Ini tatacara uruskan jenazah di Makkah atau Madinah…
SEMALAM dilaporkan seorang jemaah haji berusia 57 tahun meninggal dunia pada jam 11.50 malam, 4 Jun lepas akibat kegagalan jantung.
Ketua Rombongan Haji Malaysia Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman yang memaklumkan perkara berkenaan berkata wanita berasal dari Raub, Pahang itu meninggal dunia di Pusat Rawatan Tabung Haji (TH) di sini.
“Jenazah Allahyarham disembahyangkan di Masjidil Haram selepas solat zuhur dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Syariee, Makkah,” katanya dalam sidang media perkembangan operasi haji di Ibu Pejabat TH Makkah, Abraj Janadriyah.
Beliau berkata pihak kaunselor TH telah melawat suami Allahyarham yang juga berada di Makkah untuk menunaikan haji, selain TH akan menguruskan badal haji untuk Allahyarham.
Bagaimana menguruskan jenazah di Makkah atau Madinah
Jika berlakunya kematian rakyat Malaysia yang berada di Makkah atau Madinah tidak kira kematian itu sama ada di hotel, masjid atau hospital, perkara yang perlu dilakukan untuk menguruskan jenazah di Makkah atau Madinah adalah seperti berikut, sebagaimana dipetik di laman dailyumrah.com.
Jelas laman berkenaan, untuk visa umrah, maklumkan kematian kepada pihak muasasah untuk mendapatkan surat kematian dari pihak hospital. Jika jemaah meninggal dunia di hotel atau masjid perlu hubungi hospital dan pegawai polis untuk pengesahan kematian.
Baca Juga Bolehkah makmum wanita menyebut ‘aamiin’ dengan kuat ketika solat berjemaah?
Turut Disyorkan Pasangan meninggal sebelum sempat bernikah, ada peluangkah bersatu di syurga?
Surat kematian akan dikeluarkan selepas tempoh 2-4 jam selepas pesakit disahkan meninggal dunia di hospital. Proses lebih lama jika kematian berlaku di luar hospital, kerana perlu dapatkan surat pengesahan polis sebelum surat kematian dikeluarkan.
Untuk Visa Tourist, perlu upah syarikat pengurusan jenazah, bayaran SAR2500-3000. Mereka akan uruskan proses untuk dapatkan surat kematian dari pihak hospital dan buat laporan polis.
Dokumen mengenai kematian jemaah perlu dihantar ke KONSULAT MALAYSIA di JEDDAH untuk mendapatkan keizinan pengebumian.
Dokumen yang perlu dibawa ke konsulat Malaysia di Jeddah seperti berikut :
– Surat Tabligh Wafah dari Hospital
– Passport asal jenazah
– Passport asal waris
– Surat pengesahan izin pengebumian oleh waris
– Surat polis masjid(jika jemaah meninggal di Masjidil Haram)
Baca Juga Mengapa jenazah meninggal di Makkah, wajah tidak bertutup dan diselimut kain berbeza warna?
Setelah mendapatkan surat kebenaran dari konsulat Malaysia, pergi ke hospital untuk menuntut jenazah. Pihak hospital akan diiringi oleh petugas, waris ke tempat pemandian jenazah untuk proses berikutnya. Catat nombor katil dan nombor van jenazah untuk dimaklumkan kepada pegawai untuk proses seterusnya.
Jenazah akan dibawa ke Masjidil Haram atau Masjid Nabawi 1-30 minit sebelum masuk waktu solat/azan. Jenazah akan dibawa ke tanah perkuburan Al-Syaro’l. Sila catat nombor kubur.
Selesai proses pengebumian, seterusnya proses mendapatkan sijil kematian (shahadah Wafah) melalui muasasah (Visa Umrah), jika visa pelancongan, pihak polis akan berurusan dengan konsulat Malaysia di Jeddah.
Kebiasaanya sijil kematian akan dapatkan tempoh 14-30 hari. Selepas dapat sijil kematian, dokumen dihantar ke konsulat Malaysia di Jeddah untuk disahkan dan diterjemahkan. Proses ini sangat penting kerana ia menjadikan dokumen sah laku di tanah air untuk proses di Malaysia.
Di Madinah , prosedur yang sama seperti di Makkah kecuali urusan dokumen tidak perlu ke Jeddah. Hanya perlu di pejabat muasasah di Madinah, Mulai 2020, hanya pemukim Madinah sahaja dibenarkan disemadikan di Perkuburan Baqi’. Jenazah yang bukan pemukim Madinah akan disemadikan di Pemakaman Hayy Sayyid Syuhada, Uhud.