Jasad berkecai atau terbakar, ini cara urus jenazah mangsa kemalangan
RATA-rata rakyat Malaysia sangat terkesan dengan kejadian pesawat terhempas yang dilaporkan berlaku di Bandar Elmina, Shah Alam pada Khamis.
Pun begitu, berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Kesedihan di sebalik tragedi itu pastinya paling dirasai oleh ahli keluarga yang kehilangan insan tersayang mereka.
Seramai 10 individu maut dalam nahas terbabit. Mayat kesemua mangsa pesawat ditemui dalam keadaan tidak sempurna, berkecai, malah ada juga yang telah terbakar.
ARTIKEL BERKAITAN:
- Ajal dan maut sudah ditentukan, pesawat terhempas hanyalah asbab
- Syahid dalam kebakaran, ketahui dua sudut istilah syahid kepada Muslimin
- 10 tanda kematian yang baik
Menguruskan jenazah kebakaran
Dari sudut menguruskan mayat kemalangan, portal Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan, hukum asal bagi jenazah adalah wajib dimandikan, sama ada ia terbakar ataupun tidak.
Walau bagaimanapun, jika terdapat keuzuran seperti tahap kebakaran yang amat parah iaitu tahap ketiga (deep burn), air tidak diperlukan kerana dikhuatiri kulit yang melepuh akan tertanggal dan menyukarkan.
Sebaliknya, proses memandikan jenazah kebakaran boleh digantikan dengan tayamum, sebagaimana dipersetujui para ulama Syafie.
Mayat berkecai
Adapun, mangsa berada dalam keadaan hancur berkecai, namun masih terdapat anggota badan yang mampu dikutip.
Dalam situasi sebegitu, pendakwah Ustaz Mohd Riza berkata, mana-mana anggota badan yang berjaya dikutip perlu dikumpulkan dan diniatkan mandi jenazah dengan menjiruskan air seperti biasa.
Namun sekiranya fizikal mangsa sudah hancur sepenuhnya sehinggakan hanya tinggal cebisan, maka jenazah tidak perlu dimandikan. Malah bergantung kepada keadaan si mati, adakalanya tayamum juga tidak diharusnya.
Kata Mohd Riza kepada Mingguan Wanita, dalam hal itu, sudah memadai hanya membalut cebisan tersebut kemudian disolatkan jenazah serta dikebumikan seperti biasa.
Turut disyorkan Dah ubah ‘macam-macam’, ini tatacara uruskan jenazah transgender
Kebumi jenazah dalam satu liang lahad
Pihak Mufti turut menjelaskan, hukum asal mengebumikan dua jenazah dalam satu kubur adalah haram.
Namun begitu, perbuatan itu dibenarkan dalam keadaan darurat seperti terlalu banyak orang yang meninggal atau mungkin sukar membezakan jenazah kerana anggota badan yang sudah hancur dan bercampur akibat kemalangan.
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan & Mingguan Wanita
Foto: 123RF, Sinar Harian & Astro Awani
Jasad berkecai atau terbakar, ini cara urus jenazah mangsa kemalangan