KEMENTERIAN Hal Ehwal Agama Indonesia telah memperkenalkan sebuah logo halal baharu bagi menggantikan logo halal dari Majlis Ulama Indonesia (MUI) yang sedia ada.
Pada Oktober 2019, Badan Penyelenggara Jaminan Produk Halal (BPJPH) yang beroperasi di bawah Kementerian Hal Ehwal Agama telah mengambil alih proses pensijilan halal dengan peranan MUI diturunkan sebagai perunding.
Menurut laporan berita The Jakarta Globe, logo baharu itu telah dilancarkan oleh BPJPH bulan lalu namun ia hanya mendapat perhatian umum setelah diumumkan oleh Menteri Hal Ehwal Agama Indonesia, Yaqut Cholil Qoumas di media sosialnya.
Pengerusi BPJPH, Muhammad Aqil Irham berkata, logo halal tersebut telah berkuatkuasa pada 1 Mac lalu, manakala logo MUI yang sedia ada akan dimansuhkan secara berperingkat menjelang 2026 sementara kuasa ke atas pensijilan halal dipindahkan kepada pihak kerajaan.
Logo halal berwarna ungu itu menggunakan teks kaligrafi Arab dengan perkataan ‘Halal’ serta menyerupai gunungan iaitu patung kulit yang digunakan untuk menggambarkan gunung dalam pertunjukan wayang kulit.
Menjelaskan falsafah di sebalik logo baharu itu, pihak kementerian berusaha memilih simbol penting yang lebih dekat dengan budaya Indonesia.
“Ia melambangkan kehidupan manusia. Bahagian atas logo yang runcing pula menyampaikan mengenai keperluan manusia untuk lebih dekat kepada Tuhan apabila meningkat dewasa dan lebih berpengetahuan,” jelas Irham dalam satu kenyataan akhbar.
Perubahan yang dilakukan atas peraturan kualiti produk halal oleh pihak kerajaan Indonesia ini adalah sebahagian daripada undang-undang yang bertujuan membawa pembaharuan kepada struktur utama perniagaan dan mewujudkan lebih banyak pekerjaan untuk rakyat tempatan.
Jangan lupa follow kami di Instagram!
Foto: The Jakarta Globe, Tribun Jateng & Republika Online