PROGRAM lawatan ke lokasi bersejarah di Tanah Suci yang dianjurkan oleh Lembaga Tabung Haji (TH) untuk jemaah haji Malaysia dilihat mampu mengukuhkan lagi ketakwaan mereka kepada ALLAH.
Seperti yang dilaporkan agensi berita BERNAMA, Ustaz Wafa Abdul Jabbar, mutawif yang bertanggungjawab membawa rombongan ziarah luar, berkata rata-rata jemaah yang tiba di Madinah teruja untuk menziarahi beberapa tempat bersejarah di sana.
“Kota Suci Madinah mempunyai pelbagai kelebihan dan keistimewaan di samping dapat menghayati perjuangan Rasulullah SAW serta para sahabat dengan rasa takwa dan berusaha bersungguh-sungguh menyebarkan agama Islam ke seluruh dunia,” katanya kepada pemberita di dataran Masjid Quba.
Selain Masjid Quba yang merupakan masjid pertama didirikan pada tahun penghijrahan Nabi Muhammad dari Makkah, jemaah haji juga dibawa menziarahi kawasan Bukit Uhud dan Makam Syuhada Uhud.
Kedua-duanya adalah tapak bersejarah mengenai peristiwa kekalahan tentera Islam ketika menentang tentera bani Quraisy.
“Tewasnya tentera Islam ketika itu disebabkan keingkaran sebahagian tentera Islam dengan arahan Nabi Muhammad yang menyaksikan baginda mengalami cedera teruk serta 70 tentera Islam gugur syahid,” ujar Wafa.
Beliau juga berkata Perang Uhud jelas menunjukkan bahawa tarikan dunia, sifat tamak dan mengingkari perintah Rasul akhirnya hanya membawa kepada kebinasaan.
Bagi pasangan suami isteri Ishak Hasan dan Siti Yulina Baharon, lawatan ke Bukit Uhud memberi kesedaran kepada mereka mengenai kewibawaan serta kehebatan Nabi Muhammad.
Mekah yang pernah merakam pelbagai detik penting dalam salasilah pembentukan Islam juga menjadi tumpuan pengunjung Islam seluruh dunia, kata Mahdi Nafaa al-Qurashi, seorang pemandu pelancong di Arab Saudi kepada agensi berita Arab News.
Katanya, “Bandar ini menjadi saksi kepada banyak peristiwa berkaitan Islam bermula dari zaman Nabi Ibrahim AS sehinggalah zaman Rasulullah SAW.
Semua jalan menuju ke Mekah dan Kaabah yang berada di tengah-tengah bandar, kaya dengan memori bersejarah.”
Pengarah Pusat Sejarah Mekah, Dr Fawaz al-Dahas berkata Mekah menjadi wajah mewakili umat Islam seluruh dunia dengan adanya tapak penting seperti Masjidil Haram, Kaabah dan telaga Zamzam.
Antara lokasi bersejarah lain di bandar tersebut juga termasuk Jabal Nur, Gua Hira’ dan Jabal Tsur.
Ujar Fawaz, jemaah seharusnya mengambil kesempatan melawat tapak-tapak bersejarah yang ada sekitar Mekah dan Madinah sementara berada di Tanah Suci.
Foto: Tabung Haji & Sinar Harian