SEAWAL pagi, sudah bergema alunan selawat dan zikir munajat, sempena menyambut kedatangan tarikh penuh sejarah dalam kalendar Islam, 10 Muharam, yang jatuh pada Jumaat 28 Julai.
10 Muharam dikaitkan dengan beberapa peristiwa penting dalam sejarah dan peradaban Islam.
Pada tarikh ini, Nabi ALLAH Adam AS ditiupkan roh. Diciptakan syurga dan neraka. Pada tarikh ini juga hari di mana Nabi Musa AS diselamatkan manakala Firaun dan pengikutnya ditenggelamkan.
Sehubungan itu, sempena mengimarahkan bulan Muharam, pihak Rumah Kasih Nurhasanah, menganjurkan program bagi menyemarakkan amalan sunat.
Pengetua Rumah Kasih Nurhasanah, Ustaz Md Zawawi Ramli berkata, beliau berasa bertanggungjawab memberi contoh teladan yang baik bukan sahaja kepada anak-anak yatim dibawah bimbingannya, malah beliau mengajak semua umat Islam, untuk menghayati sekali gus mengimarahkan bulan Muharam dengan mengadakan pelbagai aktiviti sesuai mengikut sunnah Nabi Muhammad SAW.
Bertempat di Jalan Pimping, Ampang Height, Ustaz Zawawi telah menyusun rangkaian aktiviti bagi memberi semangat kepada anak-anak yatim di bawah bimbingannya untuk sama-sama menghargai dan menghayati perjuangan dan pengorbanan Rasulullah SAW.
“Selain menghidupkan amalan sunat sepanjang 10 Muharam, kita juga mahu melatih jiwa anak-anak agar mudah mendekatkan diri kepada Allah.
” Sekurang-kurangnya dengan adanya program sebegini dapat mendidik dan melatih bukan saja anak-anak yatim di sini malah ia turut membuka mata masyarakat betapa pentingnya mendidik anak-anak sedari usia awal untuk mengetahui betapa banyaknya kelebihan bulan penting ini.
“Begitu banyak manfaat dan keistimewaan yang ada pada tarikh 10 Muharam ini, apa sahaja amalan baik akan dilipatgandakan pahalanya oleh ALLAH,” katanya.
Menurutnya, program bermula seawal jam 9 pagi dengan program gotong-royong memasak bubur asyura, sebelum diagihkan kepada anak-anak yatim oleh kelab anak yatim Malaysia.
” Selain menyantuni anak-anak yatim, kami cuba berkongsi rezeki dengan memberi bantuan kepada 40 keluarga Ahli Kelab Anak Yatim Malaysia,” katanya.
Menurutnya, beliau ingin merebut peluang menyemarakkan dan mewujudkan rasa kecintaan terhadap baginda Rasullah SAW dan meningkatkan rasa taqwa kepada ALLAH dengan mengadakan sambutan 10 Muharam kali ini secara terbuka.
Majlis yang bermula pada petang khamis 27 Julai dimulai dengan bacaan Maulid, Marhaban, qasidah, tausiah dan doa 10 Muharam dan berakhir pada Jumaat jam 6.30 petang.
Turut diadakan Perjalanan Kembara Kasih Selawat Bersama-sama melibatkan perarakan motosikal berkuasa tinggi dengan kerjasama Anita Bikers Group bersama kelab kereta Black & White dan juga biker pengiring (KAY).
Turut diadakan konvoi kereta warna hitam dan putih memulakan perjalanan dari Galeri Nur Raudhah, membawa bersama kira-kira 30 orang anak yatim.
Perjalanan diiringi motosikal berkuasa tinggi dari Anita Bikers yang bermula jam 3 petang bersama anak yatim dan ibu tunggal. Semoga majlis ini diberkati ALLAH SWT,” kata Ustaz Zawawi.