ISU kalimah ALLAH masih hangat dibicarakan dalam kalangan agamawan dan ahli akademik. Ia seolah masih tiada kata putus daripada pihak yang bertanggungjawab.
Rentetan perkara tersebut, Mufti Perlis, Prof Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin telah mengeluarkan beberapa ulasannya mengenai isu ini.
Jelasnya, untuk mengelakkan ketegangan yang tidak baik untuk negara dan kehidupan masyarakat yang berbilang agama dan kaum, maka sejak 12 tahun lalu beliau telah mencadangkan beberapa perkara berikut sebagai garis panduan yang patut diambil perhatian oleh pihak kerajaan;
1. Nama ALLAH tidak boleh dipanggil melainkan hanya kepada Tuhan yang sebenar. Maka dengan itu tiada pihak yang boleh menamakan sekutu-sekutu ALLAH yang didakwa oleh manusia sebagai Tuhan atau perantara Tuhan sebagai ALLAH. Ini seperti memanggil berhala, atau batu, atau patung, atau manusia dengan panggilan ALLAH.
Baca Juga Isu kalimah ALLAH, pihak berwajib perlu lebih prihatin
Jika ini berlaku, Muslim memang wajar membantah. Musyrikin Quraisy memanggil Tuhan sebenar ALLAH tetapi mensyirikkan-NYA, pun begitu tidak menamakan berhala mereka dengan nama ALLAH, sebaliknya menamakan berhala-berhala mereka dengan panggilan al-Lata, al-‘Uzza, Manat dan seumpamanya.
2. Manusia memang sewajarnya memanggil Tuhan yang sebenar ALLAH. Ini juga membuktikan ajaran Islam yang memanggil tuhan ‘ALLAH’ itulah yang benar. Maka, tidak mengapa, bahkan sepatutnya semua manusia tanpa mengira agama menyatakan “ALLAH yang menciptakan alam”, “ALLAH yang menurunkan hujan”, “ALLAH menyuruh kita melakukan kebaikan” dan seumpamanya.Perkataan-perkataan itu benar. Adalah tidak wajar seorang Muslim membantah apabila mendengar bukan Muslim menyatakan perkara seperti itu.
Baca Juga Selain wang tunai atau barang kemas, bolehkah mas kahwin diberikan dalam bentuk lain?
Bahkan al-Quran menerusi surah al-Ankabut, ayat 63 ada menyebut yang maksudnya : “Dan sesungguhnya jika engkau (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: “siapakah yang menurunkan hujan dari langit, lalu dia hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya?” sudah tentu mereka akan menjawab: “ALLAH”. Ucapkanlah (Wahai Muhammad): “Alhamdulillah” (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka yang demikian), bahkan kebanyakan mereka tidak menggunakan akal (untuk memahami tauhid)”.
3. Jika mereka akur ALLAH adalah Tuhan sebenar, lalu mereka memanggil ALLAH dalam doa mereka, maka seorang Muslim tidak boleh mengganggu urusan ibadah agama lain selagi bukan bersifat provokasi tetapi sekadar keyakinan sendiri. Walaupun Islam mempertikaikan kesyirikan mereka, tetapi kebebasan beribadah adalah hak setiap agama selagi tidak mencabar atau menghina ajaran Islam secara jelas.
4. Bukan Muslim tidak boleh menggunakan nama ALLAH untuk penyebaran dakyah yang menghina Islam. Ini seperti mempersendakan ALLAH dalam sebaran kepada masyarakat Islam atau mempermain-mainkan nama ALLAH dalam tulisan, lukisan, filem dan seumpamanya seperti yang sering berlaku dalam masyarakat Barat.
5. Bukan Muslim tidak boleh memutarbelitkan ajaran Islam dengan mempergunakan nama ALLAH sebagai umpan. Tindakan provokatif seperti itu wajar diambil tindakan tegas. Adalah menjadi prinsip kemanusiaan yang dipegang oleh Islam bahawa tiada siapa pun boleh memutar belitkan maksud ajaran pihak lain. Orang Islam juga tidak boleh memutarbelitkan ajaran agama lain.
Turut Disyorkan Halal haram konsert hiburan… Hadam dahulu pandangan ulama tentang muzik dalam Islam
6. Menyebut nama ALLAH dalam pergaulan antara Muslim dan bukan Muslim dengan cara yang hormat dan mengagungkan ALLAH seperti bukan Muslim menyebut kepada Muslim “semoga ALLAH merahmati kamu”, atau “semoga ALLAH memberi rezeki kepada kamu” atau insya-ALLAH adalah diizinkan. Bahkan itulah yang sepatutnya. Nabi SAW ketika membuat perjanjian dengan Quraisy Mekah juga masing-masing menggunakan nama ALLAH seperti hadis Muslim tadi.
Berdasarkan perkara di atas, beliau menyimpulkan bahawa apa yang dilarang ia penyalahgunaan nama ALLAH. Ini merangkumi semua pihak, sama ada Muslim atau bukan Muslim.
“Adapun jika nama ALLAH digunakan dalam konteks yang betul seperti bukan Muslim menyebut nama ALLAH dalam lagu-lagu negeri atau nasyid yang mereka minati atau dialog dengan Muslim atau urusan rasmi atau kerana ingin memahami ajaran Islam dan seumpamanya, adalah dibolehkan,” katanya.