Kemuliaan yang diangkat oleh Islam melalui kerjaya perguruan..
TANGGAL 16 Mei begitu sinonim dengan sambutan hari guru. Ia disambut bagi memberi penghargaan kepada semua guru.
Saban tahun juga Kementerian Pendidikan Malaysia pasti akan mengeluarkan tema untuk sambutan hari guru. Tema yang dipilih pada tahun ini 2023 adalah”Guru Insani Pemangkin Generasi Madani”.
Menjadi seorang guru antara perkerjaan yang sangat mulia kerana tugasnya adalah untuk mendidik pelajarnya, bukan sekadar mengajar.
Perkataan guru, atau dalam bahasa Arabnya ialah المُعَلِّم Muallim, iaitu orang yang mengajarkan – mereka yang mempunyai ilmu yang tinggi dan boleh mengajar.
Dalam Islam, ALLAH SWT memberi ganjaran dan pahala yang melimpah ruah kepada golongan ini. Malah ia banyak termaktub di dalam hadis mengenai kelebihan seorang guru ini.
Mufti Wilayah di laman Irsyad Al-Hadith Siri Ke-66, berkongsi antara hadis-hadis yang diriwayatkan bertaraf sahih atau hasan berkenaan kelebihan seorang guru atau pendidik.
Antaranya:
1 – Seperti bulan dan bintang
وَإِنَّ فَضْلَ العَالِمِ عَلَى العَابِدِ كَفَضْلِ القَمَرِ لَيْلَةَ البَدْرِ عَلَى سَائِرِ الكَوَاكِبِ
Maksud: “Sesungguhnya kelebihan orang yang alim dibanding dengan ahli ibadah adalah seperti bulan pada malam purnama atas seluruh bintang-bintang.” (Hadis Riwayat Abu Daud)
Baca Juga Rasulullah SAW ikon guru terbaik, berjaya tetapkan piawaian pendidikan ideal sejak 1,000 tahun lalu
2 – Ulama (orang yang alim dalam ilmu agama) diibaratkan seperti pewaris Nabi
وَإِنَّ العُلَمَاءَ وَرَثَةُ الأَنْبِيَاءِ ، وَإِنَّ الأَنْبِيَاءَ ، لَمْ يُوَرِّثوا دِيْنَارًا ، وَلَا دِرْهَمًا ، إِنَّمَا وَرّثوا العِلْمَ ، فَمَنْ أَخَذَهُ أَخَذَ بِحَظٍّ وَافِرٍ
Maksud: “Sesungguhnya ulama adalah pewaris para nabi. Sungguh pun para nabi tidak mewariskan dinar atau dirham tetapi mereka telah mewariskan ilmu. Barangsiapa yang mengambil warisan tersebut maka dia telah mengambil bahagian yang banyak.” (Hadis Riwayat Abu Daud)
3 – Lebih daripada ahli ibadah
فَضْلُ العَالِمِ عَلَى العَابِدِ كَفَضْلِيْ عَلَى أَدْنَاكُمْ
Maksud: “Kelebihan orang yang alim dibanding dengan ahli ibadah adalah seperti kelebihanku atas orang yang paling rendah di antara kamu semua.” (Hadis Riwayat al-Tirmizi)
4 – Semua berselawat kepadanya
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكتَهُ وَأَهْلَ السَّمَاوَاتِ وَالأَرْضِ حَتَّى النَّمْلَةَ فِيْ جُحْرِهَا وَحَتَّى الحُوْتَ لَيُصَلُّوْنَ عَلَى مُعَلِّمِ النَّاسِ الخَيْرَ
Maksud: “Sesungguhnya ALLAH SWT, para Malaikat dan semua penduduk di langit dan di bumi, sehinggakan semut di sarangnya dan ikan (di lautan) pasti berselawat (mendoakan) kebaikan bagi orang yang mengajarkan kebaikan kepada manusia.” (Hadis Riwayat al-Tirmizi)
Baca Juga Ini hukumnya apabila kita ‘berguru’ dengan media sosial
5 – Pahala yang melimpah-ruah
مَنْ عَلَّمَ عِلْمًا فَلَهُ أَجْرُ مَنْ عَمِلَ بِهِ لَا يَنْقُصُ مِنْ أَجْرِ العَامِلِ
Maksud: “Barangsiapa yang mengajarkan sesuatu ilmu maka dia akan mendapat pahala orang yang mengamalkannya tanpa mengurangi pahala orang yang mengamalkannya sedikit pun.” (Hadis Riwayat Ibn Majah)
Hargailah setiap orang yang pernah menjadi guru dalam hidup anda. Mereka mungkin akan semakin dimamah usia, atau semakin berjauhan daripada diri anda namun manfaat dari ilmu yang disampaikan pasti akan kekal selamanya.
Selamat Hari Guru diucapkan kepada semua insan yang bergelar guru.
SUMBER: MUFTI WILAYAH