BAIK imam mahupun makmum, kedua-dua mereka sudah pasti tahu peranan dan pergerakan masing-masing ketika menunaikan solat secara berjemaah.
Sembahyang yang didirikan secara bersama-sama itu lazimnya hanya melibatkan satu jenis solat sahaja sama ada ibadah fardu atau sunat.
Mudah kata, makmum pada kebiasaannya akan menunaikan solat fardu bersama imam yang turut menunaikan sembahyang berkenaan ketika itu.
Dek kerana pahala berjemaah yang lebih besar berbanding solat secara bersendirian, ada individu tidak sanggup melepaskan peluang tersebut. Pantang melihat ada orang lain sembahyang sendiri, laju sahaja langkahnya untuk berdiri di belakang individu tersebut, lalu menjadikannya sebagai imam.
Adakalanya perkara tersebut berlaku kepada diri kita sendiri. Ketika sedang mendirikan solat sunat ba’diyah Zuhur misalnya, tiba-tiba ada orang berdiri di belakang untuk menjadikan kita imam solat fardunya.
Baca juga Solat tak sah jika makmum baca al-Fatihah bersama-sama imam?
Dalam situasi tersebut, bolehkah kita memimpin sembahyang fardu berkenaan walaupun ketika itu, kita sedang mendirikan solat sunat?
Jika berhadapan dengan keadaan tersebut, Imam Masjid Seksyen 7, Shah Alam, Selangor, Ustaz Mohamad Zulkarnain Khalid mengingatkan agar kita tidak membuat isyarat tangan atau tiba-tiba menggeleng kepala untuk memberikan petunjuk kepada orang di belakang bahawa kita tidak boleh mengimamkan solat mereka.
Sebaliknya, beliau menasihatkan agar kita meneruskan solat sunat berkenaan hingga selesai.
“Pada masa sama, biarkan makmum di belakang mengikut (pergerakan) kita solat. Ini kerana solat yang didirkan itu adalah berdasarkan kepada niat sendiri, manakala niat sembahyang individu berkenaan adalah bersandarkan kepada nawaitu mereka.
Baca juga Bila imam terkurang atau terlebih rakaat, makmum kena lakukan ini…
“Bagaimanapun, dari segi ibadahnya, kedua-dua solat itu akan diangkat dan diterima oleh ALLAH SWT berteraskan niat tadi. Jika dilihat, baik solat sunat mahupun fardu, kedua-duanya mempunyai bacaan dan rakaat yang sama,” katanya ketika merungkaikan tanda tanya tersebut menerusi video Soal Jawab Agama Sinar Islam Plus.
Dalam keadaan kedua iaitu melibatkan makmum masbuk yang terlewat mengikut imam serta perlu menambah bilangan rakaat yang tertinggal. Ketika sedang menyudahkan solat, kemudian secara tiba-tiba ada orang datang di belakang, lalu menepuk bahu atau mahu kita mengimamkan solat fardunya.
Ustaz Mohamad Zulkarnain yang juga pendakwah menegaskan, para ulama menyebut bahawa orang yang hendak menjadikan kita imam itu sah solatnya, tetapi makruh hukumnya berbuat demikian.
“Justeru, dinasihatkan agar kita membentuk satu lagi jemaah baharu andai tidak pasti solat yang didirikan oleh orang di hadapan kita. Itu adalah lebih baik,” ungkapnya.
Ikuti kami di Tiktok, Instagram, Facebook, Twitter dan Youtube Sinar Islam Plus