Browsing Tag

Ganti puasa

Ganti double
Ibadah,

Benarkah perlu ganti ‘double’ bila sengaja batalkan puasa qada?

Benarkah perlu ganti ‘double’ bila sengaja batalkan puasa qada?

MESKIPUN kemeriahan Syawal masih terasa, tetapi ada orang yang sudah mula menggantikan puasa ditinggalkan pada bulan Ramadan tempoh hari.

Bukan apa, bimbang pula jika terlupa bilangan hari yang tidak dapat disempurnakan itu. Sementara ingatan masih segar dan diri pula kuat untuk melakukannya, tidak salah untuk kita awalkan qada puasa berkenaan.

Lebih-lebih lagi kita baru sahaja meninggalkan puasa Ramadan beberapa hari. Sudah tentu mood untuk melakukan ibadah itu masih lagi tersisa.

Bercerita tentang puasa qada, ramai sedia maklum ia sama seperti berpuasa pada bulan Ramadan dan tidak boleh dibatalkan sesuka hati.

Namun, lumrah sebagai manusia, adakalanya kita berbuat salah juga. Boleh pula puasa qada tadi sengaja dibatalkan walaupun sudah tahu tidak boleh berbuat demikian.

Baca juga Usah batalkan puasa ganti sesuka hati, ini penjelasannya

“Nanti kena ganti ‘double’ sebab sengaja batalkan puasa qada berkenaan.”

Ya, dialog itulah yang sering kali diulang siar umpama kaset oleh masyarakat di sekeliling.

Hakikatnya, Ketua Penolong Mufti (Bahagian Penyelidikan), Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Syed Shahridzan Syed Mohamed menjelaskan, pernyataan itu adalah tidak tepat sama sekali.

DR SYED SHAHRIDZAN

Sebelum memberikan jawapannya, beliau mengajak kita untuk menyelami hukum apabila seseorang sengaja membatalkan puasa qada.

Jelas beliau, pada asasnya, seseorang diharamkan sengaja membatalkan mana-mana amalan fardu termasuklah puasa ganti tadi.

Perkara itu jelas dinyatakan oleh Imam Syafie RA dalam kitab al-Umm iaitu: “Sesiapa telah masuk (memulakan) puasa yang wajib daripada Ramadan, qada, puasa nazar atau puasa kafarah, atau solat fardu pada waktunya, solat qada atau solat nazar, maka dia tidak boleh keluar (membatalkan) daripada puasa atau solat (tersebut) selagimana dia mampu untuk berpuasa dan solat dalam keadaan suci. Jika dia keluar (membatalkan) salah satu daripadanya tanpa keuzuran dengan sengaja, maka menurut kami dia dikira sebagai bersalah dan berdosa.”

“Bukan itu sahaja, pengharaman membatalkan puasa qada Ramadan dengan sengaja dan tanpa keuzuran itu turut dijelaskan oleh Imam an-Nawawi dalam Minhaj al-Tolibin.

Baca juga Rupanya makruh hukumnya bila kita sengaja batalkan puasa sunat

“Ini kerana apabila seseorang itu sudah memulakan amalan yang fardu, maka haram dibatalkan tanpa sebab-sebab syarie,” katanya sebagaimana dipetik menerusi laman sosial Facebook miliknya.

Berbalik kepada persoalan tentang bilangan puasa yang perlu diganti apabila meninggalkan puasa qada dengan sengaja, Dr Syed Shahridzan menjelaskan, individu berkenaan perlu menggantikan satu hari dan tidak perlu dalam jumlah yang berganda.

Ia selari dengan pandangan Imam an-Nawawi dalam kitab al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab yang menyatakan: “Jika seseorang berjimak ketika puasa selain Ramadan iaitu qada, nazar atau selain daripada kedua-duanya, maka tiada kafarah ke atasnya sepertimana yang disebutkan sebelum ini. Ini merupakan pendapat majoriti (ulama).”

Ganti double

BAGI seseorang yang membatalkan qada puasanya ia tidak memberi kesan penambahan hari gantian, sebaliknya hanya melibatkan dosa keranan memutuskan amalan fardu yang dilaksanakan. -Foto: 123rf

“Berdasarkan pandangan Imam an-Nawawi itu, jika kaffarah tidak diwajibkan, begitu juga dengan qada puasa iaitu tidak wajib tambahan satu hari lagi.

“Hal itu kerana pembatalan puasa qada tidak memberi kesan penambahan hari gantian, tetapi ia hanya melibatkan dosa kerana memutuskan amalan fardu yang sedang dilaksanakan,” katanya.

Baca juga Sengaja tinggalkan puasa Ramadan sejak akil baligh, ini perkara perlu dilakukan

Mudah kata, pendakwah itu menjelaskan, tiada istilah puasa qada di atas qada atau puasa ganti di atas ganti.

“Namun, meninggalkan puasa qada atau ganti tanpa keuzuran tetap dikira berdosa kerana amal ibadah yang fardu tidak boleh dibatalkan.

“Andai ada uzur syarie seperti sakit dan musafir, puasa qada berkenaan boleh dibatalkan,” ungkapnya.

***Foto: Freepik

Culas bayar fidyah
Hukum,

Culas bayar fidyah ibarat berhutang dengan ALLAH

Culas bayar fidyah ibarat berhutang dengan ALLAH

JANGAN sesekali meremehkan, apalagi culas bayar fidyah. Itu yang penulis boleh simpulkan berdasarkan temu bual bersama dua orang agamawan berkaitan topik berkenaan.

Sesungguhnya, ia bukan perkara main-main apabila melibatkan kewajipan yang telah disyariatkan oleh ALLAH SWT kepada hamba-NYA.

Sebelum ini, penulis pernah berhadapan dengan seorang rakan yang kesal kerana tidak tahu bahawa arwah bapanya tidak pernah membayar fidyah selama lebih 10 tahun.

Culas bayar fidyah

JANGAN culas membayar fidyah kerana ia dianggap berhutang dengan ALLAH SWT.

Ceritanya begini, bapa rakan penulis sudah lama uzur dan tidak berdaya untuk berpuasa setiap kali Ramadan.

Semua anaknya tahu keadaan orang tua mereka. Namun, tiada seorang pun cakna tentang pembayaran fidyah warga emas berkenaan. Keadaan itu berlanjutan sehinggalah akhirnya bapa rakan penulis dijemput menghadap Ilahi.

Ketika mahu memulakan proses faraid selepas dua tahun bapanya meninggal dunia, barulah kawan penulis tadi tahu bahawa arwah bapanya tidak pernah membayar fidyah selama ini!

“Kami sedih sangat sebab biarkan ayah kami terseksa gara-gara hutang puasanya itu. Sungguh, kami benar-benar tak tahu,” ceritanya penuh kekesalan.

Itu hanya satu contoh kes berkaitan fidyah. Penulis percaya, ramai lagi mengalami situasi hampir sama. Hanya jalan ceritanya berbeza.

Baca juga Jika tak mampu ganti puasa dan bayar fidyah, apa patut dibuat?

Siapakah golongan yang dikenakan fidyah itu? Adakah ia hanya terpakai bagi mereka yang meninggalkan ibadah puasa Ramadan semata-mata?

Satu bentuk penebusan

Apabila tanda tanya itu diajukan kepada Pegawai Hal Ehwal Islam Kanan, Unit Hal Ehwal Islam, Universiti Teknologi MARA Cawangan Selangor, Ustazah Noor Rashidah A Rahman, beliau memulakan butir bicaranya dengan memperincikan maksud fidyah.

USTAZAH NOOR RASHIDAH

Jelas beliau, fidyah adalah pembayaran oleh seseorang yang tidak dapat melaksanakan puasa pada bulan Ramadan atas alasan tertentu atau mereka yang melanggar syarat-syarat spesifik bagi sesuatu ibadah.

“Dalam erti kata lain, fidyah adalah sesuatu yang dibayar untuk menebus diri, baik dalam bentuk harta mahupun tindakan lain kerana kekurangan dalam salah satu amal ibadah,” katanya kepada Sinar Islam Plus.

Ia sebagaimana disebutkan dalam al-Quran menerusi ayat 184, Surah al-Baqarah.

Berdasarkan dalil itu, ujar penceramah tersebut, pensyariatan fi dyah berkenaan sebagai antara satu bentuk keringanan (rukhsah) bagi mereka yang tidak mampu melaksanakan ibadah secara fi zikal dan menggantikannya dalam bentuk harta.

“Bahkan, ia juga sebagai satu bentuk penebusan seorang Muslim atas ketidaksempurnaannya melaksanakan ibadah wajib puasa.

“Oleh itu, fidyah disyariatkan sebagai jalan keluar kepada permasalahan tersebut,” ungkapnya.

Lantaran itu, jelas beliau, wajib hukumnya membayar fidyah mengikut bilangan hari puasa fardu yang ditinggalkan.

“Ia menjadi satu tanggungan (hutang) kepada ALLAH SWT sekiranya tidak dilaksanakan,” tegasnya.

Enam golongan wajib fidyah

Menyambung hujahnya, Ustazah Noor Rashidah kemudian memperincikan enam kelompok yang perlu membayar fidyah sebagaimana digariskan oleh syarak.

Baca juga Lelaki yang ponteng puasa Ramadan wajib qada, bayar fidyah

Golongan itu termasuklah:

1. Orang tua yang tidak mampu berpuasa danjika mereka berbuat demikian akanmemudaratkan diri serta kesihatan tubuh. Mereka diberikan keringanan untuk tidak berpuasa dan perlu membayar fi dyah.

2. Individu yang sakit berpanjangan dantiada harapan sembuh berdasarkanpengesahan doktor perubatan.

3. Wanita mengandung dan bimbang keselamatan bayi yang dikandungnya. Mereka perlu membayar fidyah dan mengqadakan puasa yang tidak disempurnakan.

Culas bayar fidyah

WANITA menyusukan anak dan bimbang jika dia berpuasa akan memudaratkan bayi disusuinya, maka dia wajib membayar fidyah mengikut bilangan puasa yang ditinggalkan. -Foto: 123rf

4. Wanita menyusukan anak dan bimbang memudaratkan bayi yang disusuinya seperti kurang air susu atau menjejaskan kesihatan anak kecil itu andai dia berpuasa. Golongan itu wajib melunaskan fidyah dan menggantikan puasa yang ditinggalkan.

5. Orang yang tidak sempat menggantikan puasa pada tahun dia meninggalkan ibadah berkenaan dalam bulan Ramadan sehingga masuknya Ramadan berikutnya. Kelompok itu diwajibkan membayar fidyah dan kekal mengqadakan puasanya.

6. Seseorang yang meninggal dunia danbelum sempat qada puasa yangditinggalkannya. Ahli waris perlu membayar fidyah si mati dengan menggunakan harta arwah atau milik mereka sendiri.

Bagi mereka yang tergolong dalam kumpulan disebutkan tadi, Ustazah Noor Rashidah mengingatkan agar segera membayar ‘denda’ tersebut.

“Ketahuilah, individu yang lambat menggantikan puasanya hingga telah tiba Ramadan tahun berikutnya, mereka akan dikenakan bayaran fidyah dan tetap wajib menggantikan puasa yang ditinggalkan.

“Bahkan, bayaran fidyah akan berganda mengikut jumlah tahun yang akan ditinggalkan. Sementelah, bilangan hari ganti puasa pula adalah kekal,” katanya.

Kepada satu soalan, pendakwah itu menjawab: “Membayar fidyah tidak bermaksud mereka tidak perlu lagi menggantikan puasanya. Ini kerana puasa tersebut wajib digantikan mengikut bilangan hari ditinggalkan.

“Ini merupakan hutang kepada ALLAH yang wajib dibayar. Jangan sesekali meremehkan urusan tersebut apalagi culas bayar fidyah. Dalam sebuah hadis masyhur ada memberi peringatan jelas, jiwa seorang mukmin akan tergantung dengan hutangnya sehinggalah dia melunaskannya.”

Baca juga Jangan Culas Bayar Fidyah

Sebelum mengakhiri bicaranya, Ustazah Noor Rashidah mengemukakan sebuah hadis peringatan daripada Nabi Muhammad SAW perihal hutang tersebut sebagai iktibar bersama.

Culas bayar fidyah

SEKALIPUN fidyah sudah dibayar, ia tidak menggugurkan kewajipan ganti puasa yang telah ditinggalkan. -Foto: 123rf

Salamah bin Akwa RA berkata: “Pernah suatu ketika kami duduk bersama Rasulullah SAW, kemudian kami dibawakan sekujur jenazah. Mereka yang membawa jenazah itu memohon kepada Rasulullah SAW: “Mohon disolatkan jenazah ini.” Sabda Rasulullah SAW: “Apakah ke atasnya hutang?” Mereka menjawab: “Tidak”. Rasulullah SAW bersabda: “Apakah dia meninggalkan (mewariskan) sesuatu?” Mereka menjawab, “Tidak”. Lalu Baginda mensolatkan jenazah itu.

Kemudian dibawakan jenazah lain dan mereka memohon: “Wahai Pesuruh ALLAH! Solatkan jenazah ini”. Sabda Rasulullah SAW: “Apakah ke atasnya hutang?” Mereka menjawab, “Ya”. Rasulullah SAW bersabda: “Apakah dia meninggalkan sesuatu?” Mereka menjawab: “Tiga dinar”. Lalu Baginda mensolatkan jenazah itu.

Kemudian datang jenazah ketiga. Mereka memohon: “Mohon disolatkan jenazah ini.” Sabda Rasulullah SAW: “Apakah ke atasnya hutang?” Mereka menjawab: “Tiga dinar”. Lalu Baginda bersabda: “Biar kalianlah yang bersolat atas jenazah sahabat kalian ini.” Lalu Abu Qatadah merespons: “Mohon solat ke atas jenazah ini, wahai Pesuruh ALLAH, aku akan menanggung hutangnya.” Lalu Baginda mensolatkan jenazah itu.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Ikuti kami di TiktokInstagramFacebookTwitter dan Youtube Sinar Islam Plus.

Puasa
Ibadah,

Jika tak mampu ganti puasa dan bayar fidyah, apa patut dibuat?

KEPADA mereka yang masih belum ganti puasa ditinggalkan pada bulan Ramadan lalu, masih sempat lagi untuk menunaikannya sekarang.

Bukan apa, ia merupakan kewajipan kita yang wajib dilakukan kerana melibatkan ‘hutang’ dengan ALLAH SWT.

Barangkali ada yang kurang jelas dengan situasi bila mana seseorang itu perlu menggantikan puasa dan dikenakan fidyah.

Baca juga Usah batalkan puasa ganti sesuka hati, ini penjelasannya

Mengupas tentang perincian tentang golongan dikenakan fidyah, Sinar Islam Plus merujuk kepada laman web Majlis Agama Islam Negeri Johor:

1. Orang yang meninggalkan puasa Ramadan kerana uzur syarie (musafir, haid atau nifas atau wiladah) atau sakit yang ada harapan sembuh.

– Kelompok ini wajib mengqadakan puasa.

– Andai dirinya tidak sempat menggantikan puasa sehingga datang Ramadan berikutnya, maka wajib dia qada puasa dan membayar fidyah.

Puasa

BAGI mereka yang masih belum menggantikan puasa Ramadan lalu, segeralah berbuat demikian. -FOTO: FREEPIK

2. Orang sakit yang tiada kemungkinan atau harapan untuk sembuh yang disahkan oleh doktor, tidak boleh berpuasa.

– Tidak wajib qada puasa.

– Wajib bayar fidyah pada tahun tersebut.

Baca juga Jangan Culas Bayar Fidyah

3. Ibu hamil atau masih menyusui anaknya yang tidak berpuasa pada bulan Ramadan dengan sebab bimbang kesihatan dirinya sahaja atau bimbang kesihatan diri dan anaknya/ janinnya.

– Wajib qada puasa.

– Tidak wajib bayar fidyah.

– Bagaimanapun, sekiranya individu itu tidak menggantikan puasanya sehingga datang bulan Ramadan berikutnya, maka dia wajib qada puasa dan membayar fidyah.

4. Ibu hamil atau masih menyusui anaknya yang tidak berpuasa pada bulan Ramadan dengan sebab bimbang akan kesihatan janinnya/ anaknya sahaja.

– Wajib qada puasa.

– Wajib bayar fidyah.

5. Orang yang telah meninggal dunia dan tidak sempat menggantikan puasanya.

– Tanggungjawab membayar fidyah si mati dilaksanakan oleh waris-warisnya mengikut bilangan hari yang ditinggalkan.

Bagaimana pula jika seseorang individu itu tidak mampu untuk ganti puasa dan membayar fidyah?

Baca juga Wajibkah anak ganti puasa ibu bapa yang sudah meninggal dunia?

Sinar Islam Plus mengajukan persoalan tersebut kepada Pensyarah Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi MARA, Ustazah Sharifah Fadylawaty Syed Abdullah.

USTAZAH SHARIFAH FADYLAWATY

Jelas beliau, bagi individu yang tidak mampu membayar fidyah disebabkan keadaan ekonomi yang sukar dan pada masa sama tidak mampu berpuasa bagi menggantikan hutang puasanya disebabkan kekangan seperti sakit tua atau kronik, maka kewajipan fidyah itu gugur ke atasnya.

Ini kerana ia termasuk dalam kategori orang susah (mu’sir), sedangkan pemberian fidyah disyaratkan kepada orang fakir, ungkapnya.

“Istilah mu’sir (orang susah) merujuk kepada individu yang tidak berkemampuan membayar fidyah di mana mereka tidak memiliki harta bagi tujuan tersebut kerana harta yang ada hanya cukup untuk menampung keperluannya sahaja,” katanya.

Ujar ahli akademik itu, pengguguran pembayaran fidyah itu selari dengan pandangan Imam al-Nawawi dalam al-Majmu’ Syarh al-Muhadzzab: “Liabiliti fidyah itu gugur (bagi orang mu’sir) dan tidak wajib juga membayarnya apabila sudah senang. Sama seperti hukum membayar zakat fitrah, kerana dia lemah semasa keadaan taklif (tidak mampu ketika diberi tanggungjawab) sedangkan dia tidak dikenakan apa-apa balasan kerana suatu perbuatan jenayah atau seumpamanya.”

Baca juga Terlupa bilangan puasa untuk diqada, ini kaedah disarankan

Bagaimanapun, seandainya orang itu mempunyai kemampuan untuk membayarnya pada suatu hari kelak, Ustazah Sharifah Fadylawaty menjelaskan, terdapat dua pandangan dalam hal itu.

Puasa

BAGI golongan tidak berkeupayaan membayar fidyah disebabkan keadaan ekonomi yang sukar dan pada masa sama tidak mampu berpuasa bagi menggantikan hutang puasanya disebabkan kekangan seperti sakit tua atau kronik, maka kewajipan fidyah itu gugur ke atasnya.

“Menurut pandangan pertama, ia perlu dibayar, manakala pendapat lagi satu menyatakan, tidak perlu menggantikan hutang-hutangnya yang lalu kerana kewajipan tersebut telah gugur bagi orang mu’sir dan tidak juga wajib membayarnya apabila sudah senang.

“Namun, sekiranya ada pihak lain yang ingin membayar fidyah bagi individu tersebut, maka hukumnya adalah sunat. Bagaimanapun, sumbangan tersebut perlu memberi keutamaan terhadap keperluan dan nafkah individu mu’sir terlebih dahulu serta mendapat keizinannya,” terang beliau.

Ikuti kami di TiktokInstagramFacebookTwitter dan Youtube Sinar Islam Plus.

lupa puasa diqadakan
Ibadah,

Terlupa bilangan puasa untuk diqada, ini kaedah disarankan

TERLUPA bilangan puasa untuk diqada, ini kaedah disarankan.

Berbaki kurang daripada tiga bulan lagi, umat Islam seluruh dunia bakal menemui Ramadan yang dinantikan saban tahun.

Insya-ALLAH, andai dikurniakan rezeki umur panjang, dapatlah kita bersua dengan bulan teristimewa dalam kalendar Islam itu. Lebih hebat lagi sekiranya dapat bertemu lailatul qadr dan menuai kebaikan yang pahalanya menyamai seribu bulan.

Baca juga Adakah anda tergolong dalam golongan wajib membayar fidyah puasa?

terlupa puasa diqadakan

PASTINYA umat Islam seluruh dunia sudah tidak sabar untuk menyambut kedatangan Ramadan yang bakal hadir berbaki kurang daripada tiga bulan lagi.

Baca juga Ramadan dijangka datang 2 kali pada tahun 2030

Sebelum itu pastikan anda sudah lengkap melunaskan puasa yang tidak dipenuhi pada Ramadan lepas, terutamanya bagi kaum Hawa.

Barangkali puasa berkenaan terpaksa ditinggalkan atas faktor biologi, namun sengaja atau tidak, hukumnya wajib untuk menggantikan puasa tersebut.

Walau bagaimanapun, jika insan tersebut tidak mampu menggantikan puasanya atas sebab seperti sakit berpanjangan atau hamil dan menyusu, maka mereka perlu membayar fidyah.

Dalam hal lain, mungkin ada segelintir yang bertanya, bagaimana untuk menggantikan puasa jika terlupa bilangan hari yang tertinggal? Sama ada tertinggal sebanyak tujuh atau lapan hari, berapa bilangan sebenar yang perlu digantikan?

Turut disyorkan Elak melakukan perkara ini ketika Ramadan, agar tidak merugikan diri sendiri

PUASA RAMADAN tahun 2023 ini dijangka bermula pada 23 Mac sehingga 21 April.

Baca juga Terlupa bayar zakat fitrah, ini yang perlu kita tahu

Dalam hal ini, jumhur ulama telah mengeluarkan beberapa kaedah yang boleh dilakukan untuk menggantikan puasa yang terlupa bilangannya.

Jelas portal Mufti Wilayah Persekutuan, terdapat dua kaedah yang boleh digunakan dalam menentukan bilangan hari untuk menqadakan puasa tersebut, iaitu tahdidi dan taqribi.

Kaedah tahdidi ialah dengan menentukan harinya berdasarkan bilangan yang tepat. Taqribi pula ialah menggunakan anggaran berapa hari yang tertinggal.

Turut disyorkan Darah Haid Terputus-putus Dan Ini Yang Muslimah Perlu Tahu

MENGETAHUI jumlah puasa yang ditinggalkan pada setiap Ramadan melalui catatan adalah tanggungjawab setiap Muslimah. Foto: Unsplash

Baca juga Ingin berubah ke arah lebih baik di tahun baru ini, rajin-rajinlah ke masjid 10 ganjaran ALLAH menanti

Agamawan, Syeikh Muhammad bin Muhammad al-Mukhtar al-Shinqiti berkata, kaedah taqribi ialah seperti berikut;

Was-was sama ada tertinggal puasa selama lapan hari atau sepuluh hari? Maka, dalam kaedah ini perlu mengambil bilangan tengah, iaitu sembilan hari.

Dalam erti kata lain, jika anda berasa was-was dengan jumlah puasa yang ditinggalkan, ambillah bilangan yang dirasakan paling dekat.

Baca juga Kenapa wanita tidak digalakkan solat di masjid sedangkan zaman sekarang wanita bebas ke mana-mana?

Namun, diingatkan menjadi tanggungjawab anda sendiri untuk mencatat bilangan hari puasa yang tertinggal. Malah ada banyak aplikasi yang boleh digunakan di peranti telefon pintar untuk membantu anda dalam hal itu.

Setidaknya, anda juga boleh mencatat jumlah itu di kertas atau kalendar untuk memastikan anda dapat mengqada puasa selengkapnya menjelang Ramadan seterusnya.

Isu,

Bimbang ibadah tak diterima, bolehkah kita ganti puasa Ramadan?

HARI ini sudah memasuki 9 Syawal. Terasa begitu pantas masa berlalu. Rasanya baru sahaja kita habis berpuasa dan meraikan lebaran bersama keluarga kecil masing-masing di rumah pada 1 Syawal tempoh hari.

Malah, mungkin ada yang sudah memulakan puasa enam atau selesai berbuat demikian. Maklum sahajalah, tiada aktiviti ziarah dan rumah terbuka boleh diadakan.

Kesempatan itu bolehlah digunakan dengan sebaiknya untuk kita berpuasa enam. Bagi mereka yang masih belum berpeluang berbuat demikian, jangan risau kerana banyak lagi masa untuk kita berpuasa.

Ganti puasa

ADA segelintir orang risau puasanya tidak diterima oleh ALLAH walaupun berpuasa penuh pada bulan Ramadan tempoh hari, lalu mengambil keputusan untuk menggantikan puasanya.

Bercakap tentang puasa, ada segelintir orang begitu khuatir jika ibadahnya dalam bulan Ramadan tempoh hari tidak diterima oleh ALLAH SWT.

Maka, individu itu bertekad untuk menggantikan atau dengan kata lain qada puasa walaupun berjaya menyempurnakan Rukun Islam ketiga selama sebulan.

Bolehkah kita berbuat demikian? Bukankah qada puasa hanya untuk menggantikan jumlah puasa Ramadan yang ditinggalkan tempoh hari.

Menjawab persoalan itu, pendakwah, Isfadiah Mohd Dasuki menjelaskan, perasaan takut kerana kerana amalan kita tidak diterima oleh ALLAH SWT itu sudah bagus.

ISFADIAH

Itu adalah perasaan yang dimiliki oleh para salafus soleh, ujarnya.

“Bagaimanapun, dalam perihal menggantikan puasa, perlu difahami bahawa kita perlu pastikan betul-betul puasa mana satu yang ‘bocor’ dan perlu digantikan semula apabila tamatnya bulan Ramadan.

“Jika tidak, kita akan dianggap sebagai ghuluw iaitu orang yang berlebih-lebihan dalam melakukan amalan. Lebih baik, kita menambahkannya dengan amalan berpuasa sunat,” katanya.

Baca juga Jangan suka-suka nak batalkan puasa qada kalau tak uzur, ini sebabnya kata agamawan

Beliau turut memberikan contoh berpuasa enam pada bulan Syawal.

“Ia lebih baik dan utama untuk dilakukan. Amalan itu juga sama seperti kita menunaikan solat qabliah dan ba’diah.

“Ketahuilah, solat sunat itu akan menampung kecacatan solat fardu kita. Begitu juga halnya dengan puasa sunat yang menampung puasa wajib,” ujarnya.

Justeru, janganlah kita menjadi orang yang terlalu berlebih-lebihan. Banyak lagi amal ibadah sunat lain yang boleh menampung ibadah fardu kita.

Foto: Pexels

rauf-alvi-0VZCgn4ZwzY-unsplash
Hukum,

Wajibkah anak ganti puasa ibu bapa yang sudah meninggal dunia?

TIADA siapa mahukan insan tersayang pergi meninggalkan kita buat selama-lamanya. Apatah lagi ibu bapa sendiri yang pergi menghadap ILAHI. Namun, siapalah kita untuk menidakkan dan menolak takdir yang tertulis.

Ya, ajal maut semua telah ditentukan-NYA. Sebagai hamba ALLAH yang masih lagi diberi kesempatan mengecapi nikmat dunia kurniaan-NYA, kehidupan tetap perlu diteruskan.

Sebagai seorang anak soleh dan solehah pula, jangan sesekali kita melepaskan tanggungjawab terhadap ibu bapa yang telah tiada begitu sahaja. Doakanlah kesejahteraan mereka yang pernah mengandung, melahirkan, membesarkan dan mendidik kita sejak kecil dengan penuh kasih sayang.

Andai kata, ibu bapa kita meninggal dunia pada bulan Ramadan atau sebelum itu lagi tanpa sempat menggantikan puasa mereka, perlukah ibadah berkenaan diqadakan oleh anak tadi? Cukupkah sekadar kita membayarkan fidyah untuk mereka?

Menjawab persoalan itu, pendakwah Nurul Syafiqah Mohamed Hanafiah atau lebih dikenali sebagai Da’i Syafiqah menjelaskan, terdapat dua keadaan yang perlu kita tahu untuk menjelaskan tentang perkara ini.

DA’I SYAFIQAH

Baca juga Batalkan puasa dengan makan atau minum bertujuan jimak elak kafarah. Boleh ke?

Pertama sekali, katanya, jika si mati tidak mengqada puasanya kerana uzur yang berterusan dan tiada ruang yang memungkinkannya menggantikan puasanya. Contohnya sakit, musafir, nifas, hamil ataupun uzur yang berterusan sehinggalah meninggal dunia, maka anak-anaknya tidak wajib menggantikan puasa yang ditinggalkan oleh si mati ataupun membayar fidyah untuknya.

“Namun dalam keadaan kedua, sekiranya si mati berkemungkinan boleh mengqadakan puasa yang ditinggalkan dan ada ruang untuknya menggantikan puasanya, tetapi dia tidak melakukannya kerana uzur ataupun sengaja sehingga meninggal dunia, anak-anaknya boleh memilih sama ada untuk mengqada puasa yang ditinggalkan untuk si mati ataupun membayar fidyah untuknya,” katanya.

Ganti puasa

JIKA ibu bapa meninggal dunia tanpa sempat menggantikan puasa yang ditinggalkan, maka menjadi tanggungjawab anak-anak untuk melunaskannya atau membayar fidyah mengikut syariat yang ditetapkan.

Ia sebagaimana hadis daripada Ibnu Abbas RA bahawa telah datang seorang lelaki kepada Nabi Muhammad SAW lalu berkata: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya ibuku telah mati dan masih ada padanya baki puasa sebulan. Adakah aku perlu menggantikannya?”

Nabi Muhammad SAW menjawab: “Adapun hutang ALLAH itu lebih berhak untuk dilunaskan.” (Riwayat Abu Daud)

Berdasarkan hadis berkenaan, jelaslah bahawa puasa merupakan hutang manusia dengan ALLAH SWT. Jika hutang sesama manusia pun wajib dilunaskan, apatah lagi andai ia melibatkan hutang dengan-NYA. Sudah tentulah ia wajib ditunaikan.

Foto: Freepik, Bernama & Unsplash