MAJLIS Perundingan Agama Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao (MCCBCHST) telah mengeluarkan kenyataan dengan menolak pengajian penghayatan hadis 40 Imam Nawawi di sekolah dengan dakwaan ia bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan hak kebebasan beragama.
Menurut mereka, kerajaan dan menteri pendidikan mesti berpandukan perlembagaan dan tidak membenarkan agama mempengaruhi dasar pendidikan. MCCBCHST turut menyatakan kebimbangan mendalam mereka terhadap kemungkinan pelajar bukan Islam perlu mempelajari Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi.
Menurut mereka lagi “hadis itu jelas sebahagian daripada agama Islam. Nampaknya, tiada peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan kita yang membenarkan ajaran Islam sebegitu di sekolah jenis kebangsaan. Ini mungkin dilaksanakan di sekolah agama Islam.”
Berkaitan isu ini, bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri tampil menjelaskan melalui artikel terbarunya yang disiarkan di laman maktabah albakri.
Jelas beliau, secara asasnya, golongan bukan Islam tidak perlu bimbang dan khuatir. Hal ini kerana, telah jelas di dalam Perlembagaan berkenaan kebebasan beragama di negara Malaysia ini di mana semua agama boleh dianuti dan diamalkan secara harmoni dan aman damai.
“Selain itu, perkara tiga Perlembagaan Persekutuan yang menyebut tentang Islam sebagai agama persekutuan itu tidak hanya sekadar bersifat ritual, akan tetapi tafsirannya adalah lebih luas dan meliputi Islam sebagai agama dan cara hidup umat Islam di Malaysia.
“Di samping itu, terdapat juga Seksyen 50(1) Akta Pendidikan 1996 yang menjelaskan bahawa sekiranya di dalam sesuatu institusi pendidikan terdapat lima orang murid atau lebih yang menganut agama Islam, maka murid-murid itu hendaklah diberi pengajaran agama Islam oleh guru yang diluluskan oleh Pihak Berkuasa Negeri.
Artikel Berkaitan
- KPM tegaskan Modul Hadis 40 Imam Nawawi hanya untuk guru dan pelajar Islam
- Rupanya hadis ‘talak menggegarkan Arasy’ tidak sahih
- ‘Kedudukan kita di akhirat berdasarkan ayat al-Quran terakhir yang dibaca’- hadis Nabi
- Dari ilmu hadis ke bidang perubatan, banyak sumbangan wanita dalam sejarah Islam
“Kandungan Hadis 40 secara jelasnya menyemai kehidupan yang harmoni dan akhlak yang baik, serta merungkai permasalahan kehidupan dengan sebaiknya. Malah, hal ini turut ditegaskan oleh Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Profesor Emiritus Datuk Dr Teo Kok Seong.
“Beliau menyebut: “Ia begitu jelas bahawa hasrat kerajaan menggunakan modul itu untuk pelajar Islam dan mereka yang membantah ini seharusnya merujuk dulu isi kandungan hadis itu kerana apa yang terkandung hanyalah ajaran al-Quran yang disabdakan kepada Rasulullah dan bukan ajaran tambahan yang dicipta sesuka hati,” katanya.
Keistimewaan Hadis 40
Terdapat banyak keistimewaan Hadis 40 karya Imam al-Nawawi ini. Antara keistimewaan susunan Imam al-Nawawi ini adalah:
1.Ia mencakupi semua hadis berkaitan kehidupan manusia.
2.Hadis-hadisnya menjadi asas kepada kaedah agama yang penting.
3.Ramai para ulama yang mensyarahkan hadis ini.
4.Kitab ini menjadi kitab yang amat masyhur dalam kalangan ulama’ dan orang awam di segenap pelusuk dunia.
5.Kitab ini dipelajari oleh pelbagai lapisan masyarakat.
Dalam menekuni kitab ini, hadis 40 ini amat baik serta boleh diterima oleh semua lapisan masyarakat, sama ada yang tua mahupun yang muda. Ia juga telah bertapak di Malaysia sejak ratusan tahun yang lampau.
Baca Juga Imam Nawawi mengabdikan diri dengan ilmu sehingga sanggup tidak berbaring ketika tidur
Kitab Hadis 40 ini telah diajar di pondok-pondok, masjid-masjid, surau, pejabat kerajaan, bahkan sampai ke peringkat universiti. Selain itu, ia bukan hanya semata-mata di Malaysia ini, bahkan di dunia Arab termasuklah di Masjid al-Haram, Masjid al-Nabawi, Jami’ al-Azhar, malah di universiti-universiti terkemuka di dunia.
Inilah unik dan istimewanya Hadis 40 karya Imam al-Nawawi. Pemilihan 40 hadis mengikut hematnya berdasarkan ilmu dan makrifah yang dimilikinya telah memberi kesan terhadap minda para ulama’, fuqaha’, muhaddisin, mufassirin, cendekiawan Islam, bahkan para asatizah, guru-guru dan para pelajarnya.
Meskipun pengarangnya telah meninggalkan kita lebih 800 tahun, namun karyanya masih lagi berbisa, bahkan pengajaran kitabnya terus berkembang dengan meluas.