Meski teruja dengan kemunculan AI, perhati juga kedudukan hukum dalam penciptaan imej manusia
TEKNOLOGI kecerdasan buatan atau lebih dikenali sebagai artificial intelligence (AI) amat popular ketika ini. Ia juga merupakan salah satu cabang sains dalam menjadikan sesuatu benda mempunyai kepintaran seperti manusia.
Buka sahaja laman media sosial pasti kita akan melihat gambar-gambar yang mengagumkan hasil ciptaan AI. Gambar yang diciptakan juga kebanyakannya adalah watak seorang manusia.
Mencipta gambar model dengan menggunakan AI berkait rapat dengan hukum melukis gambar makhluk bernyawa atau manusia.
Berkenaan perkara ini, ilmuan Islam, Dr. Yusuf al-Qaradhawi pernah menimbulkan persoalan mengenai hukum gambar-gambar dan lukisan seni yang dilukis di atas kertas lukisan, kain kanvas, tirai, dinding, permaidani, mata wang dan sebagainya.
Kemudian, beliau menyebutkan masih tidak jelas kecuali kita lihat dan kaji apa tujuan gambar tersebut dicipta, di mana ia diletakkan dan apa kegunaannya. Begitu juga dengan apa yang dimaksudkan pelukis apabila melukis gambar itu.
“Jika gambar yang dihasilkan oleh prompter itu adalah gambar melibatkan elemen ketuhanan agama-agama lain dan seumpamanya dengan tujuannya untuk disembah selain daripada ALLAH, maka orang yang melakukan bagi tujuan dan niat tersebut dianggap berdosa besar kerana terlibat dalam urusan agama-agama lain,” terangnya.
Seterusnya menerusi satu video di YouTube, penceramah terkenal Ustaz Azhar Idrus tampil menjawab persoalan yang dilontarkan oleh orang awam dengan memberikan pandangannya berhubung platform penghasilan gambar berasaskan AI dari segi agama.
Jelasnya, ulama kebanyakannya membolehkan untuk melukis dengan tujuan Islam atau maslahah (kebaikan), adapun lain daripada maslahah tidak dibolehkan.
“Contoh maslahah ini kita lukis untuk pelajaran, seperti di universiti pelajaran medik contohnya pasti akan banyak hasilkan lukisan fizikal atau gambaran manusia yang hidup (wajah, kaki, tangan) dan ulama membenarkannya atas dasar pembelajaran.
Baca Juga Kongsi perjalanan di bumi Tareem, Luqman Hafiz luah rasa syukur berpeluang ziarah bumi berkah itu
“Adapun kerana lukis-lukis benda yang hidup kerana untuk ‘enjoy’ sebaiknya kita tinggalkan, kerana Nabi pernah melarang seorang lelaki yang melukis benda yang hidup, lalu lelaki ini berkata dia tidak pandai menghasilkan apa-apa selain melukis, lalu Baginda menjawab supaya lukis benda yang tidak bernyawa.
“Dalam masalah teknologi AI ini, perlu jelas akan hukum-hukumnya, yang pertama apa tujuan kita melukis menggunakan AI, contohnya dalam perniagaan baju kurta, kita hasilkan lukisan orang sebagai model baju kurta, maka hukumnya adalah harus.
“Kedua, jika tujuan kita mencipta gambar model yang seksi dan untuk menarik perhatian anak muda, maka hukumnya adalah haram, dan jika gambar yang dilukis itu juga mengundang kepada fitnah maka hukumnya adalah dilarang syarak.
Agamawan itu menjelaskan lagi mengenai hukum mengguna AI untuk hasilkan lukisan model dan individu yang sudah meninggal dunia.
Ujar beliau, jika orang yang sudah meninggal itu merupakan orang yang mulia seperti ulama sehingga orang yang melihat itu akan ingat kepada akhirat, maka hukumnya adalah harus.
Baca Juga Halal haram konsert hiburan… Hadam dahulu pandangan ulama tentang muzik dalam Islam
“Sekiranya menjadikan individu tersebut dalam keadaan hina, hukumnya adalah haram menurut sisi Islam. Gambar-gambar yang boleh menimbulkan fitnah atau aib juga ditegah daripada dihasilkan menerusi AI kerana ia boleh memecahbelahkan silaturrahim di dalam masyarakat,” katanya.
Ikuti kupasan yang lebih mendalam tentang AI, peranan, manfaat untuk ummah serta perkara yang anda perlu elak ketika mencipta produk daripada aplikasi canggih itu menerusi sisipan Sinar Islam Plus, Jumaat 26 Mei nanti.