TULAR satu notis pemberitahuan hari akhir Ramadan 1444H yang disebarkan menerusi media sosial menunjukkan pada 20 April manakala 1 Syawal pada 21 April.
Paparan itu menimbulkan spekulasi dalam kalangan warga maya mengenai tarikh Hari Raya Aidilfitri tahun ini.
Jakim menerusi perkongsian di setiap saluran media sosial rasminya, menasihati semua pihak agar menghormati proses penentuan rasmi tarikh hari raya di negara ini, yang dibuat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja selaku pihak yang diamanahkan Majlis Raja-Raja.
Timbulnya isu ini seolah mencetus tanda tanya kepada masyarakat. Oleh itu, Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) telah mengeluarkan satu perbandingan data hilal Syawal tahun ini 2023 dan tahun lepas 2022.
Jelas JUPEM, Pemahaman masyarakat terhadap data hilal adalah penting supaya dapat mendapat gambaran potensi hilal kelihatan atau sebaliknya terutama melibatkan tiga bulan utama semasa cerapan hilal dilakukan.
Pengetahuan ini boleh dijadikan panduan kepada orang awam untuk memahami samada hilal bagi sesuatu bulan itu berada pada tahap mustahil boleh dilihat atau sukar dilihat atau mudah kelihatan.
Gambaran tersebut dapat difahami dengan mengetahui beberapa ciri antaranya seperti berikut:
a) ketinggian hilal di atas ufuk;
b) jarak antara hilal dengan matahari;
c) umur hilal dari berlaku ijtimak sehingga hilal terbenam;
d) tempoh hilal berada di atas ufuk; dan
e) sejauh mana data hilal tersebut menghampiri kriteria imkanur-rukyah.
Berikut merupakan beberapa fakta analisis mengenai proses data hilal yang dikeluarkan oleh Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM)
Baca Juga Mengapa proses cerapan perlu dalam menentukan tarikh mula berpuasa dan hari raya?
1. Data hilal yang dihisab (hitung) sentiasa dirujuk semasa menentukan tarikh baharu dalam sesuatu bulan hijri. Data hilal pada setiap tarikh 29 haribulan hijri dianalisa untuk mengetahui sama ada ia memenuhi syarat Kriteria Imkanur-Rukyah atau sebaliknya yang menentukan jumlah hari dalam bulan tersebut hanya 29 hari atau 30 hari.
2. Bagi penentuan tarikh baharu tiga bulan utama yang melibatkan ibadah besar iaitu bulan Ramadan, Syawal dan Zulhijjah akan ditentukan melalui kedua-dua kaedah hitungan (hisab) dan cerapan hilal (rukyah).
3. Kriteria Imkanur-Rukyah merupakan satu kriteria yang digunakan sebagai asas yang menggambarkan ciri hilal yang dianggap boleh dilihat dengan mata kasar atau bantuan alat optik. Kriteria yang digunakan adalah melibatkan dua elemen iaitu tinggi hilal dan jarak lengkung antara hilal dengan matahari semasa waktu maghrib (matahari terbenam).
4. Syarat minima hilal boleh kelihatan menurut kriteria ini mestilah di ketika matahari telah terbenam kedua-dua syarat mestilah dipenuhi iaitu tinggi hilal di atas ufuk tidak kurang dari 3° dan jarak lengkung antara matahari dan bulan tidak kurang dari 6.4° (6° 24’).
5. Hilal yang mempunyai ciri-ciri kritikal hampir memenuhi syarat minima Kriteria Imkanur-Rukyah sering mendapat perhatian pencerap kerana menjadi cabaran dan harapan kemungkinan hilal dapat dilihat sekaligus menjadi satu pencapaian rekod baharu dalam cerapan hilal untuk digunakan dalam penilaian saintifik bagi tujuan penambahbaikan Kriteria Imkanur-Rukyah jangka masa panjang di masa hadapan.
6. Dalam keadaan di mana hilal yang berada di bawah Kriteria Imkanur-Rukyah berjaya dilihat, ia akan memberi kesan kepada perubahan tarikh bulan baharu berbeza dengan kalender hijri yang telah diterbitkan sebagaimana berlaku pada bulan Syawal tahun 2022.
7. Analisa data hilal Syawal tahun 2022 menunjukkan bahawa tinggi hilal 5° 27’ adalah berada jauh melebihi syarat minima (3°). Manakala jarak lengkung hilal ke matahari adalah 5° 57’ yang hampir memenuhi syarat minima (6° 24’).
8. Hasil cerapan mendapati bahawa hilal Syawal 2022 telah berjaya dilihat dan penetapan tarikh Hari Raya Aidilfitri tahun 2022 adalah lebih awal sehari berbanding tarikh yang telah ditetapkan di dalam kalender.
9. Analisa data hilal Syawal tahun 2023 menunjukkan bahawa tinggi hilal adalah 2° 18’ berada di bawah kriteria minima (3°), manakala jarak lengkung hanyalah 2° 41’ sahaja berada jauh di bawah kriteria minima (6° 24’). Data ini menggambarkan hilal berada pada posisi sukar dilihat kerana jauh di bawah syarat minima.
Baca Juga Wajib tahu, jangan keliru. Ini jenis ubatan dan prosedur kesihatan yang tidak batalkan puasa
Walau bagaimanapun, sebagai umat Islam yang beriman adalah wajib mengimani bahawa segala ketentuan adalah di atas kehendak ALLAH SWT.
Telah menjadi ketetapan di negara ini bahawa cerapan hilal rasmi dijalankan pada 29 haribulan hijri bagi tiga bulan utama dan sekiranya hilal kelihatan maka keesokannya ditetapkan sebagai 1 haribulan bulan baharu sebaliknya jika tidak kelihatan maka keesokan harinya adalah dilanjutkan kepada 30 haribulan.
Ikuti kami juga di telegram