PERCAYA bahawa duit punya tenaga dan tarikan magnet menjemput rezeki sehingga menganggap ia memiliki roh, malah ada yang mengaitkannya dengan Islam, benarkah begitu?
Rentetan isu yang tular di media sosial, berkenaan seorang wanita berkongsi cara mengajar bercakap dengan duit susulan kepercayaannya bahawa setiap entiti kehidupun mempunyai ‘energy’ termasuk duit.
Hakikatnya, ‘Energy Duit’ atau bercakap dengan duit, amat bertentangan dengan syarak Islam. Bahkan ia dianggap sebagai satu amalan khurafat yang menyalahi hukum hakam dalam Islam.
“Mengaitkan konsep tenaga duit ini dengan ajaran Islam seolah ia sedang merosakkan akidah umat Islam kerana amalan ini berasal daripada ajaran Law of Attraction yang membawa akidah kufur. Akarnya kekufuran adalah syirik,”
Demikian kenyataan pendakwah Ustaz Mohammed Noor Mohammed Deros dalam menjawab persoalan mengenai hukum tarikan (Law of Attraction) yang digunakan oleh sesetengah pihak dalam membuat sesuatu perkara.
Menurutnya, ‘Energy Duit’ hanyalah satu istilah dan konsep cabang kepada teori besar Hukum Tarikan (Law of Attraction) yang berasal daripada aqidah Pantheisme gerakan New Age.
Hukumnya adalah haram kerana Islam amat menolak kepercayaan serta amalan-amalan khurafat.
Noor berkata hukum tarikan mendakwa bahawa segalanya hanyalah Minda atau Kesedaran (MK) dan MK yang negatif akan menarik kejadian yang negatif dan yang positif pula menarik kejadian yang sama jenis.
“Ini adalah dakwaan yang tidak berasas kerana yang menentukan kejadian bukanlah minda dan kehendak kita sahaja tetapi ada kehendak yang lebih besar iaitu kehendak ALLAH.
Baca juga Jangan seru penunggu hutan, dikhuatiri terpesong akidah
Baca juga Amalan seks songsang dorong peningkatan penghidap HIV baharu
“Memiliki minda yang positif tetapi tidak berusaha gigih dan ALLAH pula tidak menghendaki apa yang dia kehendaki maka ia tetap tidak akan berlaku dan minda yang negatif tetapi tetap gigih berusaha dan ALLAH pula kehendaki apa yang dia kehendaki maka perkara itu tetap akan berlaku”.
Beliau berkata ritual-ritual memanggil duit ini sekiranya berhasil boleh dijelaskan secara psikologikal bahawa ia hanyalah satu bentuk mental ‘conditioning’ oleh pelaku ke atas dirinya sendiri untuk berusaha lebih gigih.
“Namun sayangnya conditioning itu berdiri diatas sebuah kepercayaan khurafat iaitu ‘Energy’ yang ada pada duit itu sendiri akhirnya membuahkan ritual ‘tidak bijak’ bercakap dengan benda mati,” tambahnya.
Kesesatan batiniah dari akar hingga rantin
Pengarang buku Penyelewengan dan Bahaya Law Of Attraction, Ahmad Iqram Mohamad Noor, turut berkongsi akan bahayanya ancaman ideologi yang merosakkan akidah umat Islam ini.
Menurutnya, jika ancaman fahaman New Age atau Batiniah Barat ini tidak ditangani dengan baik, maka ia bakal menatijahkan pelbagai masalah amalan syirik yang dibungkus dengan tema Islamik.
Salah satunya adalah konsep Law of Attraction yang telah sekian lama berleluasa dijaja dalam pelbagai program seminar, motivasi dan lain-lain.
Hari ini kita telah berhadapan dengan beberapa siri penyelewengan atas tema Islamik hasil dari pengaruh ajaran Law of Attraction, antaranya:
1) Garpu Tala: Bibliomancy, menilik nasib menggunakan al Quran
2) Tuhan adalah makhluk halus
3) Ibu Duit: kerana duit memiliki good energy
Beliau menjelaskan lagi, kesemua ajaran ini akan menunggang pelbagai istilah islamik, menggunakan dalil al-Quran dan Hadis yang tidak menepati konteks, dan atas alasan ikhtiar. Punca dari penyelewengan ini berlaku hasil dari keimanan mereka kepada konsep Law of Attraction.