“JANGAN sidai pakaian waktu malam.”
Demikian antara tegahan yang sering kali didengari. Lebih-lebih lagi daripada orang tua. Pantang nenek moyang kita kalau melihat ada anak atau cucu-cucunya berbuat demikian.
Tidak kurang dengan itu, ada yang mendakwa perbuatan tersebut tidak elok kerana dikaitkan dengan mudah terkena sihir dan seumpamanya.
Benarkah begitu? Adakah terdapat dalil tertentu yang memerihalkan tentangnya?
Menurut Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Universiti Sains Islam Malaysia, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, sunnah ketika malam tiba yang terdapat dalam nas adalah mencegah anak-anak kecil dan haiwan ternakan seperti unta, kambing serta lain-lain daripada keluar.
Ini kerana pada waktu tersebut syaitan-syaitan berkeliaran di bumi.
Baca juga Larangan berkeliaran waktu Maghrib bukan mitos
“Dikhuatiri makhluk-makhluk tersebut akan menyakiti dan memudaratkan mereka,” katanya sebagaimana dipetik menerusi artikel #2953: Sidai Baju Waktu Malam yang disiarkan dalam Maktabah Albakri.
Berbalik kepada persoalan tadi, Dr Zulkifli yang juga mantan Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan, tidak ada dalil yang menunjukkan adanya larangan (ataupun makruh) untuk menggantung (atau menyidai) pakaian yang dibasuh selepas Maghrib (waktu malam).
Perkara itu dinyatakan jelas oleh anggota Majma’ al-Buhuth al-Islamiyyah, Dr Muhammad Syahat al-Jundi.
“Malah, beliau turut menjelaskan bahawa larangan untuk menggantung atau sidai pakaian yang dibasuh agar ia kering pada waktu malam tersebut tidak mempunyai sebarang dalil atau hujah, mahupun sandaran yang menyokong atau mengesahkannya.
Baca juga Tinggalkan pinggan mangkuk tak dibasuh semalaman boleh undang kepapaan?
“Begitu juga halnya, tidak ada sebarang kaitan antara menyidai pakaian yang dibasuh pada awal malam ataupun akhir malam, mahupun kaitan antaranya dengan berkeliarannya syaitan-syaitan pada waktu tersebut ataupun ketiadaan syaitan-syaitan itu.
“Malah, tiada hadis sahih atau daif dalam hal tersebut, setakat yang kami tahu,” ungkapnya.
Justeru, ujar Dr Zulkifli, ridak mengapa jika kita sidai atau menggantungkan pakaian basah yang dibasuh pada waktu malam.
“Hal ini kerana larangan untuk menyidainya pada waktu malam tidak diketahui asalnya mahupun dalil yang menyokongnya.
“Jadi ia kembali kepada hukum asalnya iaitu diharuskan. Ia bertepatan dengan kaedah fiqh ‘Hukum asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut)’,” katanya.
Walaupun kita disunatkan untuk menghalang anak-anak kecil keluar pada waktu itu, selain menutup pintu dan tingkat, bekas-bekas air dan seumpamanya, di samping menyebut nama ALLAH ketika menutupnya kerana dikhuatiri mereka terkesan dengan kejahatan syaitan, tetapi ia tiada perkaitannya sama sekali dalam hal sidai pakaian tadi.
Baca juga Sapu rumah waktu malam boleh jatuh miskin hanya mitos
Bahkah, Dr Zulkifli menjelaskan, ia sekadar dakwaan dan cerita yang tersebar dalam kalangan orang ramai semata-mata serta tiada dalil yang menyokong, apalagi mengesahkannya.
“Begitu juga halnya dengan menyidai pakaian pada waktu malam yang dikaitkan dengan terdedahnya seseorang untuk disihir. Ia memerlukan bukti dan dalil bagi mengesahkannya dan tiada bukti tentangnya.
“Maka ia kembali kepada hukum asalnya iaitu diharuskan untuk menyidai pakaian basah pada waktu malam sebagaimana diharuskan menggantungkannya pada waktu siang,” katanya.