HARI ini sudah memasuki 9 Syawal. Terasa begitu pantas masa berlalu. Rasanya baru sahaja kita habis berpuasa dan meraikan lebaran bersama keluarga kecil masing-masing di rumah pada 1 Syawal tempoh hari.
Malah, mungkin ada yang sudah memulakan puasa enam atau selesai berbuat demikian. Maklum sahajalah, tiada aktiviti ziarah dan rumah terbuka boleh diadakan.
Kesempatan itu bolehlah digunakan dengan sebaiknya untuk kita berpuasa enam. Bagi mereka yang masih belum berpeluang berbuat demikian, jangan risau kerana banyak lagi masa untuk kita berpuasa.
Bercakap tentang puasa, ada segelintir orang begitu khuatir jika ibadahnya dalam bulan Ramadan tempoh hari tidak diterima oleh ALLAH SWT.
Maka, individu itu bertekad untuk menggantikan atau dengan kata lain qada puasa walaupun berjaya menyempurnakan Rukun Islam ketiga selama sebulan.
Bolehkah kita berbuat demikian? Bukankah qada puasa hanya untuk menggantikan jumlah puasa Ramadan yang ditinggalkan tempoh hari.
Menjawab persoalan itu, pendakwah, Isfadiah Mohd Dasuki menjelaskan, perasaan takut kerana kerana amalan kita tidak diterima oleh ALLAH SWT itu sudah bagus.
Itu adalah perasaan yang dimiliki oleh para salafus soleh, ujarnya.
“Bagaimanapun, dalam perihal menggantikan puasa, perlu difahami bahawa kita perlu pastikan betul-betul puasa mana satu yang ‘bocor’ dan perlu digantikan semula apabila tamatnya bulan Ramadan.
“Jika tidak, kita akan dianggap sebagai ghuluw iaitu orang yang berlebih-lebihan dalam melakukan amalan. Lebih baik, kita menambahkannya dengan amalan berpuasa sunat,” katanya.
Baca juga Jangan suka-suka nak batalkan puasa qada kalau tak uzur, ini sebabnya kata agamawan
Beliau turut memberikan contoh berpuasa enam pada bulan Syawal.
“Ia lebih baik dan utama untuk dilakukan. Amalan itu juga sama seperti kita menunaikan solat qabliah dan ba’diah.
“Ketahuilah, solat sunat itu akan menampung kecacatan solat fardu kita. Begitu juga halnya dengan puasa sunat yang menampung puasa wajib,” ujarnya.
Justeru, janganlah kita menjadi orang yang terlalu berlebih-lebihan. Banyak lagi amal ibadah sunat lain yang boleh menampung ibadah fardu kita.
Foto: Pexels