“AWAK dah bayar zakat fitrah, kalau belum saya tolong bayarkan”, kata Jamal kepada Milla.
Tanpa banyak bicara Milla mengiyakan sahaja.
. . . . .
Situasi di atas bukan rekaan, namun ia merupakan realiti yang berlaku terutama kepada anak muda sekarang.
Baru-baru ini tular menerusi satu ciapan di Twitter apabila seorang gadis memaklumkan bahawa teman lelakinya ingin membayarkan zakat fitrah. Perkara ini lantas menjadi persoalan dalam kalangan warganet adakah sah zakat yang dibayar itu.
Rata-rata yang melihat ciapan itu mengatakan hukumnya tidak sah kerana hal berkaitan zakat ini bukanlah sesuatu yang boleh dipandang enteng. Namun benarkah tidak sah?
Mengulas lanjut perkara ini, Sinar Islam Plus telah menemubual Ketua Jabatan Dakwah dan Perundingan, Divisyen Syariah dan Dakwah Lembaga Zakat Selangor (LZS), Hamizul Abdul Hamid.
Jelas beliau, sesiapa sahaja yang hendak membayarkan zakat fitrah kepada orang lain yang bukan tangggungan atau nafkah wajib dia, contohnya seperti teman lelaki bayarkan zakat fitrah kepada teman wanitanya adalah sah dan dibolehkan.
“Tetapi dengan syarat hendaklah mendapat izin daripada orang tersebut. Jika tidak mendapat izin daripada orang itu dengan alasan dia juga sudah pendapatan sendiri maka tidak sah jika dibayarkan juga zakat.
“Manakala dari segi niatnya pula turut sah dengan syarat utama asalkan mendapat keizinan daripada orang tersebut kerana dia sudah izinkan untuk mewakilkan pembayaran zakat fitrah itu,” katanya.
Berdasarkan penjelasan diatas, maka hukum seorang teman lelaki membayarkan zakat fitrah kepada teman wanitanya adalah sah dan dibolehkan dengan memenuhi syarak utama iaitu dengan mendapatkan keizinan.
Baca Juga Meninggal dunia pada Ramadan masih wajib bayar zakat fitrah, tapi siapa yang perlu bertanggungjawab?
Niat Zakat Fitrah
Seterusnya memetik perkongsian pendakwah terkenal, Ustaz Azhar Idrus di dalam bab Fiqah Puasa, zakat fitrah hukumnya adalah wajib seperti zakat-zakat yang lain.
Seperti hukumnya wajib mengeluarkan zakat, maka niat juga antara perkara penting yang perlu dititikberatkan ketika melakukan zakat fitrah ini.
Jelas agamawan itu, jika seseorang itu hendak membayar zakat sendirinya, maka dia yang berniat dengan menghadirkan dalam hatinya hendak membayar zakat yang wajib atas dirinya.
“Begitu juga jika dia hendak mewakilkan orang lain menyampaikan zakatnya itu itu kepada penerimanya maka dia boleh berniat ketika hendak menyerahkan zakatnya itu kepada wakil.
Contoh niat jika zakat untuk diri sendiri ialah :
ﻧَﻮَﻳْﺖُ أَﻥْ أُﺧْﺮِﺝَ ﺯَﻛَﺎﺓَ ﺍﻟْﻔِﻄْﺮِ ﻋَﻦْ ﻧَﻔْسيْ ﻓَﺮْﺿًﺎ ﻟﻠﻪِ ﺗَﻌَﺎﻟَﻰ
Artinya : “Aku berniat mengeluarkan zakat fitrah dari diriku fardu kerana ALLAH Taala.”
Dan contoh niat zakat fitrah untuk diri sendiri dan anak isteri yang dibawah tanggungannya ialah :
ﻧَﻮَﻳْﺖُ ﺃَﻥْ ﺃُﺧْﺮِﺝَ ﺯَﻛَﺎﺓَ ﺍﻟْﻔِﻄْﺮِ ﻋَنِّيْ ﻭَﻋَﻦْ ﺟَﻤِﻴْﻊِ ﻣَﺎ ﻳَﻠْﺰَﻣُنِيْ ﻧَﻔَﻘَﺎﺗُﻬُﻢْ ﻓَﺮْﺿًﺎ ﻟﻠﻪِ ﺗَﻌَﺎﻟَﻰ
Ertinya : “Aku berniat mengeluarkan zakat fitrah dari diriku dan dari sekalian mereka yang berada dibawah tanggunganku fardu kerana ALLAH Taala.”
“Jika seorang itu telah berniat ketika hendak menyerahkan zakatnya itu kepada wakil maka wakilnya itu tidak wajib lagi berniat ketika hendak menyampaikan zakat tersebut kepada penerimanya.
“Disebut oleh Dr Mustafa Al-Khin: “Jikalau diwakilkan akan bayar zakat maka hendaklah berniat ketika hendak menyerahkan zakat itu kepada wakilnya dan tidak wajib atas wakil berniat pula selepas itu ketika hendak diserahkan kepada sekelian penerimanya.” kongsi beliau menerusi satu hantaran di laman Facebook.
Ikuti kami juga di telegram