Author

Qantharah
Aqidah,

Selesaikan segala sengketa dan dendam dunia di Qantharah, sebelum masuk ke syurga

KITA semua pasti pernah mendengar tentang titian sirat yang akan dilalui oleh manusia di akhirat kelak. Tetapi, tahukah anda mengenai Qantharah?

Ada beberapa tempat yang akan dilalui oleh manusia di akhirat kelak antaranya adalah padang Mahsyar, Mizan, Titian Sirat, dan Qantharah adalah yang terakhir. Qantharah adalah tempat di mana manusia akan menyelesaikan segala perkara yang masih tidak selesai lagi dengan manusia lain di dunia.

Baca juga Tiga tempat ini Rasulullah SAW akan menunggu kita pada hari akhirat nanti

Turut disyorkan ‘Kedudukan kita di akhirat berdasarkan ayat al-Quran terakhir yang dibaca’- hadis Nabi

Ulama berbeza pandangan dalam menerangkan tentang Qantharah ini, sama ada ia adalah bahagian hujung sirat atau jambatan lain sesudah jambatan sirat.

Menurut hadis, sirat adalah jambatan yang terbentang di atas neraka, manakala Qantharah pula terletak selepas itu antara neraka dan syurga. Seseorang itu perlu melalui Qantharah terlebih dahulu sebelum dapat memasuki syurga.

Qantharah

TAHUKAH anda tentang Qantharah di akhirat nanti? Foto: 123RF

Baca juga Ketahui kedudukan Baitul Makmur – rumah ibadat para malaikat yang berada di langit ketujuh

Apa yang berlaku di Qantharah?
Di Qantharah, akan diadakan semula perhitungan (hisab) bagi menyelesaikan segala permasalahan yang masih tergantung di kalangan manusia. Di sini, mereka akan saling menebus kesalahan dan kezaliman yang pernah berlaku hatta sekecil-kecil perkara sehingga tidak ada lagi tersisa sebarang rasa dendam dan kebencian.

ALLAH berfirman dalam Surah Al-‘Araf, ayat 43, yang bermaksud, “Dan Kami cabut segala macam dendam yang berada di dalam dada mereka, mereka masuk ke dalam syurga yang mengalir di bawah mereka sungai-sungai.”

Daripada Abu Said al-Khudri RA bahawa Nabi SAW pernah bersabda tentang peristiwa yang terjadi di Qantharah:

Orang-orang beriman yang telah selamat dari neraka (setelah melalui al-Sirat) akan tertahan di Qantharah (sebuah jambatan) di antara syurga dan neraka. Kemudian ditegakkanlah qisas terhadap sebahagian mereka akibat kezaliman yang terjadi di antara mereka di dunia. Setelah dibersihkan dan dibebaskan (daripada kezaliman), barulah mereka diizinkan masuk syurga. Demi Zat yang jiwaku berada di tangan-NYA, sungguh salah seorang di antara mereka lebih faham terhadap tempat tinggalnya di syurga daripada tempat tinggalnya di dunia.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Turut disyorkan Malaikat Munkar dan Nakir bersoal jawab dengan mayat di alam barzakh dalam bahasa apa?

Qantharah

BAGI golongan yang berjaya melepasi titian sirat, akan ada qisas berupa Qantharah yang menanti mereka. Foto: 123RF

Apa yang digunakan untuk menebus kezaliman?
Jika seseorang itu berhutang, maka bayarannya adalah dengan wang atau suatu yang berharga. Namun jika hutangnya adalah kezaliman yang telah dilakukan kepada manusia lain, maka pahala lah yang akan digunakan untuk melangsaikannya. Itulah yang akan terjadi di Qantharah kelak.

ARTIKEL BERKAITAN:

Mungkinkah dicampak ke Neraka?
Walaupun pahala digunakan untuk menebus kesalahan pada waktu itu, tetapi ia tidaklah sampai individu yang terlibat itu dicampak ke neraka. Sebaliknya, kesalahan yang diqisaskan di Qantharah adalah kesalahan yang kecil.

Bahkan para ulama berpandangan bahawa pemasalahan yang akan diselesaikan di sana bukan seperti di padang Mahsyar. Persidangan di situ adalah lebih khusus dan halus yang bertujuan mengikis segala kedengkian, dendam dan kebencian yang masih tersisa dalam hati manusia.

Dalam kata mudah, qisas di Qantharah diibaratkan seperti fasa penjernihan jiwa yang terakhir sebelum memasuki syurga.

Sumber: Tzkrh & Konsultasi Syariah

Foto: 123RF

baca al-Quran tudung
Ibadah,

Berdosakah wanita baca al-Quran tanpa pakai tudung?

Berdosakah wanita baca al-Quran tanpa pakai tudung?

AL-QURAN adalah panduan terulung bagi setiap insan yang bergelar Muslim. Mana tidaknya, kalam suci itu mengandung pelbagai kisah para Anbia, hukum-hakam, penawar kesembuhan serta 1001 lagi khazanah berharga untuk diteladani oleh umat Islam.

Dari sudut lain, al-Quran turut boleh diibaratkan sebagai bicara ALLAH SWT kepada seluruh manusia menjadikan statusnya begitu tinggi dan mulia.

Justeru, al-Quran tidak boleh diperlakukan sembarangan atas tanda mengagungkan kalimah ALLAH. Malah ada adab tertentu perlu dijaga apabila ingin menyentuh kitab suci itu, apatah lagi melafazkannya.

Baca juga Jaga adab ketika dengar bacaan al-Quran, Ustaz Hariri tegur penonton majlis Tilawah

baca al-Quran tudung

BOLEHKAH membaca al-Quran dalam keadaan kita berpakaian tidak menutup aurat dengan sempurna? Foto: Pexels

Antara adab membaca al-Quran yang seringkali dititip kepada kita adalah seperti menutup aurat dan mengambil wuduk.

Namun, bagi segelintir orang, al-Quran bukan sahaja dibaca selepas solat. Ada juga yang gemar melafazkan bacaan ketika berehat, menunggu waktu berbuka puasa mahupun sebelum tidur.

Oleh itu, persoalan yang timbul, adakah pada waktu-waktu sedemikian, kita tetap perlu menutup aurat seperti memakai tudung atau memakai seluar melebihi paras lutut ketika membaca al-Quran?

ARTIKEL BERKAITAN:

Dedah aurat

USTAZ Fahmi Rusli

Bagaimana pula hukum membaca al-Quran tanpa menutup aurat? Menjawab persoalan tersebut, pendakwah Muhammad Fahmi Rusli menjelaskan, membaca ayat-ayat al-Quran paling afdal sudah tentulah dalam keadaan yang menutup aurat.

Meskipun begitu, sekiranya seseorang membaca al-Quran dalam keadaan auratnya terdedah, maka tiada masalah padanya.

“Ini kerana menutup aurat tidak termasuk dalam syarat semasa membaca al-Quran. Sebaliknya, ia termasuk dalam bahagian akhlak, adab dan memuliakan syiar ALLAH SWT,” katanya menjawab soalan warganet menerusi ciapan di Twitter miliknya baru-baru ini.

SENTIASA mendampingi al-Quran kerana kitab suci itu boleh menjadi penolong kita ketika di akhirat kelak.

Walaupun tidak diwajibkan, namun membaca al-Quran dalam keadaan menutup aurat adalah cara seseorang itu mengagungkan syiar Islam, seterusnya menjadi bukti ketakwaan bagi dirinya. Hal ini bertepatan dengan firman ALLAH dalam Surah Al-Hajj, ayat 32 yang bermaksud:

Demikianlah (ajaran ALLAH) dan sesiapa yang menghormati syiar-syiar agama ALLAH maka (dialah orang yang bertakwa) kerana sesungguhnya perbuatan itu satu kesan dari sifat-sifat takwa hati orang mukmin.” (Surah Al-Hajj, ayat 32)

Malah Al-Hakim Al-Tirmidzi menyebut dalam kitab Nawadir al-Usul, bahawa antara cara menghormati dan mengagungkan al-Quran adalah berpakaian seperti ketika bertemu raja untuk memohon suatu permintaan.

Baca juga 5 nikmat dan janji ALLAH SWT kepada pencinta al-Quran

baca al-Quran tudung

WALAU apa pun surah yang dibaca, jangan biarkan hari anda berlalu tanpa menyelak kitab suci al-Quran. Foto: Unsplash

Hadirkan kekhusyukan

Antara adab membaca al-Quran
Memetik portal Bernama, antara adab lain ketika membaca al-Quran adalah:

1. Memilih tempat, waktu dan posisi yang sesuai.
2. Menyucikan anggota badan yang terlibat semasa membaca al-Quran.
3. Datangkan niat dan keikhlasan yang sempurna hanya kepada ALLAH SWT.
4. Membaca al-Isti’azah (Auzubillah) dan al-Basmalah (Bismillah).
5. Selesaikan semua urusan sebelum memberi fokus kepada bacaan.
6. Hadirkan diri agar dapat merasai kekhusyukan ketika bersama dengan al-Quran.
7. Menangislah ketika sedang membaca al-Quran.
8. Memberi penekanan terhadap ayat-ayat al-Quran untuk memahami makna-maknanya serta menyedari akan hakikat-hakikat yang terkandung di dalamnya.

Ringkasnya, membaca Al-Quran adalah syiar (tanda atau simbol) agama yang perlu sentiasa dihidupkan, dan hal ini perlu dilakukan dengan cara baik seperti menutup aurat.

Foto: Pexels & Unsplash

Berdosakah wanita baca al-Quran tanpa pakai tudung?

doa fadilatnya
Gaya Hidup,

Doa ini nampak ‘simple’ namun besar fadilatnya

Doa ini nampak ‘simple’ namun besar fadilatnya.

SEWAKTU di bangku sekolah dahulu, kita selalu dididik untuk menghafal doa-doa harian. Ingatkah lagi sebelum mula belajar, kita akan membaca doa beramai-ramai bersama rakan-rakan dan guru?

Baca juga Tiga doa ini pasti dikabulkan ALLAH SWT

Salah satunya ialah doa penerang hati dan ditambahkan ilmu, yang berasal daripada doa Nabi Musa AS.

Lafaznya berbunyi:

رَبِّ اشْرَحْ لِي صَدْرِي
Wahai Tuhanku, lapangkanlah bagiku, dadaku;

وَيَسِّرْ لِي أَمْرِي
Dan mudahkanlah bagiku, tugasku;

وَاحْلُلْ عُقْدَةً مِّن لِّسَانِي
Dan lepaskanlah simpulan dari lidahku,

يَفْقَهُوا قَوْلِي
Supaya mereka faham perkataanku;

Satu lagi doa yang lebih ringkas daripada Surah Taha, ayat 114 yang berbunyi:

رَبِّ زِدْنِي عِلْمًا
Wahai Rabb-ku, tambahkanlah kepadaku ilmu.”

doa fadilatnya

Memetik portal Tzkrh, Dua doa ini sering dikaitkan dengan proses pembelajaran agar diberi kemudahan memahami dan mengingati apa yang dipelajari.

Hakikatnya, rata-rata daripada kita sudah melupakan bacaan tersebut setelah keluar dari alam persekolahan. Adakah doa ini sudah tidak diperlukan sekarang? Adakah ia hanya untuk kanak-kanak?

ARTIKEL BERKAITAN:

Sudah tentu tidak. Kata Imam Ibnu Hajar al-Asqalani, ayat di atas mengandungi dalil berkenaan keutamaan ilmu. Dan ilmu yang dimaksudkan dalam dalil di atas secara khususnya ialah ilmu agama.

Ada juga ulama yang berpendapat bahawa ilmu yang dimaksudkan ialah ilmu tentang al-Quran, ditambahkan kefahaman dan hafalan.

doa fadilatnya

LUMRAH sebagai manusia, kita akan terus menimba ilmu baru walaupun sudah meninggalkan alam persekolahan. Foto; Pexels

Kefahaman kita kepada ilmu agama pada waktu kecil dahulu mungkin hanya pada tahap permukaan sahaja. Seharusnya seiring bertambahnya usia, maka kefahaman baru tentang ilmu agama juga perlu diperdalam kerana kita sudah mempunyai kemampuan akal yang lebih luas.

Melihat kepada perkembangan semasa, ilmu agama juga mengalami kemelut. Ia kadang-kadang bercampur dengan perkara yang tidak sahih. Ada pula orang yang tidak faqih dirujuk untuk memahami tentang suatu permasalahan baru yang timbul, dan ada yang berpaksikan kebebasan bersuara atau sekadar ‘menasihati’, untuk mengeluarkan buah fikiran yang pelbagai.

Justeru, jangan tinggalkan dua doa di atas dalam kehidupan seharian kita. Semoga ALLAH menambahkan kefahaman yang tulen tentang ilmu agama dan ilmu-ilmu lain secara keseluruhannya.

Sumber: Tzkrh

Foto: Pexels

Doa ini nampak ‘simple’ namun besar fadilatnya.

solat jamak tanpa bermalam
Ibadah,

‘Travel’ jarak jauh tanpa bermalam, adakah kita masih diizin solat jamak dan qasar?

‘Travel’ jarak jauh tanpa bermalam, adakah kita masih diizin solat jamak dan qasar?

SOLAT jamak dan qasar merupakan suatu keringanan diberikan ALLAH SWT untuk memudahkan hamba-hambaNYA beribadah meskipun sedang berada dalam perjalanan jauh.

Daripada Ibnu Abbas RA bahawa, “Nabi SAW menjamakkan solat dalam perjalanan yang kami lakukan ketika peperangan Tabuk. Baginda menjamakkan solat Zuhur dengan solat Asar dan solat Maghrib dengan Isyak. Said bin Jubair berkata: Aku bertanya kepada Ibn Abbas: Apakah yang mendorong Baginda berbuat begitu? Jawabnya: Baginda tidak mahu menyusahkan umatnya.” (Hadis Riwayat Muslim)

Baca juga Bolehkah ‘saja-saja’ pilih jalan jauh semata-mata hendak solat jamak dan qasar?

solat jamak tanpa bermalam

Kebiasaannya, ibadah ini dimanfaatkan apabila kita pulang ke kampung pada musim perayaan atau melancong ke mana-mana. Dalam kedua-dua situasi, kebanyakan orang akan bermalam di kawasan tersebut.

Namun, bagi sesetengah perjalanan jauh, ada masanya kita memilih untuk tidak bermalam di destinasi dan sebaliknya pulang semula ke rumah.

Dalam hal sebegitu, adakah kita masih dibenarkan melakukan solat jamak dalam perjalanan ke suatu tempat meskipun tidak bermalam di situ?

Turut disyorkan Wanita ‘solo travel’ apakah hukumnya di sisi Islam?

solat jamak tanpa bermalam

USAH tinggalkan solat di mana sahaja anda berada kerana ibadah itu dikira antara tonggak iman. Foto: Unsplash

Syarat sah solat jamak dan qasar
Bagi menjawab persoalan itu, portal Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menerangkan ada tiga syarat sah solat musafir yakni jamak dan qasar, iaitu:

1. Jarak perjalanan melebihi 81 km.
Seseorang dibolehkan melaksanakan solat musafir sekiranya destinasi yang dituju adalah sejauh dua marhalah atau 81 km dan ke atas.

Individu itu juga hendaklah berniat tidak akan menetap di tempat tersebut melebihi tiga hari (tidak termasuk perjalanan pergi dan balik).

Jika dia tinggal lebih daripada empat hari, maka ia dianggap dia telah bermukim di situ dan tidak lagi dibenarkan melakukan solat musafir. Sebaliknya, dia hanya dibolehkan bersolat jamak dan qasar semasa dalam perjalanan.

ARTIKEL BERKAITAN:

2. Tahu tempat yang ingin dituju.
Selain itu, orang yang merayau-rayau tanpa tujuan ke tempat yang tertentu serta orang yang mengikut ketuanya tanpa mengetahui ke mana hendak dibawanya, perjalanan mereka tidak mengharuskan qasar kecuali setelah menjangkau jarak perjalanan yang jauh. Ini kerana telah diyakini jauh perjalanannya.

3. Perjalanan bukan untuk tujuan maksiat.
Di samping itu, orang yang melakukan sesuatu perjalanan atas tujuan maksiat seperti menjual arak, menyamun atau mengamalkan riba’ juga tidak layak ke atas solat jamak dan qasar.

Hal ini kerana solat musafir merupakan keringanan yang disyariatkan untuk menunaikan sesuatu tanggungjawab, dan ia tidak boleh terkait dengan sebarang maksiat.

solat jamak tanpa bermalam

SABDA Nabi SAW, “Dijadikan bagiku bumi ini sebagai masjid (tempat bersujud).” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Hukum solat jamak tanpa bermalam
Melihat kepada tiga syarat tersebut, pihak Mufti menjelaskan bahawa tidak ada syarat sah yang mewajibkan seseorang bermalam di suatu tempat untuk membolehkannya melaksanakan solat jamak dan qasar.

Sebaliknya, hukum syarak hanya menetapkan waktu maksimum bermusafir iaitu tiga hari, tidak termasuk hari pergi dan hari keluar.

Ketetapan itu adalah berdasarkan hadis al-Ala` bin al-Hadhrami RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:“Tiga hari bagi orang Muhajirin (boleh menetap di Makkah) selepas al-sadar (yakni selesai manasik Haji).” (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Dengan itu, pihak Mufti Wilayah Persekutuan menetapkan bahawa dibenarkan bagi seseorang yang musafir ke suatu destinasi yang melebihi dua marhalah untuk melakukan solat musafir seperti jamak dan qasar, sekalipun dia hanya balik hari dan tidak bermalam.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan 

Foto: Unsplash

hilang status perkahwinan
Berita Semasa,

Wanita hilang selepas sehari bernikah, apa status perkahwinan itu?

Wanita hilang selepas sehari bernikah, apa status perkahwinan itu?

SIAPA sangka hari yang sepatutnya indah buat seorang pengantin lelaki dari Indonesia berubah menjadi pilu dalam sekelip mata apabila wanita yang baru sehari sah menjadi isterinya telah hilang tak dapat dikesan.

Menurut serambinews.com, pasangan yang menetap di Rancabungur di Bogor, Indonesia itu telah bernikah pada 25 Jun lalu.

Namun hanya sehari selepas itu, isterinya dilaporkan hilang selepas keluar rumah untuk membeli makanan dengan menaiki motor.

Baca juga Tiada masalah kahwin wanita lebih berusia, yang penting utamakan agama

Memetik sumber itu lagi, wanita terbabit sudah lebih seminggu menghilang tetapi keberadaannya masih menjadi tanda sang suami.

Jelas pemuda tersebut, dia tidak mempunyai apa-apa masalah dengan isterinya sebelum ini dan mereka telah bercinta selama 5 bulan atas dasar suka sama suka, bukannya kerana dipaksa atau diatur keluarga.

Bercerita mengenai apa yang berlaku sebelum kejadian, dia dan isterinya dikatakan begitu mesra dan perbualan mereka juga tidak timbul sebarang kata-kata yang mencurigakan.

Lelaki itu juga berkata, dia sudah membuat laporan polis dan berharap agar isterinya itu dapat ditemukan dengan kadar segera.

hilang status perkahwinan

Apa jadi pada perkahwinan jika pasangan hilang?
Dalam Islam, situasi sebegini digelar sebagai mafqud.

Menurut para ulama Syafie kontemporari, mafqud adalah: “Orang yang hilang dari tempat asalnya dalam tempoh yang lama sehingga terputus berita mengenainya dan tidak diketahui juga sama ada dia masih hidup ataupun telah meninggal dunia.

Sebagaimana dijelaskan oleh pihak Mufti Wilayah Persekutuan (W.P), ada dua jenis mafqud atau hilang di sisi agama dan bagaimana situasi tersebut boleh mempengaruhi status perkahwinan

1. Suami yang hilang tetapi keadaannya diketahui dan boleh dihubungi.
Dalam situasi ini, si isteri tidak berhak untuk berkahwin lain berdasarkan kepada ijmak para ulama. Namun, sekiranya suami gagal untuk memberi nafkah harta kepada isterinya, maka isteri berhak untuk menuntut fasakh melalui qadhi.

2. Suami yang hilang dalam keadaan terputus khabar berita dan tidak diketahui lokasi keberadaannya. Dalam keadaan ini, para fuqaha berselisih pendapat kepada beberapa pandangan.

Dalam mazhab Syafie, para ulama terbahagi kepada dua pendapat, iaitu sebelum mengahwini lelaki lain, isteri perlu terlebih dahulu menunggu

1. Mengikut tempoh yang ditetapkan, atau
2. Sehingga ada kepastiannya suaminya telah meninggal dunia atau menjatuhkan talak

Dari segi waktu menunggu, ada sebahagian ulama mengatakan tempohnya adalah 4 tahun dengan tambahan masa ‘iddah 4 bulan 10 hari. Pendapat ini juga dipegang oleh Umar bin Al-Khattab, ‘Uthman bin ‘Affan, Ibn ‘Abbas, Ibnu ‘Umar, Malik bin Anas, dan Ahmad.

Pun begitu, pandangan masyhur dalam kalangan ulama Syafie termasuklah pihak Mufti W.P adalah tempoh menunggu adalah bergantung kepada keputusan dan pertimbangan hakim.

Hal ini kerana tidak ada nas yang jelas daripada dalil-dalil Quran dan Sunnah berkenaan penetapan tempoh-tempoh tertentu secara tetap bagi tempoh mafqud sebelum seseorang itu diputuskan sebagai mati.

Jadi, ini bermakna, jika hakim menentukan masa 4 tahun, maka si isteri perlu menunggu sehingga tempoh itu sebelum dibenarkan berkahwin lain selepas ‘iddah.

Walau bagaimanapun, jika selepas 6 bulan misalnya, sudah dapat disahkan dengan bukti bahawa suaminya meninggal dunia, maka si isteri boleh terus berkahwin lain setelah tamat ‘iddah.

Si isteri berkahwin lain tanpa menunggu habis waktu ditetapkan
Jika si isteri berkahwin lain tanpa menunggu selama tempoh yang ditetapkan serta tidak mendapatkan keputusan daripada mahkamah syariah mengenai status perkahwinannya dengan suami yang hilang, maka pernikahan baru itu dikira tidak sah.

Manakala, anak yang dikandung si isteri hasil hubungannya dengan suami kedua adalah anak syubhah yang lahir daripada persetubuhan syubhah dan dinasabkan kepada ayahnya serta berlaku hukum waris antara si ayah dan anak tersebut.

Suami kembali setelah hilang
Dalam pada itu, sekiranya si suami yang hilang kembali semula setelah tamat tempoh mafqud, beliau berhak memilih untuk menikahi isterinya kembali, atau menerima pemulangan mahar (merelakannya dengan suami baru).

Pandangan ini berdasarkan kenyataan Saidina Umar dan Saidina Uthman yang berkata,

“Apabila suaminya kembali (setelah tamat tempoh mafqud), maka si suami diberi pilihan antara kembali memperisterikannya atau menerima pengembalian mahar isterinya tersebut.” (Riwayat Ibn Abi Syaibah, no. 16723)

Apa pun, setiap daripada kita perlu cakna dengan hukum-hakam agama berkaitan isu ini kerana ia boleh memberi impak kepada perkahwinan serta menyentuh hal halal dan haram dalam perhubungan.

Sumber: Serambinews.com & Portal Mufti Wilayah Persekutuan 

Foto: 123RF & TikTok

Wanita hilang selepas sehari bernikah, apa status perkahwinan itu?

solat sunat awwabin
Ibadah,

Isi waktu Maghrib anda dengan Solat Sunat Awwabin

Isi waktu Maghrib anda dengan Solat Sunat Awwabin

PERKATAAN ‘awwabin’ berasal daripada perkataan ‘awwab’ yang bermaksud kembali kepada Allah dengan bertaubat dan beristighfar. Solat awwabin ditunaikan selepas solat fardu Maghrib atau selepas solat sunat ba’diah (selepas) Maghrib.

Solat ini juga dipanggil solat sunat ghaflah kerana orang yang mengerjakannya bertaubat dan mengingati ALLAH SWT pada waktu orang kebiasaannya dalam keadaan penat atau berehat setelah seharian bekerja.

Ia dikerjakan untuk mengisi waktu kosong sementara menunggu masuknya waktu Isyak, dan mengelakkan diri daripada lalai dengan perkara lain sebelum solat waktu Isyak. Selain berzikir dan mengaji, solat ini juga boleh ditunaikan.

Solat sunat awwabin boleh ditunaikan sama ada sebanyak dua, empat atau enam rakaat. Maksimum bilangan rakaat boleh ditunaikan ialah sehingga 20 rakaat.

Baca juga Tutup pintu dan tingkap sebelum maghrib, wajib buat dan pesan pada anak-anak kita… 

solat sunat awwabin

SOLAT ini dilakukan selepas solat fardhu Maghrib dan solat sunat Ba’adiah Maghrib. Foto: Pexels

Berikut ialah lafaz niat solat sunat ini.

أُصَلِّي سُنَّةَ الأَوَّابِينَ رَكْعَتَيْنِ لِلَّهِ تَعَالَى
Ertinya: “Sahaja aku sembahyang sunat Awwabin dua rakaat kerana ALLAH Taala.”

Tidak ada surah yang khusus yang mesti dibaca dalam solat ini. Walau bagaimanapun, antara surah yang menjadi amalan para ulama dalam solat sunat ialah surah Al-Ikhlas, Surah Al-Falaq, Surah An-Naas, Surah Al-Qadr.

Tentang kelebihan solat ini pula, kebanyakan nas yang menyebut tentang kelebihannya bertaraf dhaif dan maudhu’. Walau bagaimanapun, ia tidak bermakna solat ini tidak ada kelebihan, cuma sebagai Muslim, kita perlu berhati-hati dan hanya menyandarkan kelebihan ibadah kepada dalil yang sahih.

ARTIKEL BERKAITAN:

Antara hadis yang boleh dijadikan sandaran seperti hadis daripada Rabi’ah bin Kaab Al-Aslami RA, bahawa Rasulullah SAW telah bersabda kepadanya:

Pohonlah sesuatu (kepadaku). Lalu aku (Rabi‘ah) berkata: Aku memohon kepada Tuan untuk menemani Tuan di syurga. Lalu Baginda bersabda: Ada lagi? Lalu aku (Rabi‘ah) menjawab: Itu sahaja. Baginda bersabda: Bantulah aku (untuk memperbaiki) dirimu dengan memperbanyakkan sujud (sembahyang sunat).” (Hadis Riwayat Imam Muslim)

Waktu antara solat Maghrib dan Isyak tidak lama. Sekalipun kepenatan daripada kerja seharian terasa, luangkanlah sedikit waktu yang berkualiti untuk ibadah. Semoga pengorbanan ini dapat menghapus dosa dan mendekatkan diri dengan ALLAH.

Sumber: Tzkrh 

Foto: Pexels

kongsi ibadat media sosial
Ibadah, Istimewa Panggilan Baitullah,

Tawaf pun hendak buat ‘live’, jauhi perbuatan kongsi ibadat di media sosial

Tawaf pun hendak buat ‘live’, jauhi perbuatan kongsi ibadat di media sosial

BUKAN semua orang berpeluang menjejakkan kaki ke Tanah Suci menunaikan ibadah haji atau umrah. Maka, bersyukurlah andai kita dikurniakan kesihatan yang baik serta sumber kewangan mencukupi untuk bergelar tetamu ALLAH.

Tambahan pula, umrah dan haji bukan sekadar amalan dituntut agama, bahkan ibadah tersebut mampu melatih umat Islam untuk menjadi lebih merendah diri, berdisiplin serta berakhlak baik.

Baca juga LIMA amalan yang nilainya seperti menunaikan haji

Namun, sejak kebelakangan ini, ramai yang gemar berkongsi tentang ibadah yang dilakukan di media sosial terutama sekali ketika melakukan tawaf.

Malah baru-baru ini tular rakaman video seorang wanita sedang menari di Makkah untuk membuat ‘content’ media sosial.

Situasi semasa ini bukan sekadar merosakkan imej Islam malah turut ‘mencemarkan’ kesucian tanah haram yang menjadi kiblat Muslimin seluruh dunia.

Turut disyorkan Ketahui kelebihan amalan tawaf di hadapan Baitullah ketika musim umrah atau haji

kongsi ibadat media sosial

Tunaikan tawaf sambil ‘live’

Dalam pada itu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan pernah menerangkan hukum menunaikan tawaf sambil melakukan ‘live’ Facebook atau Instagram.

Memetik kenyataan dalam portal itu, mereka berpendapat melakukan aksi sedemikian adalah dibolehkan tetapi sebaiknya ditinggalkan.

Malah, pihak Mufti menegaskan bahawa setiap jemaah harus menjaga adab dan tatasusila ketika melakukan tawaf atau sa’ie kerana ia termasuk dalam ibadat penting yang ditunaikan di Tanah Suci.

Sabda Rasulullah SAW: “Tawaf mengelilingi Kaabah seperti solat, hanya saja kamu (boleh) bercakap dalam tawaf. Barangsiapa berkata tatkala tawaf hendaklah mengucapkan ucapan yang baik.” (Hadis Riwayat al-Tirmizi)

Hal ini diperkukuhkan lagi oleh pendapat kebanyakan ahli ilmu, antaranya:

Kata Imam al-Tirmizi: “Dan yang beramal atas perkara ini di sisi kebanyakan ulama. Justeru mereka berpendapat bahawa sunat seseorang yang sedang melakukan tawaf supaya tidak bercakap kecuali kerana keperluan atau kerana zikir kepada ALLAH atau kerana ilmu.” (RujukSunan al-Tirmizi, 2/285)

Justeru, bagi jemaah yang berada di Tanah Suci, sebaik-baiknya elakkanlah daripada melakukan perkara tidak bermanfaat sepanjang beribadah.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan 

Foto: 123RF

Tawaf pun hendak buat ‘live’, jauhi perbuatan kongsi ibadat di media sosial

wanita bertudung arak
Gaya Hidup,

Apa dah jadi? Wanita bertudung teguk arak kerana stres. Ketahuilah, walaupun alkohol rendah ia tetap HARAM!

Apa ‘dah jadi?, wanita bertudung teguk arak kerana stres. Ketahuilah, walaupun alkohol rendah ia tetap HARAM!

SEBERAT mana pun masalah kita, mengadulah kepada ALLAH Yang MAHA MENDENGAR dan kembali kepada-NYA.

Jangan kerana ingin mengambil jalan mudah, kita melakukan perkara-perkara terkutuk di sisi agama. Ingatlah bahawa matlamat tidak menghalalkan cara.

Demikian boleh diperkatakan terhadap seorang wanita bertudung yang didakwa meminum air beralkohol secara ‘live’ menerusi media sosial TikTok.

Tangkap layar siaran langsung wanita tersebut sempat dirakam oleh para netizen serta tular di internet, sekali gus mengundang pelbagai kecaman daripada orang ramai.

Baca juga Hati-hati, berdosa mendedahkan aib sendiri

wanita bertudung arak

Minum arak kerana terlalu tertekan
Dalam video tersebut, wanita itu memberitahu sedang mengalami tekanan mental serta mengetahui minuman yang diminumnya haram selepas ditegur orang ramai.

“Ya haram akak tahu dik, akak tahu. Terima kasih untuk nasihat ini ya. Saya tengah ‘down’ gila, dah macam mental ‘breakdown’,” katanya dalam video yang tular tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN:

Arak melalaikan diri daripada ALLAH
Dalam pada itu, pengguna media sosial memberitahu, minuman yang dihirup oleh wanita terbabit tidak memabukkan berikutan kandungan alkohol yang rendah, namun tetap haram di sisi Islam memandangkan ia arak.

Sebagaimana diingatkan oleh pihak Mufti Wilayah Persekutuan, arak merupakan najis dan dosa yang wajib dijauhi oleh umat Islam.

Maka, jumhur ulama bersepakat tentang pengharaman meminum arak sama ada sedikit atau banyak disebabkan sifatnya yang memabukkan dan menyebabkan hilang ingatan untuk mengingati ALLAH SWT.

wanita bertudung arak

UMAT Islam diharamkan meminum arak termasuk terlibat dalam apa-apa kegiatan berkaitan dengannya. Foto: Pexels

Baca juga Minuman Nutri Malt keluaran Carlsberg tidak layak mohon sijil halal

Minuman alkohol rendah, tidak memabukkan tetap HARAM

Tambah portal tersebut, selain arak itu sendiri, Rasulullah SAW menegah umat Islam daripada terlibat dengan apa sahaja yang menyumbang kepada arak.

Justeru, pihak mufti menegaskan bahawa minuman ringan yang dibuat dengan niat dan cara yang sama seperti proses membuat arak, sama ada mengandungi banyak atau sedikit alkohol atau alkoholnya disuling adalah tetap haram diminum.

Dalam masa sama, Muslimin diingatkan agar menjauhi segala bentuk produk meragukan yang jelas mempunyai hubungan dengan perkara yang dilarang syarak seperti arak.

Sabda Nabi SAW: “Tinggallah apa yang menjadi keraguan kepadamu kepada yang tidak meragukan. Maka sesungguhnya kebenaran itu adalah satu ketenangan dan sesungguhnya dusta itu adalah satu keraguan.” (Hadis Riwayat al-Tirmizi)

Turut disyorkan Ini cara menghapuskan dosa seminggu pada hari Jumaat

MOHONLAH keampunan kepada ALLAH terhadap kemungkaran dan keterlanjuran yang pernah kita lakukan. Foto: 123RF

Baca juga Wanita dirasuk Iblis, sejak zaman Nabi dulu pun sudah wujud, berikut kaedah merawatnya

4 cara rawat stres menurut Islam

Memetik portal mykmu.net, kaedah terbaik merawat stres mengikut acuan Islam adalah mendekatkan diri kepada ALLAH melalui cara-cara ini:

1. Meluahkan perasaan.
Ada kalanya menceritakan permasalahan kita kepada orang lain akan melegakan hati dari tekanan. Sebaik-baik tempat meluahkan perasaan ialah kepada ALLAH SWT. ALLAH memberi contoh dalam surah Yusuf akan luahan Nabi Yaakub AS yang tertekan kerana kehilangan orang tersayang.

Firman ALLAH: “Dan (bapa mereka – Nabi Yaakub) pun berpaling dari mereka (kerana berita yang mengharukan itu) sambil berkata: “Aduhai sedihnya aku kerana Yusuf, dan putihlah dua belah matanya disebabkan ratap tangis dukacitanya kerana ia orang yang memendamkan marahnya di dalam hati.” (Surah Yusuf, ayat 84)

Anak-anak Nabi Yaakub AS menyangka bahwa ayahnya mengadu perihal Yusuf kepada mereka, tetapi Yaakub berkata: “Sesungguhnya aku hanyalah mengadukan kesusahan dan dukacitaku kepada Allah dan aku mengetahui (dengan perantaraan wahyu) dari Allah, apa yang kamu tidak mengetahuinya.” (Surah Yusuf, ayat 86)

Turut disyorkan Semangkuk bubur talbinah pengubat hati penawar duka, ini cara Rasulullah

wanita bertudung arak

BANYAKKAN berzikir dan beristighfar kepada ALLAH sepanjang masa kerana ia merupakan ‘makanan’ bagi jiwa kita. Foto: 123RF

2. Berzikir menyebut nama ALLAH.
Pada umumnya terdapat hubungan yang erat antara roh dengan zikir bahkan zikir adalah keperluan asas bagi roh. ALLAH meletakkan ketenangan dan ketenteraman dalam hati dengan berzikir seperti yang tersebut dalam al-Quran tetapi mestilah dengan syarat khusyuk ketika berzikir.

Di antara zikir yang digalakkan ialah istighfar. Dalam sabda Rasulullah SAW: “Barangsiapa yang melazimkan diri dalam istighfar maka ALLAH akan menjadikan untuknya jalan keluar dari segala kesempitan, dan akan diangkat segala kesusahan dan diberi rezeki dari tempat yang tidak disangka.” (Hadis Riwayat Abu Daud).

Baca juga Zikir yang memenatkan 70 malaikat mencatatnya “Jazallahu Anna Sayyidina Muhammadan….”

USAHA untuk menumpukan sepenuh perhatian ketika menunaikan solat menghadap ALLAH SWT. Foto: 123RF

3. Solat dengan khusyuk.
Solat adalah tali penghubung antara hamba dengan ALLAH demi memohon petunjuk daripada-NYA. Malah Rasulullah SAW sendiri apabila berhadapan dengan satu permasalahan besar beliau akan solat untuk memohon petunjuk dan bantuan.

Perumpamaannya ialah jika seseorang menghadapi permasalahan besar maka ia akan akan mencari orang besar atau peguam hebat untuk membantunya.

Demikian pula jika seseorang berhadapan dengan masalah stres sudah semestinya ia perlu menghadap kepada yang Maha Kuasa kerana segala permasalahan dan solusinya datang dari ALLAH SWT.

Firman ALLAH: “Wahai sekalian orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan) dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) sembahyang; kerana sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang-orang yang sabar.” (Surah al-Baqarah, ayat 153).

Baca juga Sukar Khusyuk Ketika Solat, Boleh Cuba Kaedah Yang Disarankan Ini 

Turut disyorkan Tak mengapa hodoh di dunia, di akhirat nanti kita dapat memilih wajah yang diinginkan

4. Beriman kepada qada dan qadar.
Ini adalah bahagian daripada rukun iman yang enam. Beriman kepadanya memberi kesan penerimaan ke atas apa yang menimpa kepadanya daripada segala yang baik dan buruk.

Firman ALLAH: “Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin ALLAH; dan sesiapa yang beriman kepada-NYA, ALLAH akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar); dan (ingatlah), ALLAH MAHA MENGETAHUI akan tiap-tiap sesuatu.” (Surah al-Taghabun, ayat 11).

Sumber: Kosmo, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan & mykmu.net

Foto: 123RF, TikTok & Pexels

Apa ‘dah jadi?, wanita bertudung teguk arak kerana stres. Ketahuilah, walaupun alkohol rendah ia tetap HARAM!

Apa ‘dah jadi?, wanita bertudung teguk arak kerana stres. Ketahuilah, walaupun alkohol rendah ia tetap HARAM!

buang sisa daging korban
Gaya Hidup, Ibadah,

Jangan sewenangnya buang sisa daging korban, ini tatacara terbaik mengurusnya

Jangan sewenangnya buang sisa daging korban, ini tatacara terbaik mengurusnya

HARI Raya Aidiladha sudah beberapa hari berlalu. Pastinya ramai yang turut mengambil peluang untuk melaksanakan ibadah korban, akikah dan sebagainya pada hari yang mulia tersebut.

Walau bagaimanapun, sebagaimana dikongsikan dalam media sosial, ada individu dipercayai di Terengganu telah bertindak membuang perut lembu sesuka hati di tong sampah yang disediakan majlis daerah.

Baca juga Boleh ke buat kenduri kahwin dan jamu tetamu makan daging korban?  

buang sisa daging korban

Jelas pengguna media sosial yang mengeluarkan hantaran tersebut, tindakan membuang sisa daging korban sewenang-wenangnya ke tong sampah akan akan menyebabkan kawasan di situ menjadi lebih busuk kerana kakitangan pelupusan sampah hanya akan mengutip sampah-sampah berkenaan beberapa hari kemudian berikutan musim perayaan.

Rata-rata pihak netizen mengecam perbuatan tersebut kerana difahamkan, ketika perut lembu itu ditemui, ia telah pun dihurung lalat.

ARTIKEL BERKAITAN:

buang sisa daging korban

HANTARAN dalam Facebook yang menunjukkan kejadian dipercayai berlaku di Terengganu. Foto: Facebook

Sisa daging korban perlu ditanam
Menurut personaliti agama, Ustaz Syed Abdul Kadir Aljoofre, orang ramai dinasihatkan untuk menanam sisa daging korban, terutamanya bahagian tulang.

Katanya, walaupun hukum menanam tulang daging korban hanya sekadar sunat dan bukannya wajib, namun ada beberapa perkara perlu masyarakat ambil tahu.

Jelas beliau, tulang-belulang secara umumnya dan bukan sahaja ketika korban, termasuk salah satu makanan jin. Oleh itu, sebahagian ulama mengatakan berpendapat sisa berkenaan harus dikendalikan dengan baik.

Baca juga Makanan dan minuman jin yang patut diketahui, serta perlu Muslim hindari

USTAZ SYED ABDUL KADIR ALJOOFRE. Foto: Google

“Sebahagian ulama mengatakan lebih baik untuk kita prosesnya (tulang daging) dengan cara yang baik. Makna bukan kita letakkan secara terbiar di atas tanah dan sebagainya.

“Sebahagian ulama mengatakan lebih baik untuk kita prosesnya (tulang daging) dengan cara yang baik. Makna bukan kita letakkan secara terbiar di atas tanah dan sebagainya.

Turut disyorkan Usah sempitkan pengorbanan hanya ketika raya haji

buang sisa daging korban

URUSLAH sisa daging korban dengan betul agar pahala yang diperoleh daripada ibadah itu menjadi sempurna. Foto: Unsplash

Baca juga Ibadah korban masih boleh dilakukan selepas Hari Raya Aidiladha

Bagaimana jika tidak dapat tanam?
Bagi mereka yang tidak mempunyai tempat untuk menanam sisa dan tulang daging korban, penceramah bebas, Ustaz Che Nordin Che Ibrahim mengingatkan agar makanan itu dibungkus dengan baik sebelum dibuang di tempat yang tidak akan diganggu haiwan liar seperti anjing.

Oleh itu, jika anda mempunyai sebarang sisa daging korban daripada sambutan Hari Raya Aidiladha yang lalu, sebaik-baiknya ia ditanam sekiranya anda berkebolehan berbuat demikian.

USTAZ CHE NORDIN CHE IBRAHIM. Foto: Youtube

Turut disyorkan Anak naik haji di usia muda, ibu ini kongsi rahsia

Namun, bergantung kepada situasi dan kesesuaian keadaan, tiada masalah jika sisa berkenaan terpaksa dibuang ke dalam tong sampah atau mana-mana tempat yang sesuai. Syaratnya, bekas sembelihan itu harus dibungkus dengan baik supaya tidak menimbulkan masalah kebersihan.

Ketahuilah, ibadah korban merupakan suatu amalan mulia. Pun begitu, jangan kerana sikap sambil lewa menguruskan sisa sembelihan menyebabkan kita tidak memperoleh pahala sempurna daripada ibadah tersebut.

Sumber: Facebook & Youtube

Foto: 123RF, Facebook, Youtube & Unsplash

Jangan sewenangnya buang sisa daging korban, ini tatacara terbaik mengurusnya

Doa dibaca Nabi Muhammad
Ibadah,

Jom pakat baca Doa ini pada Hari Arafah, tidak semestinya tunggu jemaah haji wukuf

Jom pakat baca Doa ini pada Hari Arafah, tidak semestinya tunggu jemaah haji wukuf

PASTI ramai umat Islam yang akan mengambil peluang untuk berpuasa pada Hari Arafah keesokan harinya. Istimewanya hari itu kerana dinyatakan sebagai hari yang paling disukai oleh ALLAH SWT dalam bulan Zulhijjah.

Bahkan, Rasulullah SAW mengkhabarkan kepada kita bahawa berpuasa pada Hari Arafah akan menghapuskan dosa setahun yang lalu serta setahun yang akan datang.

Justeru, pada hari tersebut, setiap orang disarankan untuk banyak berdoa memohon ampun serta meminta apa sahaja yang diingini kepada ALLAH. Hal itu kerana sebaik-baik doa yang dipohon adalah pada hari Arafah.

Sabda Nabi SAW, “Sebaik-baik doa adalah doa pada hari Arafah.” (Hadis Riwayat Tirmizi)

Jadi, orang yang berpuasa pada hari itu akan mendapat keistimewaan yang berganda iaitu doa yang mustajab kerana berpuasa dan juga kerana Hari Arafah sendiri.

Baca juga Mengapa hari ke-8 Zulhijjah dinamakan Hari Tarwiyah dan apa kelebihan di sebalik hari ini?

doa Hari Arafah

JANGAN lepaskan peluang berdoa pada Hari Arafah, iaitu antara waktu paling mustajab doa. Foto: 123RF

Ramai salah faham waktu mustajab doa Hari Arafah
Perihal waktu mustajab berdoa pada Hari Arafah, pendakwah Ustaz Muhammad Fahmi Rusli berkata, ada suatu salah faham yang berleluasa dalam umat Islam di Malaysia.

Menurut beliau, wujud segelintir masyarakat setempat yang percaya bahawa waktu paling mustajab berdoa pada hari berkenaan menyamai waktu jemaah haji sedang berwukuf di Arab Saudi.

“Masyarakat kita ada satu falsafah. Dia hendak cari waktu mustajab doa itu (dengan menyamakan) pada waktu jemaah haji wukuf di Saudi.

“Dia kata waktu mustajab berdoa di Malaysia adalah 6.36 petang, contohnya, kerana pada saat itu, jemaah haji (sedang berwukuf) di Mekah,” ujarnya menerusi rancangan My #HadithTime yang disiarkan di laman sosial.

doa Hari Arafah

USTAZ FAHMI RUSLI

Bagi Fahmi, beliau tidak bersetuju amalan mengkhaskan satu waktu tertentu paling mustajab untuk berdoa pada Hari Arafah di Malaysia dengan menyamakan pada masa jemaah haji berwukuf.

“Sebenarnya tidak betul kefahaman begini kerana waktu mustajab doa adalah pada Hari Arafah. Nabi kata sebaik-baik doa adalah pada hari Arafah. Hari Arafah pula adalah 9 Zulhijjah.

“Nabi tidak sebut sebaik-baik doa adalah pada hari jemaah haji berwukuf di Arafah. Nabi tidak kata secara spesifik waktu mustajab doa seolah-olah kita di Malaysia perlu ikut waktu bila jemaah haji wukuf di Arafah,” jelasnya.

Sebaliknya pendakwah berkenaan mengingatkan bahawa keseluruhan tarikh 9 Zulhijjah itu dikira waktu mustajab dan rakyat Malaysia boleh berdoa pada bila-bila masa sahaja sepanjang tempoh tersebut tanpa menunggu masa tertentu.

SEBENARNYA keseluruhan Hari Arafah adalah waktu mustajab berdoa tanpa perlu menetapkan detik spesifik. Foto: 123RF

Doa yang sesuai dibaca pada Hari Arafah
Jika anda mencari doa sesuai pada Hari Arafah, berikut antara doa yang banyak dibaca oleh Nabi SAW dan para sahabat adalah:

لا إلهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَريكَ لَهُ ، لَهُ المُلْكُ وَلَهُ الحَمْدُ ؛ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ
(La ilaaha illaAllah wahdahu la syariikalahu, lahul mulku walahul hamdu, wahuwa ‘ala kulli syai’in Qadiir)

Maksudnya: “Tidak ada Tuhan yang berhak disembah selain ALLAH Yang Maha Esa, tidak ada sekutu bagi-NYA, milik-NYA segala kekuasaan dan bagi-NYA segala pujian, dan DIA-lah Yang Maha Kuasa atas setiap sesuatu.”

Selain itu, jika anda ingin memecahkan sedikit rutin berdoa dengan doa yang jarang-jarang diucapkan, boleh juga berdoa dengan doa ini:

اللَّهُمَّ اجْعَلْ في قَلْبِي نُورًا، وفي بَصَرِي نُورًا، وفي سَمْعِي نُورًا، وعَنْ يَمِينِي نُورًا، وعَنْ يَسارِي نُورًا، وفَوْقِي نُورًا، وتَحْتي نُورًا، وأَمامِي نُورًا، وخَلْفِي نُورًا، واجْعَلْ لي نُورًا

Maksudnya: “Ya ALLAH, jadikanlah di dalam hatiku cahaya, dan di pandanganku cahaya, dan pada pendengaranku cahaya, dan dari kananku cahaya, dan dari kiriku cahaya, dan di atasku cahaya, dan di bawahku cahaya, dan di depanku cahaya, dan di belakangku cahaya, berilah aku cahaya.” (Sahih Bukhari, no. 6316)

Ini adalah doa yang biasa dibaca oleh Rasulullah SAW ketika bangun untuk menunaikan solat Subuh. Ia boleh dibaca juga pada bila-bila masa, lebih-lebih lagi dalam masa yang berbaki sebelum kita memasuki gerbang 10 Zulhijjah.

Sumber: Tzkrh & Ramai salah faham waktu mustajab doa pada Hari Arafah

Foto: 123RF