Browsing Tag

zodiak

Zodiak - hukum
Gaya Hidup,

Percayakan zodiak, tanpa sedar anda telah syirik…

PERKATAAN syirik diambil daripada kata syarikah bermaksud sesuatu yang ada (dimiliki) oleh dua orang sementara tidak khusus kepada salah satunya.

Syeikh al-Rahman al-Sa’di menyebut: Syirik adalah menyekutukan ALLAH sama ada berdoa, takut kepadanya atau mengharapkan sesuatu.

Perkara itu meliputi kepercayaan, ibadah atau sebarang amalan yang dilakukan.

Baca Juga “Lebih baik hadiri majlis ilmu dari kejar hantu” – respon Dr Zulkifli al-Bakri terhadap pemburu entiti paranormal

Perbuatan syirik adalah dosa besar yang paling besar. Disebabkan itu ia diletakkan sebagai dosa besar pertama daripada 76 dosa besar yang dihimpunkan oleh Imam al-Zahabi dalam kitabnya al-Kab’ir.

ALLAH SWT berfirman “Sesungguhnya ALLAH tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukan-NYA (dengan sesuatu apa jua), dan akan mengampunkan dosa yang lain daripada itu bagi sesiapa yang dikehendaki-NYA (menurut aturan Syariat-NYA). Dan sesiapa yang mempersekutukan ALLAH (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya ia telah melakukan dosa yang besar.” (Surah al-Nisa’ ayat 48)

Namun, tanpa sedar ada antara tindakan seharian yang boleh menjurus ke arah menyekutukan ALLAH meskipun alasannya sekadar suka-suka.

Amalan khurafat

DOSA mensyirikkan ALLAH SWT tidak akan diampunkan.

Seperti dikongsi penceramah bebas dan selebriti TV Al-Hijrah, Dr. Nur Mohammad Hadi Zahalan (Hadi Almaghribi), antara syirik moden yang sering dilakukan oleh masyarakat kini tanpa sedar adalah mempercayai zodiak.

Jelasnya, ramalan zodiak termasuk dalam perkara-perkara ghaib. Mereka yang mempercayainya akan termasuk dalam golongan tukang ramal atau disebut juga sebagai arraaf.

“Hanya ALLAH SWT yang mengetahui perkara ghaib dan kita sebagai hambanya tidak akan pernah mempunyai kuasa meramal perkara yang akan datang kerana yang ada hanyalah kebetulan.

Artikel Berkaitan 

“ALLAH SWT berfirman dalam surah An-Naml ayat 65 yang bermaksud: “Katakanlah: Tidak ada seorang pun di langit dan di bumi yang mengetahui perkara yang ghaib, kecuali ALLAH….”

“Baginda juga ada bersabda dalam riwayat yang lain: Maksudnya: “Barang siapa mendatangi kahin atau arraaf (dukun) dan dia membenarkan ucapannya maka dia telah kufur terhadap apa yang diturunkan kepada Muhammad (al-Quran)” (Hadis Riwayat Ahmad).

“Adapun arraaf (peramal) dan kahin (dukun) dalam zaman moden mungkin hampir tidak berlaku lagi. Namun, ia boleh diqiyaskan dengan memuat turun aplikasi zodiak atau melanggannya di telefon pintar dengan niat untuk mengetahui nasib.

Pahala

UMAT Islam diwajibkan menjauhi diri daripada amalan khurafat dan syirik.

“Mempelajari ilmu bintang seperti kajian bumi, falaq dan astrologi tidaklah menjadi satu kesalahan lebih-lebih lagi ia adalah untuk memberi manfaat kepada manusia.

“Tetapi yang menjadi kesalahan adalah mempelajarinya untuk tujuan zodiak, horoskop dan meramal nasib maka hukumnya ialah haram dan berdosa.

“Seorang ulama tabi’in iaitu Qatadah menyatakan bahawa: ALLAH telah menciptakan bintang-bintang untuk tiga perkara iaitu perhiasan langit, pelempar syaitan dan sebagai penunjuk arah. Maka barang siapa yang menafsirkan selain daripada itu maka ia adalah salah dan merupakan suatu perbuatan yang sia-sia.

Baca Juga Walaupun buaya haram dimakan, tapi telurnya halal disantap

“Oleh itu apa yang boleh disimpulkan di sini ialah mempercayai zodiak boleh membawa nasib baik dan buruk boleh menyebabkan kekufuran.

“Manakala menggunakan zodiak untuk mengetahui nasib sekadar suka-suka atau hobi boleh membawa kepada dosa besar bahkan ia adalah perkara sia-sia yang boleh menggugat akidah.

“Maka jauhilah perkara sebegini dan percayalah ALLAH telah menetapkan sesuatu dengan sebaiknya yang mana kita hanya perlu berusaha dan berdoa,” ungkapnya.