Aura ibadah haji – Seruan jihad ke jalan ALLAH..
BOLEH dikatakan kita baru sahaja merayakan Aidilfitri bagi menandakan hari kemenangan selepas sebulan berpuasa Ramadan. Kini, seluruh umat Islam mengalih perhatian pula kepada ibadah haji.
Meskipun bukan semua daripada kita berpeluang ke Tanah Suci bagi menunaikan Rukun Islam kelima itu, tetapi aura bulan haji tetap dirasakan semua masyarakat Islam di seluruh dunia.
Panggilan Kaabah atau seruan haji begitu sinonim dengan setiap umat Islam dan boleh dikatakan semua daripada kita akan memasang niat untuk melaksanakan rukun Islam berkenaan.
Ibadah haji adalah ibadah wajib dilakukan sekali seumur hidup bagi mereka yang berkemampuan.
Baca Juga 22,000 pekerja baharu diambil bantu lancar ibadah haji tahun ini
ALLAH SWT berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya rumah ibadah yang mula-mula dibina untuk manusia (beribadah kepada Tuhannya) ialah Baitullah di Makkah yang berkat dan (dijadikan) petunjuk hidayah bagi umat manusia. Di situ ada tanda keterangan yang nyata (yang menunjukkan kemuliaannya, di antaranya Makam Nabi Ibrahim). Dan sesiapa yang masuk ke dalamnya aman tenteramlah dia. Dan ALLAH mewajibkan manusia mengerjakan ibadah haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya. Dan sesiapa yang kufur (ingkarkan kewajipan ibadah haji itu), sesungguhnya ALLAH MAHA KAYA (tidak berhajatkan sesuatu pun) daripada sekalian makhluk.” (Surah Ali-Imran ayat 96-97)
Tidak seperti ibadah fardu yang lain seperti solat umpamanya, haji adalah suatu bentuk ibadah yang memerlukan seseorang itu bersedia dalam pelbagai aspek sebelum berangkat ke Tanah Suci.
Ia juga dianggap sebagai salah satu jihad di jalan ALLAH SWT. Ya, ibadah haji adalah jihad di jalan ALLAH. Perkara ini sebagaimana dikongsi oleh Pensyarah Kanan Politeknik Muadzam, Mohd Shah Rizal Azman Rifin.
Turut Disyorkan Diuji hingga jatuh berkali-kali, kembali kepada ALLAH, pasti ada solusi menanti
Baca Juga Jemaah haji fokus 4 amalan ini sebelum berangkat ke Mekah
Ujarnya, perkara ini dapat difahami selepas kita meneliti kisah berikut seperti yang terdapat dalam dua hadis.
“Yang pertama, dikatakan bahawa seorang lelaki datang bertemu Baginda SAW lalu mengadu, “Sesungguhnya saya ini seorang yang penakut. Saya juga lemah. Lalu Baginda SAW menasihati lelaki terbabit dengan bersabda, marilah melaksanakan jihad yang tidak terdapat sebarang kesukaran padanya iaitu mengerjakan haji.” (Hadis Riwayat al-Haithami)
“Satu lagi kisah ialah yang diambil daripada Abu Hurairah yang katanya, Rasulullah SAW pernah bersabda, “Jihad orang tua, orang yang lemah dan wanita ialah menunaikan ibadah haji dan umrah.” (Hadis Riwayat An-Nasai’)
“Manakala dalam satu kisah lain, dikatakan isteri Baginda SAW, Aisyah ada bertanya suaminya, “Wahai Rasulullah, kami melihat jihad adalah seafdal-afdal amalan, apakah kami boleh turut serta berjihad? Baginda SAW menjawab, Untuk kamu sekalian kaum wanita, ada jihad yang lebih afdal iaitu mengerjakan haji yang mabrur.” (Hadis Riwayat Imam Bukhari)
“Demikian serba ringkas ibadah haji yang dilihat dari sudut pengertian jihad. Justeru, bagi sesiapa antara kita yang masih belum bergelar Haji atau Hajah hendaknya kita memasang azam yang teguh untuk melaksanakan perintah ALLAH itu,” kongsinya.
Baca Juga Pusat Rawatan TH Madinah miliki fasiliti lengkap sedia berkhidmat untuk jemaah
Tambahnya lagi, bagi yang belum mencukupi dari segi kewangan, hendaklah sentiasa menyimpan secara beransur-ansur dengan satu niat iaitu mencukupkan wang bagi keperluan berangkat ke Tanah Suci.
“Kita yang belum ditakdirkan untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci sama ada bagi menunaikan ibadah umrah, apatah lagi ibadah haji perlu menaruh azam dan berusaha keras bagi mencapai cita-cita murni itu,” titip beliau.