PELBAGAI kisah meruntun jiwa yang disiarkan oleh media tempatan dan antarabangsa sejak bumi Turkiye digegarkan dengan gempa berukuran 7.8 skala ritcher.
Musibah yang berlaku ini juga dikatakan paling kuat dalam hampir satu abad (84 tahun) yang pernah melanda Turkiye dan Syria sehingga mengorbankan banyak nyawa.
Berikut merupakan lima kisah yang tular di media sosial, rentetan daripada gempa di Turkiye.
1. Warga emas terperangkap minta air untuk berwuduk bagi menunaikan solat
Seorang mangsa gempa bumi di selatan Turkiye yang juga warga emas tidak melupakan tanggungjawabnya sebagai umat Islam dengan meminta air bagi membolehkannya berwuduk untuk menunaikan solat walaupun masih terperangkap di sebalik runtuhan bangunan.
Paparan video berdurasi 36 saat yang menyentuh hati itu dimuatnaik oleh wartawan, Muhammad Smiry di Twitter dan dilaporkan dirakam di satu daripada kawasan terjejas di Turkiye.
BACA JUGA Gempa bumi, bencana yang ALLAH telah jelaskan banyak kali dalam al-Quran
2. Seorang ayah tidak mahu melepaskan tangan anaknya yang maut di bawah runtuhan gempa
Berlegar foto di media sosial yang menunjukkan seorang ayah masih memegang erat tangan anak perempuannya, yang menjadi korban bencana gempa bumi di Turkiye.
Mesut Hancer duduk di celah-celah runtuhan, sambil memegang tidak mahu lepas tangan anak perempuannya,15 tahun, yang berada di bawah runtuhan.
Imej itu adalah gambaran kesedihan yang dirasai oleh beribu-ribu keluarga yang kehilangan orang tersayang dalam gempa itu.
BACA JUGA Bantuan kemanusiaan gempa bumi di Turkiye dan Syria dilancarkan
3. Bayi baru lahir diselamatkan dari runtuhan gempa di Turkiye-Syria
Seorang bayi yang baru lahir ditarik keluar hidup-hidup oleh ahli keluarganya dari runtuhan rumah di utara Syria, selepas mendapati dia masih terikat dengan tali pusat ibunya, yang meninggal dunia dalam gempa bumi besar pada Isnin.
Bayi itu adalah satu-satunya keluarga terdekat yang terselamat, apabila gempa bumi kuat yang melanda Türkiye dan Syria merobohkan rumah di bandar Jindayris yang dikuasai pihak pejuang, kata Khalil al Suwadi.
Bayi itu diberi rawatan di bandar Afrin berhampiran, manakala ahli keluarga menghabiskan masa beberapa jam berikutnya untuk mencari mayat bapa bayi itu, Abdullah, ibu Afraa, empat adik-beradik dan seorang ibu saudaranya.
BACA JUGA Istana bersejarah Gaziantep berusia lebih 2000 tahun musnah akibat gegaran
4. Dua kanak-kanak yang terperangkap 17 jam di bawah runtuhan berjaya diselamatkan
Dua kanak-kanak yang terperangkap di bawah runtuhan selama 17 jam telah berjaya diselamatkan.
Tular sebuah video di media sosial menunjukkan keadaan di mana dua orang kanak-kanak perempuan terperangkap di bawah runtuhan bangunan.
Kanak-kanak perempuan itu dilihat bersama adiknya terbaring dan tidak dapat menggerakkan badan kerana telah dihempap dengan serpihan konkrit bangunan yang runtuh.
Ketika mereka berdua ditemui, kanak-kanak yang dipercayai seorang kakak merayu agar dia dah adiknya dikeluarkan dan berhasrat untuk melakukan apa sahaja walaupun sebagai orang suruhan sebagai balasan membantu mereka.
Difahamkan, ibu bapa mereka telah terkorban dalam kejadian gempa bumi di Turkiye.
5. Mangsa gempa bumi terpaksa tidur di dalam kereta akibat trauma
Ramai mangsa yang terselamat di Turkiye terpaksa tidur di dalam kereta, di luar atau di tempat perlindungan kerajaan.
“Kami tidak mempunyai khemah, kami tidak mempunyai dapur pemanas, kami tidak mempunyai apa-apa. Anak-anak kita dalam keadaan teruk. Kami semua basah di bawah hujan dan anak-anak kami kesejukan,” kata Aysan Kurt, 27, kepada akhbar AP.
“Kami tidak mati kelaparan atau gempa bumi, tetapi kami akan mati kedinginan kerana kesejukan.”
BACA JUGA Turkiye berada dalam salah satu zon gempa bumi paling aktif di dunia