PENDAKWAH bebas, Firdaus Wong menyelar komen yang memburukkan dan menjatuhkan imej Islam selain menegaskan penganut Kristian juga dilarang menggunakan ungkapan Rest In Peace (R.I.P) ke atas orang bukan Kristian.
Ia susulan hantaran Facebook BFM Radio berkenaan laporan penggunaan ucapan R.I.P, ruangan komennya dipenuhi pelbagai pandangan negatif sehingga ada menyangkal larangan ke atas umat Islam menggunakan ungkapan R.I.P.
Firdaus tampil memberikan komen di hantaran Facebook itu bagi menyelar tindakan beberapa pihak yang mempertikaikan penggunaan ungkapan itu bagi umat Islam.
“Begitu ramai pakar Islam di sini mengulas tentang Islam. Apakah kaitan dengan keputusan ini dengan kamu semua yang belum beragama Islam atau kamu lebih suka saya memanggil kamu sebagai kafir seperti yang dinyatakan dalam Al-Quran?
“Bagi mereka yang Kristian di sini mengulas (mengutuk) Islam & Muslim, tidakkah anda tahu bahawa Kristian pun tidak dibenarkan mengucapkan RIP kepada bukan Kristian?
“Untuk anda yang lain, belajar tentang agama anda sendiri sebelum komen tentang Islam,” tegasnya menerusi ruangan komen di Facebook BFM itu.
Hukum mengucapkan ‘R.I.P’ kepada orang bukan Islam
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dilaporkan berkata seseorang Muslim tidak boleh berdoa memohon keampunan bagi orang bukan Islam kerana itu termaktub di dalam nas yang jelas.
Ucapan “R.I.P” atau “Rest in Peace” itu merupakan doa yang dibacakan orang bukan Islam.
“Islam sangat menghormati kematian manusia di mana sunnah bagi orang Muslim untuk mengucapkan takziah dan ucapan-ucapan yang baik kepada orang bukan Islam,” kata pejabat mufti berkenaan.
“Tidaklah dibenarkan bagi Nabi dan orang-orang yang beriman, meminta ampun bagi orang-orang musyrik, sekalipun orang itu kaum kerabat sendiri, sesudah nyata bagi mereka bahawa orang-orang musyrik itu adalah ahli neraka.” (Surah al-Taubah ayat 113)
Para ulama fikah bersepakat bahawa perbuatan memohon keampunan bagi orang yang mati dalam keadaan bukan islam atau kafir adalah dilarang. Bahkan ada pendapat yang lebih keras mengatakan individu yang memohon keampunan bagi orang kafir juga turut dihukum kafir.
Ini kerana ia berlawanan dengan nas yang jelas bahawa ALLAH SWT tidak akan mengampunkan sesiapa yang berlaku syirik kepada-NYA, ditambah lagi dengan nas bahawa sesiapa yang mati dalam keadaan kafir maka dia akan menjadi ahli neraka.
Ada pun bagi orang Islam yang mendoakan orang kafir agar diberi hidayah maka tidak mengapa. Perkara ini dipersetujui oleh ulama mazhab Hanafi dan diizinkan untuk mendoakan hidayah menurut mazhab Hanbali.
Sebahagian daripada ulama juga menzahirkan untuk berdoa memohon keampunan kepada bayi dan anak-anak orang kafir, kerana itu termasuk daripada undang-undang di akhirat kelak.
Dibenarkan ucapan takziah kepada orang bukan Islam
Islam membenarkan penganutnya untuk mengucapkan ucapan takziah kepada ahli keluarga, jiran dan rakan-rakan yang kematian orang terdekat tanpa mengira agama dan bangsa.
Maka apa sahaja ucapan takziah yang sesuai dan baik adalah dibolehkan kepada orang bukan Islam selagi mana dia tidak memusuhi agama Islam. Ini membuktikan bahawa Islam merupakan agama yang harmoni dan fleksibel dalam urusan keduniaan terhadap semua golongan tanpa mengira agama.