Janganlah kedekut hulur duit raya kerana kita akan dapat 3 pahala ini
MENJEJAKI Syawal, bulan itu begitu sinonim dengan sambutan Hari Raya, rumah terbuka serta juadah makanan istimewa seperti lemang, ketupat, rendang dan pelbagai jenis kuih raya.
Selain itu, menjadi tradisi umat Islam di Malaysia apabila menyambut Hari Raya Aidilfitri, rezeki akan dikongsikan dengan memberi duit raya, terutamanya kepada anak-anak kecil.
Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, konsep memberi duit raya kepada ibu bapa, kaum kerabat, serta kanak-kanak pada 1 Syawal sama seperti perbuatan sedekah dalam Islam.
Baca juga Haram guna duit Raya anak? Berikut perinciannya
Baca juga Beri sedekah dalam tiga keadaan ini besar ganjarannya
Duit raya adalah sedekah, beri ikut kemampuan
Manakala, amalan bersedekah banyak disebutkan oleh ALLAH SWT dalam al-Quran, antaranya:
Firman ALLAH SWT, “Kalau kamu zahirkan sedekah-sedekah itu (secara terang), maka yang demikian adalah baik (kerana menjadi contoh yang baik). Dan kalau pula kamu sembunyikan sedekah-sedekah itu serta kamu berikan kepada orang-orang fakir miskin, maka itu adalah baik bagi kamu; dan ALLAH akan menghapuskan dari kamu sebahagian dari kesalahan-kesalahan kamu. Dan (ingatlah), ALLAH Maha Mengetahui secara mendalam akan apa yang kamu lakukan.” (Surah al-Baqarah, ayat 271)
Oleh itu, Islam sangat menganjurkan umatnya untuk bersedekah atau saling memberi demi membantu saudara lain kerana ada begitu banyak kebaikan di sebalik perbuatan.
Apalagi, ALLAH pasti akan memberi ganjaran pahala bagi insan-insan yang tidak lokek dalam berkongsikan rezeki mereka bersama orang lain walaupun sedikit, asalkan ia diberikan secara ikhlas.
Justeru, usahlah terbeban dengan jumlah duit raya yang perlu dihulur kerana sedekah tidak sepatutnya menjadi suatu perbuatan yang menyusahkan. Sebaliknya, memberilah dengan seikhlas hati dan bersesuaian dengan kemampuan.
Baca juga Utamakan sedekah pada keluarga dahulu, berikut 10 fadilat melaksanakannya
Baca juga Bolehkah tuan rumah menolak tetamu yang datang ziarah lewat malam?
Utamakan duit raya kepada keluarga
Dalam pada itu, apabila memberikan duit raya, sebaik-baiknya utamakan ibu bapa serta kaum kerabat kita sebelum orang lain.
Bukan apa, hal ini kerana dalam Islam, memberi sedekah kepada ahli keluarga adalah lebih afdal berbanding menitipkan kepada orang asing.
Daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW telah bersabda: “Dan dinar (harta) yang kamu belanjakan di jalan ALLAH dan dinar yang kamu berikan kepada hamba (untuk membebaskan) dan dinar yang kamu sedekahkan kepada orang miskin serta dinar yang kamu sedekahkan kepada keluargamu. Maka, yang paling besar ganjaran pahalanya adalah yang kamu sedekahkan kepada keluargamu.” (Hadis Riwayat Muslim)
Turut disyorkan Ini Kelebihan Sedekah Secara Sembunyi Yang Ramai Mungkin Tidak Sedar
Bahkan, perbuatan sedekah kepada ibu bapa termasuk antara ibadah yang sangat menguntungkan kerana ia merupakan amalan yang diberi ganjaran dalam tiga bentuk pahala amalan soleh iaitu birrul walidain (berbuat baik kepada dua ibu bapa), mengeratkan silaturahim, serta pahala bersedekah.
Begitu juga jika ia diberikan kepada kaum kerabat, sanak saudara dan umpamanya. Ia turut mendapat dua pahala iaitu pahala bersedekah dan juga pahala menghubungkan silaturahim.
Oleh itu, jangan lokek dalam menghulurkan duit raya di bulan Syawal ini kerana kita akan diganjarkan dengan tiga pahala istimewa apabila melakukannya.
Sumber: NU Online
Foto: 123RF