Kontroversi ajaran pelik di pesantren Jawa Barat. Jakim tubuh jawatankuasa pemantau..
SATU jawatankuasa pakar syariah akan dibentuk secepat mungkin oleh Jabatan Agama Islam Malaysia (JAKIM) untuk mengkaji sebuah pondok atau pesantren di negara jiran, yang didakwa menyebarkan ajaran sesat seperti tular videonya baru-baru ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, perkara yang menimbulkan kegusaran itu kini dalam perhatian pihaknya.
“Kajian ini akan dibawa kepada jawatankuasa muzakarah dan seterusnya jawatankuasa ini akan bersidang dan membuat keputusan. Satu cadangan akan diserahkan kepada Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) untuk memutuskannya,” katanya.
Baca Juga Ini yang waris wajib tahu jika keluarga hilang di Tanah Suci
Terdahulu, seorang selebriti dari Indonesia, Lucky Hakim telah mendedahkan ramai rakyat Malaysia hadir dalam majlis kontroversi melibatkan sebuah sekolah pondok pesantren di Indramayu, Jawa Barat di negara tersebut.
Pelakon lelaki itu mendedahkan majlis itu melibatkan lebih 2,000 orang termasuk tetamu dari luar, antaranya Korea dan paling ramai dari Malaysia.
Di Indonesia kini sedang hangat diperkatakan tentang aktiviti di pusat pengajian tersebut yang mencetuskan beberapa kontroversi.
Ia bermula tular di media sosial setelah pengasas pusat pengajian itu melaksanakan solat sunat Hari Raya Aidilfitri dikatakan bertentangan dengan ajaran Islam.
Dalam video tersebut kelihatan mereka melaksanakan solat berjarak seperti semasa pandemik Covid-19 tetapi bercampur antara lelaki dan wanita dalam satu saf.
Baca Juga ‘Ulama boleh tegur kerajaan’ – Anwar
Kontroversi melibatkan pesantren itu kembali meletus apabila pengasasnya meminta para pengikut menyanyikan lagu dan mengucapkan salam dalam bahasa Hebrew.
Selain itu, cara laungan azan oleh pelajar di pondok yang menghadap jemaah dan didakwa mengelirukan orang ramai.
Bukan itu sahaja, rakaman seorang wanita menyampaikan khutbah Jumaat dipercayai di pusat pengajian juga tular.
Sementara itu, pendakwah terkenal Indonesia, Ustaz Abdul Somad mengecam tindakan pimpinan pondok itu kerana jelas lagu dinyanyikan di dalam masjid itu adalah lagu salam bagi orang Yahudi.
Meskipun kurang popular dalam kalangan rakyat Malaysia, pesantren adalah sekolah pondok terbesar di Asia Tenggara.
MAIS dan JAIS pantau ajaran sesat
Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sedang memantau ketat ajaran sesat melibatkan sebuah pondok di Jawa Barat, Indonesia.
Pengerusi MAIS, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata, setakat ini belum dimaklumkan secara terperinci mengenai isu tersebut yang telah tular kebelakangan ini, namun pihak mereka bersama JAIS memantau secara berterusan semua ajaran sesat di negeri Selangor.
Baca Juga Ada 7 orang muka sama di dunia, apa kata Islam?
Turut Disyorkan Kalimah ALLAH, antara nas dan realiti
Ujar beliau, selain isu pondok itu, terdapat puluhan ajaran sesat lain yang wujud di negeri berkenaan.
Walau bagaimanapun, jika unsur ajaran pondok itu dikesan, MAIS akan berurusan dengan Jabatan Islam Indonesia bagi tindakan selanjutnya.
Tambahnya, proses bagi mendapatkan maklumat tepat mengenai sesebuah ajaran sesat bukanlah perkara mudah.
“Ia memerlukan strategi dan operasi strategik bagi mengetahui apa yang diajar mereka dan faktor lain. Justeru, kita turut bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi lain bagi membanteras perkara itu,” tegas beliau.