Jauhi membazir dan berbelanja sakan di Aidilfitri ini…
KETERUJAAN umat Islam di Malaysia untuk menyambut 1 Syawal kelihatan masih meriah seperti biasa, lagu-lagu Hari Raya era 80an-90an juga yang terkini turut kedengaran di corong-corong radio.
Tidak ketinggalan juga baju, perabot dan kelengkapan rumah baharu antara pelengkap kepada sambutan hari raya ini. Ia ibarat sudah menjadi adat dalam masyarakat melayu.
Dalam hal ini, Islam tidaklah melarang untuk berbelanja keperluan baharu sempena meraikan kemenangan 1 Syawal, namun harus diingat, jauhilah amalan sakan berbelanja sehingga ia membawa kepada pembaziran kelak.
Renungan firman ALLAH SWT “” …Dan janganlah kamu melampau (pada apa-apa jua yang kamu makan atau belanjakan); sesungguhnya ALLAH tidak suka kepada orang-orang yang melampau”. (al-An’am ayat 141).
Tidak salah untuk kita meraikan hari raya dengan meriah, tetapi jangan sampai menjerat diri dalam hutang demi memenuhi kehendak diri.
Dek kerana amalan sakan berbelanja ini dilihat sudah sebati dalam masyarakat, Perancang Kewangan Berlesen, Zulkhairi Zulkifli tampil berkongsi lima tip penting sebagai panduan kepada orang ramai ketika berbelanja sempena lebaran ini.
1. Buat bajet raya
Kerajaan setiap tahun mempunyai bajet, begitu juga syarikat tempat kita bekerja mempunyai bajet takkan kita sendiri tidak mempunyai bajet. Peruntukan 30 peratus daripada gaji bulanan untuk digunakan sebagai perbelanjaan persiapan hari raya.
Sebagai contoh, jika gaji bersih sebanyak RM2,500 maka, bajet raya anda ialah RM750 dan jadikan ia sebagai panduan perbelanjaan.
Baca Juga Haram guna duit Raya anak? Berikut perinciannya
2. Senarai barang
Buat senarai barangan asas yang perlu dibeli dan pastinya yang pertama ialah pakaian raya. Sekiranya baju raya tahun lepas masih elok, lebih baik gunakannya dahulu.
Tetapi kalau ingin juga membeli yang baharu, cuba dapatkan tawaran pakej ibu bapa dan anak kerana ia lebih jimat. Contohnya, jika anda mempunyai tiga orang anak dan termasuk ibu bapa maka, kos baju raya adalah sebanyak RM400.
Selepas digunakan untuk beli pakaian raya, bajet raya anda masih berbaki RM350. Baki itu boleh digunakan untuk membeli barangan juadah ringkas untuk menjamu selera sebelum solat hari raya dan selepas solat dengan membelanjakan sebanyak RM200. Baki duit tersebut yang berjumlah RM150 boleh digunakan untuk memberi duit raya.
3. Bajet kecemasan
Anda boleh menggunakan bajet kecemasan sekiranya peruntukan gaji sebanyak 30 peratus itu tidak mencukupi.
4. Semak kembali senarai yang dibuat
Buat semakan senarai perbelanjaan raya itu bersama pasangan atau rakan yang disiplin dalam merancang kewangan. Objektif semakan itu ialah untuk mendapatkan pandangan kedua.
Pastikan proses membuat semakan tersebut dibuat ketika diri berada dalam keadaan tenang dan perut kenyang kerana ketika lapar banyak keputusan yang tidak rasional bakal dibuat. Ini bertujuan menguruskan faktor emosi yang boleh mempengaruhi keputusan yang bakal dibuat.
Baca Juga Pulang beraya di kampung, berapa hari sebenarnya kita boleh solat jamak dan qasar?
5. Jangan berhutang
Elakkan berhutang atau menggunakan perkhidmatan beli sekarang bayar kemudian, meminjam dengan ah long dan menangguhkan bayaran pinjaman demi membeli barangan dikehendaki.
Jangan mengambil jalan mudah dengan menangguhkan bayaran pinjaman itu kerana rekod bayaran anda tidak akan cantik dan terpaksa membayar dua kali ganda baki tertangguh itu.
Tidak berbaloi kita melakukan hal sedemikian hanya semata-mata untuk seronok beraya, tetapi hidup merana. Sebaiknya, guna wang yang ada di tangan dengan cermat dan bijaksana.
Ikuti kami juga di telegram