Jangan sampai Syawal jadi bulan membazir. Elakkan lima punca ini..
SYAWAL sememangnya sinonim dengan kemeriahan sambutan Aidilfitri. Bagi sesetengah orang pula, bulan ini diraikan dengan berbelanja barang-barang baharu.
Ada yang terlebih gembira dalam sambutan ini sehingga membuat persiapan dan pembelian yang berlebihan, lebih malang lagi ia hanya menjurus kepada pembaziran yang dilarang oleh agama.
Menerusi satu hantaran di laman media sosial Facebook oleh Dr. Muhamad Faisal, Pengerusi Pusat Pengajian Dakwah dan Kepimpinan Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia menjelaskan sebenarnya, membazir bukanlah disebabkan kaya atau miskin, tetapi ia merupakan suatu sikap dan tabiat yang keterlaluan dalam sesuatu perkara.
Ia meliputi sikap ingin menunjuk-nunjuk, terpengaruh dengan media sosial dan rakan sosial, dan tiada perancangan yang teliti. Semua sikap ini akhirnya menjerumuskan dirinya ke lembah pembaziran.
Oleh itu sebagai pesanan bersama, beliau berkongsi ada lima punca yang membawa kepada pembaziran terutama di bulan syawal ini iaitu:
1. Menggunakan harta pada perkara yang tiada berfaedah.
Membuang harta dan membelanjakannya pada perkara yang sia-sia dilarang dalam agama. Walaupun pada zahirnya, tiada orang yang sengaja membuang hartanya, tetapi ia boleh berlaku secara tanpa sedar dan mungkin juga dengan sedar.
Contohnya, membeli mercun dengan kuantiti yang banyak. Biarpun tiada halangan untuk membakar mercun tetapi apabila melibatkan wang yang banyak ia berpotensi kepada pembaziran.
2. Sikap ingin menunjuk-nunjuk.
Menunjuk pakaian atau kenderaan baharu itu tidak dapat dielakkan. Namun, sikap menunjuk-nunjuk itu membawa kepada pembaziran kerana ia adalah perasaan dalam hati untuk merasa lebih bagus dari orang lain.
Perasaan itu ditandakan lagi dengan tindakan seperti membeli barang yang mahal untuk memuaskan nafsu merasa hebat atau lebih hebat dari orang lain. Tunjuk dibolehkan tetapi menunjuk-nunjuk itu diharamkan.
3. Mudah terpengaruh dan terpedaya dengan promosi dan tawaran.
Sikap ingin mengikuti semua ‘trend’ semasa akibat terpengaruh dengan iklan dan promosi membawa kepada pembaziran. Barang yang sedia ada masih baharu lagi sudah diganti dengan barang yang lain.
Baca Juga Besarnya kasih ALLAH SWT kepada orang yang menziarahi saudaranya semata-mata kerana DIA
Ini termasuklah mudah terpengaruh dengan promosi diskaun terhadap sesuatu barangan sehingga membeli barang bukan keperluannya. Hanya untuk memenuhi nafsu geram terhadap sesuatu. Ini disebut sebagai sikap obsesif iaitu sikap kerap memikirkan mahu membeli barangan terutama apabila ada promosi harga murah.
Apatah lagi dengan kemudahan pembelian secara atas talian yang tidak memerlukan untuk keluar atau bertemu secara fizikal. Tanpa disedari, banyak wang dibelanjakan tanpa kawalan.
4. Berbelanja tanpa perancangan.
Sikap gopoh dan tiada perancangan yang teliti mengundang kepada pembaziran. Contohnya mengadakan rumah terbuka Aidilfitri tanpa diteliti anggaran jumlah pengunjung, kuantiti makanan dan tarikh yang sesuai.
Baca Juga Rugi besar kalau terlepas puasa 6 di bulan Syawal, berikut lima kelebihannya
Memang yang dijemput 100 orang tetapi mereka juga telah makan di tempat lain, maka penyediaan harus mengambil kira perkara ini. Ini termasuklah dua atau tiga orang membeli barang yang sama akibat tiada penyelarasan.
5. Berbelanja pada perkara yang haram.
Perkara ini jelas membazir seperti membeli arak dan merokok.
Ringkasnya, membazir adalah suatu sikap boros yang dilarang dalam agama. Sikap ini disukai oleh syaitan kerana sikap ini bertentangan dengan perkara yang ALLAH suka.
Sempena Syawal ini, berhemahlah dalam berbelanja, kerana setiap wang yang dibazirkan, akan ada di sana hak manusia yang terabai.