MEMPUNYAI hobi adalah fitrah bagi seorang manusia. Salah satu hobi yang semakin mendapat perhatian adalah menyimpan patung figura aksi sebagai perhiasan.
Bagi peminat figura aksi ini, mereka berpandangan hanya menyimpanya sebagai koleksi hiasan semata. Namun ada hukum yang perlu diketahui di sisi Islam.
Berikut adalah dua fatwa yang dipetik daripada laman web Mufti Wilayah Persekutuan Al-Kafi li al-Fatawi: Hobi Menyimpan Figura Aksi dan Al-kafi #1331: Hukum menyimpan patung permainan kanak-kanak.
Terdapat larangan dalam beberapa hadis mengenai menyimpan dan meletakkan patung di dalam rumah serta mengukirnya. Antaranya ialah hadis yang telah dibahaskan dalam Al-Afkar #47: Hukum Patung Sebagai Perhiasan.
Rasulullah SAW bersabda “Sesungguhnya Malaikat tidak akan masuk suatu rumah yang di dalamnya mempunyai anjing dan gambar patung”. (Hadith Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Di dalam hadis yang lain juga, Rasulullah SAW bersabda ‘Bahawasanya Ummu Habibah dan Ummu Salamah Ranhuma teringat kepada tempat ibadat yang mereka pernah melihatnya di Habsyah yang terdapat patung-patung berhala di dalamnya dan menceritakannya kepada Rasulullah SAW. Maka, Rasulullah SAW bersabda: “Pada satu ketika dahulu ada seorang lelaki yang soleh kemudian dia meninggal dunia. Maka, penduduk di situ mereka membina tempat ibadah di atas kuburnya dan mengukirkan patung-patung tersebut untuknya. Mereka itulah seburuk-buruk ciptaan di sisi ALLAH SWT pada hari Kiamat. (Hadith Riwayat Muslim)
Al-Hafiz Ibn Hajar RA berkata bahawa hadis ini menunjukkan kepada pengharaman mengukir dan menyimpan patung.
ALLAH SWT berfirman di dalam al-Quran “DIA-lah yang membentuk rupa kamu dalam rahim (ibu kamu) sebagaimana yang dikehendaki-NYA. Tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan DIA, YANG MAHA KUASA, LAGI MAHA BIJAKSANA”. (Surah ‘Ali Imran ayat 6)
Berdasarkan nas al-Quran dan hadis di atas, jelaslah kepada kita bahawa pengharaman patung tersebut adalah berkaitan haram mengukir patung yang menyerupai ciptaan ALLAH SWT dan haram untuk disembah atau dimuliakan.
Patung sebagai perhiasan
Adapun selain daripada perkara tersebut seperti patung sebagai alat permainan dan pembelajaran bagi kanak-kanak, maka hukumnya adalah harus.
Walaupun pada asalnya, memiliki patung-patung kecil sebagai permainan ada keharusan, jika tidak ditaqdiskan dan membawa kepada pembaziran.
Ini berdasarkan sebuah hadis daripada Aisyah RA “Aku pernah bermain patung permainan ketika tinggal bersama Nabi SAW, sedangkan aku memiliki beberapa sahabat yang biasa bermain bersamaku. Maka, ketika Rasulullah SAW masuk dalam rumah, sehabat-sahabat aku itu pun bersembunyi dari Baginda. Lalu Baginda menyerahkan mainan padaku satu demi satu lantas mereka pun bermain bersamaku”. (Hadis Riwayat Imam al-Bukhari)
Berkata Imam Ibn Hajar al-Asqalani “Para ulama berdalil dengan hadis ini akan bolehnya patung mainan berupa perempuan dan bolehnya mainan untuk anak perempuan. Hadis ini adalah pengecualian dari keumuman hadis yang melarang membuat tandingan yang serupa dengan ciptaan ALLAH. Kebolehan ini ditegaskan oleh al-Qadi ‘Iyadh dan beliau katakan bahawa inilah pendapat majoriti ulama.” (Rujuk al-Fathul Bari)
Perlu kita perhatikan, budak kecil apabila bermain dengan patung permainan tidak menghormati patung mainannya. Kadang-kadang patung itu terputus kepalanya, terputus tangannya.
Berbeza dengan orang dewasa yang begitu menjaga dan ditakuti membawa kepada penghormatan yang dilarang. Kanak-kanak juga mudah dipengaruhi oleh ayah mereka.
Berkata hukamak “Barang siapa pada masa mudanya biasa berbuat atas sesuatu, nescaya pada masa tuanya terbiasa atas sesuatu itu”.
Semoga ALLAH SWT memberikan taufiq dan hidayah serta kefahaman yang baik dalam agama untuk terus ikhlas beribadat kepada-NYA.