ISU mengajar tanpa tuliah bagai tiada kesudahan buat pendakwah bebas, Mohamad Wadi Annuar Ayub atau lebih dikenali sebagai Ustaz Wadi Annuar apabila sekali lagi mendapat perhatian warga maya.
Susulan kes pada Mac yang lalu apabila Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Perlis (JAIPs) telah memanggil Ustaz Wadi Annuar kerana didakwa mengajar tanpa tauliah daripada Jabatan Mufti Negeri Perlis.
Semalam satu kenyataan telah dikeluarkan oleh beliau dengan mendakwa JAIPs tidak memberi kerjasama ketika beliau menghadiri sesi siasatan di JAIPs.
Katanya, beliau hadir pada jam 10.30 pagi di pintu pagar pejabat JAIPs bersama barisan peguam untuk sesi siasatan berkenaan.
Bagaimanapun, beliau berkata, berlaku pertelingkahan apabila hanya seorang peguam dan dirinya sahaja dibenarkan masuk.
“Apabila berhujah, mereka mengatakan bahawa enakmen mereka tidak membenarkan lebih daripada dua orang masuk bagi tujuan siasatan.
“Namun, seorang pegawai JAIPs memaklumkan bahawa dua peguam dan saya dibenarkan masuk selepas mendapat arahan daripada pihak atasannya,” katanya dalam kenyataan rasmi dimuat naik di Facebook miliknya.
Beliau mendakwa, mereka dibiarkan menunggu beberapa ketika selepas masuk di bahagian penguat kuasa sebelum dipanggil ke dalam bilik siasatan.
Baca Juga Tiada tauliah mengajar, JAIS batalkan kuliah Ustaz Azhar Idrus
“Telah berlaku lagi pertelingkahan antara dua pegawai JAIPs dengan barisan peguam lalu mereka telah mengarahkan peguam keluar dari bilik siasatan, yang mana perkara ini dibantah oleh saya,” katanya.
Wadi Annuar turut mendakwa, tiada apa-apa soalan dikemukakan dalam tempoh kira-kira setengah jam menunggu, sekali gus ia hanya membuang masa peguam serta dirinya.
Menurutnya, sehingga jam 11.30 pagi, beliau keluar tanpa sebarang siasatan daripada dua pegawai JAIPs.
Difahamkan, Wadi Annuar bersama dua peguamnya, Mohd Jamil Yaacob dan Mohamad Kamarulzaman Jusoh tiba sekitar jam 10 pagi sebelum dibenarkan memasuki pejabat JAIPs sekitar jam 10.30 pagi.
Kenyataan terkini JAIPs
Mengulas lanjut berhubung dakwaan itu, pihak JAIPs turut memuat naik kenyataan rasmi di laman Facebook bagi memberi penjelasan sebenar di sebalik insiden tersebut.
JAIPs memaklumkan bahawa kenyataan Wadi Annuar gagal diambil kerana beliau keluar dari bilik siasatan dan menghilangkan diri tanpa sebarang makluman.
Baca Juga Isu tauliah mengajar, JAKIM tegaskan tiada campur tangan pihak Jabatan Menteri Agama
Menurut pengarah JAIPs, kenyataan penceramah bebas itu adalah jauh tersasar daripada realiti sebenar yang berlaku.
Wadi dikatakan gagal memberi kerjasama sepertimana ditetapkan oleh JAIPs dan jabatan tersebut akan meneruskan kes berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada yang sedang berkuat kuasa dalam Negeri Perlis.