Isu kalimah ALLAH, pihak berwajib perlu lebih prihatin…
KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) digesa untuk memberikan penjelasan sebenar di sebalik langkah menarik diri daripada rayuan dalam kes Jill Ireland binti Lawrence Bill, seorang wanita Kristian dari Sarawak yang menggunakan kalimah ALLAH atas tujuan agamanya.
Rayuan tersebut sepatutnya dilaksanakan selepas keputusan yang dikeluarkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada tahun 2021 yang membenarkan Jill Ireland menggunakan kalimah ALLAH, ‘Baitullah’, ‘Kaabah’ dan ‘Solat’ oleh golongan bukan Islam dalam agama mereka.
Mantan Menteri Agama, Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri turut menegaskan di sini bahawa keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (Jawatankuasa Muzakarah MKI) pada tahun 2008 telah memutuskan bahawa lafaz ALLAH merupakan kalimah suci yang khusus bagi agama dan umat Islam dan ia tidak boleh digunakan atau disamakan dengan agama-agama bukan Islam lain.
Ujar beliau, paling utama, keputusan untuk rayuan semula kes pada tahun 2021 adalah bagi menjunjung titah KDYMM Sultan Johor dan KDYMM Sultan Selangor, yang menitahkan Kerajaan Persekutuan pada ketika itu membuat rayuan semula bagi keputusan Mahkamah Tinggi tersebut.
“Tidak sedikit jerih payah yang dikerah oleh para Ashabus Samahah Mufti serta Jawatankuasa Muzakarah MKI untuk berbincang, pertemuan demi pertemuan dengan NGO, dan penyusunan kertas penghujahan yang melibatkan ramai pakar dan tokoh akademik.
“Rayuan tersebut diangkat semasa saya menjawat jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). Ia dibuat atas dasar kesedaran akan keperluan kalimah ALLAH, Baitullah, Kaabah, dan Solat kekal menjadi milik umat Islam di Malaysia.
“Setelah segalanya lengkap, saya bentangkannya dalam mesyuarat Jemaah Menteri dan proses rayuan oleh Kerajaan Persekutuan terdahulu melalui Kementerian Dalam Negeri dimulakan,” katanya.
Berhubung dengan perkara di atas juga, Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang turut mengeluarkan kenyataan sepertimana berikut:
Jelasnya, sekiranya perkara yang diviralkan tersebut benar, PGSM melahirkan rasa dukacita dan terkilan dengan tindakan tersebut serta menggesa pihak.
“PGSM berharap kerajaan Malaysia memberikan penjelasan penuh berhubung dengan tindakan penarikan balik rayuan oleh pihak kerajaan itu, kerana ia secara langsung akan menjejaskan maslahah dan kepentingan seluruh umat Islam di negara ini.
“PGSM berharap pihak kerajaan dapat meneliti semula perkara tersebut, serta meneruskan rayuan tersebut ke mahkamah tertinggi negara, dengan mempertimbangkan pelbagai sudut dan segala aspek, khususnya kepada maslahah dan kepentingan umat Islam di negara ini.
“PGSM berharap pihak kerajaan berpegang teguh kepada enam tonggak dasar membangun Malaysia Madani yang diperkenalkan kerajaan, iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, nilai hormat, keyakinan serta ihsan.
“Tindakan menarik balik rayuan tersebut boleh menggugat tonggak dasar pertama; kedua dan keempat iaitu ‘keMampanan’; ‘kesejAhteraan’ dan ‘hormAt’, kerana ia boleh menjejaskan kesejahteraan dan keseimbangan masyarakat berbilang kaum dan agama dalam negara ini.
Baca Juga Elak guna kalimah ‘Priest Muslim’, undang kekeliruan dalam masyarakat
“Sebarang tindakan yang dibuat oleh kerajaan hendaklah mengambil kira undang-undang negeri-negeri khususnya undang-undang yang menghalang penggunaan kalimah-kalimah tertentu termasuk kalimah ALLAH yang telah diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri dan diperkenan oleh DYMM Sultan Negeri-negeri, serta mengelakkan sebarang tindakan yang boleh menjejaskan kuasa DYMM Sultan Negeri-negeri.
“PGSM juga berharap pihak kerajaan tidak terpengaruh dengan desakan pihak-pihak tertentu supaya kerajaan menarik balik rayuan tersebut,” tegas beliau.