RAMAI yang berani mengungapkan cinta kepada pasagannya sehingga melontarkan kata bermadah lautan api sanggup ku renangi walaupun jauh nun di sana.
Kata-kata yang dizahirkan seolah-olah cinta mereka dibungkus rapi dan dikuburkan dalam sudut hati yang paling dalam.
Namun sedarkah kita sebagai umat Islam, seharusnya cinta hakiki dan abadi hanya kepada ALLAH dan Rasul-NYA.
Sempena bulan kelahiran dan sebagai tanda kita mencintai perjuangan Baginda, terdapat beberapa perkara yang boleh dilakukan sebagai wasilah dan bukti untuk zahirkan lagi cinta kepada Rasulullah SAW.
Memetik perkongsian Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad di laman Facebooknya antara perkara yang boleh dilakukan sebagai tanda zahirkan cinta kepada Baginda.
لَقَدۡ جَآءَكُمۡ رَسُولٞ مِّنۡ أَنفُسِكُمۡ عَزِيزٌ عَلَيۡهِ مَا عَنِتُّمۡ حَرِيصٌ عَلَيۡكُم بِٱلۡمُؤۡمِنِينَ رَءُوفٞ رَّحِيمٞ
‘‘Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad SAW), yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat tamak (inginkan) kebaikan bagi kamu, (dan) ia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman.” (At-Taubah ayat 128)
“Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.” (A-Imran ayat 104)
Tanda kita mencintai Rasulullah adalah dengan meneruskan perjuangan Baginda. Apa yang boleh kita lakukan? Antaranya adalah:
1. Menuntut ilmu agama secara berterusan
2. Menunaikan kewajipan sebagai Muslim
3. Menghidupkan sunah Baginda SAW
4. Melaksanakan tanggungjawab dakwah
5. Mencegah perkara mungkar dan batil
Baca juga ENAM amalan yang digalakkan dalam bulan Rabiulawal
Sangat beruntung menjadi umat Nabi Muhammad SAW, kerana ALLAH SWT meninggikan darjat kita sebagai umat terbaik dalam sekalian umat disebabkan kita mendapat rasul terbaik daripada kalangan para rasul sebelumnya.
“Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada ALLAH (dengan sebenar-benar iman).” (Al-Imran ayat 110)
Walaupun tidak pernah hidup bersama bahkan tidak pernah berjumpa kekasih ALLAH ini, namun kita tetap perlu menyebarkan risalah Islam sebagai mata rantai perjuangan Baginda dengan melaksanakan amar ma’ruf nahi mungkar selagi nyawa di kandung badan.