KALAU melangkah ke dalam hutan, sering kita mendengar pesanan orang tua-tua, ‘sebelum masuk hutan, atau ‘sebelum buang air dalam hutan perlu minta izin daripada penjaga rimba’ dan sebagainya. Benarkah pegangan itu?
Ketua Pegawai Tadbir (Hal Ehwal Islam) Pusat Islam Universiti Utara Malaysia (UUM), Ustaz Mohd Yusnaidi Md Sabri, menjelaskan punca berlakunya kejahilan masyarakat tentang perkara ini kerana hilangnya pedoman seperti yang telah dijelaskan oleh Nabi Muhammad SAW.
“Dalam Islam setiap bentuk permohonan mesti ditujukan kepada ALLAH SWT, jadi mintalah perlindungan kepada ALLAH, kecuali sekiranya perkara-perkara itu melibatkan asbab”
“Sebagai contoh asbab yang boleh diguna pakai adalah ketika kebakaran boleh minta tolong bomba, jadi minta tolong kepada manusia itu dibenarkan jika di dalam lingkungan asbab. Jika di luar asbab, alat yang dituju itu tidak boleh digunakan” katanya ketika dihubungi Sinar Islam Plus.
Selain itu, antara punca berlakunya kepercayaan mengarut sebegini adalah kerana seseorang itu tidak memahami Islam secara mendalam, tetapi lebih mewarisi kepercayaan tradisi.
Jelasnya, perkara ini bukan sahaja berlaku dalam masyarakat Melayu malah amalan ini telah berlaku kepada masyarakat Arab jahiliah apabila mereka pergi kepada wadi dan menyeru ‘wahai penunggu wadi tolonglah aku’. Hal ini sebaliknya akan menimbulkan kebanggaan kepada bangsa jin kerana manusia meminta tolong dan memuja mereka.
Bermohon hanya kepada ALLAH
Ustaz Yusnaidi berkata, penjaga hutan dan seisi alam ini adalah ALLAH SWT dan semua khazanah itu adalah milik-NYA.
Justeru, ikhtiar paling mudah yang boleh dilakukan ketika masuk ke hutan adalah berdoa dan berserah kepada ALLAH. “Antara doa atau bacaan paling mudah yang diajarkan Nabi SAW adalah dengan membaca “audzubillahi minasyaitonirrajim” ataupun menyebut ‘Ya ALLAH, selamatkanlah aku daripada bahaya sama ada yang nampak mahu pun tidak nampak,” pesan beliau lagi.
Beliau turut berkongsi beberapa adab ketika masuk ke hutan antaranya adalah;
- Sebelum memulakan perjalanan niat mestilah betul untuk menghayati ciptaan ALLAH
- Menjaga solat
- Jangan takbur
- Jangan berseorangan
- Jangan kencing merata tempat
- Jaga kebersihan hutan
Apabila melalui tempat tinggi atau rendah, Rasullullah ajar untuk bertakbir ALLAHUAKHBAR manakala apabila turun bukit memuji ALLAH dengan menyebut SUBHANALLAH.
FOTO:PEXELS