HUJAN lebat yang turun di bandar Jeddah yang terletak kira-kira 86.8 kilometer dari tanah suci Mekah pada Khamis mengakibatkan banjir besar melanda.
Media Arab Saudi melaporkan sekurang-kurangnya dua maut, manakala beberapa lagi dapat diselamatkan setelah kenderaan mereka ditenggelami banjir terburuk dalam tempoh 13 tahun.
Menurut Pusat Meteorologi Kebangsaan (NCM), jumlah hujan yang direkodkan di Jeddah dari 8 pagi hingga 2 petang Khamis melebihi jumlah yang direkodkan pada 2009, iaitu mencecah 179 mm dalam tempoh enam jam.
Jabatan Perbandaran Jeddah mengerahkan sejumlah 2,564 pekerja, dilengkapi kira-kira 960 jentera, untuk mengeluarkan air dari jalan raya bagi membolehkan pergerakan trafik disambung semula.
Kerajaan juga terpaksa menutup sekolah dan jalan menuju ke Mekah susulan banjir besar yang berlaku. Malah, hujan dan banjir yang berlaku juga membuatkan jadual penerbangan di wilayah itu tergendala.
“Sekolah juga ditutup di bandar Rabigh dan Khulais berdekatan “untuk menjaga keselamatan pelajar lelaki dan perempuan”, ujar Agensi Akhbar Saudi (SPA).
Trafik penerbangan dan kenderaan terganggu selama beberapa jam kerana laluan utama serta jalan raya ditenggelami air. Beberapa penerbangan tertunda di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz (KAIA) manakala Lebuhraya Haramain dan beberapa jalan utama lain ditutup selama beberapa jam.
Baca juga Remaja Palestin maut ditembak di Tebing Barat
Jabatan Perbandaran Jeddah dan NCM mengumumkan keadaan berjaga-jaga dan menggesa penduduk supaya berhati-hati dan tidak keluar dalam cuaca hujan.
Kebanyakan penduduk terpaksa tinggal di dalam rumah kerana mereka melihat paras air meningkat secara berterusan di persekitaran rumah mereka manakala kebanyakan jalan ditenggelami air.
Doa Di Saat Menghadapi Kesulitan
Penceramah, Ustazah Asma Harun turut menzahirkan rasa sedih apabila melihat penduduk Jeddah dalam tangisan akibat banjir luar biasa. Lantas beberapa doa yang dikongsi oleh beliau agar ALLAH SWT melindungi daripada segala musibah yang menimpa.
Ibnu Abbas RA berkata, ketika Rasulullah SAW mengalami kesulitan, Baginda membaca doa:
لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ الْعَظِيمُ الْحَلِيمُ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ رَبُّ الْعَرْشِ الْعَظِيمِ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ رَبُّ السَّمَاوَاتِ وَرَبُّ الْأَرْضِ وَرَبُّ الْعَرْشِ الْكَرِيمِ
Maksudnya: “Tiada sembahan yang berhak selain ALLAH YANG MAHA AGUNG dan MAHA PENYANTUN. Tiada Tuhan selain ALLAH, Tuhan Penguasa arasy yang agung. Tiada sembahan yang hak selain ALLAH, Tuhan langit dan bumi serta Tuhan arasy yang mulia.” (Hadis Riwayat Muslim)
Doa Memohon Perlindungan Akibat Musibah Yang Berlaku
اللّٰهُمَّ إِنِّيْ أَعُوْذُبِكَ مِنْ جَحْدِ الْبَلَاءِ، وَدَرَكِ الشَّقَاءِ، وَسُوْءِالْقَضَاءِ، وَشَمَاتَةِالْأَعْدَاءِ
Maksudnya: “Ya ALLAH, sesungguhnya aku berlindung kepada-MU dari susahnya bala (bencana), tertimpa kesengsaraan, keburukan qada (takdir) dan kegembiraan para musuh.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)