KEUNIKAN agama Islam menjadi modal intelektual yang boleh dikaji oleh pemikir dan ahli falsafah. Hasil atau dapatan kajian itu kemudiannya digunakan kembali demi kepentingan ummah seluruhnya.
Menerusi pautan yang disiarkan oleh AlHijrah online, Jabatan Agama Islam Malaysia (JAKIM) baru-baru ini telah melancarkan Pusat Maklumat Penyelidikan.
Majlis tersebut dilancarkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad.
Ia merupakan pusat sehenti secara maya bagi berkongsi hasil-hasil kajian JAKIM kepada masyarakat yang boleh dilayari menerusi laman sesawang https://ciri.islam.gov.my/
Selain itu, untuk memperkasa kajian dan penyelidikan hadis, JAKIM melalui Bahagian Penyelidikan telah mengambil langkah awal menubuhkan Pusat Penyelidikan Hadis.
Katanya menerusi hantaran Facebook, pusat penyelidikan itu ditubuhkan bagi menyelaraskan kajian dan rujukan hadis kepada masyarakat. Pemerkasaan pusat ini akan dilakukan secara berterusan.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Konvesyen Penyelidikan Islam Peringkat Kebangsaan 2022 anjuran Bahagian Penyelidikan JAKIM.
Ujarnya, konvesyen tersebut merupakan salah satu platform perkongsian kepakaran kepada jabatan serta agensi kerajaan dalam memperkasakan dasar serta hala tuju pentadbiran negara.
Baca juga Jangan buat kerja Tuhan
“Didoakan semoga konvensyen yang buat pertama kali diadakan ini dapat memberikan manfaat kepada agensi Islam dan pentadbitan negara terutama dalam bidang penyelidikan Islam. Kita mesti meneruskan usaha ini,” katanya.
Tujuh panel hadis dilantik
Menerusi perkembangan terbaru daripada berita RTM, seramai tujuh panel pemikir hadis dilantik bagi mengetuai Pusat Penyelidikan Hadith di bawah Bahagian Penyelidikan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Idris berkata, pusat penyelidikan tersebut akan menyelaras kajian dan rujukan hadis sahih kepada masyarakat di samping mengelakkan perbalahan.
Jelas beliau, panel pemikir hadis yang dilantik terdiri daripada golongan intelektual hadis dalam kalangan pensyarah universiti.
“Kita nak menyatukan masyarakat ini dengan ilmu, menyatukan ummah ni dengan ilmu, itu tujuannya. Kita tak nak lagi berlaku pertelagahan dalam kalangan masyarakat, ia merugikan,” katanya selepas menghadiri Konvesyen Penyelidikan Islam Peringkat Kebangsaan 2022.
JAKIM turut menyediakan laman sesawang myhadith.islam.gov.my bagi memudahkan orang ramai mendapatkan informasi terkini berkaitan hadis.
Idris turut meletakkan bidang penyelidikan berkenan dalam Pelan Strategik Agensi Hal Ehwal Agama 2022-2026 melalui Kluster Transformasi Penyampaian Perkhidmatan.
Selain itu, beliau turut melancarkan Pusat Maklumat Penyelidikan Islam di bawah seliaan JAKIM sebagai pusat sehenti secara maya bagi berkongsi hasil-hasil kajian JAKIM kepada masyarakat yang boleh dilayari menerusi laman sesawang ciri.islam.gov.my.