi bahan bantu kepada manusia menjalani kehidupan di bumi ini,” katanya.
Baca Juga Menyalahkan hujan atau kejadian alam yang berlaku ibarat menolak Sunnatullah Sang Pencipta
Semua hikmah kejadian itu, ujar beliau, ia jelas membuktikan kekuasaan dan keagungan ALLAH, meningkatkan keimanan dan ketakwaan kepada-NYA, manakala bukit dan gunung merupakan pasak bumi yang meneguhkan kedudukan bumi.
“Oleh itu, ALLAH SWT telah menganugerahkan akal fikiran dan ilmu pengetahuan kepada manusia supaya manusia berusaha mencari rahsia-rahsia yang terdapat di bumi untuk dimanfaatkan dalam kehidupan harian,” kongsi beliau menerusi laman web dialog.blogspot.