MASYARAKAT perlu dididik untuk bersikap lebih berhati-hati kerana tugas menghukum hanya terletak di bahu pihak berkuasa.
Seperti yang tular baru-baru ini sebuah konflik kekeluargaan apabila seorang anak perempuan remaja dikatakan didera secara emosi dan seksual oleh bapa kandung sendiri.
Mantan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri, mengulas mengenai perkara ini di laman Facebooknya.
Apabila timbulnya isu sebegini, inilah saat terbaik masyarakat untuk kembali memuhasabah peranan masing-masing sebagai anak dan ibu bapa serta memperkukuh kekurangan yang ada dalam keluarga.
Dari sinilah masyarakat harus belajar tentang keperluan pemeliharaan aib dan kepentingan untuk menyalurkan masalah hanya kepada pihak berautoriti.
Ujar beliau, seorang anak yang dianiayai bapanya dari sudut seksual dan emosi bukanlah satu isu yang kecil.
“Saya tidak pasti kebenarannya kerana satu-satunya kaedah untuk mensahihkannya adalah muka pengadilan. Tindakan untuk melaporkan ke balai polis adalah amat wajar dan paling utama.”
“Sebelum kita membangkitkan tentang aib, perkara yang lebih penting untuk kita muhasabah bersama adalah bagaimana sepatutnya sistem keibubapaan berfungsi sebagai tempat untuk anak-anak mengadu dan melaporkan sebarang masalah”.
Katanya lagi, “Apakah respon mereka? Bagaimana tindakan mereka? Ia akan menentukan bagaimana kesudahannya bagi si anak samada masalah itu dipendam dan anak terus merana, atau dibongkar sehingga orang ramai pula yang menghakimi”.
Jelas Zulkifli, sistem sokongan seperti ini tidak akan berhasil tanpa ibu bapa dan ahli keluarga yang cakna dan benar-benar memainkan peranannya dan meletakkan sepenuh kepercayaan kepada sistem perundangan kita.
Di samping itu, sebagai Muslim, yakin ALLAH MAHA ADIL lagi BIJAKSANA. Besarnya tanggungjawab ibu bapa, besar juga dosa yang ditanggung jika amanah tidak dilunaskan sebaiknya.
Hak anak yang perlu ditunaikan oleh seorang ayah
Mengambil perkongsian di laman facebook Muhammad Alif Najmi, penulis blog Rasyid Al-Kinti mengenai kaedah mendidik anak menurut Islam, menyatakan tiga fasa yang sangat penting dalam pendidikan anak berdasarkan sebuah kisah antara Sayyidina Umar al-Khattab RA dan seorang anak yang telah mengabaikan hak ibu ayahnya.
Apabila ditanya kembali kepada si anak tadi, rupa-rupanya haknya jauh lebih awal lagi telah diabaikan oleh bapanya seperti berikut:
1. Ayahnya telah memilih ibunya daripada seorang hamba yang sangat buruk akhlaknya.
2. Ayahnya telah memberi nama yang buruk kepadanya iaitu خنفساء (yang bermaksud kumbang penolak najis).
3. Ayahnya telah mengabaikan pendidikan yang baik buat dirinya
Berikut adalah hak seorang anak yang perlu ditunaikan oleh ayahnya:
1. Memilih seorang ibu yang baik buat anaknya (Fasa Pertama: Sebelum Berkahwin)
2. Memilih nama yang baik buat anaknya (Fasa Kedua: Semasa Berkahwin)
3. Memberi pendidikan yang baik buat anaknya (Fasa Ketiga: Selepas Berkahwin)
ALLAH SWT berfirman di dalam surah at-Tahrim ayat 6, “Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada ALLAH dalam segala yang diperintahkan-NYA kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan”.
Baca juga Beza agama bukan syarat untuk melakukan tindakan luar batas
Ayat ini ringkas, namun sangat perlu diberikan perhatian oleh setiap orang. ALLAH telah memerintahkan orang beriman untuk menjaga diri dan keluarga mereka terlebih dahulu daripada api Neraka.
Kalaulah seorang ayah bimbang anaknya melecur dan terbakar dibaham api di dunia, maka dia hendaklah lebih khuatir akan nasib anaknya yang mungkin hangus rentung dan terseksa di neraka kelak gara-gara kecuaiannya mendidik anak.