KERAJAAN negeri Johor akan terus berusaha menghulur pelbagai bentuk bantuan kepada keluarga seorang guru Musthafa Kamal Abdullah, 49, yang dilaporkan hilang di tanah suci Mekah, bulan lepas.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, bantuan awal sudahpun disalurkan untuk keperluan perjalanan anggota keluarga guru berkenaan ke Mekah bagi urusan pencarian.
“Sekiranya ada pertambahan pembiayaan yang perlu, boleh memaklumkan kepada kerajaan negeri termasuk kepada wakil rakyat kawasan dan kita sentiasa terbuka untuk membantu,” katanya kepada pemberita selepas lawatannya ke rumah Musthafa di Sri Gading, semalam (17/1/2023).
“Kerajaan negeri juga telah memaklumkan yang urusan pentadbiran (cuti) bagi Musthafa dan anaknya telah dipermudahkan untuk tujuan melaksanakan pencarian berkenaan,” tambahnya.
Jumaat lepas, Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dilaporkan berkata Ketua Perwakilan Malaysia (Malawakil) di Arab Saudi kini memantau perkembangan usaha pencarian Musthafa, yang dilaporkan hilang sejak 12 Disember lepas ketika mengerjakan umrah dan akan mengambil tindakan sewajarnya untuk membantu.
Sebelum ini, tular satu hantaran yang dibuat oleh salah seorang anak Ustaz Musthafa dikenali sebagai Nabel Musthafa memohon jasa baik sesiapa sahaja yang sedang menunaikan ibadah umrah untuk mendoakan semoga ALLAH SWT memberi kemudahan misi pencarian bapanya.
“Semoga ALLAH mengizinkan team pencarian bertemu dengan bapa saya, semoga ALLAH lindungi bapa saya di mana sahaja dia berada. Aamiinn.. Terima kasih semua yang sudi dan tidak berhenti mendoakan ayah saya.
“Saya juga berterima kasih kepada individu yang saya tidak dapat sebut satu persatu telah menghabiskan tenaga masa dan wang ringgit membantu mencari ayah saya.
“Teringat saya satu hadis Nabi SAW “Barangsiapa yang memudahkan urusan mereka dalam kesusahan, maka ALLAH akan memudahkan urusannya di dunia dan akhirat” Semoga ALLAH SWT memberi balasan setimpal dan pahala amal jariah berpanjangan,” katanya menerusi hantaran di laman facebook.
Doa barang hilang agar ditemui / dikembalikan
Agamawan terkemuka, Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri turut memberikan komen selepas terbaca akan berita kehilangan Ustaz Musthafa Kamal Abdullah di Mekah.
Beliau menitipkan satu doa untuk dipanjatkan agar beliau kembali ditemui dengan selamat.
Ibn Umar pernah ditanya mengenai barang yang hilang. Jawapannya adalah:
أَنَّ مَنْ ضَاعَ لَهُ شَيْءٌ فَلْيَتَوَضَّأْ وَلْيُصَلِّ رَكْعَتَيْنِ وَلْيَتَشَهَّدْ وَلْيَقُلْ: “بِسْمِ اللهِ يَا هَادِيَ الضَلَالِ وَرَادَ الضَّالَّةِ اُرْدُدْ عَلَيَّ ضَالَّتِيْ بِعِزَّتِكَ وَسُلْطَانِكَ فَإِنَّهَا مِنْ عَطَائِكَ وَفَضْلِكَ”
“Bahawasanya sesiapa yang kehilangan barang, maka berwudulah kemudian solatlah dua rakaat. Ketika tasyahhud maka berdoalah: “Dengan nama ALLAH, Wahai Zat yang mengembalikan barang yang hilang, dan Zat yang melimpahkan hidayah sehingga selamat dari kesesatan. Kembalikanlah barangku yang hilang dengan keagungan dan kekuasaan-MU. Sesungguhnya barang tersebut adalah sebahagian dari anugerah dan pemberian-MU.”
“Moga-moga dengan ikhtiar ini, beliau ditemui dengan izin-NYA,” ungkapnya.
Ikuti kami di Tiktok, Instagram, Facebook, Twitter dan Youtube Sinar Islam Plus