Uji kualiti makanan para jemaah, Makkah sediakan makmal mudah alih berhampiran Masjidil Haram
BAGI memastikan kualiti makanan untuk para jemaah terjamin sepanjang Ramadan, Majlis Perbandaran Makkah menyediakan makmal mudah alih berhampiran Masjidil Haram pada bulan mulia berkenaan.
Kemudahan itu disediakan di beberapa lokasi di kawasan tengah dan sesak di sekitar masjid suci berkenaan.
Ia antara lain untuk menjalankan semua jenis analisis cara dan jaminan makanan untuk para jemaah umrah demi keselamatan mereka bagi mengukuhkan lagi kemudahan sedia ada.
Jurucakap majlis perbandaran itu, Osama Zeitouni menjelaskan, inisiatif tersebut menyediakan analisis sampel makanan dan air secara pantas bagi memastikan ia boleh digunakan oleh manusia.
Katanya, tujuan utamanya adalah bagi mempercepatkan analisis sampel berkenaan.
“Makmal mudah alih yang terdiri daripada peranti moden boleh menganalisis sampel (makanan dan air) dengan keputusan cepat dan tepat dalam tempoh 18 jam.
“Setiap makmal berkenaan boleh menganalisis antara 100 hingga 150 sampel sehari, di samping makmal pusat di Makkah yang mampu menganalisis 500 sampel setiap hari,” katanya sebagaimana dilaporkan dalam portal berita berpengaruh di Arab Saudi, Arab News.
Baca juga Masjidil Haram lancarkan aplikasi (AI) sempena menyambut Ramadan 1444H
Jelas beliau, pihaknya akan mengadakan lawatan dan pemeriksaan di pelbagai pasar makanan dan pertubuhan bagi menjalankan ujian pantas serta mengambil sampel untuk dianalisis.
“Makmal kemudian akan menganalisis dan terlibat dalam proses pengesanan kualiti makanan serta kes disyaki keracunan makanan.
“Ia sekali gus akan menjimatkan masa dan usaha dalam proses pemeriksaan sampel makanan dan susulan keselamatan mereka semasa musim haji dan umrah,” katanya sambil menjelaskan pihaknya mempunyai kakitangan mencukupi dan berkelayakan untuk mengendalikan makmal tersebut.
Dalam pada itu, Osama menegaskan, pihaknya menjalankan operasi lawatan dan pemeriksaan serta mengambil sampel pada setiap hari.
Jelas beliau, pihaknya juga tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas seperti mengeluarkan amaran dan denda terhadap mana-mana restoran mahupun penyedia makanan yang melanggar peraturan.
Baca juga Lebih 4,000 kakitangan steril di dalam Masjidil Haram setiap hari demi keselamatan para jemaah
“Pihak kami juga boleh menutup operasi perniagaan atau suatu pertubuhan jika ada pelanggaran jelas dikesan secara langsung yang memberi implikasi kepada kesihatan dan keselamatan para jemaah.
“Ia bukan sekadar lawatan sahaja, sebaliknya sesi berkenaan antara lain turut memberi nasihat kepada pemilik kedai dan restoran tentang cara menyimpan bahan dan tidak mendedahkannya kepada cahaya matahari, peri pentingnya mematuhi keselamatan dalam menyimpan bahan dan menggunakan piawaian kesihatan tertinggi dalam kualiti makanan,” jelasnya.
Ketika ini, berjuta-juta umat Islam dari seluruh dunia ke Tanah Suci terutamanya dalam bulan Ramadan bagi mengerjakan ibadah umrah.