“MASINNYA makanan ini. Tak boleh nak makanlah macam ni. Tekak aku tak boleh terima makanan yang masin!”
Perasan atau tidak, rungutan itu seringkali kita ungkapkan tatkala termakan makanan yang terlalu masin.
Meskipun sekadar menyuarakan apa yang dirasakan, perbuatan itu sebenarnya ibarat mencela hidangan tadi.
Ketahuilah bahawa Rasulullah SAW tidak pernah mencela makanan walaupun hidangan itu tidak menepati selera baginda.
Daripada Abu Hurairah RA berkata: “Tidak sekali-kali Rasulullah SAW mencela makanan. Jika baginda menyukainya, maka baginda akan makan. Jika baginda tidak menggemarinya, maka baginda tidak makan.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Dalam sebuah hadis yang lain yang diriwayatkan oleh Jabir RA, Rasulullah SAW meminta lauk-pauk kepada keluarganya, lalu mereka berkata: “Tidak ada yang kita punyai melainkan cuka.” Baginda SAW lalu memintanya dan mulai beliau makan sambil berkata: “Sebaik-baik lauk-pauk ialah cuka…” (Riwayat Muslim)
Ayuh bersama-sama kita contohi sikap Rasulullah SAW itu. Andai kata, makanan tadi menepati selera kita, makanlah hidangan itu.
Jika tidak, sebaiknya jangan diumpat makanan tadi. Cukuplah sekadar kita tidak menjamahnya sahaja dan mengucapkan terima kasih kepada orang yang menghidangkannya.
Dalam perihal menjamah makanan, sebenarnya ada beberapa perkara yang Rasulullah SAW tidak lakukan.
Antara perkara yang tidak dilakukan baginda ketika makan adalah:
1. Tidak bersandar ketika makan.
Rasulullah SAW bersabda: “Aku tidak pernah makan sambil bersandar (muttaki’).” (Riwayat al-Bukhari)
Apa yang dimaksudkan dengan muttaki’ ialah orang yang duduk sambil bersandar pada alas sandaran yang diletakkan di belakangnya seperti tiang atau dinding.
Tujuannya adalah kerana sunah makan sedikit dan tidak berlebihan serta tawaduk ketika makan.
2. Mengutip makanan yang terjatuh.
Barangkali ada makanan yang sedang kita makan terjatuh dari tepi pinggan. Apa salahnya ambil makanan yang bersih tadi dan buang hanya yang kotor, kemudian makan semula. Namun begitu, kebanyakan kita lebih suka membuangnya.
Sabda baginda SAW: “Apabila jatuh sebahagian (kecil) makanan seorang dari kamu, ambil dan buang bahagian yang terkena kotoran dan makanlah ia, dan jangan tinggalkan ia untuk syaitan dan jangan dia menyapu tangannya dengan kain sehingga dia menjilat jarinya dahulu kerana dia tidak mengetahui pada makanannya, bahagian mana yang terdapat keberkatan.” (Riwayat Muslim)
3. Menjilat jari selepas selesai makan.
Sedar atau tidak, ramai yang tidak berbuat perkara ini selepas makan kerana malu. Sedangkan, perbuatan ini merupakan sunah Rasulullah SAW.
Baginda bersabda: “Apabila seorang daripada kamu telah selesai makan, maka jangan disapu jari-jari sehingga dijilat (terlebih dahulu) atau menyuruh orang lain melakukannya.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Kepada mereka yang jarang berbuat semua perkara-perkara itu, ayuh rajin-rajinkan diri mengikut sunah baginda SAW.
Barangkali kita tidak melakukannya sebelum ini kerana tidak tahu tujuan baginda berbuat demikian.
Sekarang sudah tahu sebab-sebabnya, jom kita amalkan dalam kehidupan seharian.
(Sumber: 100 Amalan Sunnah Rasulullah, Muhd Nasruddin Dasuki)