SUSULAN fenomena gerhana bulan penuh pada Selasa bermula jam 4.02 petang hingga 9.56 malam, kebanyakan masjid di seluruh negara tidak melepaskan peluang untuk menunaikan solat sunat dan khutbah selepas Maghrib.
Biarpun terdapat kawasan tertentu dilanda hujan lebat dan cuaca mendung, namun Sinar Islam Plus mendapati, solat sunat gerhana bulan tetap diadakan.
Misalnya di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Selangor yang dipimpin oleh Ustaz Muhammad Farhan Wijaya.
Begitu juga dengan Masjid Zahir, Kedah dipimpin oleh Imam Besar Masjid Negeri Kedah, Syeikh Mohd Naim Ahmad dan Masjid Negeri Perlis (pimpinan Ustaz Mohd Rizal Azizan selaku khatib dan Ustaz Muhammad Adli Aziz sebagai imam).
Masjid Saidatina Khadijah di Seremban, Negeri Sembilan juga tidak ketinggalan menunaikan solat sunat khusuf selepas menyaksikan fenomena itu secara langsung malam Selasa.
Baca juga Fenomena Gerhana Bulan Esok, Ini Kaifiat Mudah Untuk Solat Sunat Khusuf
Fenomena yang mana kedudukan bulan setentang dengan bumi dan terlindung daripada matahari itu turut menarik minat Jabatan Mufti Negeri Melaka menganjurkan Program Fenomena Gerhana Bulan Penuh & Himpunan Komuniti Falak Peringkat Negeri Melaka di Masjid Cina Negeri Melaka.
Dalam hantaran di laman sosial Facebook, Jabatan Mufti Negeri Melaka menjelaskan, seramai 400 orang pelajar dari sekolah-sekolah di bawah Kelab Falak Negeri Melaka, penjawat awam dan orang ramai tidak melepaskan peluang untuk menyaksikan keunikan kejadian alam itu.
Malah, semua mereka berpeluang mendengar sesi perkongsian ilmu berkaitan fenomena tersebut yang disampaikan oleh Ahli Jawatankuasa Melihat Anak Bulan Negeri Melaka, DR Kassim Bahali.
“Program kemudiannya diteruskan dengan tadabur ayat-ayat kauniyah (tanda-tanda kebesaran) yang dialunkan oleh Ustaz Azraei Al-Haq.
“Meskipun aktiviti mencerap tidak dapat diteruskan disebabkan keadaan cuaca di sini (Masjid Cina Negeri Melaka) mendung dan hujan lebat, tetapi para jemaah berpeluang menunaikan solat Maghrib dan solat gerhana secara berjemaah yang dipimpin oleh Imam Besar Masjid Cina, Ustaz Suhairi Yunos dan khutbah oleh Mufti Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Abdul Halim Tawil,” kata kenyataan tersebut sebagaimana dipetik menerusi hantaran di Facebook.
Petunjuk kekuasaan ALLAH
Memetik teks khutbah gerhana bulan yang disediakan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), fenomena gerhana merupakan satu petunjuk terhadap kekuasaan ALLAH SWT.
“Betapa telitinya aturan falak hingga memungkinkan fenomena yang menakjubkan ini berlaku bagi meluruskan akidah umat Islam dalam mengenal Tuhan YANG MAHA PENCIPTA.
“Melalui gerhana bulan, kita bertambah yakin betapa ALLAH yang menentukan aturan manazil bulan,” katanya sebagaimana dipetik menerusi teks khutbah berkenaan.
Baca juga Fenomena Gerhana Tiada Kaitan Dengan Perkara Khurafat
ALLAH SWT berfirman: “Dan bulan pula KAMI takdirkan dia beredar melalui beberapa peringkat, sehingga di akhir peredarannta kelihatan kembalinya pula ke peringkat awalnya – (berbentuk melengkung) seperti tandan yang oering. (Dengan ketentuan yang demikian), matahari tidak mudah baginya mengejar bulan, dan malam pula tidak dapat mendahului siang; kerana tiap-tiap satunya beredar terapung-apung di tempat edarannta masing-masing.” (Surah Yasin, ayat 39-40)
Dalam pada itu, khutbah berkenaan turut mengingatkan bahawa fenomena astronomi seperti gerhana sebenarnya mendidik jiwa kita supaya mengenal Tuhan yang mentadbir alam.
“Elakkanlah diri kita daripada mengaitkan kejadian alam itu dengan nasib, untung dan rugi dalam kehidupan.
“Sebaliknya, renungkanlah betapa berkuasanya ALLAH SWT,” katanya.
Malah, sepanjang berlangsungnya gerhana, Nabi Muhammad SAW mengajak para sahabat untuk mendirikan solat sunat khusuf.
Diriwayatkan bahawa baginda telah diperlihatkan nikmat kehidupan di dalam syurga dan betapa pedihnya azab api neraka ketika dalam solat berkenaan.
Disebabkan itulah, Rasulullah SAW berpesan dalam khutbah gerhana bahawa: “Demi ALLAH, kalau kamu tahu apa yang aku tahu (daripada azab api neraka), nescaya sesungguhnya kamu akan sedikit sahaja tertawa, dan akan banyak menangis.”
Oleh sebab itu, umat Islam disarankan untuk membanyakkan amal soleh dan berdoa sepanjang fenomena gerhana berlaku.