Sebuah kematian yang menghidupkan jiwa Muslim
“SEBAB ‘tu mak pesan, tutuplah aurat walaupun keluar rumah sekejap untuk sidai baju. Tak boleh culas pakai baju kelawar dan sekadar tutup kepala pakai tuala… “
Kematian yang menghidupkan jiwa, inspirasi dari kisah tiga beradik mangsa banjir. Hebat sungguh orang tua mereka mendidik anak-anak solehah ini. Dikatakan ketiga-tiga mangsa menutup aurat dengan sempurna di akhir hayat mereka.
Terdahulu, tiga beradik perempuan yang berusia di antara 20 hingga 27 tahun itu maut, dipercayai akibat terkena renjatan elektrik di luar rumah mereka yang dilanda banjir di Kampung Bendang Surau dekat Morak, Tumpat pada pagi Isnin 19 Disember 2022.
Mengikut laporan media, seorang daripada mangsa terkena renjatan elektrik selepas memegang tiang rumah sebelum terkena pula kepada dua adiknya yang turut berada di hadapan rumah.
Tindakan itu menyebabkan ketiga mereka jatuh ke dalam air sebelum tubuh menjadi seakan kejang dan meninggal dunia serta-merta.
Jenazah tiga beradik itu telah selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Morak, Tumpat, Kelantan.
Bapa mangsa, Mohd Nadzir Mohamad reda dengan pemergian anak ketiga, lima dan enam dari lapan beradik itu walaupun pemergian mereka dalam keadaan cukup menyayat hati.
Dia berkata, tiada perubahan ketara ditunjukkan tiga beradik itu kecuali layanan yang mesra diberikan oleh Nurul Syazwani dan Noor Fathiah, terhadap dirinya kebelakangan ini.
Baca juga 10 tanda kematian yang baik
“Sebelum ini, ketiga-tiga mereka memang sudah baik budi pekerti tapi kebelakangan ini melayan saya dengan sangat baik terutama Syazwani dan Fathiah yang sering bertanyakan makan minum saya.
“Jika saya beritahu nak makan apa-apa, mereka segera menyediakannya dan saya tidak mengesyaki apa-apa sebaliknya apabila berlaku tragedi ini, baru saya sedar akan perubahan itu,” katanya ketika ditemui.
Istiqamah menjaga aurat
Seorang pengguna facebook, dikenali sebagai Atiqah Tahar turut bercerita akan kisah mereka yang benar-benar menjentik hati yang mati.
Ujarnya, di sebalik kisah duka yang terjadi sebenarnya terselit hikmah yang wajar untuk direnungkan iaiitu meninggal di usia muda dan istiqamah menjaga aurat hingga akhir hayat.
“Dua hal ini perlu dijadikan renungan hidup akan kisah mereka. Kematian di usia muda meninggalkan pesan, syarat mati bukanlah tua tetapi kepada mereka yang pernah hidup. Bezanya hanya lambat atau cepat sahaja.
“Diceritakan mereka ini semasa hidup menjaga auratnya. Dalam sebuah potongan hadis Rasulullah SAW bersabda “Jagalah hak ALLAH, nescaya ALLAH akan menjagamu.” (Hadis Riwayat Tirmidzi)
“Teringat pada sebuah pesanan “Nanti nak keluar rumah pastikan tutup aurat meskipun berada dalam kereta sahaja kerana kematian itu boleh datang dengan pelbagai cara dan mudahan bila sampai saatnya kita dijemput ILAHI dalam keadaan seperti kita selalu menjaganya”.
Baca juga Bingung urus kematian ketika bah, ketahui pengurusan jenazah fiqh banjir
“Berpesan pada diri sendiri terutamanya, moga istiqamah sampai mati dan buat mereka yang baru ingin berubah maka jangan bertangguh lagi kerana kematian juga tidak pernah menunggu kita.
“Kerana hidup mereka seorang menjaga, lalu pengakhirannya mereka telah dijaga.” katanya dipetik di laman Facebook.
Seluruh warga kerja Sinar Islam Plus dan Sinar Harian merakamkan ucapan takziah buat keluarga Nurul Syazwani Mohd Nazir, Nurul Sakinah Mohd Nazir, Nurul Fathiah Mohd Nazir dan seluruh keluarga di Malaysia yang menjadi korban banjir 2022.
Al Fatihah.