AMALKAN dodoi anak cara Islam.
Selaras dengan perkembangan teknologi, pelbagai aspek dalam kehidupan kita turut berubah dipermudahkan oleh pembaharuan ini.
Ibu bapa kini juga bukanlah seperti mak ayah dahulu. Cara mendidik anak jauh berbeza dengan seperti apa yang dipraktikkan pada zaman sebelumnya.
Jangankan cara didikan, gaya mendodoi anak juga berubah.
Pendakwah Ustazah Asma’ Harun berkata ada suatu amalan mendodoikan anak yang sering diabaikan ibu bapa zaman sekarang.
“Ramai ibu bapa hari ini nak mudah. (Mereka) letak anak di hadapan televisyen sampai anak itu tertidur.
Akhirnya, (perkara) itu yang terakam dalam minda mereka. (Apabila) bangun tidur, (anak tersebut) cari kartun. Tidur sambil main game. Bangun tidur, cari game,” ujarnya menerusi sebuah video yang disiarkan di laman sosial YouTube miliknya.
Nasihat Ustazah Asma’, sebaliknya dodoikanlah anak dengan zikrullah.
“Waktu kecil dahulu, mak dan nenek kita (akan dodoikan kita dengan kalimah) la ilaaha illallah. Itulah (cara) didodoikan anak kecil. Mereka dapat ilmu itu daripada ustaz dan alim ulama.”
Hakikatnya, ramai ibu bapa kini lebih cenderung dengan ajaran Barat. Cara dodoikan anak sebegini sudah semakin kurang diamalkan walhal perbuatan itu diajarkan oleh Rasulullah SAW sendiri.
Dari Ibnu ‘Abbas bahawa Nabi SAW bersabda, “Ajarkan kalimat la ilaaha illallah kepada anak-anak kalian sebagai kalimat pertama dan tuntunkanlah mereka mengucapkan kalimat laa ilaaha illallah ketika menjelang mati.” (Hadis riwayat Hakim)
“(Sememangnya) bayi setahun dua tidak faham kalimah la ilaaha illallah tetapi telinganya (mendengar). Apa yang kita baca itu menyerap ke dalam hatinya (lantas) membentuk hati (bayi tersebut) menjadi kuat.
Membentuk suatu hati yang segar dengan kalimah la ilaaha illallah sehinggakan Insya-ALLAH, apabila dia tidur dengan kalimah tersebut, dia (juga) akan bangkit dengan kalimah yang sama,” hujahnya.
Selain itu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menyenaraikan beberapa ayat suci yang boleh diamalkan oleh ibu bapa supaya anak tidak menangis di waktu malam.
Dianjurkan dalam beberapa hadis, doa-doanya adalah seperti berikut:
– Membaca surah al-Fatihah dan mengulang-ulanginya
– Membaca ayat al-Kursi
– Membaca surah al-Ikhlas, al-Falaq dan al-Nas
– Membaca doa berikut sebanyak 3 kali:
بِسْمِ اللَّهِ أَرْقِيكَ، مِنْ كُلِّ شَيْءٍ يُؤْذِيكَ، مِنْ شَرِّ كُلِّ نَفْسٍ أَوْ عَيْنٍ، أَوْ حَاسِدٍ اللَّهُ يَشْفِيكَ، بِسْمِ اللَّهِ أَرْقِيكَ
Baca juga Benarkah Membaca Surah Tertentu Bakal Peroleh Anak Yang Hebat, Lawa
Di samping itu, Ustazah Asma’ juga mengingatkan bahawa zikrullah la ilaaha illallah juga boleh dipraktikkan oleh orang dewasa untuk mendapatkan kelapangan hati.
Semoga perkongsian kali ini bukan sahaja dimanfaatkan untuk menidurkan anak kecil, bahkan dijadikan amalan bagi kita yang dewasa ini juga.
Amalkan dodoi anak cara Islam.
Foto: Pexels & Tribun Pekanbaru