Kesalahan dalam pelarasan waktu solat di masjid adalah sukar untuk dirasionalkan…
ISU azan maghrib awal bukalah benda baru. Setiap tahun di bulan Ramadan pasti akan terjadi perkara ini. Sama ada azan berkumandang di masjid ataupun di corong radio.
Tahun lepas, isu ini timbul apabila seorang penyampai radio di Tawau menyiarkan azan Maghrib empat minit lebih awal dengan secara tidak sengaja. Dek kejadian ini, ramai warga Tawau yang telah berbuka awal dari waktu.
Baru-baru ini pula tular di media sosial, apabila pengurusan Masjid Jame’ Badlishah Pekan Yan telah mengeluarkan satu permohonan maaf kepada jemaah kerana melaungkan azan Maghrib iaitu dua minit lebih awal sebelum masuk waktu sebenar pada 30 Mac lalu.
Timbalan Pengerusi masjid itu, Ahmad Nasir berkata, puasa jemaah yang bergantung semata-mata kepada laungan azan Maghrib dari masjid tersebut untuk berbuka telah terbatal dan perlu diganti atau diqada.
Perkara tersebut berdasarkan pandangan Jumhur Ulama’ dari kalangan Hanafi, Maliki, Syafie dan ramai di kalangan ulama’ Hanbali menyatakan bahawa puasa tersebut batal dan wajib diqada.
“Para jemaah boleh ikuti syarah hukum melalui siri Bayan Linnas Siri Ke-97 Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan bertarikh 18 Jun 2017 yang disertakan bersama lampiran ini,” katanya.
Azan dan ibadah
Sementara itu, Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari UITM, Dr Mohd Hapiz Mahaiyidin turut mengulas kesalahan dalam pelarasan waktu-waktu solat di masjid adalah sukar untuk dirasionalkan.
Katanya, melalui kaedah asal dalam hukum iftar ialah masuknya waktu Maghrib. Ia bermula apabila terbenamnya keseluruhan cakera matahari di ufuk barat dan berakhir ketika hilangnya syafaq ahmar.
“Manakala hukum imsak iaitu mula berpuasa ialah masuknya waktu Subuh. Ia bermula apabila terbitnya fajar sadiq di ufuk timur sehingga terbitnya matahari.
Baca Juga Islam tidak benarkan memasang pembesar suara masjid dengan kuat di luar waktu solat
“Permulaan kedua-dua waktu itu mesti diketahui secara yakin (mu’ayanah/musyahadah) atau zann ghalib (ijtihad/khabar orang yang siqah) bagi melaksanakan ibadat yang sah seperti solat dan puasa (iftar dan imsak).
“Hakikatnya, setiap waktu solat bukannya bermula dengan azan kerana azan boleh dilaungkan lewat dari itu. Tujuan asal azan pula adalah untuk memanggil orang ramai mendirikan solat jemaah di masjid, bukannya menandakan masuk waktu seperti yang difahami kebanyakan orang ramai pada hari ini,” titipnya.
Jelas beliau lagi, disebabkan itu, orang ramai perlu memastikan ketetapan awal waktu dengan melaraskan jam tangan, jam dinding termasuk jam digital masjid mengikut ‘standard’ masa sirim.
“Boleh tengok masa di telefon bimbit masing-masing yang secara automatiknya dilaras mengikut masa ‘standard‘. Pada hari ini, isu pengetahuan tentang masa termasuk waktu azan sudah menjadi perkara maklum dalam kehidupan hatta agama.
“Orang yang tidak cakna dengan masa dianggap melakukan taqsir atau kecuaian. Justeru, solat yang dimulakan sebelum masuk waktu adalah tidak sah. Begitu juga berbuka sebelum masuk waktu juga membatalkan puasa.
“Masalah seseorang itu terlupa, tersalah atau terkhilaf dalam menentukan masuk-keluar waktu berlaku perbincangan dalam kalangan ulama. Akan tetapi kejahilan tentang masuk-keluarnya waktu semasa melakukan ibadat adalah disepakati tidah sah ibadat itu di sisi ulama khususnya fuqaha Syafi’iyyah,” ungkapnya melalui satu hantaran di media sosial Facebook.
Tegasnya lagi, hari ini, umat Islam dikelilingi dengan jam tangan, jam dinding, jam loceng, jam telefon serta jam di radio dan televisyen. Kesalahan dalam pelarasan waktu-waktu solat di masjid adalah sukar untuk dirasionalkan.
Ikuti kami juga di telegram