Baca doa ini sebaik sahaja selamat pulang dari menunaikan haji…
SEMALAM, media tempatan telah melaporkan kumpulan pertama 284 jemaah Malaysia yang telah selesai menunaikan ibadah haji akan berlepas pulang ke tanah air dari Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz Jeddah pada 7.15 pagi waktu tempatan (12.15 tengah hari waktu Malaysia), hari ini (Rabu).
Kesemua mereka akan berlepas menggunakan pesawat MH8261 dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira 9.45 malam Rabu.
Baca Juga Tawaf pun hendak buat ‘live’, jauhi perbuatan kongsi ibadat di media sosial
Turut Disyorkan Rehlah haji terjemahkan makna syukur dan sabar yang paling maksimum
Sudah tentunya, bagi jemaah haji yang baru pulang mengerjakan haji pada tahun ini akan memberikan kesan positif dan kenangan indah ketika menjadi tetamu ALLAH SWT di bumi yang penuh berkah itu.
Tanggungjawab sebagai Muslim bagi memenuhi rukun Islam yang kelima telah sempurna dan dinantikan kepulangan oleh sanak saudara di Malaysia.
Segala pengorbanan yang diberikan pada jalan ALLAH dalam usaha melaksanakan ibadah haji telah dibuktikan sebagai tanda kecintaan kepada Pencipta.
Setiap insan yang bergelar haji atau hajah perlu meneruskan perjuangan menghidupkan syiar Islam setelah pulang mengerjakan haji.
Bagi mengekalkan istiqamah dalam diri agar menjadi insan yang semakin dekat dengan-NYA, berikut merupakan doa selamat yang dianjurkan untuk dibaca ketika telah selamat pulang ke tanah air seperti dikongsi laman mywilayah.com.
Doa pulang menunaikan haji atau umrah
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمَـٰنِ الرَّحِيْمِ
الْحَمْدُ ِللهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ، حَمْدًا حَامِدِينَ حَمْدًا شَاكِرينَ حَمْدًا نَاعِمِينَ حَمْدًا يُوَافِى نِعَمَهُ وَيُكَافِىءُ مَزِيدَهُ،يَا رَبَّنَا لَكَ الْحَمْدُ كَمَا يَنْبَغِى لِجَلاَلِ وَجْهِكَ الْكَرِيمِ وَعَظِيمِ سُلْطَانِكَ، اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ عَبْدِكَ وَرَسُولِكَ النَّبِيِّ الأُمِّيِّ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِينَ.
اللَّهُمَّ يَا اَللهُ
Kami memuji ke hadrat-Mu dengan pujian yang tidak terkira dan bersyukur ke hadrat-Mu dengan kesyukuran yang tidak terhingga kerana telah mengurniakan pertolongan, bantuan dan penjagaan kepada (…) bersama keluarga serta para rombongan jemaahnya sehingga selamat sampai ke tanah air yang dicintai ini.
اللَّهُمَّ يَا رَحْمَـٰنُ يَا رَحِيْمُ
Ya ALLAH, anugerahkanlah kepada beliau/mereka umrah/haji yang mabrur, sa’ie yang disyukuri, dosa-dosa yang telah diampunkan, amal ibadah dan doa-doa yang telah diterima. Mudah-mudahan dengan sempurnanya amalan ibadah umrah/haji dan segala amalan-amalan yang dilakukan di Mekah, Madinah dan lain-lainnya akan mendapat keredaan dan kesempurnaan dan bersihlah mereka dari dosa-dosa sepertimana anak-anak yang baru dilahirkan.
اللَّهُمَّ يَا حَنَّانُ يَا مَنَّانُ يَا بَديعَ السَّمَـٰوَاتِ وَاْلأَرْضِ يَا ذَا الْجَلاَلِ وَاْلإِكْرَامِ
Ya ALLAH, wahai Tuhan kami, kurniakanlah kepada kami kehidupan yang bahagia di dunia dan di akhirat, umur yang panjang lagi berkat, keimanan dan ketakwaan, kebaikan dan kebajikan serta dimurahkan rezeki kami supaya dapat menunaikan ibadah umrah atau haji beberapa kali lagi dengan bertaubat, beribadah, mengucap syukur dan puji-pujian kepada-Mu Ya ALLAH.
اللَّهُمَّ اجْعَلْ جَمْعَنَا هَذَا جَمْعًا مَرْحُوْمًا وَتَفَرُّقَنَا مِنْ بَعْدِهِ تَفَرُّقًا مَعْصُوْمًا وَلاَ تَجْعَلْ فِيْنَا وَلاَ مَعَنَا شَقِيًّا وَلاَ مَطْرُوْدًا وَلاَ مَحْرُوْمًا، رَبَّنَا ءَاتِنَا فِى الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِى اْلآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ، وَصَلَّى الله ُ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى ءَالِهِ وَصَحْبِهِ وَسَلَّمَ، وَالْحَمْدُ ِللهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ.