Bapa biadab paksa anak minum arak…
SEORANG kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun dipisahkan dari ibunya setelah keputusan mahkamah menetapkan hak penjagaan diberikan kepada bapanya.
Perkongsian yang tular di media sosial itu telah mencecah 50 ribu tontonan dan dikongsi oleh seorang aktivis kemanusiaan, Yuseri Yusoff.
Yuseri menjelaskan bahawa ibu bapa kanak-kanak tersebut merupakan Orang Asli yang telah berpisah. Selepas berpisah, ibu kanak-kanak tersebut memeluk agama Islam bersama dengan anaknya, sementara bapanya tetap dengan kepercayaan asalnya.
Menurutnya lagi, isu utama dalam kes ini adalah perlakuan tidak wajar yang dialami oleh kanak-kanak tersebut ketika berada di bawah jagaan bapanya. Katanya, kanak-kanak perempuan itu dipaksa minum arak oleh bapanya.
Turut diceritakan bahawa semasa berada di bawah jagaan bapanya, kanak-kanak itu menjadi mangsa penderaan dan buli yang dialami di pelbagai tempat sebelum ibunya membawanya melarikan diri ke Terengganu.
Mengetahui perkara tersebut, bapa kanak-kanak itu kemudiannya membuat permohonan untuk mendapatkan hak penjagaan.
Yuseri menjelaskan bahawa hakim enggan mendengar permohonan peguam pihak ibu kerana alasan ibu tersebut tidak hadir dalam sidang sebelum ini.
Hakim juga mengeluarkan perintah habeas corpus yang memerintahkan ibu tersebut menyerahkan anak kepada bapanya. Permohonan lanjutan masa (EOT) turut ditolak oleh hakim, menyebabkan kanak-kanak itu terpaksa dipisahkan daripada ibunya.
Baca Juga Jangan abaikan hak anak yatim, begitu berat hukumannya
Dalam perkembangan terkini, Yuseri dan beberapa peguam yang mengenalinya sedang membantu wanita berkenaan untuk memfailkan rayuan bagi membolehkan kanak-kanak itu kembali ke pangkuan ibunya.
Kes ini sekali lagi menunjukkan bahawa isu hak penjagaan anak-anak selepas perceraian masih menjadi perkara yang memerlukan perhatian serius. Masyarakat berharap agar keputusan mahkamah dapat mempertimbangkan kepentingan dan kebajikan kanak-kanak itu.
Hak penjagaan anak-anak
Dalam Islam, hak jagaan anak yang masih kecil iaitu belum mencapai usia mumayyiz dinamakan sebagai hadhanah, perkara ini sebagaimana dipetik di laman peguam syariah Syazmee Sapian.
Baca Juga Didik anak-anak melalui teladan, ibu bapa kena tunjuk contoh yang baik kepada anak-anak…
Turut Disyorkan Jauhi amalan ‘menumpang nama’, ia penghalang kepada barakah
Menurut hadis Nabi SAW melalui Abdullah bin`Amr RA ketika mana datang seorang wanita kepada Rasulullah SAW lalu berkata “Wahai Rasulullah, sesungguhnya anakku ini, perutku adalah tempatnya, susuku adalah tempat minumnya dan pangkuanku adalah rumahnya sedangkan ayahnya telah menceraikanku dan ingin merampasnya dariku. Lalu Rasulullah SAW berkata kepadanya: “Engkau lebih berhak terhadapnya selama engkau belum bernikah”. (Hadis Riwayat Abu Daud)
Jelasnya, hak penjagaan anak atau hadhanah memberi pengertian penjagaan, pengawasan dan pengasuhan sama ada dari segi fizikal, jiwa dan akal bertujuan menjaga maslahah kanak-kanak.
“Menurut perundangan di mahkamah, bayi yang baru lahir sehingga mumayyiz adalah milik ibunya selagimana ibunya tidak berkahwin, tidak berkelakuan buruk, murtad dan perkara-perkara yang menyebabkan si ibu hilang kelayakan mengikut Hukum Syara’.
“Jika mahkamah berpendapat bahawa ibu adalah hilang kelayakan di bawah Hukum Syarak daripada mempunyai hak terhadap hadhanah, hendaklah ianya berpindah kepada salah seorang yang berikut mengikut susunan keutamaan iaitu:
(a) nenek sebelah ibu hingga ke atas;
(b) bapa;
(c) nenek sebelah bapa hingga ke atas;
(d) kakak atau adik perempuan seibu sebapa;
(e) kakak atau adik perempuan seibu;
dan seterusnya. Dengan syarat penjagaan orang demikian tidak menjejaskan kebajikan kanak-kanak itu
Baca Juga ‘Rezeki anak’ mesti diusahakan ibu bapanya, fahami erti sebenar frasa itu
“Setelah anak tersebut mumayyiz, tujuh tahun bagi kanak-kanak lelaki, sembilan tahun bagi kanak perempuan, hak penjagaan anak jatuh kepada bapanya.
“Namun begitu, sekiranya usia anak itu sudah mumaiyiz, maka dia berhak memilih sama ada untuk tinggal bersama ibu atau bapa melainkan mahkamah memerintahkan selain daripada itu,” kongsinya.