Browsing Tag

pesawat Beechcraft 390 Premier 1

jenazah mangsa kemalangan
Berita Semasa, Ibadah,

Jasad berkecai atau terbakar, ini cara urus jenazah mangsa kemalangan

Jasad berkecai atau terbakar, ini cara urus jenazah mangsa kemalangan

RATA-rata rakyat Malaysia sangat terkesan dengan kejadian pesawat terhempas yang dilaporkan berlaku di Bandar Elmina, Shah Alam pada Khamis.

Pun begitu, berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Kesedihan di sebalik tragedi itu pastinya paling dirasai oleh ahli keluarga yang kehilangan insan tersayang mereka.

Seramai 10 individu maut dalam nahas terbabit. Mayat kesemua mangsa pesawat ditemui dalam keadaan tidak sempurna, berkecai, malah ada juga yang telah terbakar.

Baca juga Ingatan bekas Mufti kepada netizen, hentikan sebaran gambar, video mangsa nahas pesawat kerana dianggap membuka aib

berkecai terbakar urus jenazah

 

ARTIKEL BERKAITAN:

Menguruskan jenazah kebakaran

Dari sudut menguruskan mayat kemalangan, portal Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan, hukum asal bagi jenazah adalah wajib dimandikan, sama ada ia terbakar ataupun tidak.

Walau bagaimanapun, jika terdapat keuzuran seperti tahap kebakaran yang amat parah iaitu tahap ketiga (deep burn), air tidak diperlukan kerana dikhuatiri kulit yang melepuh akan tertanggal dan menyukarkan.

Sebaliknya, proses memandikan jenazah kebakaran boleh digantikan dengan tayamum, sebagaimana dipersetujui para ulama Syafie.

ADA cara tertentu digariskan Islam untuk menguruskan jenazah yang jasadnya sudah berkecai atau terbakar. Gambar hiasan: Astro Awani

Mayat berkecai

Adapun, mangsa berada dalam keadaan hancur berkecai, namun masih terdapat anggota badan yang mampu dikutip.

Dalam situasi sebegitu, pendakwah Ustaz Mohd Riza berkata, mana-mana anggota badan yang berjaya dikutip perlu dikumpulkan dan diniatkan mandi jenazah dengan menjiruskan air seperti biasa.

Namun sekiranya fizikal mangsa sudah hancur sepenuhnya sehinggakan hanya tinggal cebisan, maka jenazah tidak perlu dimandikan. Malah bergantung kepada keadaan si mati, adakalanya tayamum juga tidak diharusnya.

Kata Mohd Riza kepada Mingguan Wanita, dalam hal itu, sudah memadai hanya membalut cebisan tersebut kemudian disolatkan jenazah serta dikebumikan seperti biasa.

Baca juga Jangan mengelak bila ada kematian, lelaki Muslim digalakkan iring jenazah ke pusara kerana pahalanya sebesar Gunung Uhud

jenazah mangsa kemalangan

PENGEBUMIAN beberapa jenazah dalam satu liang lahad dibenarkan dalam keadaan darurat. Gambar hiasan: Sinar Harian

Turut disyorkan Dah ubah ‘macam-macam’, ini tatacara uruskan jenazah transgender

Kebumi jenazah dalam satu liang lahad

Pihak Mufti turut menjelaskan, hukum asal mengebumikan dua jenazah dalam satu kubur adalah haram.

Namun begitu, perbuatan itu dibenarkan dalam keadaan darurat seperti terlalu banyak orang yang meninggal atau mungkin sukar membezakan jenazah kerana anggota badan yang sudah hancur dan bercampur akibat kemalangan.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan & Mingguan Wanita

Foto: 123RF, Sinar Harian & Astro Awani

Jasad berkecai atau terbakar, ini cara urus jenazah mangsa kemalangan

pesawat terhempas
Berita Semasa,

Meninggal ketika mencari nafkah untuk keluarga, adakah dikira syahid?

Meninggal ketika mencari nafkah untuk keluarga, adakah dikira syahid?

BERBICARA mengenai mati syahid, pasti ramai yang menginginkannya kerana ia termasuk dalam salah satu kategori mati yang baik, iaitu husnul khatimah.

Secara umumnya, ramai mengetahui mati syahid bukanlah hanya berfokus kepada mati ketika dalam perang untuk menegakkan agama Islam sahaja. Namun, mati syahid ialah apabila seseorang itu meninggal ketika hendak memperjuangkan sesuatu kebaikan.

Contohnya seperti seorang ibu meninggal ketika melahirkan anak ataupun orang yang meninggal dengan sebab lemas dan sebagainya. Sebagaimana yang disebut dalam sebuah hadis sahih mengenai lima kematian yang dianggap sebagai syahid.

Terdapat lima jenis kematian yang dianggap syahid, iaitu orang yang mati kerana taun, mati kerana penyakit perut, mati lemas, ditimpa runtuhan dan syahid di jalan ALLAH.” (Hadis Riwayat Bukhari)

Menurut Imam Nawawi, lima jenis kematian ini dianggap syahid kerana kematian mereka tidak sama dengan kematian biasa. Ia juga bermaksud kerana seksaan yang mereka alami adalah lebih sakit berbanding dengan sakit yang lain, disebabkan itu mereka telah diberi syahid akhirat.

APABILA bercakap mengenai mati syahid, pasti ramai yang menginginkannya kerana ia termasuk dalam salah satu kategori mati yang baik, iaitu husnul khatimah. -Foto: stockvault

Syahid akhirat di sini membawa maksud mereka yang syahid bukan di medan perang. Mereka juga dikurniakan dengan pahala dan ganjaran sebagai orang yang syahid di akhirat tetapi ganjarannya tidak sama dengan golongan yang syahid di dunia, iaitu orang yang syahid di medan perang.

Jadi, jenazahnya perlu dimandikan, dikafankan dan disolatkan seperti biasa sebagaimana jenazah lain.

Syahid terbahagi kepada tiga bahagian iaitu;

1. Syahid dunia dan akhirat bermaksud orang yang syahid dalam peperangan atau ketika menegakkan syiar Islam dengan niat untuk mendapatkan reda ALLAH semata-mata.

2.Syahid dunia pula ialah mereka yang meninggal ketika dalam peperangan tetapi menghalangnya daripada mendapat syahid akhirat kerana tujuannya yang salah seperti berniat perang untuk mendapat harta rampasan atau nama sahaja.

3. Syahid akhirat ialah syahid yang terjadi bukanlah di medan perang tetapi yang disebutkan dalam hadis di atas.

Artikel Berkaitan 

Bagaimana pula dengan mereka yang meninggal ketika menuju ke tempat kerja dengan meniatkan untuk mencari nafkah kepada ahli keluarganya?

Berkisar tragedi menyayat hati itu, apabila salah seorang daripada 10 mangsa pesawat Beechcraft 390 Premier 1, terhempas di Elmina merupakan orang awam yang juga pemandu e-hailing Grab.

MUHAMMAD Sahrul Izwan dan Nur Izzara menunjukkan gambar yang diberikan bapa mereka untuk dijadikan kenangan. -Foto: Harian Metro

Allahyarham Sharipuddin Shaari, 53, dikatakan telah menghubungi isterinya pada 2.15 petang semalam ketika sedang berehat di sebuah restoran.

Menurut Muhammad Sharul Izuan, 16, bapanya memaklumkan berada di sekitar Elmina untuk mengambil pelanggan dan pulang awal selepas selesai bekerja.

Rentetan kejadian yang tular itu, merujuk Mufti Wilayah, orang yang meninggal dunia kerana mencari nafkah juga tergolong dalam orang yang mendapat ganjaran syahid akhirat.

Baca Juga Perbanyakkan doa ini jika anda telah mencecah umur 40 tahun

Ini kerana, keluar untuk mencari rezeki adalah termasuk dalam amalan soleh yang dituntut oleh agama dan ia termasuk dalam husnul khatimah, iaitu kematian yang baik.

Walaupun ada sebahagian ulama yang menyebut bahawa ia bukan tergolong dalam syahid, namun ia termasuk dalam husnul khatimah kerana perbuatannya yang mulia untuk mencari nafkah kepada keluarga sendiri.

Syeikh Abd Rahman al-‘Asimi – “Di antara golongan yang mendapat syahid akhirat ialah orang yang mati ketika sedang menuntut ilmu sama ada melalui penulisan, pengajaran atau menghadiri majlis ilmu. Dan Imam Al-Ahjuri mengatakan bilangannya sehingga 30 golongan, dan di antaranya juga orang yang keluar mencari nafkah untuk orang yang di bawah tanggungannya.”

FOTO: BERNAMA & SINAR HARIAN
Berita Semasa,

Ajal dan maut sudah ditentukan, pesawat terhempas hanyalah asbab

SEJAK semalam negara digemparkan dengan kejadian sebuah pesawat Beechcraft 390 Premier 1 dilaporkan terhempas berhampiran kawasan perumahan di Elimina Seksyen U16, Sungai Buloh, pada Khamis.

Dilaporkan seramai lapan orang yang maut dalam kejadian tragis itu terdiri daripada enam penumpang dan dua kru pesawat ringan, manakala dua lagi merupakan orang awam masing-masing penunggang motosikal dan pemandu kereta yang lalu di tempat kejadian.

Pastinya antara yang paling terkesan dengan peristiwa itu adalah keluarga terdekat mangsa nahas.

Beberapa tangkap layar sempat diambil oleh media memaparkan ahli keluarga mangsa tidak dapat menahan kesedihan ketika hadir di lokasi kejadian pesawat terhempas itu.

Baca Juga Ingatan bekas Mufti kepada netizen, hentikan sebaran gambar, video mangsa nahas pesawat kerana dianggap membuka aib

Bersedih adalah normal kerana hakikatnya sebagai manusia kita tidak akan mampu mengelak perasaan yang hadir itu kerana para Nabi juga pernah bersedih ketika ada ahli keluarga yang meninggal.

Perkara ini sebagaimana dikongsi oleh Pensyarah Wacana Aqidah, Fiqh, Seerah, Akhlak dan l’jaz al-Quran, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia, Prof Madya Ustaz Dr Mohd Sukki Othman ketika dihubungi Sinar Islam Plus pada Jumaat.

Ujarnya, sedih itu normal tetapi kita dilarang untuk meratap, maksudnya seseorang itu tidak menerima ketentuan dan takdir ALLAH SWT.

AHLI keluarga tidak dapat menahan sebak berikutan tragedi nahas pesawat terhempas di Bandar Elmina Shah Alam yang menyebabkan 10 orang maut. 

“Sebagaimana yang kita tahu ajal dan maut itu sudah ALLAH tentukan kerana setiap yang bernyawa pasti akan merasai kematian.

“Dan ALLAH menyebut juga bila sampai ajal mereka, maka tidak akan berganjak sedetik sekalipun, jadi jatuh pesawat itu hanyalah sebab musabab sahaja kerana apabila sudah sampai ajalnya dia akan mati juga.

“Ketentuan ALLAH itu tiada siapa yang tahu, pelbagai tragedi kematian yang hari ini kita dapat lihat, ada yang sedang berehat, tidur, bersukan tetapi tiba-tiba sahaja rebah dan meninggal dunia, ketahuilah itu hanyalah sebab musabab sahaja kerana kematian itu sudah ditentukan ALLAH sejak azali,” katanya.

Baca Juga Lelaki buat kecoh dalam pesawat kerana ingin solat, fahami tatacara sebenar solat atas kapal terbang

Turut Disyorkan Syahid dalam kebakaran, ketahui dua sudut istilah syahid kepada Muslimin

Menurut Ustaz Sukki lagi, atas hakikat itu kita harus menerima takdir ALLAH, namun bukan bermakna kita tidak bersedih atas kejadian yang menimpa. Dalam al-Quran ALLAH ada menyebut seseorang itu tidak akan pernah tahu di mana dia meninggal.

“..Dan tidak seorang pun yang dapat mengetahui di bumi mana dia akan mati.” (Surah al-Luqman ayat 34)

Dan bagi tiap-tiap umat ada tempoh (yang telah ditetapkan). Maka apabila datang tempohnya, tidak dapat mereka kemudiankan dan tidak pula dapat mereka dahulukan walau sesaat pun.” (Surah al-A’raf ayat 34)

“Dan cara bersedih yang terbaik adalah dengan memperbanyakkan doa kepada arwah, semoga dengan sebab kematian mereka yang tragis itu mendapat pahala.

MENURUT kronologi yang dikongsikan oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), pesawat terbabit membawa dua kru kapal dan empat penumpang.

“Jadi sebagai hamba-NYA kita harus menerima segala ketentuan yang sudah ditakdirkan, walaupun bukan di atas pesawat sekalipun jika sudah ajal mereka pasti akan mati juga dan kita harus yakin setiap ketentuan-NYA tersembunyi hikmah sebaliknya.

“Kita berharap ahli keluarga mangsa tragedi pesawat terhempas ini banyakkan bersabar dan menganggap ini satu ujian dari ALLAH,” titipnya.

Baca Juga Kematian Akibat Covid-19 Dan Melahirkan Anak Termasuk Dalam Syahid Akhirat

Beliau turut mengigatkan, janganlah sesekali kita menolak takdir ALLAH kerana itulah ketetapan yang sudah ditentukan, sebagai manusia kita tidak akan pernah tahu cara kematian kita di mana dan bagaimana pengakhirannya.

Sinar Islam Plus merakamkan ucapan takziah buat seluruh keluarga mangsa korban dalam nahas tersebut.

Semoga ALLAH mencucuri rahmat kepada mereka, diterima amal soleh, diampunkan segala dosa dan ditempatkan dalam kalangan para solihin.

إنَّا ِللهِ وإنَّا إلَيْهِ رَاجِعُوْن.

الفاتحة.